Sunday 30 September 2012

Shila Amzah : Penglibatan 12 Tahun Dalam Industri Hiburan Berbaloi



UMUM mengetahui kemenangan anak gadis ND Lala, di Shanghai, China, merupakan detik bersejarah buat pelantun lagu Patah Seribu ini.  

Shila Amzah berjaya menewaskan dua pesaing rapat dari tuan rumah, kemenangan itu langsung tidak diduga oleh kedua orang tuanya, ND Lala dan Fauziah Sarman.

Malah, menurut ibunya yang lebih mesra disapa Kak Zie ini, tidak tidak meletakkan harapan tinggi pada anak gadisnya, cukup sekadar dapat mewakili negara dalam pertandingan berprestij itu.

“Syukur Alhamdulillah, Shila berjaya menempatkan dirinya sebagai juara. Saya sangat terkejut dan pada masa sama, rasa gembira kerana dia berjaya membuktikan kehebatannya di negara orang.

“Bukan senang nak kalahkan dua pesaing terdekat itu kerana vokal mereka sangat mantap. Berkali-kali saya dan suami ingatkan pada Shila, jangan fikir ia sebagai pertandingan, anggap sahaja seperti persembahan supaya dia tidak terlalu gementar.

“Saya berbangga dengan Shila kerana dia berjaya menggapai satu daripada impiannya untuk berjaya di luar negara. Penglibatannya dalam industri seni selama 12 tahun akhirnya membuahkan hasil,” katanya yang turut bertindak sebagai pengurus peribadi Shila.

Tambah ibunya lagi, pada hari pertandingan itu, Shila juga dilihat sangat tenang dan tidak berada di dalam tekanan.

“Dia melakukan persembahan itu dengan begitu tenang sekali. Jika sebelum ini dia nampak lebih gementar, tetapi di peringkat akhir itu, dia berjaya mengawal rasa gementarnya.

“Shila bekerja keras untuk menang. Dia turut menyertai kelas untuk memperbetulkan bahasa Mandarin dalam membawakan lagu Forever Love itu.

“Sebelum ini, memang Shila pernah bersekolah di sekolah Cina sehingga lapan tahun, namun tidak kesemua ungkapan dan perkataan Mandarin yang diingati,” katanya yang turut mengakui Shila seorang penghafal yang baik.

Buat majlis kesyukuran

Tidak melupakan peminat dan masyarakat yang sentiasa menyokong perjalanan seni Shila, ibunya turut merancang mengadakan majlis kesyukuran di atas kejayaan itu.

Katanya, sokongan daripada peminat adalah pembakar semangat untuk Shila terus mendaki kejayaan demi kejayaan.

“Insya-Allah, kami ada merancang untuk mengadakan majlis kesyukuran. Namun, dalam masa terdekat ini, Shila agak sibuk dan ayahnya pula berada di Sabah,” katanya yang mengakui jadual Shila padat sehingga Januari depan.

Kembang karier di China

Menggondol anugerah juara Asian Waves, Shila atau nama sebenarnya, Nur Shahila Amir Hamzah, 22, turut ditawarkan kontrak dan dana pembangunan kerjaya di China sebanyak RM5 juta oleh syarikat media terbesar di China, Shanghai Media Group (SMG).

Kontrak dan dana itu turut dikongsi bersama dua pemenang tuan rumah, Chang Shilei dan Huo Jun.

Walaupun ia bukanlah berbentuk wang tunai, namun hadiah kemenangan itu sangat bermakna buatnya.

“Selepas kontrak itu ditandatangani, Shila akan berulang alik ke China untuk meluaskan kariernya. Antara perancangan pihak SMG termasuk penerbitan album, konsert jelajah dan sesi promosi ke seluruh China.

“Alhamdulillah, memang tawaran yang diterima sangat banyak, namun saya harus memilih yang terbaik. Walaupun selepas ini jadual saya semakin sibuk, namun negara sendiri tidak akan dilupakan.

“Saya akan merakam album Melayu di Malaysia kerana pasaran China hanya menerbitkan album bahasa Mandarin dan Inggeris sahaja,” katanya yang turut diundang sebagai penyanyi jemputan untuk konsert jelajah penyanyi, Eric Moo di Beijing pada 17 November ini.

Walaupun membuat keputusan untuk berhijab sejak awal Ramadan lalu, namun ia langsung tidak menjejaskan periuk nasi gadis manis ini.

Malah, kejayaannya di Shanghai dianggap sebagai hikmah dirinya yang kini berhijrah. Tidak dinafikan, pada awalnya, Shila melahirkan rasa takut sekiranya masyarakat di China tidak dapat menerima imej Muslimahnya.

“Syukur Alhamdulillah, saya langsung tidak menyangka, masyarakat di sana sangat terbuka. Malah, mereka bertanya kepada saya kenapa saya bertudung sedangkan sebelum ini tidak. Saya menerangkan kepada mereka mengenai perkara itu dan menerima kehadiran saya di sana,” katanya. -Sinar Harian.

Belanjawan 2013 Bukan Untuk Beli Undi Rakyat Tetapi Komitmen Kerajaan Makmurkan Negara


Pembentangan Belanjawan 2013 bukan langkah untuk membeli undi rakyat tetapi merupakan komitmen kerajaan untuk memakmurkan negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini. 

Justeru, Perdana Menteri berkata kerajaan tidak harus dituduh bersifat populis kerana berjaya mencipta pelbagai kejayaan dan menunaikan janji yang diberi kepada rakyat. 

Katanya pelbagai dasar dan perbelanjaan yang dilaksana untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi sehingga negara mampu mencatat perkembangan memberangsangkan ketika dunia berdepan kemelut ekonomi, merupakan antara kejayaan besar kerajaan selain penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGV) yang mencatat Terbitan Saham Awal (IPO) kedua tertinggi selepas Facebook. 

“Ini kebanggaan kita, jadi kita tak boleh dituduh sebuah kerajaan yang bersifat populis. 

“Kerajaan yang bersifat populis adalah kerajaan yang tidak bertanggungjawab,yang menjanjikan perkara-perkara yang tidak mungkin dapat dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada majlis ‘Jelajah Janji Ditepati’ di Stadium Belia dan SukanParoi, di sini. 

Kira-kira 12,000 anggota masyarakat dari seluruh pelusuk negeri memeriahkan majlis itu yang turut dihadiri isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor. 

Hadir sama Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan. 

Najib berkata pembangkang merasa tercabar apabila kerajaan memilih slogan ‘Janji Ditepati’ kerana sedar janji-janji yang ditabur mereka tidak mungkinm dapat ditunaikan. 

“Bila kita pilih tema Janji Ditepati, mereka melenting sebab tahu janji mereka tidak boleh ditunaikan…BN tidak janji perkara yang tidak boleh ditunaikan, kita berpijak di bumi nyata,” katanya dan disambut dengan tepukan hadirin. 

Najib berkata pemilihan nama Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 yang diumum dalam Belanjawan 2013 semalam juga merupakan satu sindiran kepada pembangkang ekoran menganjurkan Bersih 2.0. 

“Kita namakan BR1M 2.0 sebenarnya satu sindiran sebab pembangkang anjur Bersih 2.0 yang langsung tidak bersih…tetapi kita bagi BR1M untuk kesejahteraan rakyat. 

“Kalau negara kita makmur, kerajaan akan kongsi kejayaan dengan rakyat…jadi rakyat mesti yakin bahawa kerajaan sentiasa fikir apa yang telah dan yang baru akan dilakukan (untuk rakyat),” katanya. 

Najib juga mengaku selepas membentangkan Belanjawan 2013 semalam, banyak perkara yang difikirkannya terutama mengenai petikan Surah Al-Baqarah yang beliau baca kerana membawa makna yang sangat mendalam. 

Surah yang menekankan kepada melakukan kebaikan itu katanya sangat signifikan dengan apa yang dilakukan kerajaan, iaitu berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan dan bukannya menabur fitnah, mencerca dan jauh sekali tidak menunaikan janji. 

Atas dasar itu rakyat terus meletakkan keyakinan dan menyokong kerajaanpimpinan BN walaupun selepas 55 tahun merdeka dan melalui 12 kali pilihan rayaumum. 

