Friday 31 August 2012

Bendera Malaysia Di Ubah Menjadi Bendera Republik Malaysia?? Setujukah Anda??

Persoalan mudah…perlukah bendera negara kita diubah?

Mengapa ia perlu diubah?


Apakah hanya kerana ada persamaan dengan bendera Amerika Syarikat maka ia perlu diubah?

Bacalah…lihatlah…baru bercakap.
Ada puluhan negara dengan bendera yang hampir sama di dunia ini.

Jangan kata hampir sama….ada yang tidak boleh dibezakan langsung seperti bendera Chad dan Romania.

Buta ilmu dan buta mata kah segelintir rakyat negara ini?

Adakah ia perlu diubah kerana pemimpin DAP seperti ADUN Kota Alam Shah, M. Manoharan mahukan ia dibuat demikian?

Apakah perubahan itu bermakna dasar dan kontrak sosial kita juga akan diubah pemimpin DAP dan pakatan mereka?

Apakah kita perlu berpolitik sehingga jati diri dan maruah negara digadaikan?

Selain bendera, apakah lagi yang mahu diubah?

Bukankah bendera harus dipertahankan. Dalam perang zaman dahulu, gugurnya seorang pemegang bendera, maka tentera terdekat perlu berlari memegang bendera pasukannya….kerana bendera itu secara tidak langsung mendukung maruah negara dan pasukannya…ia tidak boleh jatuh ke bumi.

Di sini, kita mahu ubah kerana sudah terlalu kemaruk mahu berkuasa! -Mynewshub.

Thursday 30 August 2012

Suami Pertikai Jantina Isteri Permohonan Di Tolak Mahkamah

Usahawan Produk Kecantikan, yang menjadi perhatian media selepas jantinaya dipertikai suami, Sri Wani Choo Abdullah bersyukur dan gembira selepas Mahkamah Tinggi Syariah membatalkan kesemua empat permohonan yang difailkan suaminya, Professor Dr Baharom Sanugi di sini, semalam.

Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan membatalkan empat permohonan bekas Dekan sebuah Instutusi Pengajian Tinggi Awam itu termasuk permohonan faraq nikah (dipisahkan perkahwinan) dan perintah mahkamah agar Sri Wani menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) selepas meragui jantina sebenar wanita terbabit.

Mahkamah turut menolak permohonan komital (pemenjaraan) dan perintah menegah Sri Wani daripada mengeluarkan kenyataan kepada pihak media yang difailkan oleh Bahrom sebelum ini.

Berikutan itu, mahkamah mengarahkan Baharom untuk membayar kos kepada plaintif sebnyak RM3,000 bagi setiap kes yang difailkan kerana telah membuang masa dan kos plaintif, yang perlu diselesaikan dalam tempoh satu bulan dari kes itu dibacakan.

Abdul Walid berkata, keputusan tersebut dibuat selepas meneliti afidavit permohonan yang difailkan Sri Wani yang memohon untuk menggantung semua prosiding mahkamah kerana Baharom bukan seorang permastautin tetap dalam Wilayah Persekutuan.

“Responden telah gagal memberikan bantahan dan menyerahkan affidavit kepada mahkamah walaupun mahkamah telah memberikan tempoh yang mencukupi kepada pihak responden,” katanya.

Abdul Walid berkata, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes yang difailkan pemohon, sekali gus membatalkan keempat-empat permohonan Baharom.

Hakim turut menolak apabila peguam Baharom cuba membantah keputusan berkenaan, dan meminta mereka membuat rayuan dalam tempoh 14 hari sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan itu sambil menyifatkan pihak responden tidak serius dalam kes berkenaan.

Sementara itu, Baharom yang diwakili peguam Muhammad Hafiz Ab Rashid terdahulu memberitahu mahkamah, alamat yang digunakan anak guamnya di Taman Datuk Senu sememangnya bukan bukan rumah miliknya, sebaliknya Baharom hanya menyewa salah sebuah bilik di rumah itu.

Pada 6 Julai lalu, Sri Wani memfailkan permohonan di Mahkamah tersebut untuk menggantung prosiding perbicaraan dan soal balas permohonan komital bekas Dekan Profesor Dr Baharom Sanugi terhadap isterinya, Sri Wani Choo Abdullah sehingga mendapat keputusan sama ada kuasa mahkamah mendengar kes pasangan itu atau sebaliknya.

Isu bidang kuasa mahkamah ditimbulkan Sri Wani pada prosiding sebelum ini kerana dia mendakwa suaminya menipu alamat penyampaian di Kuala Lumpur dalam semua dokumen kes itu, sedangkan alamat sebenar adalah di Batu Caves.

Baharom Sanugi, 61, mengesyaki Sri Wani lelaki, telah memfailkan permohonan membatalkan perkahwinan selepas setahun mengahwini isteri ketiganya itu, seorang pengusaha produk kecantikan, yang memeluk Islam pada 2001.

Pasangan tersebut bernikah pada 19 Ogos 2009 di Songkhla, Thailand dan mendapatkan sijil nikah di Kedah.

Sementara itu, Sri Wani, yang ditemani peguam Boestamam Ahmad, ketika ditemui media menyatakan kesyukuran kepada ALLAH SWT dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan kepadanya selama ini.

“Segala hinaan selama ini saya telan, walapun sangat pahit untuk saya lalui. Alhamdulillah hari ini saya bebas kerana ALLAH masih sayangkan saya.

Selama ini saya terpaksa menutup mulut dapada memberi sebarang kenyataan kepada pihak media, kerana saya dalam injunksi mahkamah, hari ini saya bebas. Hanya Allah balas jasa baik semua,”katanya.

Turut hadir peguam Sri Wani, Ahmad Izuddin Fakhrullah dan wakil Sukaguam, Nur Hafidzah Mohd. Yusuff.

Insiden Pergaduhan Obinna, Pengurus Kelantan Serah Kepada Polis

PENGURUS pasukan Kelantan, Azman Ibrahim menyerahkan kepada polis menjalankan siasatan berkenan dengan insiden pergaduhan melibatkan pemain importnya, Obinna Nwaneri di Shah Alam, kelmarin.

Katanya, oleh kerana perkara berkenaan disiasat polis, ia wajar diserahkan kepada pihak berkuasa.

"Perkara ini sudah dilaporkan ke pihak polis, dan masih dalam siasatan, jadi kita tunggu keputusan selanjutnya," kata Azman ketika dihubungi Sinar Harian Online hari ini.

Laporan media menyebut Nwaneri dipanggil polis kelmarin untuk memberi keterangan polis berhubung insiden pergaduhan dengan pengurus syarikat sebuah pasar raya di Plaza Masalam di sini.

Dia dikatakan berang sebelum bertindak kasar terhadap pengurus pasar raya berkenaan.

Pemain itu menyumbangkan gol penyamana kepada Kelantan ketika menentang ATM di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) malam tadi.

Kedua-dua pasukan mengakhiri perlawanan dengan keputusan seri 1-1. Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, mangsa dan pemain bola sepak sudah dipanggil untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan.

Wednesday 29 August 2012

Muhdalena Hadir Di Mahkamah Pakai Topeng Power Rangers

PUTRAJAYA - Wanita yang terlibat dalam kejadian amuk di Jabatan Perdana Menteri (JPM) awal Julai lalu memakai topeng 'Power Rangers' warna merah bagi mengelak wajahnya dirakam media selepas selesai sebutan kesnya di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Muhdalena Ahmad dilihat hadir ke mahkamah berbaju dan bertudung merah, ditemani bapanya, sempat menunjukkan isyarat keamanan ketika wajahnya cuba dirakam media.

Pada prosiding hari ini, mahkamah mengarahkan wanita itu, melantik peguam secepat mungkin.

Hakim Mohd Kafli Che Ali berkata, mahkamah memberi tempoh dalam masa satu bulan untuk dia melantik peguam supaya semua isu berkaitan dokumen-dokumen kes itu boleh diselesaikan sebelum tarikh bicara ditetapkan.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 12 September depan untuk pengurusan kes berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nor Mazrah Ahmad Din berkata, tertuduh perlu melantik peguam dan menyelesaikan segera perkara-perkara yang dipersetujui antara pihak pendakwaan dengan tertuduh sebelum perbicaraan.

Menurutnya, terdapat pindaan dalam kanun prosedur jenayah yang menyatakan, kes perbicaraan perlu dilaksanakan dalam tempoh 90 hari dari tarikh didakwa.

Pada 19 Julai lalu, Muhdalena Ahmad, 28, mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan iaitu mengugut polis dan membawa pedang.

Prosiding pendakwaan ketika itu terpaksa dijalankan di Hospital Putrajaya kerana dia sedang dirawat selepas cedera dalam kejadian amuk berkenaan.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut mendatangkan cedera parah kepada seorang anggota polis Ridzuan Megat Ahmad manakala bagi tuduhan kedua, dia didakwa membawa sebilah pedang.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Kompleks B, JPM, Presint 1, Putrajaya kira-kira pukul 2.30 petang, 9 Julai lalu.

Kesalahan pertama didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dia diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Pada kejadian tersebut, dia bersama dengan Khalil Afandi Hamid, 47, mengamuk di pekarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya kira-kira jam 2.30 petang, namun Khalil mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari, manakala Muhdalena turut terkena tembakan di paha kanan.

