Monday, 2 July 2012

Lima Buah Rumah Penduduk Gua Musang Musnah Dilanda Ribut



GUA MUSANG – Kejadian ribut berserta hujan lebat awal malam kelmarin mengakibatkan lima rumah peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 3, dekat sini, rosak bumbung termasuk sebuah daripadanya ditimpa pokok rambutan.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku kerana lima keluarga peneroka tersebut masing-masing berjaya keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.
Seorang peneroka, Wan Ramli Wan Ibrahim, 58, berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri dan lima anak sedang berehat di ruang tamu sambil menonton televisyen sementara menunggu untuk solat Isyak.
Wan Ramli mengakui sebelum itu kedengaran petir yang kuat diikuti ribut berserta hujan lebat, tetapi tidak sangka sebatang pokok rambutan milik jiran tumbang menghempap bumbung rumahnya.
“Kami terkejut tiba-tiba bunyi dentuman kuat sebelum atap rumah bocor dimasuki air hujan menyebabkan kami sekeluarga bergegas keluar untuk menyelamatkan diri sebelum ternampak pokok rambutan menghempap atas bumbung,” katanya.
Seorang lagi ibu tunggal, Fatimah Junoh, 55, pula berkata, sebahagian atap rumahnya tercabut kerana dilanda ribut, tetapi bersyukur kerana dia bersama empat anak tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun ketika itu berada dalam rumah.
Dia juga rasa tertekan untuk membaiki semula atap yang rosak kerana tidak mempunyai punca pendapatan, berikutan ladang kelapa sawit yang selesai ditanam semula belum mengeluarkan hasil.
“Apabila terdengar atap bergegar sebelum tercabut dibawa angin, saya bersama anak-anak lari berselindung di kawasan selamat dalam rumah kerana takut keluar ditimpa atap terbang,” katanya.
Katanya, dia merayu bantuan daripada pelbagai pihak untuk membaiki semula atap rumahnya yang rosak, kerana tidak mampu membaiki dalam masa segera ini. – Sinar Harian

No comments:

Post a Comment