“Hubungan yang saya anggap sebagai wa’ad antara kerajaan dan rakyat ini tidak mudah diputuskan dengan fitnah yang dilemparkan kerana rakyat yakin hanya satu kerajaan yang boleh menepati janji iaitu kerajaan BN,” katanya disambut tepukan orang ramai. 

Pada majlis itu Najib turut melancarkan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA)Seremban yang bakal dibina di empat lokasi strategik membabitkan pembinaan kira-kira 5,000 unit rumah dalam tempoh dua tahun. 

Melemparkan sindiran kepada kerajaan Selangor yang masih gagal menyelesaikanisu air di negeri itu, Najib berkata kesediaan kerajaan negeri bekerjasamadengan kerajaan persekutuan telah memungkinkan usaha sama melaksanakan projekperumahan berdasarkan keperluan rakyat. 

“Bukan seperti di Selangor isu air pun tidak boleh ‘settle’, di negeri ini boleh beri kerjasama yang baik,” katanya yang menambah bahawa rumah di bawah PR1MA akan dijual kepada mereka yang layak pada harga 20 peratus lebih rendah berbanding pasaran. 

Selain itu Najib turut mengumumkan peruntukan RM158 juta untuk Dana MudahCara Pembangunan Lebuhraya Lekas-Temiang yang akan memanfaatkan kira-kira 10,000penduduk di kawasan sekitarnya. – BERNAMA

Saturday 29 September 2012

Panas ! Anwar Tak Pernah Suka Pendirian Pas - Bekas Timbalan KM 1 Pulau Pinang


SHAH ALAM – Bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairuz Khairuddin mendakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah suka dengan pendirian Pas yang memperjuangkan dasar Islam.

Menurut Fairuz, kenyataan mengenai Anwar ini pernah didedahkan ketika beliau masih berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Fairuz meletakkan jawatan itu pada Mac 2009 dan kemudian keluar dari PKR.

"Hari ini saya mahu dedahkan yang selama ini, Anwar tidak pernah suka dan setuju dengan dasar Pas. Beliau anggap Pas ini tidak boleh diharap," kata beliau pada Majlis Himpunan Ke Arah Penyatuan Ummah bertajuk “Dakwah Menjana Kesatuan Ummah" di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel sesi Ideologi Politik: Adakah Menjadi Penghalang Kepada Penyatuan.

"Saya sendiri sedih kerana Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak pernah menyanggah dan berkata tidak jika Anwar campur tangan dalam Pas," katanya.

Tambah beliau, cara pemikiran Anwar tidak seiring dengan Pas kerana sering berbeza pendapat dengan Pas berhubung dengan Islam.

"Ilmu agama Islam hanya 'celup-celup". Tidak sepatutnya Anwar bercakap mengenai Islam dengan ilmu yang cetek.

"Bila nak cakap tentang Islam, Anwar perlu teliti sama ada ia benar atau bertentangan dengan Islam," tegasnya.

Menurut Fairuz, pengalamannya bekerjasama dengan Anwar semasa berkhidmat satu ketika dulu membuatkan beliau "celik mata" dan membuatkannya sedar siapa Anwar sebenarnya.

"Pengalaman saya dulu sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang satu ketika dulu, benar-benar memberi pengalaman yang cukup bermakna buat saya," katanya. -Sinar Harian.

Belanjawan 2013 - Pembangkang Seperti Biasa Tetap Kritik


KUALA LUMPUR - Walaupun Belanjawan 2013 mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan rakyat, namun pembangkang seperti biasa tetap mengkritik setiap tindakan yang diambil oleh kerajaan. 

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, belanjawan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini hanya satu percubaan untuk memenangi hati rakyat. 

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan Belanjawan kali ini hanya untuk memberikan pandangan kepada rakyat bahawa perbendaharaan atau kewangan negara berada dalam keadaan baik. 

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mendakwa Belanjawan 2013 dilihat lebih banyak menawarkan ‘wang tunai’ kepada rakyat tanpa menyelesaikan asas ekonomi yang lebih penting seperti pendidikan. 

Dalam belanjawan kali ini, sebanyak RM38.7 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan untuk menjalankan program mengurus dan pembangunan sektor itu tahun depan. 

Jumlah tersebut meliputi kira-kira 21 peratus daripada keseluruhan peruntukan Belanjawan 2013 yang dibentangkan. 

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pula mencadangkan kerajaan sepatutnya menjadikan pemberian BR1M kepada rakyat setiap tahun bagi membantu meringankan beban rakyat. – Bernama

Friday 28 September 2012

Penerbit Filem Hina Nabi Telah Ditahan


LOS ANGELES – Nakoula Basseley Nakoula, penerbit Innocense of Muslims, filem yang mencetuskan protes di kalangan umat Islam di seluruh dunia, diarah ditahan di penjara kerana melanggar terma-terma pemantauan hukuman yang dijatuhkan sebelum ini.

“Mahkamah kurang percaya dengan defendan pada masa sekarang,” kata Hakim Suzanne H Segal, semalam.

Segal juga berkata, Nakoula membawa “kemudaratan kepada komuniti.”

Nakoula, disoal siasat oleh pihak berkuasa persekutuan awal minggu lalu, ditahan awal semalam, lapor Los Angeles Times.

Pendakwa raya persekutuan berhujah petang semalam bahawa penerbit filem itu mengundang bahaya dan seharusnya diletakkan dalam tahanan.

Bagaimanapun peguamnya berhujah Nakoula sewajarnya dibebaskan atas bon.

Malah peguamnya berkata, anak guamnya berhadapan dengan bahaya di penjara persekutuan di Los Angeles kerana ia menempatkan ramai tahanan beragama Islam.

Peguam itu menafikan Nakoula melanggar apa-apa terma pemantauan.

Nakoula pernah dijatuhkan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan menipu bank. Dia ditahan pada 2009.

Di bawah tempoh pemantauan, Nakoula tidak dibenar menggunakan atau memiliki perkakasan yang membolehkannya akses kepada Internet tanpa kelulusan pihak pemantau.(SinarHarian)

Thursday 27 September 2012

Genting Beli Saham FGVH, Logik Ke Dakwaan Pas Ni?

Mudah sungguh bagi Subky Latif membuat tuduhan di Harakahdaily bahawa Genting membeli saham FGVH. Mudah kerana ia tidak memerlukan fakta, angka dan bukti apa-apa untuk menguatkan tuduhan.

Siapa saja boleh menuduh apa saja malah kita juga boleh menuduh Subky Latif atau Hadi Awang ada membeli saham Genting dan kemudian melalut-lalut mengaitkan keturunan, kenalan dan sahabat handai mereka sambil memburuk-burukkan semuanya sebagaimana yang Subky lakukan terhadap FGVH dan Dato’ Seri Najib dalam tulisan tersebut.

Sehinggakan sekali baca, tampak seolah-olah Subky Latif ini bukannya ingin mempersoalkan Genting atau saham FGVH, tetapi dengki kerana tidak tergolong dalam keturunan orang-orang berada dan bernama seperti Dato’ Seri Najib.

Sebenarnya, sikap orang-orang PAS ini sama saja, tak kira penulis, penyokong atau pemimpin. Iaitu mereka gemar mempersoalkan tahap ‘keIslaman’ orang lain di samping menonjolkan diri sebagai yang ‘lebih Islam’ atau ‘paling Islam’. Dalam hal ini, mereka sengaja membangkitkan persepsi seolah-olah pengurusan Felda tidak tahu halal-haram atau tidak cukup Islam.

Mungkin kerana telah kalah dalam isu FGVH iaitu gagal menghalang penyenaraian, terbongkar segala penipuan dan niat jahat atau kerana menyesal tergadai peluang untuk sama-sama memperoleh keuntungan, maka PAS cuba mengalih pandangan dengan membangkitkan soal ‘keIslaman’ FGVH pula.

Untuk PAS dan Subky Latif, tidak perlulah meragui keIslaman FGVH kerana sesungguhnya pihak yang mengurus FGVH juga cukup peka dengan halal-haram sesuatu urusan perniagaan.

Jika ada yang terlepas pandang atau kurang jelas, sama-samalah diperbetulkan bukan difitnah atau dijatuhkan kerana yang akan rugi nanti adalah orang-orang kita juga, orang Islam, orang Melayu yang menjadi majoriti peneroka Felda.

Tetapi, apa yang jelas haram atau dosanya di sini ialah tindakan menuduh dengan niat memfitnah terhadap orang lain seperti apa yang dilakukan oleh Subky Latif, Harakahdaily dan PAS.