Bukit Aman Nafi Manipulasi Data Jenayah

Bukit Aman menafikan wujud unsur manipulasi terhadap data jenayah diumumkan sebelum ini semata-mata bagi menunjukkan penurunan indeks jenayah di seluruh negara.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam), Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf, berkata laporan itu telus, malah penyediaannya melalui proses rapi bagi memastikan ketepatan maklumat, terutama perangkaan dipaparkan.
“Kita tiada sebab mahu mengubah suai laporan itu, tiada apa-apa cuba disembunyikan daripada rakyat.

“Hasil siasatan juga tidak menemui sebarang bukti menunjukkan berlaku pengubahsuaian pada indeks jenayah itu,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Beliau mengulas dakwaan penulis surat layang yang menggunakan identiti samaran, Sumun Osram, 22 Ogos lalu, kononnya data jenayah dimanipulasi bagi menampakkan kadar jenayah di negara ini menurun.

Ramli berkata, pihaknya sentiasa berusaha menambah baik mutu perkhidmatan pasukan, termasuk melancarkan Sistem Pemantauan Laporan Atas Talian BETA (BETA - ORTS) menjelang akhir tahun ini.

“Ia akan memudahkan setiap laporan dibuat diklasifikasi mengikut kategori ditetapkan, termasuk jenis jenayah dan akta digunakan untuk siasatan, sekali gus meningkatkan lagi ketepatan proses perangkaan kes jenayah,” katanya.-Berita Harian

Maik Sahkan Teks Khutbah Bebas Pengaruh Politik

Teks khutbah yang dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) bebas daripada pengaruh mana-mana parti politik.

Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Kamaruddin Mohd Zin menegaskan, penghasilan teks khutbah itu melibatkan penglibatan ulama dan golongan berkelayakan dalam bidang agama sahaja tanpa terikat dengan kepentingan individu tertentu.

Menurutnya, isi kandungan khutbah dirangka Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad sebagai Pengerusi Panel bersama beberapa panel lain seperti Timbalan Mufti, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Datuk Che Mohd Rahim Jusoh.

“Maik tidak terikat dengan mana-mana parti politik mahupun individu yang berpengaruh dalam politik. Kita bebas bergerak sendiri secara terus di bawah Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan.

“Malah isi kandungan teks khutbah sendiri dibuat dengan Mufti Kelantan bersama beberapa panel lain yang alim ulama dan layak dari segi pengetahuan agama,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan yang mengatakan golongan tertentu mempergunakan Maik untuk menyampaikan agenda politik menerusi teks khutbah.

Kamaruddin berkata, dakwaan itu tidak berasas sama sekali tanpa bukti yang kukuh kerana Maik sentiasa melaksanakan tugas mengikut syariat Islam.

Katanya, teks khutbah dikeluarkan Maik berdasarkan isu semasa berlandaskan hukum Islam sebenar tanpa membabitkan pandangan golongan tertentu yang berkepentingan politik.

“Kita menjaga imej sebagai agensi Islam dan isi kandungan khutbah dibuat dengan cara melihat isu-isu semasa seperti perpaduan ataupun masalah denggi yang kemudiannya kita akan mengulas isu itu berdasarkan hukum Islam,” katanya.

Dalam pada itu, Kamaruddin berkata Maik telah pun mengarahkan seluruh imam di negeri ini seramai 560 supaya setiap minggu menggunakan teks khutbah agensi agama itu tanpa apa-apa perubahan dan pindaan.

Katanya, sekiranya terdapat aduan yang mengatakan ada segelintir imam dengan sengaja membuat perubahan pada teks khutbah itu maka Maik akan menjalankan siasatan untuk mengambil tindakan selanjutnya. -Sinar Harian

Tuesday 28 August 2012

Kerajaan Kelantan Kenal Pasti Beberapa Nama Anggota Jawatankuasa Khas Royalti

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mengenal pasti beberapa nama untuk pertimbangan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai anggota jawatankuasa khas royalti yang ditubuhkan oleh Kerajaan Pusat.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagaimanapun berkata, perkara tersebut belum boleh diumumkan kerana masih diperbincangkan diperingkat Kerajaan Negeri.

“Ada dua tiga nama, saya sudah kemukakan kepada pegawai saya untuk diserah kepada Tuanku (Sultan Muhammad V),”katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Graduan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) di sini, hari ini.

Ditanya sama ada Ahli Parlimen Gua Musang, yang juga bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berada dalam salah satu nama yang disenaraikan berada dalam jawatankuasa itu, Nik Aziz hanya tersenyum.

Bulan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas royalti yang mengkaji secara adil isu bayaran tunai petroleum yang melibatkan Kelantan, Pahang dan Terengganu.

Dalam pada itu merujuk kenyataan Ketua Ulama Pas, Datuk Harun Taib yang menegaskan Ahli Parlimen Bachok Nasharudin Mat Isa masih relevan dalam Pas, Nik Aziz berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam Majlis Syura Ulama 9 September ini.

”Doakan kesihatan supaya saya boleh hadir dalam mesyuarat itu,”katanya.

Cari Jalan Laksana Hudud Jika PR Menang PRU 13 - Mat Sabu

PAS akan mencadangkan agar Perlembagaan Persekutuan digubal bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan selepas pembangkang berjaya membentuk kerajaan, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Katanya itu adalah pendirian PAS dan Ahli Parlimen daripada DAP atau parti lain serta Ahli Parlimen bukan Islam boleh mengemukakan bantahan mereka menerusi perbahasan Dewan Rakyat.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu ketika diwawancara akhbar Sin Chew Daily bagaimanapun berkata parti itu tidak mengadakan perbincangan terpeinci mengenainya kerana tindakan lanjut hanya akan dibuat selepas pembangkang mentadbir Kerajaan Pusat.

Kenyataan itu dipetik menerusi laporan muka depan akhbar berkenaan bagi edisi petang Isnin.

Mat Sabu berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung PAS akan mencari jalan menerusi kaedah demokrasi bagi melaksanakan hudud.

Tegasnya hudud hanya boleh dilaksanakan sekiranya mendapat sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat.

“Jika Ahli Parlimen DAP atau yang bukan Islam tidak bersetuju dengan hudud, ia adalah hak mereka untuk berbuat demikian,” katanya.

Menurutnya berdasarkan prinsip Islam jelas menyatakan bahawa tidak boleh memaksa orang bukan Islam untuk mempercayai amalan dan hukum yang terkandung di dalamnya.

Katanya lagi PAS perlu menghormati pandangan sekiranya majoriti Ahli Parlimen tidak bersetuju dengan pindaan itu.

Bagaimanapun ketika dihubungi, Mat Sabu kemudiannya menafikan beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian. –Mstar.

Monday 27 August 2012

Memang Saya Ada Melawat Tun Ghafar Ketika Sakit - Mat Sabu

SHAH ALAM – Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mempertahankan kenyataannya bahawa beliau pernah menziarahi bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba ketika diserang strok.

“Saya menziarah Allahyarham (Tun Ghafar) di rumahnya di Damansara berhampiran dengan bangunan Parlimen beberapa tahun lalu dan ditemani oleh sahabat saya, bekas ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Ahmad Subky Abdul Latif.

“Ketika itu, tidak ada sesiapa di rumah kecuali isteri kedua Allahyarham, Toh Puan Dayang Heryati Abdul Rahim,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyangkal kenyataan anak Tun Ghafar, Datin Zainon Ghafar yang menafikan dakwaan Mohamad ada melakukan lawatan ke rumah bapanya ketika pemimpin itu sedang sakit teruk.

Tambah Mohamad, lawatan tersebut sekadar lawatan biasa kerana Allahyarham Tun Ghafar merupakan seorang negarawan dan pernah bersama-bersama beliau di Parlimen.

“Walaupun kami berbeza parti tetapi kami mempunyai hubungan yang baik,” jelas beliau yang juga bekas Ahli Parlimen.

Ketika diminta mengulas desakan ahli keluarga Allahyarham Tun Ghafar yang mahu beliau menarik balik kenyataannya yang mengatakan bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan menyertai Pas sekiranya masih hidup, sama seperti anaknya Tamrin.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut.

“Kali ini saya perlu berhati-hati sebelum mengulas apa-apa dan saya perlu meneliti kembali rakaman ucapan saya.

“Saya kena tengok dulu macam mana saya kata dan perkataan yang saya gunakan, mungkin ada perkataan ‘dan’ ke, ataupun ‘koma’, itu perlu diteliti,” tegas beliau, yang dipercayai merujuk kepada kontroversi berkenaan kenyataan menyentuh peristiwa Bukit Kepong.

Kes berkaitan sedang didengar di Butterworth.

Kenyataan terbaru didakwa dikeluarkan ketika menyampaikan satu ceramah di Bukit Katil, Melaka pada 12 Ogos lalu, dan kandungan ceramah itu turut disiar di laman blog bertajuk, 'Jika Tun Ghafar umur panjang, dia pun masuk Pas'.

Semalam, menantu Allahyarham Tun Ghafar yang juga Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah berkata, beliau dan keluarga cukup sedih dengan kenyataan itu dan menganggapnya sebagai tidak bertanggungjawab.

Karpal Perlu Selesai Dan Keluarkan Kenyataan Sendiri Isu Nasha - Lim Guan Eng

DAP menyerahkan kepada Pengerusinya, Karpal Singh untuk menyelesaikan isu membabitkan bekas Timbalan Pas, Nasharudin Mat Isa.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, Karpal perlu menyelesaikan dan mengeluarkan kenyataan sendiri mengenai isu itu.

