Sunday 4 September 2011

LEBUHRAYA - AWANG ADEK BERTEMBUNG MUSTAPA

Dewan Pemuda PAS Kelantan menyifatkan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin bahawa kerajaan Kelantan berkemungkinan besar tidak akan mampu menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya selama-lamanya sebagai satu kenyataan yang berninat jahat dan dangkal serta bernada sumbang.

Ketuanya, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, kenyatan itu juga membayangkan seolah-olah beliau begitu jahil dengan tanggungjawab kerajaan Pusat dalam menyediakan kemudahan lebuh raya di negeri-negeri di seluruh Malaysia.

“Saya juga ingin melahirkan rasa kesal di atas kenyataan tersebut yang disiarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia, 3 September 2011 yang antara lain turut menyatakan bahawa kerajaan PAS Kelantan telah diberi peluang selama 21 tahun untuk menyelesaikan masalah kesesakan namun gagal untuk mencari jalan penyelesaian.

“Adakah Awang Adek baru tersedar dari tidur atau sengaja mencari pertembungan dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan dalam isu ini, wallahualam,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Beliau juga bertanya sedarkah Awang Adek bahawa pada 1 September 2011, Utusan Malaysia selaku lidah rasmi Umno sendiri di halaman 6 menyiarkan kenyataan Datuk Seri Mustapa Mohamed, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan yang tegas menyatakan bahawa kerajaan Kelantan tidak akan mampu membina lebuhraya kerana pembinaan lebuhraya ialah tanggungjawab kerajaan Pusat.

Katanya, jika Awang Adek terlupa untuk membelek akhbar pada hari tersebut, boleh perturunkan kembali kata-kata Mustapha yang antara lain menyebut, “Ini (membina jalan utama) tanggungjawab kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Pas Kelantan tidak mampu untuk membina kecuali dengan bantuan pihak swasta. Jumlah RM2 bilion sangat besar, tidak mampu jika dibandingkan dengan pendapatan kerajaan negeri…”

Soal beliau, bukankah kenyataan itu jelas menunjukkan pengakuan Mustapha sendiri bahawa pembinaan lebuhraya ini bukan merupakan tanggungjawab kerajaan negeri.

Katanya, cuma kerajaan negeri terpaksa mengambil alih apabila pihak yang sepatutnya bertanggungjawab iaitu kerajaan Pusat nampaknya tidak berminat untuk membela nasib rakyat Kelantan yang majoritinya ialah orang Melayu.

Dalam hal itu, beliau mencabar Awang Adek untuk menyebut mana satukah negeri di Malaysia yang membina lebuhraya tanpa apa-apa bantuan dari kerajaan Pusat.

Beliau yang juga Adun Mengkebang sepenuhnya yakin jika Umno yang berkuasa di negeri Kelantan, bukan setakat membina lebuhraya, untuk menyelaras projek kecil-kecilan di peringkat kampung pun akan berlaku pertembungan kepentingan pelbagai pihak demi mengaut keuntungan mudah.

Justeru, beliau berharap Awang Adek lebih berhati-hati untuk mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana kedangkalan seseorang itu bukanlah diukur melalui tinggi rendahnya pangkat tetapi pada betul tidaknya fakta yang diberikan.

“Jangan Awang Adek sangka keterlanjurannya dalam isu judi bola sepak pada tahun lepas sudah dilupakan oleh rakyat Kelantan. Ditambah pula dengan kenyataan dangkal seperti ini, semakin kuranglah markah untuk menjadi ‘bakal Menteri Besar Kelantan’ sekali lagi,” ujarnya lagi. -Harakah Daily.