Saham FGVH adalah bertepatan dengan syariah berdasarkan prospektus dan setakat ini, tiada pemegang saham atas nama ‘Genting’ yang direkodkan.

Bagaimanapun, jika Genting yang membeli saham sepatutnya bukanlah satu isu tetapi yang sepatutnya menjadi isu ialah jika FGV yang membeli saham judi Genting. Tetapi ini tidak pernah dan tidak mungkin berlaku selagi ia dipantau oleh kerajaan yang didominasi oleh orang Islam.

Lainlah jika Pakatan Rakyat yang menjadi kerajaan serta Anwar Ibrahim yang membawa fahaman pluralisme menjadi Perdana Menteri dengan DAP menjadi tulang belakangnya, maka mungkin sesuatu seperti itu boleh berlaku.

Dengan itu, Subky harus ingat bahawa bukan dia sahaja yang Islam di Malaysia ini. Orang-orang UMNO, majoriti peneroka Felda dan pengurusan FGVH juga Islam. Bezanya, satu pihak gemar mempertikai iman dan ilmu agama orang lain dan satu pihak lagi tidak. Itu saja.

Tetapi, pihak atau individu mana yang lebih beriman, lebih tinggi darjat dan akan mendapat berkat di sisi Allah SWT tiada siapa yang tahu, walau berapa kali pun Nik Aziz cuba membayangkan kepada kita yang dia tahu.

Justeru, tak usahlah Subky melalut menulis panjang-panjang sekadar untuk melepas geram memburukkan Perdana Menteri, keluarga dan tokoh-tokoh UMNO. Ini kerana tidak berbaloi menambah dosa sedangkan Perdana Menteri dan orang-orang yang dikutuk Subky langsung tidak terjejas dan tidak terasa apa-apa.

Perdana Menteri kekal tenang bekerja untuk rakyat, peneroka Felda terus gembira mendapat nikmat, Felda terus maju dan meningkat. Cuma Subky dan PAS saja yang penuh dengan dendam kesumat.

Kajian UM Mendapati Pas Kelantan Akan Berkubur Pada PRU 13

KOTA BHARU - Pas Kelantan menghormati kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) yang menunjukkan kuasa parti itu akan hilang pada pilihan raya akan datang.

Ketua Penerangannya, Dr Mohd Fadhli Datuk Hassan bagaimanapun berkata, keputusan berkenaan akan berubah dari masa ke masa berdasarkan trend tertentu dalam polemik politik semasa

Menurutnya, hasil kajian itu tidak boleh dianggap secara jelasnya akan menentukan masa depan pemerintahan Pas sejak 22 tahun di Kelantan kerana jangka waktu penentuan masih panjang untuk menjawab segala-galanya.

"Kita hormati dan menilai kajian yang dijalankan tersebut dalam bentuk positif terhadap kelangsungan kuasa Pas di Kelantan. Malah kita juga tidak memandang ringan kelemahan mahupun kelebihan parti lawan.

"Kita melihat perolehan kajian itu tidak dapat membayangkan secara tepatnya yang Barisan Nasional (BN) akan berkuasa dengan mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti, Lagipun sekarang ini trend rakyat mahu mengubah kuasa di peringkat pusat," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan kajian Umcedel yang menggambarkan trend sokongan BN di Kelantan positif pada PRU13 nanti.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri, mahukan penjelasan lebih menyeluruh aspek kajian termasuk jumlah responden, variasi responden dan sudut persoalan dikemukakan kepada individu terlibat.

"Kita tidak perlekehkan kajian ini, kalau boleh Pas Kelantan mahu melihatnya dan bagi kita ini adalah salah satu kajian daripada beberapa pihak di negara ini terhadap perkembangan politik di negeri ini," katanya.

Dr Mohd Fadhli menegaskan, perkara tersebut tidak akan melemahkan Pas bahkan ia memberi keazaman yang lebih kuat kepada jentera parti bekerja keras memastikan BN tidak boleh merampas Kelantan di bawah kepimpinan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Pengerusi Umno Negeri, Datuk Dr Awang Adek Hussin menegaskan BN tidak boleh berada dalam keadaan selesa biarpun kajian itu menunjukkan parti ini mendapat sokongan di Kelantan.

Katanya, BN tidak akan meletakkan harapan yang tinggi terhadap kajian Umcedel tersebut dan beliau menjelaskan pihaknya akan terus mendampingi rakyat untuk memberi perkhidmatan terbaik.

"Itu kajian, kadang kala betul, kadang kala tidak betul. Kita lihat Pas sudah lama memerintah Kelantan, masalah dan kesusahan rakyat semakin bertambah.

"Hanya BN menjadi harapan untuk masa depan rakyat Kelantan dan rakyat boleh memilih kami untuk berkhidmat kepada mereka," katanya.

Beliau juga yakin, rakyat Kelantan dapat merasai bahawa dengan memilih BN masalah dihadapi sejak sekian lama boleh diselesaikan. -Sinar Harian.

Wednesday 26 September 2012

Anwar, Pembangkang Dan Bajet Alternatif Mereka

Petang tadi, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat 2013.

Anwar telah membentangkan belanjawan itu dengan tema ‘Ekonomi Rakyat Negara Berkat’ dan mengemukakan beberapa janji demi kepentingan rakyat.

Antara yang dikemukakan ialah, pemberian tender diberikan secara terbuka kepada semua pihak dan bukan tertumpu kepada kroni-kroni sesebuah parti sahaja.

Untuk mencapai kejayaan dalam pemberian tender, beliau mahu melakukan perubahan struktur ekonomi dengan memansuhkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Selain itu ketua pembangkang itu juga mahu menubuhkan syarikat minyak dan gas yang dimiliki oleh kerajaan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak kerana negeri-negeri itu kaya dengan sumber tersebut.

Tujuan utama diberikan kepada keempat-empat negeri itu kerana ingin mambangunkan taraf ekonomi kawasan-kawasan dalam negeri yang disenaraikan oleh Anwar.

Bukan itu sahaja, Anwar juga mahu mewujudkan Caruman Wanita Nasional yang menyediakan insuran dan skim takaful kepada penyumbang selain daripada simpanan tetap yang dibuat.

Anwar juga akan melakukan perubahan dalam pembayaran bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daripada RM300 kepada RM550 yang akan membantu kira-kira 84,000 isi rumah yang mempunyai pendapatan bulanan RM500 ke bawah.

Begini sajalah…melontarkan janji adalah mudah, persoalannya sejauh mana mereka mampu menggalas segala ‘bulan dan bintang’ yang mereka sebutkan tadi.

Selangor yang mereka sendiri perintah masih ada janji yang belum ditunaikan seperti mana yang tertulis dalam manifesto dulu.

Sampai dah nak habis penggal pun masih lagi terkial-kial nak memenuhi janji mereka kepada pengundi.

Tak mengapalah, bukan payah pun nak lontar janji, yang payah ialah untuk mengotakannya.

Lembu dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji.

Anwar kena ingat itu.

Jangan lupa dan yang lebih penting…jangan buat-buat lupa! -Mynewshub.

Isu Hudud - Guan Eng Kini Gelar Nasha 'Ejen Umno'

KUALA LUMPUR - Kemelut antara DAP dan PAS berhubung perlaksanaan hukum hudud makin berpanjangan apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kini menggelar Nasharudin Mat Isa sebagai 'ejen Umno'. 

Sambil menyifatkan bekas Timbalan Presiden PAS itu sebagai seorang yang tidak konsisten, Lim sekali lagi menegaskan bahawa DAP kekal dengan pendirian untuk menolak hukum hudud. 

"Beliau memang sudah tahu (pendirian DAP). Semasa jadi Timbalan Presiden PAS beliau tahu mengenai pendirian kita dan ketika itu tak ada masalah. 

"Mengapa bila sudah tidak jadi (timbalan presiden) baru wujud masalah. Cakap macam ejen Umno pula," katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen di sini, Selasa. 

Ditanya mengenai gesaan Nasharudin agar beliau mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kerana secara konsisten mencampuri prinsip dan asas perjuangan PAS terutamanya berkaitan perlaksanaan hukum hudud, Lim bagaimanapun mengelak daripada memberikan sebarang komen. 