Menurutnya, DAP tidak berhak untuk membuat keputusan berhubung isu melibatkan dua pemimpin Pakatan Rakyat itu.

"Biar dia jawab isu itu. DAP tak boleh jawab.

"Kita tak ada hak nak jawab, bagi Karpal yang buat penyataan sendiri," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Seminggu lalu, Karpal membuat kenyataan mahu memulakan prosiding mahkamah terhadap Nasharudin yang mengeluarkan kenyataan bahawa wakil rakyat itu anti-Islam dan tidak menerima hudud.

Pas pula yakin isu tersebut tidak akan dibawa ke mahkamah.

Nasharudin bertegas sedia jumpa Karpal di mahkamah.

Justeru, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menegaskan perkara itu adalah perkara antara Karpal dan pemimpin tersebut, dan yang berhak mengeluarkan kenyataan adalah Karpal sendiri.

Nasha Tidak Akan Dipecat Dari Pas - Dr. Samsul Adabi

Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa tidak akan dipecat daripada Pas kerana tindakan itu sudah pasti akan mencalarkan imej parti itu terutama ketika menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Samsul Adabi Mamat berkata, Ahli Parlimen Bachok itu masih mempunyai ramai pengikut terutama daripada kelompok golongan sederhana.

“Nasharudin tidak akan dipecat oleh parti. Malah beliau sendiri tidak akan keluar Pas walaupun sehaluan dengan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali,” kata pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang menyerahkan sepenuhnya kepada Majlis Syura bagi menentukan kedudukan Nasharudin dalamparti itu pada 9 September nanti.

Nasharudin sebelum ini menimbulkan kontroversi apabila mencadangkan supaya parti itu keluar daripada pakatan pembangkang jika DAP terus menentang hukum hudud.

Awal minggu lalu, media memaparkan gambar Nasharudin bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada dalam pertemuan dengan tokoh-tokoh ulama di Makkah.

Nasharudin juga sebelum ini pernah dikaitkan dengan usaha ke arah mewujudkan kerajaan perpaduan Umno-Pas.

Mengulas lanjut, Samsul Adabi berkata, Nasharudin hanya akan keluar daripada Pas bergantung kepada tawaran Barisan Nasional (BN) kepadanya.

Sunday 26 August 2012

Majlis Mesra Aidilfitri Umno Kelantan Kira-Kira 10,000 Hadir

KOTA BHARU - Kira-kira 10,000 orang dari seluruh negeri ini hadir memeriahkan Majlis Mesra Aidilfitri anjuran Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan di sini semalam.

Turut hadir menyerikan majlis itu bagi melayan tetamu bertandang seperti Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed,

Timbalannya, Datuk Dr Awang Adek Hussein dan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad. Mustapa dalam ucapannya pada majlis itu berkata, situasi meriah itu menunjukkan perkembangan positif kepada Umno pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kerana rakyat dilihat menginginkan perubahan besar di Kelantan di bawah parti tersebut.

“Majlis hari ini (semalam) saya lihat dipenuhi ramai rakyat seluruh negeri ini dan ini menunjukkan petanda baik rakyat mahukan perubahan di negeri ini.

“Selepas 22 tahun dengan apa yang ada sekarang, kita (Umno) yakin mampu menawarkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat negeri ini termasuk membuat perubahan besar berlaku,” katanya.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, Umno Kelantan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan berusaha gigih menyelesaikan beberapa masalah berbangkit sekiranya iberi peluangmenerajui negeri ini selepaspilihan raya nanti.“Masalah yang timbul di negeri ini seperti tanah, rumah kos rendah dan air , kita (Umno Kelantan) bersama-sama Najib akan cuba selesaikan. Kini sudah tiba masanya rakyat negeri ini fikirkan kena tukar kerajaan yang sedia ada,” katanya.

Selain itu, Mustapa turut membuat ucapan raya termasuk dengan rendah diri memohon maaf di hadapan semua rakyat Kelantan yang menghadiri majlis tersebut tanpa mengira ideologi politik. “Saya minta maaf kepada semua orang yang hadir belaka tidak kira dari parti Pas ataupun Umno,” katanya.

Dalam pada itu, Mustapa menyeru kepada pemimpin Umno Kelantan bekerja keras secara tertib dan berhemah supaya negeri ini dapat jatuh ke dalam genggaman parti tersebut.

“Saya memberi jaminan bahawa Umno akan dapat membuat pembaharuan di negeri ini,” katanya.

Sukan: Kelantan Goyah, Apex Kemalangan

Penjaga gol kebangsaan yang sering dilanda kontroversi, Khairul Fahmi Che Mat (Apex) telah mengalami kecederaan selepas kereta yang dipandunya terbabas.

Kejadian itu berlaku di Kampung Badak, Bachok sekitar jam 12.30 malam tadi.

Lantaran dari kemalangan itu, Apex telah mengalami cedera ringan di tangan kanan.

Pada masa yang sama, dia juga mungkin terlepas peluang untuk membantu skuad Red Warriors dalam pertemuan dengan Kedah dalam saingan Kumpulan B kempen Piala Malaysia pada malam ini.

Punca kemalangan masih belum dikenal pasti.

Sebelum ini, Apex sering dilanda dengan pelbagai kontroversi seperti pengambilan alkohol, pergaulan sosial bersama teman-teman wanita dan pelbagai lagi.

Semoga Apex cepat sembuh dan kembali ke arena bersama skuad Kelantan.

Saturday 25 August 2012

Isu Royalti : Jawatankuasa Khas Petroleum Berkuasa Sepenuhnya

Umno Kelantan akan mempergiatkan penerangan mengenai jawatankuasa khas bagi mengkaji secara adil dan telus isu bayaran tunai hasil petroleum kepada negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Pengerusinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ini kerana terdapat pihak tertentu yang memberi gambaran salah dengan tujuan mengelirukan masyarakat Kelantan berhubung penubuhan jawatankuasa khas tersebut.

"Kita serah kepada jawatankuasa khas ini untuk membuat kajian dan memberi syor kepada kerajaan persekutuan mengenai isu bayaran tunai ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama pemandu kereta sewa/teksi di sini, Sabtu.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata jawatankuasa khas itu akan mengenal pasti negeri yang layak menerima bayaran tunai itu, menentukan kaedah serta jumlah bayaran tunai tersebut kepada negeri berkenaan.

Pada 4 Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas itu yang akan dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai oleh pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.

Sementara itu, Mustapa berkata walaupun Kelantan kini di bawah pentadbiran kerajaan Pas, kerajaan persekutuan tetap membantu memberi pelbagai kemudahan kepada pemandu kereta sewa dan teksi supaya mereka dapat mencari pendapatan dengan selesa dan menawarkan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Katanya, beliau menerima banyak rungutan daripada pemandu kereta sewa dan teksi mengenai kegagalan kerajaan negeri menyediakan kemudahan terbaik kepada mereka termasuk untuk memperbesarkan stesen kereta sewa dan teksi.

Beliau turut meminta mereka membantu memberi penjelasan kepada penumpang mengenai perubahan yang perlu dilakukan di negeri ini supaya pertumbuhan pembangunan yang lembab dapat diatasi. - Bernama

Duta Kecil Kelantan Membantu Memperkenalkan Negeri ke Peringkat Luar

Anak muda Kelantan yang berpeluang melanjutkan pengajian ke luar negara dan dalam negeri merupakan duta kecil Kelantan semasa berada di perantauan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, peluang tersebut seharusnya digunakan sebaik mungkin oleh mereka untuk memperkenalkan Kelantan kepada masyarakat luar.

"Sebagai duta kecil banyak peranan yang boleh dimainkan oleh mereka apabila berada di luar dari negeri ini antaranya memperkenalkan keistimewaan serta menunjukkan sikap yang baik sebagai identiti anak Kelantan di bawah pemerintahan Islam," katanya ketika ditemui di Program Lambaian Menara Gading 2012 (LAMEGA 12) yang diadakan di Kem Kijang, di sini.

Program itu disertai oleh 168 orang anak muda Kelantan yang akan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.

Menurutnya, peluang yang diberikan untuk menuntut ilmu di peringkat tertinggi itu seharusnya digunakan sebaik mungkin dan gunakan ia sebagai cara mengharumkan nama negeri ini.

Abdul Fattah berkata, mereka seharusnya menjadi contoh kepada generasi muda yang lain untuk terus bangkit dan menjadi insan yang berguna bukan sekadar kepada diri sendiri tetapi untuk bangsa dan agama.

Sementara itu, mengulas mengenai program tersebut beliau berkata, program yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama Markaz Siswazah Kelantan (MSK) itu adalah bertujuan untuk mengumpulkan anak muda yang berpeluang melanjutkan pelajaran dan memberi informasi semasa kepada mereka.

"Dengan cara ini kita dapat mengeratkan lagi hubungan mereka walaupun selepas ini akan membawa haluan masing-masing tetapi semangat anak Kelantan itu masih ada. Saya berharap mereka semua akan memberikan yang terbaik dan dapat membantu membangunkan Kelantan pada masa akan datang," katanya. -Sinar harian.

Minta Mufti Jadi Orang Tengah Dalam Perlaksanaan Hudud - Pas Kelantan

Pas Kelantan meminta mufti memainkan peranan dan menggunakan kedudukan mereka dalam membantu menghubungkan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri untuk pelaksanaan hudud di negeri ini.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sekarang ini, Pas sudah mempunyai kelulusan pelaksanaan hudud, cuma atas beberapa sebab, ia terpaksa ditangguhkan.

