Tuesday, 3 July 2012

Sebelum Bina Lebuhraya Rakyat Mohon Turap Jalan

KUALA KRAI - Pelanggan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) cawangan daerah ini dan Pusat Internet Desa (PID), di sini, merayu supaya jalan berbatu ke kawasan itu diturap segera.

Abdullah Mat, 53, berkata, permukaan jalan dipenuhi batu kelikir sepanjang kira-kira 300 meter itu perlu diturap bagi keselesaan orang ramai terutama pelanggan pejabat pos dan pengguna PID.

Katanya, jalan tidak berturap menyukarkan orang ramai terutama penunggang motosikal dan basikal, termasuk dalam kalangan pelajar yang menggunakan kemudahan di PID berkenaan.

“Mungkin agensi kerajaan berkaitan sudah ada rancangan nak turap jalan ini cuma saya minta mereka laksanakan segera bagi kemudahan orang ramai,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, ahli PID Kuala Krai yang mahu dikenali sebagai Kamil mengakui, keadaan jalan tersebut menyukarkan dia yang sering berulang-alik ke pusat tersebut dengan motosikal sejak jadi ahli pada 2004.

“Orang datang bukan sahaja untuk guna internet kerana PID ini ada banyak perkhidmatan lain seperti kelas belajar komputer, ada printer (mesin cetak), telefon, faks, scanner (pengimbas) dan fotostat.

“Memang perlu sangat jalan ini diturap segera sebab dalam keadaan sekarang, kalau hujan, jalan jadi kotor dan bila cuaca panas, jalan berdebu pula,” katanya.

No comments:

Post a Comment