Selain itu Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang sekali lagi mengulangi pendirian senadanya dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk menolak hudud. 

"Kalau nak tanya tentang pendirian, kita amat jelas dengan pendirian ini (tolak hudud) sepanjang masa. Ia amat konsisten, maka tak ada apa-apa perkara baru mengenainya," katanya.

Tuesday 25 September 2012

Biadap!!! Lagi Penghinaan Ke Atas Allah Dan Rasulullah SAW!

Apabila undang-undang sedia ada dipinda menjadi "lembut"dan terlalu mengambil hati untuk kepentingan undi semasa pilihanraya, apabila penguatkuasaan menjadi longgar, apabila penghakiman asyik kalah disebabkan Pendakwaraya lembik dan apabila Menteri Amaran lebih mengutamakan "Public Relation" dan bergaya seperti artis dengan peminat, maka inilah jadinya. Penghinaan demi penghinaan terhadap Allah dan Nabi Muhammad SAW dibuat secara terbuka, terang-terangan tanpa sebarang perasaan takut kepada undang-undang.

Gambar di atas sudah tersebar luas di laman sosial Facebook. Diharap pihak Polis Di Raja Malaysia dan SKMM hendaklah menyiasat secara terperinci dan membawa anak muda di atas ke muka pengadilan. Sampai bila Umat Islam ingin dicerca. Apakah perlu menunggu sehingga berlaku pertumpahan darah barulah tindakan drastik akan diambil?

Berdasarkan maklumat di Facebook beliau, anak muda ini bernama Gopinath Jayaratnam. Bekerja sebagai juruteknik makmal di Tip Top Meat Sdn Bhd. Berasal dan tinggal di Klang. Pernah belajar dalam jurusan Industrial Biotechnology di Universiti Industri Selangor. - Sumber Blog Cucu Tok Selampit.

Sunday 23 September 2012

'Jika Tidak Mahu Negara Seperti Di Timur Tengah, Ahli UMNO Perlu Rapatkan Barisan'

Kini bukan masa untuk ahli UMNO saling bertelagah dan bercakaran, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, waktu ini adalah masa untuk setiap ahli BN merapatkan lagi barisan antara mereka supaya negara tidak berhadapan dengan musibah.

“Jika tidak kita akan berhadapan dengan nasib seperti yang menimpa negara Timur Tengah yang bertelagah akibat daripada politik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Indera Mahkota di sini hari ini.

Sehubungan itu, Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri mahu segala perbalahan yang wujud di peringkat bahagian UMNO diselesaikan segera.

Kata beliau, kegagalan berbuat demikian boleh menghalang BN memperoleh kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Selain itu, Hishammuddin turut meminta ahli UMNO tidak berasa cemburu dengan calon parti itu yang dipilih bertanding pada PRU13.

Jelas beliau, setiap ahli UMNO perlu memberi sokongan penuh kepada calon tersebut demi masa depan parti dan negara.

Hishammuddin turut mengingatkan ahli UMNO supaya bersedia berdepan dengan serangan peribadi dan tohmahan yang dibangkitkan pembangkang.

Kata beliau, pembangkang juga gemar membangkitkan isu perkauman dan agama semata-mata untuk memenangi PRU13 demi kepentingan mereka.

Tambahnya. budaya politik kebencian dan pecah-belah yang sering disuntik parti pembangkang itu boleh menular sekiranya tidak dikawal.

“Budaya politik seperti ini kita mesti tolak kerana ia tidak membantu negara,” katanya lagi. – mynewshub.my

Saturday 22 September 2012

BN Telah Bawa Perubahan Sebenar, Tidak Perlu Ambil Risiko Dengan Janji Pakatan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata, BN bawah pentadbirannya membawakan perubahan sebenar dan oleh itu rakyat tidak perlu mengambil risiko dengan berubah demi janji-janji pembangkang.


"Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, kita membawakan kemajuan sebenar dan perubahan di negara ini," katanya dalam perhimpunan 3,000 orang alumni Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) di ibu negara.


Perkara ini, katanya, bertentangan sama sekali dengan janji pembangkang yang tidak tentu.

"Perubahan adalah perkataan terbaik, semua ahli politik dalam negara dan seluruh dunia menyuarakan agenda perubahan... Tetapi biar saya beritahu, apa yang kita mahu bukan semata-mata untuk berubah tetapi berubah kepada lebih baik - dengan maksud perubahan yang sebenar.

"Kita mahukan perubahan yang sebenar, sistematik, tersusun dan terancang dan bukannya sesuatu yang boleh membawa kepada keadaan tidak menentu," katanya.

Friday 21 September 2012

Ribuan Berarak Ke Kedutaan AS Bantah Filem 'Innocence Of Muslims'


Ribuan umat Islam dari Umno dan PAS berhimpun di Kuala Lumpur hari ini kerana membantah filem Innocence of Islam yang menghina Nabi Muhammad SAW dan mencetuskan demonstrasi anti-Amerika di seluruh dunia.

Naib presiden PAS, Salahuddin Ayub mengetuai demonstrasi 'Xpresi Hijau Kasih Nabi SAW' anjuran Pemuda PAS selepas solat Jumaat di Masjid Tabung Haji di Jalan Tun Razak, sebelum kira-kira 5,000 orang berarak ke kedutaan AS dekat situ.

Sementara itu, protes anjuran Umno pula diketuai oleh Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin yang berlangsung di Masjid Kampung Baru yang disertai kira-kira 3,000 orang.

Kedua-dua protes tersebut turut disokong oleh pertubuhan 
Islam dan pelbagai NGO.

Google telah menyekat akses terhadap klip filem tersebut kepada pengguna di Malaysia.

Sementara itu, Khairy yang juga Ketua Pemuda BN, menggesa PAS meninggalkan Pakatan Rakyat kerana mendakwa DAP tidak menunjukkan perpaduan dalam membantah filem Innocence of Islam dan karikatur yang menghina Nabi Muhammad.

Khairy berkata, beliau turut membawa ramai penyokong BN yang pelbagai kaum dari MCA dan MIC untuk menyertai bantahan tersebut.

"Bagaimanapun, (MP Beruas Datuk) Ngeh Koo Ham berkata ini 
(protes) buang masa," katanya.

Katanya, mereka bersama-sama dengan saudara-saudara dari PAS membuat bantahan tersebut kerana ia tiada kaitan dengan politik, tetapi kerana filem itu menghina Islam dan Nabi Muhammad.

"Kami akan lakukan perkara yang sama jika ini berlaku kepada agama lain," katanya. -Malaysiakini.

Bersikap Tenang Dan Bijaksana Dalam Berhadapan Dengan Provokasi Musuh Islam

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) menyeru umat Islam negara ini supaya bersikap tenang dan bijaksana dalam berhadapan dengan penghinaan yang dibuat pihak anti Islam ke atas Nabi Muhammad SAW melalui filem Innocence of Muslims.

Presidennya, Dr. Mohd. Parid Sheikh Ahmad berkata, meskipun Ikram mengecam keras kewujudan filem yang melampau tersebut kerana menghina Nabi Muhammad dengan pelbagai tuduhan palsu tetapi umat Islam perlu optimis bahawa Allah akan memelihara kesucian agama Islam.

“Fahamilah bahawa pempertahan dan membela rasul tidak terbatas dengan slogan dan demonstrasi sahaja tetapi dengan mengikuti jejak perjalanan hidup, perjuangan serta menegakkan Islam dalam kehidupan peribadi, masyarakat dan negara.

“Tindakan menunjuk perasaan biarlah berlangsung secara aman dan ditujukan kepada peribadi atau kumpulan yang membuat onar dan kesalahan. Bukan kepada peribadi atau pihak-pihak yang tidak terlibat melakukannya. Sikap adil harus kekal dalam semua situasi, marah atau suka,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu juga, Mohd. Parid berkata, umat Islam Malaysia diseru tidak terlibat dengan tindakan provokasi yang memarakkan permusuhan, menebalkan kebencian, pemusnahan harta benda, rusuhan dan seumpamanya.

Tambah beliau, muslim seharusnya membuka laluan dakwah seluas-luasnya, menerusi langkah-langkah kebijaksanaan, nasihat serta dialog yang terbaik.

Malah, katanya, tuduhan dan tohmahan seperti itu pernah berlaku kepada semua rasul dan para rasul Allah menghadapinya dengan penuh bijaksana serta tidak terpengaruh dengan unsur-unsur provokasi yang sengaja dibuat pihak musuh.