“Jika mufti boleh menjadi ‘orang tengah’ dan memberi kefahaman dan mendorong setiap pihak berusaha ke arah hudud, Pas amat hargai usaha itu.

“Untuk melakukan perbincangan, ia sebenarnya untuk apa kerana enakmen hudud di Kelantan sudah diluluskan, manakala Umno memang jelas menolak hudud,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Kelmarin Sinar Harian melaporkan Mufti Kelantan, Datuk Shukri Mohamad meminta Kerajaan Pas Kelantan perlu segera berbincang dengan Kerajaan Pusat kaedah melaksanakan hukum hudud di negeri ini.

Mohd Amar berkata, sebelum ini, semasa pemerintahan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Kerajaan Kelantan pernah memaklumkan cadangan hudud kepada Kerajaan Persekutuan, namun Kerajaan Negeri diberi amaran melalui surat.

“Surat itu diserahkan kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz yang memberi amaran, jika hudud dilaksanakan juga, Kerajaan Pusat akan mengambil tindakan dan surat itu masih disimpan sampai sekarang.

“Itu antara sebab kenapa sehingga kini hudud di Kelantan tidak dilaksanakan atau dengan kata lain ia tertangguh, ia sebagai mengelak tindakan dibuat selepas surat amaran dikeluarkan ketika itu,” katanya.

Kata beliau, biarpun hudud belum dilaksanakan, namun usaha ke arah hudud dilakukan secara berterusan termasuk meraikan sambutan Hari Hudud setiap tahun pada bulan Syaaban.

Menurutnya, usaha lain untuk hudud ialah menjalankan ceramah, seminar dan forum bertujuan mengingatkan rakyat negeri ini mengenai tanggungjawab mereka dan memberi kefahaman mengenainya.

“Untuk melaksanakan hudud, ia memerlukan kerjasama semua pihak termasuk jabatan penjara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan hukuman ini.

“Kerajaan Negeri tidak mahu hudud dilaksanakan dengan memaksa rakyat, secara majoritinya mereka perlu faham mengenai kehendak dan tuntutannya,” katanya. -Sinar Harian.

Friday 24 August 2012

Tengku Razaleigh Nafi Isu Royalti Jejaskan Perjuangan Umno & BN di Kelantan

GUA MUSANG -Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menafikan tanggapan bahawa tindakan beliau membantu berhubung tuntutan royalti minyak Kerajaan Pas Kelantan sebelum ini telah menjejaskan perjuangan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, kata beliau, semua kenyataan yang dikeluarkan itu bagi mengembalikan keyakinan rakyat khususnya pengundi Kelantan terhadap Umno dan BN terutama bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

"Lagi pun apa yang saya perkatakan dalam beberapa kenyataan sebelum ini membabitkan desakan ke atas Petronas sahaja dan tidak ada kena mengena dengan Kerajaan Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bahagian Gua Musang di Bukit Chekati di sini, Jumaat.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno bahagian Gua Musang berkata beliau bukan hendak membela kerajaan negeri pimpinan Pas itu, tetapi apa yang diperkatakan adalah bagi menjelaskan perkara sebenar yang terkandung dalam perjanjian antara Petronas dengan kerajaan negeri terbabit.

Katanya, beliau berhak menjelaskan perkara itu supaya rakyat lebih yakin dengan perjuangan Umno dan BN walaupun masalah itu menjadi tanggungjawab Petronas untuk menyelesaikannya.

"Sumber sebenar hasil itu (petroleum) diperoleh Petronas dan Petronaslah yang harus bertanggungjawab membayar semua tuntutan kerajaan negeri terbabit seperti yang terkandung dalam perjanjian yang saya lakukan kerana ketika itu saya menjadi Pengerusi Petronas.

"Memanglah ramai yang membuat tafsiran salah berhubung kenyataan saya itu hingga ada yang menuduh lebih memihak kepada pembangkang dan saya ingin jelaskan kenyataan itu adalah hakikat yang patut kita sama-sama selesaikan," katanya.

Beliau berkata segala perjanjian yang dibuat antara kerajaan negeri dengan Petronas ketika itu juga mendapat persetujuan Perdana Menteri ketika itu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan semuanya terkandung dengan jelas dalam akta petroleum berkenaan.

"Saya bukan nak berada di sebelah mana-mana pihak berhubung tuntutan berkenaan dan apa yang saya lakukan itu untuk memberi faedah bersama termasuk rakyat. Jika rakyat mendapat manfaat sudah tentu akan menyokong kita pada PRU-13 tidak lama lagi," katanya.

Mengenai persiapan menghadapi pilihan raya umum, Tengku Razaleigh berkata, persiapannya sudah diatur dengan baik khususnya di bahagian Gua Musang bagi mengekalkan kubu kuat Umno di Kelantan itu yang tidak pernah tewas kepada pembangkang.

"Saya mempunyai strategi sendiri bagi mengekalkan kemenangan itu, tetapi pada PRU-13 nanti terpulanglah kepada rakyat untuk membuat penilaian terbaik, tetapi saya harap sokongan mereka tidak berubah dan memberi kemenangan kepada BN," katanya. - BERNAMA

Isu Air : Bil Air Meningkat 20 Peratus Walaupun Beberapa Hari Penggunaan

TAL TUJOH (PASIR MAS)- Penduduk di Kampung Tal Tujoh berharap, pihak berkenaan menyiasat punca kenaikan bil, meskipun berlaku krisis air penghujung Jun lalu.

Penduduk, Wan Johar Wan Sulaiman berkata, bil air yang berakhir 9 Ogos lalu, dikatakan meningkat 20 peratus, ketika berlakunya krisis air.

Menurutnya, kebiasaannya, bil airnya hanya RM60 sebulan, namun ketika krisis air baru-baru ini, dia mendapati bil airnya mencecah sehingga RM85.

“Saya segera memeriksa meter air dan mendapati ia bergerak seumpama air sedang digunakan.

“Kini baru saya percaya kata-kata penduduk, walaupun air tiada, namun angin yang keluar, tetap perlu dibayar oleh pengguna,” katanya, semalam.

Menurutnya, dia hanya dapat menggunakan air selama beberapa hari pada bulan lalu, namun bil yang diterima seumpama digunakan ketika musim perayaan.

Katanya, bil yang tiba 10 hari sebelum Aidilfitri ini, mengejutkannya kerana merasakan dirinya seumpama ditipu.

Katanya, dia yakin, bil untuk bulan Ogos ini, akan mencecah sehingga RM120 sebulan.

“Jika pihak berkenaan tidak menyiasat perkara ini, saya yakin lebih ramai penduduk akan berasa ditipu.

“Secara tidak langsung akan meningkatkan lagi perasaan tidak puas hati penduduk terhadap pihak berkenaan,” katanya, semalam.

Wan Johar berkata, mereka berharap pihak berkenaan sedia melupuskan bil ataupun memberi potongan harga bagi bil terdahulu, agar pengguna mendapat keadilan yang sewajarnya. -Sinar Harian.

Thursday 23 August 2012

Khutbah Berbaur Hasutan, MAIK Akan Ambil Tindakan

Kelmarin, Pengerusi Umno Negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mendakwa menerima laporan berhubung dakwaan adanya khutbah Aidilfitri yang disampaikan di beberapa kampung di negeri Kelantan dipercayai berbaur kecaman terhadap pimpinan negara.

Mustapa memberitahu khutbah itu didakwa mengandungi unsur kecaman kepada pucuk pimpinan dan sistem pemerintahan yang dilaksanakan di negeri ini di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah turut didakwa pada satu peringkat khutbah itu turut menyamakan Malaysia dengan negara yang diperintah kuasa diktator.

Sehubungan dengan itu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) akan mengambil tindakan sekiranya mendapati ada iman di negeri ini yang mengubah bacaan kandungan khutbah Aidilfitri Ahad lalu.

Timbalan Yang Dipertua Maik, Datuk Kamaruddin Mohd Zain berkata, sepatutnya semua imam hanya membaca isi kandungan khutbah yang dihasilkan dan diedarkan oleh Maik tanpa perlu menokok tambah.

“Kandungan khutbah Hari Raya Aidilfitri yang diedarkan di 560 masjid di negeri ini sudah ditapis malah disahkan oleh panel dan ia tidak mengandungi sebarang unsur-unsur hasutan, kecaman mahupun berbaur politik. Kemungkinan ada imam yang menambah sendiri ‘ayat hasutan’ mahupun ini adalah khabar angin sahaja,” katanya.

Bagaimanapun pihaknya menunggu aduan lengkap berhubung pendedahan seorang pemimpin mengenai khutbah berbaur hasutan, namun sehingga semalam Maik masih belum laporan untuk siasatan lanjut.

Kamaruddin menjelaskan lagi, pihaknya memerlukan bukti dan saksi untuk menyiasat perkara berkenaan betul-betul sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Hubungan PAS-DAP Tidak Terjejas Ekoran Kenyataan Karpal - Nik Aziz

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyifatkan kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mempertikaikan keupayaan hukum hudud untuk mengatasi jenayah sama sekali tidak menggugat hubungan baik antara dua parti itu.

Katanya, meskipun pemerintahan secara Islam termasuk hudud menjadi dasar perjuangan politik Pas, ia bukan bawah undang-undang Pas, sebaliknya hukum Islam yang dilaksanakan di beberapa negara termasuk Arab Saudi yang jelas dapat dilihat berjaya mengurangkan kadar jenayah di negara itu.

