Wednesday 4 July 2012

Krisis Air Kelantan - Pesawah Terima Kesannya

PASIR PUTEH - Pesawah di Kota Bharu, Pasir Puteh dan Bachok berdepan masalah bekalan air menjelang musim kedua penanaman padi apabila paras Sungai Kelantan semakin rendah yang menyebabkan kerja-kerja mengepam air untuk disalurkan ke sawah tidak dapat dilakukan.

Pengurus Besar Kada, Ibrahim Mat berkata, masalah bekalan air ini dihadapi sejak 2009 lagi tetapi tahun ini agak serius kerana air langsung tidak boleh dipam.

Katanya, paras air pada bacaan 4.0 meter di Kemubu kelmarin merupakan tercetek yang pernah dicatat.

”Setiap pam boleh beroperasi selamat 24 jam sehari dengan kos RM15.000 sekiranya paras air tinggi, malangnya kita tidak boleh mengepam air yang mungkin menyebabkan petani di tiga kawasan itu kerugian RM120 juta semusim,” katanya demikian pada Majlis Perasmian

Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan Bukit Jawa Kali Ke-34, di Selising dekat sini, kelmarin yang turut dihadiri Pengerusi Ahli Lembaga Jemaah Pengarah PPK tersebut, Kamaruddin Che Hat.

Kelantan katanya, mengeluarkan 140,000 tan metrik beras setahun ketika keperluan hanya 120,000 tan metrik.

Bagaimanapun katanya, masalah bekalan air dijangka mengurangkan hasil beras ditambah lagi dengan kawasan padi yang semakin berkurangan di mana 2,000 daripada 31,400 hektar kawasan ditebus guna setakat ini.

Ibrahim berkata, paras sungai menurun kerana dasar sungai semakin dalam ekoran kerja-kerja mengorek pasir yang giat beroperasi di Sungai Kelantan.

Selain itu katanya, pembalakan tidak terkawal di hulu Kelantan menyebabkan kawasan tadahan air itu tidak mampu menahan aliran air ke sungai dan terus mengalir ke laut dengan cepat.

”Kerajaan Kelantan berjaya mengutip RM2 juta setahun daripada permit kerja mengorek pasir sedangkan petani rugi RM120 juta semusim kerana sawah tidak menerima air secukupnya,” katanya.

Katanya, masalah sama turut dihadapi pesawah di Pasir Mas dan Tumpat namun boleh diatasi kerana air ada ketikanya boleh dipam.

No comments:

Post a Comment