“Seperti firman Allah, `sesungguhnya kami tetap memelihara dan mengawalmu dari kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu,” katanya lagi. – mynewshub.my

Thursday 20 September 2012

Surat Palsu Konon Dari PM, UIAM Buat Laporan Polis

KUALA LUMPUR - Majlis Syura Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada Khamis membuat laporan polis berhubung penyebaran sepucuk surat palsu yang kononnya ditulis oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Rektor UIAM, Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin. 

Majlis itu dalam satu kenyataan pada Khamis berkata pihaknya memandang berat perbuatan pembohongan itu dan telah membuat laporan di Balai Polis Gombak pada pukul 9 pagi ini. 

Menurut kenyataan itu, surat palsu berkenaan telah disebarkan dalam kampus dan juga dimuat naik di sesetengah laman blog. 

"Pihak universiti ingin menegaskan bahawa pihak Rektor tidak pernah sama sekali menerima surat tersebut daripada Perdana Menteri Malaysia, selaku Presiden Umno. 

"Pihak Majlis Syura UIAM menyangkal tohmahan tersebut dan beranggapan bahawa kandungan surat tersebut berunsur fitnah dan satu pembohongan serius yang mempunyai niat jahat," kata kenyataan itu. 

Menurut kenyataan itu, pihak majlis syura yakin pembohongan tersebut dilakukan oleh sesetengah pihak yang terdesak, tidak beretika dan mempunyai kaitan dengan pihak pembangkang. 

"Ia bertujuan untuk mengeruhkan suasana harmonis dan kedamaian yang wujud dan dikecapi seluruh warga kampus UIAM menjelang pilihan raya kampus yang akan berlangsung pada 25 September ini," tambah kenyataan itu. 

Kenyataan itu memberi amaran bahawa tindakan drastik yang berbentuk disiplin dan perundangan jenayah akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyiar, mengedar surat tersebut atau mana-mana individu yang memuat naik surat itu di laman web masing-masing atau di laman blog tertentu. 

"Pihak Majlis Syura UIAM sedang menyiasat kes ini dengan penuh teliti termasuk menonton semula rakaman pita tv kawalan keselamatan dan akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)," kata kenyataan itu. - Bernama.

Abdul Kadir Sheikh Fadzir Perlu Taubat Segera!

KUALA LUMPUR – Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu) meminta bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir agar bertaubat segera selepas membuat kenyataan beliau mendengar suara Allah SWT agar kembali berpolitik untuk menyelamatkan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjanya, Fathul Bari Mat Jahaya berkata, Nabi Muhammad SAW adalah nabi dan rasul yang terakhir dan tidak ada sesiapa boleh mengaku bercakap dengan Allah SWT kini.

Beliau memberikan teguran tanpa menyebut nama Abdul Kadir dan kepada semua pihak termasuk dalam UMNO serta PAS.

Jelas beliau, berpolitiklah tetapi jangan membawa masuk tuhan dalam aktiviti itu.

“Datang seorang ahli politik ini kata beliau boleh dengar suara Allah SWT, saya tak menyamakan tapi boleh difahami kedudukan ini seolah-olah sama apa yang berlalu pada Nabi Musa dan sama berlaku pada Nabi Muhammad (SAW), apakah ini nabi baru.

“Saya yakin beliau bukan mengakui menjadi nabi, tetapi secara realiti, kata-kata seperti Allah SWT perintah kami ke Putaraja apa semua, zaman sampaikan wahyu telah ditutup. Tidak ada lagi wahyu.

“Kalau sekiranya hendak turun berpolitik, tak payahlah tarik tuhan sekali, gunakan Allah SWT, gunakan agama untuk kepentingan, tak kiralah hang UMNO, tak kira PAS, tak kira hang PKR.

“Kita kena berhati-hati dalam isu seperti ini, saya harap orang-orang yang berkata seperti ini, tidak kira siapa pun agar bertaubat kepada Allah SWT dan beristiqfar banyak-banyak,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Kadir dalam satu ceramah politik baru-baru ini bahawa beliau mendengar suara Allah SWT yang memintanya agar turun kembali ke barisan hadapan politik.

Wednesday 19 September 2012

Protes Filem Innocence Of Muslims Perlu Bagi Setiap Umat Islam - Nik Aziz


Umat Islam tidak mengira parti perlu memberi sokongan terhadap bantahan filem Innoncence of Muslims yang mempersendakan Nabi Muhammad SAW, kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bagi tujuan tersebut, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, masyarakat Islam seharusnya mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak agama Islam terus dipersendakan.

“Kalau tidak bertindak mereka akan buat benda lain lagi yang akan menyebabkan berlaku perkara yang tidak munasabah seperti di negara-negara luar, biar mereka sedar perbuatan itu salah dan ada orang yang halang, doa sahaja tidak cukup,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada perlu Pemuda Pas dan Umno bersama dalam perhimpunan besar-besaran membantah filem itu di Ibu Kota Jumaat ini.

Mengulas lanjut Nik Aziz berkata, antara punca yang menyebabkan penghinaan itu berlaku disebabkan masyarakat Islam sendiri yang tidak meletakkan Islam sebagai asas pemerintahan.

“Orang Islam sendiri yang melakukan pengkhianatan terhadap agama Islam, kita seharusnya sedar dan tidak melakukannya sekiranya tidak mahu lagi Islam dihina,” katanya.

Ditanya adakah protes melalui demonstrasi itu perlu dilakukan masyarakat Islam, Nik Aziz berkata, pendekatan itu boleh dilakukan, namun ia bergantung kepada keadaan tertentu.

Nik Aziz bagaimanapun enggan mengulas mengenai kenyataan Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham yang mempersoalkan perhimpunan membantah filem itu Jumaat ini. -Sinar Harian.

"Jangan Jadikan Saya Anti-Islam" - Ngeh

“Jangan jadikan saya seolah-olah anti-Islam." Demikian penjelasan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berhubung kenyataannya di Twitter yang dikatakan tidak sensitif terhadap perasaan umat Islam.

Koo Ham ketika dihubungi Sinar Harian berkata, kenyataan yang turut dipaparkan di Facebook itu tidak menjurus kepada penghinaan terhadap perjuangan umat Islam di negara ini yang menentang penyebaran filem Innocence of Muslims.

Sebaliknya menurut beliau, ia hanya sebuah mesej yang mahu orang ramai berfikir sama ada masa dan tenaga yang digunakan untuk bantahan berkenaan memadai atau tidak.

“Secara jujurnya saya sendiri mengecam keras penyebaran video ini, cuma apa yang saya mahu nyatakan, adakah reaksi dan bantahan yang ditunjukkan di seluruh dunia suatu reaksi yang seimbang bagi menentang seorang lelaki.

“Ia hanya suatu pertanyaan kerana bagi saya, masa dan tenaga yang ‘terhimpun’ seluruh dunia ini sebenarnya boleh digunakan untuk perkara lain yang bermanfaat,” katanya yang merujuk kepada kesan kecaman termasuk kes pembunuhan Duta Amerika Syarikat (AS) ke Libya, Christopher Stevens yang terbunuh di Benghazi akibat ditembak, baru-baru ini.

Mengulas mengenai cadangan penyertaan Pas bersama Umno dalam bantahan aman di Kedutaan AS di Malaysia, Jumaat ini, Koo Ham berkata, pihaknya menghormati tindakan berkenaan.

“Jika mereka merasakan ia satu keperluan, kita hormati tindakan itu, saya tidak mempunyai sebarang bantahan sekiranya mereka berhasrat untuk bergabung demi Islam,” kata Ahli Parlimen Beruas ini.

Menteri Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam reaksinya kenyataan itu sebagai satu provokasi yang tidak sensitif terhadap perasaan umat Islam yang marah dan terhina dengan filem yang mempersendakan Nabi Muhammad SAW.

“Sepatutnya dia (Koo Ham) berkongsi bersama apa yang ditanggung, bukan mengeluarkan kenyataan sedemikian. Dia mungkin akan kata dia hanya bertanya, tetapi soalan dia amat provokatif sekali,” katanya.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sitiawan itu tidak sepatutnya mempersoalkan tindakan orang Islam kerana apa yang dilakukan adalah tindak balas semula jadi.