"Isu ini tidak perlu dibincang kerana ia adalah hukum agama, bukan ideologi, kalau hukum dunia, kita boleh tolak, tetapi sebagai orang Islam, (jika) tolak agama bermakna akan terima pembalasan di akhirat kelak," katanya.

Menurutnya, dibandingkan dengan undang-undang ciptaan manusia, termasuk hukuman gantung sampai mati, hudud jauh lebih baik walaupun pencuri dipotong tangannya atas kesalahan itu.

"Sekurang-kurangnya, dia (pesalah) masih boleh bekerja dan hukuman yang diterima, boleh jadi pengajaran kepada masyarakat. Undang-undang Islam sudah semestinya cukup adil. Buat salah, terima hukuman yang setimpal dengan kesalahan," katanya kepada pemberita pada majlis Sambutan Hari Raya Pas Pengkalan Chepa di Kompleks Purnama, di sini, semalam.

Menteri Besar Kelantan itu menjelaskan, kenyataan Karpal sedikit pun tidak tidak menjejaskan hubungan Pas dengan DAP, mahu pun hubungan peribadi sesama pemimpin parti itu.

"Tidak timbul soal perpecahan kerana sekarang kita tidak menghadapi masalah dan perkara ini hanya diperbesar-besarkan bagi menimbulkan kekeliruan," katanya.

Sementara itu, dalam satu entri ringkas menerusi laman sosial Facebook, semalam, Nik Aziz mahu pemimpin Umno memberi respons berhubung kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengenai isu hudud.

Katanya, Soi Lek sebelum ini secara berterusan menghina hudud dan pernah melabel seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno dari Johor sebagai hilang akal kerana mencadangkan negeri itu melaksanakan hukum hudud.

“Saya hendak membaca respons pemimpin Umno terhadap kenyataan Presiden MCA yang menyatakan Adun Umno hilang akal kerana mencadangkan hudud," katanya.

Dua bulan lalu, Adun Kemelah dari Umno, Datuk Ayub Rahmat, mengambil langkah berani apabila mencadangkan Johor mengambil inisiatif menjadi negeri pertama melaksanakan hukum hudud.

Tindakan Ayub itu mendapat tentangan hebat daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) sendiri, termasuk MCA dan Gerakan, yang lantang menolak cadangan itu sehingga Soi Lek menganggap Ayub hilang akal.

Dalam perkembangan lain, Nik Aziz menyuarakan penghargaan kepada semua pihak yang bermurah hati menyumbang dana untuk projek Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai dengan kos RM1.8 bilion.

“Sokongan rakyat tidak pernah berkurangan di Kelantan, malah Pas turut terima sokongan dari seluruh negara termasuk di luar Malaysia. Sokongan yang mereka berikan terhadap projek ini amat kami hargai walaupun sebelum ini mendapat pelbagai tohmahan negatif daripada parti lawan," katanya.

Nik Aziz berkata, pembinaan lebuh raya itu dijalankan dengan konsep wakaf dan ia bukan derma.

"Usaha kita adalah memperluaskan konsep wakaf. Jika dulu, kita wakaf barang-barang kepada masjid untuk digunakan orang ramai, jadi konsep yang sama digunakan dalam projek pembinaan lebuh raya untuk kemudahan rakyat apabila ia siap kelak," katanya. -Sinar Harian.

Wednesday 22 August 2012

Dr. M Tak Konsisten Dalam Isu Hudud - Nik Amar

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menempelak sikap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat tidak konsisten berhubung pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Mohd Amar berkata, ketika zaman pemerintahan Dr Mahathir, beliau yang bersungguh-sungguh menolak undang-undang Islam itu dilaksanakan.

“Semasa Dr Mahathir jadi Perdana Menteri beliau sendiri bagi amaran keras kepada Kelantan menerusi satu surat yang sehingga kini masih ada dalam simpanan Kerajaan Negeri .

“Menerusi surat itu, beliau (Dr Mahathir) ada kata kalau Kelantan tetap meneruskan hukum hudud, tindakan tegas akan dikenakan kepada Kerajaan Negeri. Tetapi sekarang ini beliau cakap lain pula,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sabtu lalu, Sinar Harian melaporkan Dr Mahathir menyarankan Pas menyertai Umno untuk bersama-sama membina negara dan perundangan Islam.

Dalam laporan tersebut, Dr Mahathir ada menyebut Umno akan mewujudkan sebuah negara Islam yang lengkap jika Pas berbesar hati menyertai Umno dan mengalu-alukan Pas ke dalam parti tersebut sekiranya ia berpisah daripada Pakatan Rakyat (PR).

Sehubungan itu, Mohd Amar menyifatkan kenyataan Dr Mahathir itu seperti orang ‘nyanyuk’ yang cakap tidak serupa bikin.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah berkata, Pas tidak perlu menyertai Umno untuk merealisasikan hudud kerana biarpun berada dalam PR, Pas tetap berpegang teguh memperjuangkan hudud termasuk syariat Islam.

“(Dr Mahathir) dulu cakap lain, sekarang cakap lain. Kita tidak perlu sertai Umno jika hendak laksanakan hudud sedangkan Umno sendiri pun tolak hudud,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar menganggap tindakan MCA Kedah menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan hudud hanya sekadar kenyataan politik untuk membersihkan imej MCA.

Beliau berkata, sebelum ini MCA menerusi Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang lantang bersuara menolak hudud dengan keras.

“Soi Lek sebelum ini jelas dengan pendiriannya tidak mahu hukum hudud menerusi kenyataannya dalam media dan pernah kata hudud ketinggalan zaman dan menakutkan pelabur yang sekali gus membuatkan pelabur akan lari,” katanya.

Mohd Amar berkata, kenyataan MCA Kedah itu bercanggah dengan Presiden sendiri dan menyifatkan berkemungkinan tidak sedar akan pendirian ketua mereka. - Sinar Harian.

Saturday 18 August 2012

Pas Kelantan Tolak Nasharudin Dalam PRU-13

PAS Kelantan tidak lagi memerlukan Ahli Parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa dan tidak akan mencalonkan beliau pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Timbalan Pesuruhjaya Pas III Negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata pengundi PAS di Bachok juga menolak Nasharudin dan mahu beliau digantikan dengan calon lain pada PRU akan datang.

Ganti calon lain

Katanya, kemunculan bekas Timbalan Presiden PAS bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Makkah, Rabu lalu, langsung tidak memberi kesan kepada parti itu kerana pengundi PAS di Bachok sudah menolaknya.

“Pada pandangan kita (PAS Kelantan), kemunculan beliau (Nasharudin) bersama Najib sempena mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tidak memberi kesan kepada parti walaupun akan menghadapi pilihan raya umum (PRU) tidak lama lagi.

“Nama Nasharudin tidak termasuk dalam senarai (calon) yang diangkat baru-baru ini dan kita dimaklumkan bahawa pengundi di kawasan itu sudah mencadangkan beliau digantikan dan desakan ini dibuat sebelum Nasharudin bersama Najib di Makkah.

“PAS Kelantan sudah ada beberapa calon yang dilihat sesuai menggantikan Nasharudin, namun keputusan muktamad di tangan Pesuruhjaya PAS negeri yang juga Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,” katanya kepada BH selepas menyampaikan kuliah di Dataran Ilmu di sini, semalam.
Beliau mengulas kemunculan Nasharudin bersama Najib di Makkah, sehingga menimbulkan spekulasi, termasuk pucuk pimpinan PAS, bahawa tokoh berkenaan akan meninggalkan parti itu.

Kelmarin, Nik Aziz ketika mengulas mengenainya berkata tidak hairan jika Nasharudin keluar PAS selepas dilihat bersama Najib di Makkah.

“Pelik apa, kalau (Datuk Mohd) Asri (Muda) yang berpuluh tahun menjadi Presiden PAS boleh masuk UMNO, jadi Nasharudin juga akan turut berbuat demikian,” katanya.

Mohd Amar yang juga EXCO kanan kerajaan negeri berkata, kemunculan Nasharudin bersama Najib sudah tentu akan menjatuhkan kedudukannya pada mata ahli PAS.

Ditanya sama ada PAS rela melepaskan Nasharudin, beliau berkata:

“Kalau beliau rasa sudah tidak selesa dalam PAS, kita tidak boleh buat apa-apa… kita terima.
“Namun kita percaya PAS tetap kukuh dan kekal dengan perjuangannya.

Nasharudin bagaimanapun kelmarin menafikan beliau berhasrat meninggalkan PAS atau menyertai UMNO dan mencabar sesiapa yang membuat dakwaan itu mengemukakan bukti.

Katanya, beliau mengaturkan pertemuan Najib dengan ulama di Makkah bersempena dengan mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di sebuah villa bersebelahan Masjidil Haram. – Berita Harian Online

Rumah Didiami Musnah Terbakar Menjelang Aidilfitri

KOTA BHARU - Hasrat sebuah keluarga untuk berkumpul beramai-ramai dan mengadakan majlis tahlil ke 100 hari ibu mereka pada raya ketiga ini tidak kesampaian apabila rumah yang sedang diubah suai itu hangus dalam kebakaran di Kampung Pengkalan Cherang, di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang itu tidak melibatkan kemalangan jiwa kerana pemilik rumah berada di rumahnya di Kampung Jambu yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian.

