Sunday 1 July 2012

WANG IHSAN RM9 JUTA UNTUK BAIKI 4500 RUMAH DI KELANTAN

BACHOK - Kerajaan pusat menerusi pemberian Wang Ihsan telah memperuntukkan RM9 juta untuk membaik pulih 4,500 buah rumah rakyat miskin di Kelantan dalam tempoh terdekat.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin pengagihan itu akan disalurkan menerusi 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Semua DUN akan memperolehi RM200,000 untuk diagihkan kepada penduduk miskin yang layak," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan berjumlah RM337,000 kepada 448 mangsa ribut di kawasan DUN Jelawat di sini, hari ini.

Bencana yang melanda di beberapa kampung sejak sebulan lalu itu memusnahkan kebanyakan rumah penduduk terutama bahagian bumbung yang diterbangkan angin kencang yang berlaku dalam beberapa minit.

Turut hadir pada majlis yang dianjurkan oleh Majlis Keselamatan Negara Cawangan Kelantan itu ialah Timbalan Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Bachok, Datuk Dr Ilias Hussin.

Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, mereka yang layak akan ditentukan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, setiap mereka yang layak akan mendapat peruntukkan yang dianggarkan RM2,000 setiap rumah untuk membaik pulih seperti atap, dinding dan papan lantai.

Awang Adek berkata, pemilihan itu tidak berdasarkan kepada pegangan politik seseorang sebaliknya ia ditentukan oleh kelayakkan sebenar bagi meringankan beban mereka.

No comments:

Post a Comment