“Dia seharusnya berhati-hati jika hendak buat kenyataan, jangan sampai menyinggung perasaan umat Islam,” katanya.

Tuesday 18 September 2012

'Innocence Of Muslims' Masih Boleh Ditonton Di Youtube

KUALA LUMPUR – Filem Innocence Of Muslims masih boleh ditonton di Youtube kerana hanya versi rasmi yang disekat setakat ini.

Ini memperlihatkan seolah-olah tidak ada kesungguhan di pihak Google atau Youtube untuk memastikan filem itu tidak ditonton di negara ini.

Tinjauan Mynewshub mendapati, versi-versi yang dimuat naik pihak lain masih boleh dilayari dan ditontoni seperti biasa.

Keadaan itu menjadikan seolah-olah tidak ada gunanya sebarang sekatan dibuat kerana ia umpama satu ditahan manakala sembilan lagi dilepaskan.

Dalam pada itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) mengutuk sikap yang dipertontonkan oleh pihak Google.

Malah Presidennya, Datuk Ibrahim Ali mahukan agar Google bukan sekadar menghalang penyiaran klip berkenaan di negara ini, tetapi di seluruh dunia.

Kata beliau, kebebasan bersuara tidak mungkin lebih penting daripada perasaan umat Islam di serata dunia yang dihina melalui filem terbabit.

“Perkasa memohon tindakan diambil tanpa menunggu lebih lama sebelum masyarakat Islam yang sedang marah mengambil tindakan membelakangi undang-undang,” katanya melalui sistem pesanan ringkas (SMS) di sini hari ini.

Beliau berkata, jika pemilik Youtube gagal bertindak, maka pihak itu juga perlu berhadapan dengan perasaan sakit hati masyarakat Islam di seluruh dunia.

Keadaan yang berlaku juga agak berbeza dengan kenyataan Google Malaysia yang kononnya menyekat akses laman YouTube klip video kontroversi ‘Innocence of Muslims’ sebagai respons kepada aduan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Filem arahan Sam Bacile, 52, dari California, yang disiar dalam laman YouTube telah mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Dua hari lepas, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata Malaysia akan menyekat penyiaran filem itu yang jelas menghina agama Islam.

Rais dipetik sebagai berkata beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk berunding terus dengan pihak berkuasa lain supaya tidak membenarkan akses kepada paparan itu sama ada melalui YouTube atau saluran lain. – Mynewshub

Sunday 16 September 2012

Malaysia Mengalukan Perubahan Yang Tersusun, Terancang Dan Sistematik

SIBU – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata, Malaysia amat mengalu-alukan perubahan tetapi perubahan yang dilakukan secara terancang, tersusun dan sistematik dan bukannya yang bersifat tidak tersusun dan kelam-kabut.

“Kita mahukan perubahan yang boleh membawa perubahan sebenar dan kemajuan sebenar, bukannya yang tidak tersusun dan kelam-kabut,” katanya pada majlis pecah tanah universiti terbaharu di Sarawak, Kolej Universiti Teknologi Sarawak di Old Airport Road di sini. Najib berkata, ada pihak tertentu yang menguar-uarkan kononnya mahu membawa perubahan kepada negara ini pada pilihan raya umum akan datang.

“Semua itu semata-mata untuk meraih undi, mereka sanggup menjanjikan matahari dan bulan dan malahan seluruh sistem galaksi kepada orang ramai.

“Tetapi, sebenarnya kerajaan Barisan Nasional yang sudah berbuat banyak dalam membawa perubahan, dan malahan penduduk di kawasan luar bandar turut menikmati hasil daripada perubahan itu. – Bernama.

Saturday 15 September 2012

Anggota Umno Kelantan Perlu Dengar Nasihat TPM

Anggota Umno di Kelantan perlu mendengar nasihat Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melawat negeri itu semalam, agar tidak terlibat mensabotaj parti pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata nasihat itu perlu dijadikan azimat kepada anggota Umno berjuang habis-habisan bagi memastikan Barisan Nasional (BN) menawan semula negeri itu.

"Ini ingatan kepada semua dan kita tidak ada masa yang banyak memikirkan perkara yang remeh temeh. Pilihan raya ini sangat penting dalam konteks Kelantan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Tanah Merah di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Tanah Merah Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Semalam, Muhyiddin berkata mana-mana anggota Umno yang terbabit dalam mensabotaj parti pada pilihan raya umum ke-13, akan dikenakan tindakan disiplin termasuk dipecat keanggotaan parti serta-merta.

Timbalan Presiden Umno itu berkata parti akan melantik pasukan pemantau bebas yang tiada siapa pun mengetahui individu yang dilantik itu untuk memantau tindakan sabotaj oleh anggota parti.

Sementara itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut meminta semua Umno bahagian di negeri itu melupakan sengketa dalaman, sebaliknya memberikan tumpuan pada pilihan raya umum akan datang.

"Lupakan dendam kesumat yang ada. Eratkan silaturahim dan perkuatkanlah bahagian masing-masing. Kita hanya ada tempoh beberapa bulan sebelum pilihan raya diadakan," katanya.

Beliau berkata paling penting setiap anggota Umno perlu menerima sesiapa sahaja calon yang dipilih pucuk pimpinan parti dan perlu menyokong calon tersebut. - Bernama

Friday 14 September 2012

Gelombang Perubahan Sudah Berlaku Di Kelantan - Muhyiddin

KOTA BHARU - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kini sudah terdapat "gelombang perubahan" di kalangan rakyat Kelantan yang mahu membuat perubahan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). 

Beliau berkata, jika Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak membuat kesilapan, sudah pasti hasrat untuk melihat BN menang di Kelantan pada pilihan raya umum akan datang akan terlaksana walaupun mengakui ia bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai.

"Saya percaya sudah ada gelombang perubahan yang sudah berlaku di Kelantan ini. Kita bukan sahaja mengukur daripada segi kehadiran pada majlis Perdana Menteri dan saya...ramai yang datang.

"Itu salah satu petanda tetapi daripada laporan dari sumber memberitahu sudah berlaku perubahan sikap di kalangan pengundi di Kelantan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kota Baharu dan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat serta Sambutan Mesra Aidilfitri di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, rekod mengenai sikap pengundi di Kelantan ketika ini mendapati mereka sudah bosan dengan apa yang Pas lakukan yang menyebabkan rakyat negeri itu menanggung pelbagai masalah sejak 1990.

"Mereka sedar kerajaan negeri banyak membuat janji tetapi tidak dapat dilaksanakan seperti isu air, perumahan, infrastruktur, binaan masjid dan banyak lagi.

"Sebahagian besar apa yang kita lihat berlaku di Kelantan, kalau ada pun pembangunan itu adalah projek daripada sumbangan kerajaan Persekutuan," katanya.

Sehubungan itu beliau meminta rakyat agar tidak lagi terpedaya dengan janji-janji baharu pembangkang menjelang pilihan raya umum ini yang bertujuan semata-mata untuk membenci Kerajaan Pusat.

Beliau juga meminta tidak ada mana-mana pihak dalam Umno yang cuba bertindak untuk mensabotaj parti dan memberi amaran mereka yang melakukannya akan menerima akibat seperti dipecat. 

Katanya, parti akan melantik pasukan pemantau bebas yang tiada siapa pun mengetahui individu yang dilantik itu untuk memantau tindakan sabotaj oleh anggota parti.

"Kita tahu mana kawasan ada kecenderungan ada sejarahnya begitu, dengan sebab cah keting, kawasan itu sepatutnya menang tetapi kalah kerana sabotaj, kita sudah ada rekod.

"Saya nak beritahu kepada semua ahli parti bukan sahaja Umno tetapi BN dan semua pemimpin BN pun sepakat tentang soal itu, kalau berlaku dia (semua parti komponen BN) akan ambil tindakan," katanya.

Beliau berkata perbuatan mensabotaj parti tidak boleh dibiarkan berlanjutan kerana pilihan raya umum kali ini adalah sangat penting.

Sementara itu Muhyiddin meminta mana-mana bahagian Umno yang masih belum membuat persiapan sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya umum ini agar bertindak segera kerana masih mempunyai masa. - Bernama

Thursday 13 September 2012

Saiful Bukhari Bidas Anwar Kerana Tarik Balik Saman

Wah lama tak dengar cerita Saiful Bukhari Azlan ni.