Pesara kerajaan, Maidin Muda, 60, berkata, rumah tersebut merupakan peninggalan ibu mertuanya dan diberikan kepada isterinya, Wan Kamariah Wan Omar, 51, untuk dijaga.

“Kejadian ini sangat mengejutkan kami, dan kebetulan pula hari ini isteri saya sedang membeli-belah perabot untuk dimuatkan di dalam rumah ini bagi menyambut Aidilfitri yang tinggal dua hari lagi.

“Isteri tidak mengetahui kejadian ini kerana saya tidak dapat menghubunginya dan saya pasti dia akan sedih dengan apa yang berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, rumah kayu sementara itu sedang diubah suai untuk dijadikan rumah tamu dan hampir 50 peratus sudah disiapkan serta menelan belanja kira-kira RM50,000.

Maidin berkata, bagaimanapun isterinya dan empat lagi adik-beradiknya berhasrat untuk berkumpul beramai-ramai pada Aidilfitri nanti sebelum kerja pengubahsuaian diteruskan selepas raya nanti.

Sementara itu, jiran berhampiran , Tahir Sahid, 47, berkata, kejadian tersebut dikatakan berlaku pada jam 3.30 petang apabila dia yang sedang berehat di rumahnya terdengar bunyi letupan seakan-akan bunyi mercun.

“Pada awalnya saya menyangka ada kanak-kanak yang bermain mercun tetapi oleh kerana bunyinya lama dan semakin kuat, saya cuba melihat di tingkap rumah dan mendapati rumah di sebelah terbakar dan terus menghubungi pihak bomba,” katanya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Pegawai Kanan Dua, Mahussin Hassan berkata, operasi menyelamat tersebut melibatkan 17 anggota bomba iaitu lapan dari Pengkalan Chepa, tiga anggota Kota Bharu dan enam anggota bomba sukarelawan.

“Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 3.40 petang dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan,” katanya.

200,000 Sampul Raya Royalti Di Edar di Sekitar Kelantan

KOTA BHARU - Sejumlah 200,000 sampul raya Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti) diagih kepada orang ramai sempena sambutan Aidilfitri ini, kelmarin.

Setiausahanya, Syam Ghaz berkata, sampul tersebut diagihkan di kawasan tumpuan orang ramai seperti pasar raya, kedai runcit, hospital, dan semua pintu masuk utama ke Kelantan.

“Sampul raya dwi muka itu dicipta bagi menyampaikan kempen kepada rakyat tentang tuntutan royalti 5% negeri Kelantan yang kini jumlahnya sudah tertunggak sebanyak RM7 bilion semenjak tahun 2005 lagi.

“Jadi usaha ini adalah untuk meminta Kerajaan Persekutuan supaya tidak lagi berdolak-dalik dalam isu pemberitaan royalti kepada Kelantan,” katanya.

Menurutnya, manakala lambang lebuh raya rakyat pula adalah bagi memberikan gambaran kepada anak perantau yang melalui jalan raya yang terburuk di negara ini untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Syam berkata, inisiatif pengedaran sampul raya lebuh raya dilakukan bagi menyokong pembinaan lebuh raya rakyat dan mendesak Kerajaan Pusat membina lebuh raya baru di Kelantan dari Gua Musang-KB, Jeli-KB dan Pasir Puteh-KB, bagi kemudahan rakyat.

“Rakyat Kelantan adalah rakyat yang berdaulat dan janganlah kami seperti Muslim Rohingya di Myanmar yang dizalimi dan dinafikan hak berada di negara sendiri.

“Berikan hak kami sepertimana negeri-negeri lain dan dengan semangat Aidilfitri, kami menyeru kepada semua pimpinan politik untuk hentikan dendam politik yang berlaku sekarang demi kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri serta menyeru kepada semua rakyat bangkit menuntut hak mereka sampai dapat.

Karpal Saman Nasharudin Berkaitan Hudud

Karpal Singh memulakan prosiding fitnah terhadap Nasharudin Mat Isa ekoran kenyataan bekas Timbalan Presiden PAS itu berhubung pendirian beliau berkaitan isu hudud dan Islam.

"Kenyataan Nasharudin bahawa saya bukan hanya menentang hudud malah menentang Islam, adalah tidak bertanggungjawab, tidak berasas dan kejam," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebuah akhbar pada Jumaat melaporkan bahawa Nasharudin mempersoal pakatan politik PAS dengan pihak yang 'menentang Islam'.

Artikel itu memetik beliau sebagai berkata, "Karpal Singh bukan hanya menentang hudud, malah Islam".

Dalam reaksinya, Karpal, yang juga Anggota Parlimen Bukit Gelugor, berkata kenyataan Nasharudin bahawa beliau menentang Islam, tidak mendapat sokongan PAS.

Nasharudin, katanya, kini hanyalah 'ikan bilis' dalam PAS dan kenyataan beliau tidak mencerminkan pendirian parti itu.

"Memandangkan dakwaan serius telah dibuat terhadap saya, saya tidak mempunyai pilihan selain memulakan prosiding fitnah terhadap Nasharudin," katanya. BERNAMA

Thursday 16 August 2012

'Politik Bukan Bidang Saya, Sudah Tiga Kali Saya 'Dikahwinkan'' - Abby

Penglibatan selebriti ini dalam program politik mendapat perhatian ramai sejak menyerahkan borang keahlian menyertai Pas bulan lalu. Sejak itu dia hanya banyak menjawab pandangan dan kritikan menerusi alam siber Twitter.

Selain itu pandangannya hanya dapat diketahui menerusi pentas ceramah atau forum anjuran parti politik.

Abby Abadi atau nama sebenarnya, Arbaieyah Abdul Manan mendapat pelbagai reaksi berikutan penghijrahannya ke dalam arena sebagai ahli Pas.

Abby yang kini tampil dengan imej bertudung mengakui dia tidak mengambil peduli kritikan mana-mana pihak kerana ia tidak mendatangkan apa-apa kesan terhadapnya.

"Saya memang tidak ada masalah kerana apa yang dikhabarkan itu tidak betul. Fitnah," katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui pada program Ziarah Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa di Seri Muda dekat sini malam tadi.

Apabila ditanya soal politik, Abby, antara selebriti yang aktif di dunia Twitter dan hanya dapat dipetik perbincangannya menerusi laman itu sejak lebih sebulan lalu, menegaskan bahawa dia menolak kemungkinan penglibatannya dalam arena politik sebagai "ahli politik" secara aktif.

"Saya tidak minat langsung nak jadi ahli politik. Politik bukan bidang saya. Apa yang saya lakukan sekarang ini bukan sebab saya mementingkan politik sangat.

"Saya lebih terlibat dari segi kemanusiaan. Apa yang tidak adil. Rakyat tidak dapat hak dari segi keadilan. Perkara-perkara ini semua memang berkait dengan politik kerana kuasa pemimpin itu hanya dari jalan politik," jelasnya.

"Saya memang tahu tahap kemampuan saya. Saya masih sayangkan karier saya. Saya suka dengan apa yang saya lalui sekarang. Jika ada rezeki, saya memang mahu kembali berlakon dengan mengikut undang-undang ALLAH," kata pelakon popular Gerak Khas ini.

Sementara itu, mengulas kenyataannya sebelum ini berhubung artis bertudung sukar mendapat tawaran dalam bidang seni dan hiburan, beliau menjelaskan maksud sebenar kata-katanya itu.

"Ya, saya akui sebelum ini saya memang pernah mengeluarkan kenyataan itu tetapi saya kata untuk artis yang sudah berhijrah, yang memakai tudung, yang bersama pembangkang, memang susah untuk mendapat tawaran daripada kerajaan," tegasnya.

"Saya tahu rezeki itu daripada ALLAH tetapi kerajaan kita memang macam itu. Tak kira artis ke, cikgu ke, imam ke, kalau menentang kerajaan memang akan diberhentikan.

"Ini yang patut dijelaskan bukan saya kata yang bertudung tak boleh kerja dengan kerajaan. Perkara ini sudah dipusingkan hingga jadi lain," katanya mengulas lanjut.

Apabila soal kahwin disentuh, Abby hanya tergelak.

Dia yang dilaporkan berbaik semula dengan bekas suaminya, Norman Hakim dan isteri barunya, Memey awal bulan ini memberitahu:

"Sejak saya bersama pembangkang, sudah tiga kali saya 'dikahwinkan' dan ada juga yang percaya."

"Perkahwinan itu tidak pernah berlaku dan saya tidak kenal langsung dengan siapa saya 'dikahwinkan'," jelas Abby yang mengaku hatinya masih belum berpunya.

"Buat masa ini, saya tidak terfikir untuk berkahwin dalam masa terdekat tetapi kalau ia berlaku, itu kuasa Tuhan," katanya, yang sebelum ini turut menafikan spekulasi bahawa akan merujuk semula dengan Norman. Norman juga pernah mengulas isu yang sama kepada Sinar Harian Online lebih dua minggu lalu.

Abby juga berkata, ketiga-tiga anaknya akan menyambut Aidilfitri bersama Norman dan Memey di Kuantan, Pahang.

Awal minggu ini Abby ada menulis menerusi Twitter bahawa Norman memang ada mengajaknya menyambut Aidilfitri di kampungnya. - Sinar Harian.

Pas Serah Kepada Presiden Tentang Isu Nasharudin - Salahuddin Ayub

Pas akan menyerahkan kepada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membuat keputusan sama ada bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa perlu dikenakan tindakan berhubung kenyataan yang menggesa parti itu keluar Pakatan Rakyat (PR) berikutan pendirian DAP dalam isu hudud.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, setakat ini belum ada sebarang perbincangan diadakan berhubung dengan isu tersebut.

“Kami serahkan kepada presiden parti untuk membuat keputusan, sama ada beliau akan dikenakan tindakan atau sebaliknya, pada masa kini parti hanya memantau perkembangan berkaitan dengan isu tersebut.

“Malah parti juga belum memutuskan sama ada Nasharudin akan diberi surat tunjuk atau tidak, dan setakat ini kepimpinan pusat belum memanggil beliau untuk memberikan penjelasan” katanya kepada Sinar Harian.

Kelmarin, Nasharudin dikatakan telah mencadangkan agar Pas keluar PR jika DAP menentang hudud seperti yang disiarkan oleh TV3.

Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan kenapa Nasharudin tidak membawa cadangan itu kepada Majlis Syura untuk dibahaskan dan diperbincangkan.

“Persoalannya adakan beliau merasakan kekurangan ilmu untuk berhujah, Nasharudin pernah memegang pelbagai jawatan, oleh itu sudah semestinya dia tahu proses yang diamalkan oleh parti ini.

“Pas adalah parti yang bersifat terbuka, dan sentiasa mendengar pendapat setiap ahlinya, mereka boleh meluahkan sebarang pandangan atau cadangan,” katanya.

PM Taja Haji Kepada Keluarga Jurukamera Noramfaizul

Keluarga Allahyahyam Noramfaizul Mohd Nor, jurukamera Bernama TV yang terbunuh ketika menyertai misi kemanusiaan ke Somalia tahun lepas, hari ini menerima surat tawaran mengerjakan haji daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ia disampaikan bagi pihak Najib oleh Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim kepada ayah Noramfaizul, Mohd Nor Md Yasin, di rumahnya di Taman Serdang Raya di sini.

"Hari ini genap setahun kami telah berada di bumi Somalia. Allahyarham berada bersama kami tahun lepas. Jadi hari ini kita adakan majlis tahlil dan bacaan Yasin untuk Allahyarham Noramfaizul," katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Tawaran mengerjakan haji itu turut dipanjangkan kepada ibu dan adik Noramfaizul, Naemah Abdul Majid dan Nur Najihah.

Noramfaizul, 39, terbunuh akibat terkena tembakan curi di Mogadishu pada 2 Sept 2011 semasa membuat liputan misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia bagi membantu mangsa kebuluran Somalia.

Dalam kejadian itu, jurukamera TV3 Aji Sarigar Mazlan turut mengalami kecederaan di lengan akibat terkena serpihan peluru yang menembusi bahu Noramfaizul.

Dalam pada itu, Abdul Azeez berkata pihaknya merancang untuk ke Myanmar pada 1 Sept ini bagi misi bantuan kemanusiaan untuk penduduk Rohingnya yang dilaporkan ditindas.

Beliau berkata dana sebanyak RM300,000 telah dikumpulkan sehingga kini untuk tujuan membeli peralatan dan keperluan sepatutnya.

Menurutnya, jaket kalis peluru menjadi antara keperluan utama anggota misi kemanusiaan seterusnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan. - Bernama

"Ustaz Nasha, Jangan Ikut Cara Hasan Ali" - Nasrudin Hassan

Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan menggesa Ahli Parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa agar bertemu pimpinan parti jika ada perkara yang beliau tidak berpuas hati.

Menurutnya, tindakan mengeluarkan kenyataan mempertikai parti di media pihak lawan tidak menguntungkan parti malah hanya akan memberi peluang kepada musuh politik melemahkan Pas.

"Saya menggesa supaya Ustaz Nasharudin datang berbincang dengan pimpinan parti jika ada perkara yang beliau tidak puas hati.

"Bukan mengambil tindakan seperti apa yang telah dilakukan oleh Datuk Hasan Ali sebelum ini. Menyerang dan mempertikai keputusan parti di media pihak lawan," katanya dipetik Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Timbalan Presiden Pas itu yang disiar di Buletin Utama TV3 malam tadi yang mencadangkan agar Pas keluar dari Pakatan Rakyat jika DAP menentang hudud.

Kenyataannya malam tadi itu menghangatkan semula perbahasan berhubung kedudukan Nasharudin dalam parti ekoran beliau dilihat secara terbuka menolak keputusan parti.

"Tiada siapa yang gembira dengan perkembangan ini kecuali musuh politik yang mahu melihat pergolakan berlaku dalam parti.

"Pastinya kesempatan ini akan diambil sepenuhnya oleh musuh politik untuk melemahkan PAS," kata Nasrudin lagi.

Sehubungan itu, beliau menggesa Nasharudin segara bertemu pemimpin tertinggi parti begi menyelesaikan segala masalah yang timbul secara dalaman.

"Saya tidak nampak Ustaz Nasharudin tidak memahami konsep Amal Jamaei atau lainnya yang berkait dengan disiplin perjuangan dan juga berjamaah.

"Ustaz Nasharudin sewajarnya insaf bahawa beliau yang memerlukan perjuangan Islam ini bukan sebaliknya.

"Ingatlah bahawa Perjuangan Islam ini tidak pernah rugi hanya kerana kita meninggalkan perjuangan ini, justeru ALLAh pasti akan menggantikan orang lain yang akan terus berjuang dan memperkuatkan saf perjuangan Islam ini," katanya. -Sinar Harian.

Wednesday 15 August 2012

WANTED !!! Suspek Bakar Muka Kekasihnya Di Buru Polis - Sebarkan

Polis meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan saspek berhubung kejadian remaja perempuan 16 tahun yang dibakar di kawasan semak berdekatan Seksyen 1, Wangsa Maju, awal pagi semalam.

Nama: MOHD AMIR BIN MOHD ANUAR
Umur : 18 Tahun

Orang ramai yang mengenali saspek bolehlah menyalurkan maklumat ke Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ditalian 03- 21460522 samb. 597 atau mana-mana balai Polis yang berhampiran atau melalui Hotline Polis KL (Rakan Cop) di talian 03-21159999 atau SMS POLISKL ke 32728.

Dalam kejadian jam 3.15 pagi itu, mangsa, Nurul Firzanah yang keluar bersama teman lelakinya berusia 19 tahun itu disimbah petrol sebelum dibakar menyebabkan terbakar lebih 25 peratus dari muka hingga ke pusatnya dan dilaporkan kritikal.

Bapa mangsa, Mat Zaki Mat Hussin, 45, berkata, anaknya, Nurul Firzanah yang masih bersekolah dalam tingkatan empat itu pergi ke rumah ibu angkatnya dan selepas tiba di sana, dengan kebenaran ibu angkatnya itu dia keluar untuk berjumpa teman lelakinya dipercayai untuk bersahur.

Menurut Mat Zaki, mereka yang sudah mengenali teman lelaki mangsa dan keluarganya tidak berasa syak untuk membenarkan mereka keluar bersama.

Bagaimanapun, katanya, jam 3 pagi, dia menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali memberitahu Nurul Firzanah dibakar berdekatan Flat Wangsa Sari di kawasan terbabit.

Kecaman Ke Atas Nasharuddin Bertujuan Untuk Gugurkannya Sebagai Calon

 
Indikasinya lagi jelas dan nyata - dari Dewan Pemuda sehinggalah kepada Menteri Besar PAS - semuanya kini menjurus ke arah 'kempen' untuk menyingkirkan terus bekas Timbalan Presiden mereka, Nasharuddin Mat Isa daripada parti itu.

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan pada Rabu telah meminta Nasharuddin supaya meletakkan jawatannya sebagai ahli parlimen Bachok.

Nik Aziz pada hari yang sama memberi kenyataan bernada sindiran yang amat tajam; "Pelik apa, kalau (Datuk Mohd) Asri (Muda) yang berpuluh tahun menjadi presiden PAS pun boleh masuk Umno, jadi Nasharudin juga akan turut berbuat demikian," katanya sebagaimana dipetik oleh Bernama.

Kesemua mereka berkata demikian selepas media massa memaparkan gambar Nasharuddin menyertai perdana menteri dalam pertemuan dengan tokoh-tokoh ulama sempena Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung di Arab Saudi.

Sejak Nasharuddin mencetuskan kontroversi dengan menyokong cadangan pembentukan kerajaan perpaduan Umno-PAS, beliau telah dilihat tidak ubah seperti besi buruk oleh PAS seolah-olah tidak pernah berjasa atau menyandang jawatan sebagai pemimpin nombor dua dalam parti itu.

Orang yang paling tidak senang dengannya malah paling lantang menyindir dan mengkritik ialah Nik Aziz.

Kemuncak kepada penentangan ke atas Nasharuddin ialah apabila beliau gagal mempertahankan jawatannya pada Muktamar Agung PAS tahun lepas - ditewaskan oleh seorang yang tidak dilihat sebagai tokoh agama atau ilmuan iaitu Mohamad Sabu.

Sehubungan dengan itu Nik Abdul Aziz berkata adalah lebih baik bagi Nasharudin meninggalkan PAS daripada menimbulkan masalah kepada parti.

Dan kini giliran Pemuda PAS Kelantan pula untuk mencelah apabila Setiausahanya Mohd Nuri Mat Yaacob berkata; "Jika beliau (Nasharuddin) sudah tidak berminat bersama-sama dengan PAS, amatlah wajar untuk beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Bachok daripada terus menerus mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat Bachok di dalam PRU12 yang lalu."