Tetapi baru-baru ini dia telah mengemaskini entry terbaru di dalam blognya itu.

Ia sebagai memberi reaksi kepada keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik barik saman yang dibuat ke atas dirinya.

Lain macam…orang lain kalau saman ditarik pasti gembira, tetapi Saiful Bukhari nampaknya mempunyai pandangan dan pendirian yang berbeza.

Nak tahu reaksinya?

Kita baca coretan beliau.

Assalamualaikum & Salam Sejahtera.

Pada 30hb Jun 2008, iaitu 2 hari setelah saya membuat laporan polis bahawa diri saya diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim , beliau telah memfailkan saman fitnah ke atas saya atas dakwaan kononnya saya telah membuat satu laporan palsu.

Namun setelah 4 tahun, dan berulang kali ia dilengah dan ditangguh, semalam, beliau menarik balik saman ke atas saya, dengan alasan namanya sudah bersih. Sebenarnya dari awal lagi, saya amat bersetuju jika kes saman ini diteruskan, kerana ia dapat memperlihatkan kebenaran pada semua.

Pada pendapat saya, beliau dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi hanya disebabkan faktor-faktor teknikal.

Ini kerana didalam penghakiman penuh, saya percaya bahawa kredibiliti dan keterangan saya adalah “intact”.

Saya juga percaya bahawa bagi mana-mana perbicaraan saman sivil, plantif (dalam kes ini adalah DSAI) pada kebiasaannya perlu memberikan keterangan secara BERSUMPAH dari kandang saksi untuk disoal balas oleh pihak defendan.

Adakah keadaan ini yang membuat beliau gusar dan takut?

Kebiasaannya, setiap langkah beliau ada muslihat di sebaliknya. Semoga saya terus dibawah bimbingan dan perlindunganNya.

Apapun saya telah lama bersedia dan tidak gentar. Jauh sekali berganjak dari apa yang saya perjuangkan selama ini.

Yang pasti, saya akan terus berdoa, Istiqamah dan sabar.

Berani kerana benar.

(dipetik dari http://mohdsaifulbukhari.blogspot.com/)

Mangsa Ragut Ditetak Harap Peragut Dapat Balasan Setimpal

KOTA BHARU – Mangsa ragut, Rohairani Abdullah @ Ibrahim mengharapkan penjenayah terbabit mendapat balasan setimpal dengan kecederaan dialami.

Rohairani berkata demikian susulan penahan dua suspek yang dipercayai terlibat meragut beg tangannya di Jalan Sultanah Zainab, di sini, 30 Ogos lalu.

“Saya bersyukur suspek sudah ditahan polis. Saya harap mereka dapat balasan sama dengan kecederaan pada tangan saya ini. Jangan pula perkara sama berlaku kepada orang lain,” katanya.

Mangsa yang juga pembantu klinik hampir putus pergelangan tangan kiri selepas ditetak menggunakan parang dalam kejadian itu.

Dia yang masih trauma berkata, selepas kejadian tersebut, dia sudah tidak lagi membawa beg tangan jika keluar ke mana-mana.

“Semasa lalu di tempat kejadian, saya masih lagi dapat merasai kejadian itu dan saya juga takut untuk berjalan sendirian,” katanya.

Rohairani bagaimanapun bersyukur sudah dapat mengerakkan bahagian depan jarinya walaupun masih berbalut dan berulang-alik mendapatkan rawatan di hospital.

Dalam pada itu, Polis Kelantan berjaya menahan dua suspek bersama beberapa senjata yang digunakan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, setakat ini kedua-dua suspek masih dalam tahanan pihak polis.

“Saya percaya dalam masa terdekat, laporan akan dikemukakan kepada ketua polis negeri untuk tindakan selanjutnya. Kita percaya dapat menangkap orang yang bertanggungjawab ke atas jenayah yang dilakukan itu dan mereka akan menerima hukuman setimpal,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Ismail turut memuji kecekapan dan tindakan Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berhubung kes terbabit, yang berjaya menahan suspek hanya dalam masa dua minggu.

“Saya sudah mengarahkan Ketua Polis Kelantan mengambil inisiatif berlanjutan untuk mengesan kalau ada kawan suspek yang juga terlibat dalam kes seumpama itu.

“Ini bagi menyelesaikan perkara seumpama itu dari terus menghantui masyarakat di Kota Bharu khususnya dan mengambil tindakan susulan bagi menambahkan kawalan di sekitar bandar,” katanya.

Beliau berharap, perkara ini dapat tangani dan mengharapkan kerjasama orang ramai supaya dapat mengawal jenayah setempat.

Sementara itu, belia turut memuji tindakan Kontinjen Polis Kelantan yang turut menempatkan anggota wanita di sekitar kawasan membeli belah bagi mengurangkan kadar jenayah ragut. “Saya akan serah cadangan susulan berhubung perkara ini untuk dilaksanakan diperluaskan kepada daerah-daerah lain melalui ketua polis negeri dan ketua polis daerah untuk dinilai,” katanya. -Sinar Harian.

Wednesday 12 September 2012

Peniaga Sanggup Jual Ubat Perangsang Di Tapak Ceramah Dataran Ilmu

KOTA BHARU - Menggunakan helah bagi mendekati masyarakat di kawasan yang menjadi tumpuan ramai, peniaga ubat perangsang seks sanggup menjual barangan itu di sekitar kawasan gerai berhampiran tapak Kuliah Pagi di Dataran Ilmu, di sini, bagi meraih keuntungan.

Walaupun pernah ditahan dan dikenakan kompaun akibat tindakan mereka itu, peniaga barangan ini masih tidak serik dan melakukan aktiviti jualan ubat berkenaan di kawasan terbabit, ekoran permintaan di pasaran yang amat menggalakkan.

Atas risikan dan maklumat orang awam, tindakan lelaki berusia 50-an itu, berjaya ditumpaskan dalam serbuan yang dilakukan sepasukan Pegawai Penguat kuasa Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar raya Islam (MPKB-BRI), di kawasan tersebut.

Dalam operasi itu, mereka berjaya merampas 11 ubat rangsangan seks pelbagai jenis yang bernilai RM6,330.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Ahmad Razin Ahmad Maher berkata, serbuan dilakukan di kaki lima di sekitar kawasan kuliah berkenaan, dan semasa serbuan dilakukan peniaga itu sedang aktif menjalankan aktiviti jual beli.

“Kami bertindak tegas terhadap mana-mana peniaga yang masih degil dan tetap menjalankan perniagaan ini yang mengundang imej buruk kepada negeri Kelantan.

“Ia merupakan satu kesalahan di bawah peraturan 7 (1) (a) Peraturan Kawalan dadah dan Kosmetik 1984 dan kesalahan boleh dihukum di bawah seksyen 12 (1) Akta Jualan Dadah 1952 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM 25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di sini semalam.

Ahmad Razin berkata, mereka yang terbabit dalam kegiatan itu juga boleh didakwa atas kesalahan memiliki racun berjadual yang mengandungi Sildenafil tanpa memiliki lesen yang sah dikeluarkan oleh Akta Racun 1952 (Disemak 1989) iaitu menyalahi Seksyen 13(a) Akta Racun 1952 (Disemak 1989) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 32 (2) akta yang sama, dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM 5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata, setakat tahun ini sehingga semalam, jabatannya berjaya merampas pelbagai jenis ubat perangsang seks dalam serbuan yang dijalankan di kawasan kaki lima, di sekitar bandar ini dengan nilai rampasan berjumlah RM39,455.

Rampasan terbabit, dilakukan beberapa lokasi di bandar ini, termasuk di kawasan tapak ceramah berkenaan selain di sekitar Wakaf Che Yeh.

“Kesemua barangan yang dirampas, ditahan dan disimpan di cawangan Penguat kuasa Farmasi Jabatan Kesihatan untuk siasatan lanjut dan seterusnya untuk tindakan pendakwaan di mahkamah,” katanya. -Sinar Harian.

Nik Aziz Ulangi Mahu Adakan PRU Serentak

KOTA BHARU – Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada Selasa mengulangi pendirian PAS Kelantan sama sekali tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara berasingan untuk membolehkan pilihan raya umum diadakan.

Sebaliknya Mursyidul Am PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan itu berkata pembubaran DUN akan diadakan serentak dengan kerajaan pusat sebaik sahaja Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membubarkan Parlimen.