Kata-katanya itu disiarkan oleh organ rasmi PAS, Harakahdaily.

Kenyataan daripada Dewan Pemuda PAS Kelantan itu juga didorong oleh kenyataan Nasharuddin di TV3 yang meminta PAS agar keluar dari Pakatan Rakyat (PR) jika DAP terus menentang Hudud.

Hakikat bahawa kempen-kempen untuk memperkecilkan Nasharuddin disiarkan oleh organ rasmi parti menunjukkan bahawa bekas timbalan presiden itu telah terkeluar dari arus perdana PAS.

Nik Aziz kata, tak menghairankan kalau Nasharuddin masuk Umno.

Tapi sebenarnya yang tak menghairankan ialah jika PAS pecat Nasharuddin atau gugurkannya sebagai calon pilihan raya nanti - sekali gus tidak berupaya untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bachok yang disandangnya sekarang.

Desakan-desakan yang muncul sekarang hanyalah pembuka tirai kepada langkah yang lebih besar iaitu untuk menguggurkannya daripada senarai calon.

Dengan trend yang ada sekarang, kita tidak nampak siapakah yang akan mengesyorkan agar namanya dikekalkan sebagai calon.

Mungkin sudah tiba masanya Nasharuddin melupakan politik PAS untuk selama-lamanya dan menumpukan perhatian kepada amal jariah dan juga yayasan yang baru dibentuknya itu.

Sayang sungguh, pemimpin semuda dan sebijak itu tidak lagi dianggap relevan dalam PAS. Dan yang lebih menyedihkan, mereka memperlakukannya bukan seperti seorang bekas timbalan presiden.

Tiada langsung tanda hormat apatah lagi mengenang jasanya yang banyak dalam PAS. Dosanya pada PAS tidak ada pun.

Beliau hanya cenderung kepada perpaduan ummah. Malangnya usaha dan kecenderungannya itu dianggap sebagai satu dosa dalam PAS termasuklah duduk sekhemah bersama perdana menteri Malaysia.

Nik Aziz Tak Hairan Jika Nasharuddin Tinggalkan Pas

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak hairan jika Nasharudin Mat Isa keluar daripada parti itu setelah bekas Timbalan Presiden PAS tersebut dilihat bersama Datuk Seri Najib Tun Razak di Mekah, Selasa.

"Pelik apa, kalau (Datuk Mohd) Asri (Muda) yang berpuluh tahun menjadi Presiden PAS boleh masuk Umno, jadi Nasharudin juga akan turut berbuat demikian," katanya.

Akhbar pada Rabu memaparkan gambar Nasharuddin menyertai Perdana Menteri dalam pertemuan dengan tokoh-tokoh ulama sempena Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung di Arab Saudi.

Nasharuddin sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi dalam PAS ekoran menyokong cadangan pembentukan kerajaan perpaduan Umno-PAS sehingga menimbulkan rasa kurang senang kepada Nik Aziz.

Pada Muktamar Agung PAS tahun lepas, Nasharuddin gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden kepada Mohamad Sabu.

Nik Abdul Aziz juga berkata adalah lebih baik bagi Nasharudin meninggalkan PAS daripada menimbulkan masalah kepada parti. - BERNAMA

Remaja Dipenjara Kerana Acu Pisau Kearah Ibu

KOTA BHARU - Perlakuan luar batasan seorang anak mengacu pisau kepada ibunya Jun lalu, mendapat balasan apabila dia dihukum 10 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Majistret Mohd Hafiz Mohd Noor selepas Razman Ab Rashid, 19, mengaku salah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Che Mah Abdullah di rumah tidak bernombor Kubang Edang, Peringat, Melor pada jam 4 petang, 18 Jun.

Dalam kejadian itu, tertuduh tiba-tiba mengamuk sambil mengacu pisau dan buluh ke arah pengadu.

Tertuduh juga mengugut untuk membakar rumah pengadu kerana marah ibunya itu tidak memberikan RM100 yang dimintanya.

Pada prosiding semalam, tertuduh mengaku salah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. -Sinar Harian.

Tuesday 14 August 2012

Menyamar Lelaki Warak Untuk Bekerja dan Mencuri

KUALA LUMPUR – Para pengusaha stesen minyak kini berdepan dengan jenayah licik seorang penganggur yang bertindak mencuri wang dari stesen berkenaan beberapa jam selepas diambil bekerja.

Kosmo! difahamkan sekurang-kurangnya tiga stesen minyak di Lembah Klang telah mengalami kerugian beribu-ribu ringgit akibat dipedayakan oleh lelaki berusia 20-an itu.

Terbaharu, lelaki terbabit berjaya mempedayakan pengusaha sebuah stesen minyak di Puchong, Selangor untuk mengambilnya bekerja pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, beberapa jam kemudian, lelaki yang menggunakan identiti palsu semasa memohon kerja itu mencuri RM4,268 dari stesen minyak itu.

Penyelia stesen minyak tersebut, Noorzieanna Naim berkata, dia tidak menyangka pemuda yang kelihatan warak itu didapati bertanggungjawab mencuri wang di stesen minyak berkenaan.

“Semasa dia minta kerja, kami lihat dia begitu baik dan jujur serta mempunyai pengetahuan dalam urusan stesen minyak.

“Mujur kami berjaya merakam perbuatannya mencuri melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam. – Kosmo Online

Suspek Kes Letup Ditahan di Kelantan

KOTA BHARU - Seorang suspek kes meletupkan Bank Rakyat Cawangan Masjid Tanah, Melaka kelmarin berjaya ditahan oleh polis Kelantan di Pasir Puteh awal hari ini.

Lelaki berusia 25 tahun, yang dipercayai bertugas sebagai kakitangan awam, berjaya diberkas kira-kira jam 2.45 pagi semasa berada di rumahnya di Kampung Merkang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, suspek akan diserahkan kepada polis Melaka untuk tindakan selanjutnya.

"Dipercayai lelaki terbabit yang berasal dari Kelantan, bekerja berhampiran kawasan bank itu," katanya.

Dalam kejadian kelmarin, sekumpulan perompak gagal dalam cubaan mereka melarikan wang dalam sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) selepas cuba meletupkannya.

Dipetik media kelmarin, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata dalam kejadian 3.20 pagi itu, sejenis bahan letupan dipasang pada salah
sebuah mesin ATM di bank tersebut yang menempatkan dua mesin ATM dan satu mesin deposit wang (CDM).

Letupan itu bukan saja mengakibatkan kerosakan teruk pada mesin ATM itu malah menyebabkan cermin bahagian hadapan bank tersebut pecah selain keretakan pada dinding dan siling bangunan itu. -Sinar Harian.

Maut Dibelasah Kerana Meja Usang

SERDANG: Hanya kerana meja usang, seorang peniaga minuman mati dibelasah sekumpulan lelaki dalam kejadian di sebuah tapak perniagaan di Seri Kembangan, di sini, awal pagi semalam.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas mangsa, Azhari Sidek, 44, mengambil sebuah meja usang ditinggalkan di kaki lima tempat kejadian sebelum diletakkan berhampiran gerai miliknya.

Bagaimanapun, tindakan mangsa itu tidak disenangi seorang lelaki yang mendakwa meja berkenaan miliknya hingga berlaku pergaduhan kira-kira jam 2 pagi.

Lelaki terbabit dikatakan menjalankan perniagaan di kawasan sama.

Adik angkat mangsa yang enggan dikenali ketika ditemui Harian Metro di pekarangan Bilik Mayat Hospital Serdang, di sini, berkata akibat rasa tidak puas hati itu, lelaki terbabit memanggil beberapa rakannya untuk membelasah abangnya.

“Abang saya dibelasah lebih 12 lelaki. Ketika itu, ramai peniaga dan pengunjung menyaksikan kejadian itu namun tiada sesiapa yang berani membantu.

“Melihat keadaan abang yang sudah longlai dan tidak sedarkan diri, semua mereka melarikan diri. Orang ramai kemudian menghubungi ambulans sebelum abang dihantar ke Hospital Serdang,” katanya.

Bagaimanapun, abangnya meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Adik mangsa, Hamizi Sidek, 40, berkata dia menerima panggilan daripada pihak hospital memaklumkan abangnya sudah meninggal dunia dan memintanya datang ke hospital.

“Saya tidak tahu apa berlaku tetapi mengikut laporan polis abang saya dipukul sekumpulan lelaki. Abang saya sudah menjalankan perniagaan di tapak perniagaan itu sejak lima tahun lalu.

“Hasil bedah siasat, abang saya dimaklum meninggal kerana serangan jantung akibat dipukul dengan teruk. Saya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan dan menahan mereka yang bertanggungjawab,” katanya.

Bekas isteri mangsa dan tiga anak lelakinya masing-masing berusia 15 tahun dan kembar mereka berusia 12 tahun kelihatan tiba di bilik mayat hospital itu kira-kira jam 5 petang selepas dimaklumkan kematian mangsa.

Tiga anak lelaki arwah hanya mampu menitiskan air mata sebaik menatap wajah bapa mereka buat kali terakhir sebelum dikafankan dan dibawa menaiki van jenazah.

Difahamkan, jenazah akan dibawa pulang ke kampung halaman di Mengkarak, dekat Temerloh, Pahang dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam kampung berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan malah pihaknya sedang berusaha mengesan suspek. -HMetro.