“Tidak..tidak..tidak (untuk membubarkan DUN sendirian), kita buat serentak dengan Pusat,” katanya ringkas kepada pemberita di pejabatnya di sini. – Bernama.

Tuesday 11 September 2012

8-9 Oktober Ditetapkan Perbicaraan Saman Tengku Muhammad Fakhry Terhadap Polis

Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 8 dan 9 Oktober tarikh perbicaraan adinda Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, yang menyaman Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan tiga yang lain berhubung dakwaan kesilapan menahan beliau pada Ogos 2009.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof menetapkan tarikh itu dalam kamarnya pada Selasa.

Plaintif memfailkan saman RM150 juta itu pada 9 Dis tahun lepas menamakan Ismail, ketua pengawal peribadi Sultan Kelantan, ASP Norazman Ismail, Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi dan Polis Diraja Malaysia sebagai penama pertama hingga keempat.

Dalam penyata tuntutannya Tengku Muhammad Fakhry mendakwa beliau ditahan secara silap pada 30 Ogos 2009 di kawasan Istana Mahkota Kubang Kerian semasa memandu sebuah kereta jenis Bentley Brooklands.

Tengku Muhammad Fakhry mendakwa beliau memandu kenderaan itu atas arahan Sultan Ismail Petra untuk dihantar ke Singapura, tetapi ditegah berbuat demikian oleh kakitangan polis yang menutup pintu istana atas perintah defendan kedua dan ketiga.

Plaintif mendakwa kakitangan polis menahannya selama satu jam sebelum membenarkannya keluar daripada istana tetapi tanpa kereta.

Merujuk kepada penahanan tersebut sebagai berniat jahat (mala fide) dan salah di segi undang-undang, beliau menuntut ganti rugi am RM100 juta, RM50 jutaganti rugi buruk serta contoh, faedah pada kadar empat peratus, kos dan lain-lainnya. - Bernama.

Pemimpin Umno Baik Pulih Masjid, Penduduk Ugut Mahu Pulau Solat Jumaat

KUALA KRAI - Tindakan segelintir penduduk ‘mengugut’ untuk memulaukan solat Jumaat di Masjid Mukim Bedal, dekat sini, hanya kerana sekeping kain rentang projek pembangunan masjid itu disifatkan sebagai keterlaluan dan tidak mengenang budi pemberi sumbangan.

Difahamkan, ugutan disuarakan kepada Imam Tua masjid itu, Mohd Din Ismail sebelum dimaklumkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mukim Bedal, Badaruddin Taharim.

Susulan itu, kain rentang tertera ‘Alhamdulillah, Satu Projek Amal Jariah Menaiktaraf Masjid Hasil Usaha Penyelaras Dun (Dewan Undangan Negeri) Mengkebang, Azizzuddin Hussein’ yang sebelum ini dipasang di pagar masjid itu, dipindahkan ke seberang jalan.

Seorang penduduk tidak bersetuju dengan tindakan itu berkata, dia yakin majoriti penduduk sependapat dengannya kerana ugutan tersebut menggambarkan seolah-olah mereka tidak pandai berterima kasih kepada penderma.

“Sebelum ini, penduduk mengadu masalah ruang solat masjid ini tidak cukup untuk solat Jumaat dan solat sunat hari raya tetapi bila ada pihak sudi bantu hulur sumbangan, begini pula balasannya.

“Saya percaya, ugutan ini timbul sebab ada pihak kurang senang dengan projek ini dan kemungkinan besar ada kaitan dengan unsur politik kerana dilaksanakan pemimpin Umno (Azizzuddin),” katanya yang enggan dikenali kepada Sinar Harian.

Kain rentang itu mula dipasang sebaik sahaja kerja menyiapkan tapak projek melebarkan masjid berkenaan dimulakan pada 28 Ogos lalu dan dijangka siap sepenuhnya dalam masa sebulan.

Azizzuddin meluluskan peruntukan bagi melebar ruang solat dan bina tempat wuduk baru selepas dimaklumkan Mohd Din mengenai masalah ruang solat masjid itu tidak cukup bagi menampung jemaah pada Jumaat dan hari raya.

Penduduk itu berkata, dia tidak faham kenapa ugutan itu timbul sedangkan kain rentang berkenaan langsung tidak mengganggu jemaah beribadah kerana terletak berhampiran pintu pagar masjid.

“Ugutan ini tidak timbul jika penduduk terbabit ada sikap berterima kasih dan mengenang jasa baik pihak yang ingin bantu selesaikan masalah jemaah masjid ini.

“Islam pun ajar kita supaya sentiasa bersyukur dan berterima kasih tetapi apa pertimbangan penduduk terbabit bila sanggup ugut nak pulau solat Jumaat hanya kerana kain rentang papar gambar penderma di pagar masjid,” katanya. Sinar Harian.

Monday 10 September 2012

3 Petang Jadi PM – Punyalah Sombong Anwar Ibrahim

Satu keinginan yang semua orang tahu tentang Anwar Ibrahim…..bukan keinginan yang itu la….tapi kemaruk sangat nak jadi Perdana Menteri (PM).

Dalam perjalanan politik Anwar yang awal, ramai menyangkakan dia akan memilih PAS sebagai platform perjuangan.

Namun, mana ada peluang nak jadi PM melalui PAS terutama pada tahun 70-an.

Bukan rakyat yang ada di fikiran Anwar pun, tapi jawatan PM itu yang diimpikan siang dan malam.

Maka Anwar mengambil langkah mengejut ketika itu dengan memilih UMNO.

Untuk puluhan tahun, UMNO itu harum semerbak dan ‘undi PAS dapat kopiah aje” (Antara baris ayat Anwar).

Pada asalnya, perancangan Anwar hampir berjaya apabila cuma tinggal selangkah lagi ke arah mencapai impian seumur hidupnya apabila dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Namun, pasal tidak sabar dan akhlak buruk, maka satu langkah itu tetiba berubah menjadi ratusan langkah. Terpaksa gostan ke belakang balik.

Semuanya nampak sudah kelam dan musnah pada satu peringkat untuk Anwar Ibrahim.

Namun, selepas pilihan raya umum (PRU) ke-12 lalu, secara tiba-tiba ternampak seolah-olah langkah itu kembali hampir dekat.

Marah rakyat pada gaya pentadbiran Tun Abdullah Badawi berada pada peringkat luar kawalan dan buat pertama kalinya, Barisan Nasional (BN) kehilangan mandat duapertiga dalam Parlimen.

Dan sejak pada itu, Anwar berazam tidak mahu toleh ke belakang. Anwar yakin, PRU-13 ada dalam gengamannya.

Cuma itulah, kadang-kala terlalu yakin itu pun tak baik untuk kesihatan sebenarnya.

Disebabkan keyakinan yang tak tentu hala, maka mula timbul rasa sombong dan bongkak.

Mula keluar kenyataan-kenyataan yang rasanya nak muntah hijau dua tiga baldi bila dengar.

Ketika berucap di Taman Kosas, Ampang baru-baru ini, Anwar telah berkata;

“Jam 2.30 petang, saya akan hubungi Tan Sri SPR, (dan berkata) Tan Sri, saya dah dapat keputusan. Saya bagi peluang setengah jam, umum cara teratur dan telus. Kalau tidak, kita ambil tindakan serta-merta kepada seluruh pihak SPR,” tambahnya.
Pertama sekali, Anwar ni tuhan ke yang dia tahun dia sudah pasti jadi PM?

Keduanya, saluran mengundi pun ditutup pukul 5 petang selalunya, takkan pukul 3 dah nak kena umum Anwar jadi PM?

Sombong bongkak dan penuh dengan unsur ugutan (jangan bodyguard cabut pistol pukul 3 petang sudah la….)

Kepada Anwar Ibrahim…sabarlah yea…

Jangan terlalu yakin dan jangan terlalu sombong.

Undi itu di tangan rakyat dan takdir itu Allah SWT yang tentukan.
Kalau anda layak…layaklah…

Kalau tidak…terimalah….tapi tak perlulah terlalu sombong bila bercakap….

Ingat…bukan semua orang suka dengan anda sebenarnya. Dengar kata, ramai dalam PAS sendiri kurang senang dengan sikap anda yang hanya memandang ke arah parti itu selepas ditendang keluar dari UMNO. - Mynewshub.