Thursday, 28 June 2012

DADAH BERNILAI RM 1JUTA DAN PISTOL BERSAMA 3 PEMUDA DI KELANTAN

KOTA BHARU – Tiga sahabat termasuk seorang bekas tentera berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini, semalam atas tuduhan mengedar heroin di rumah tidak bernombor di Kampung Bakat, Rantau Panjang, Januari lalu.

Bekas tentera, Mohd Hafizul Aswan Azman, 28, dan dua rakannya, Roslan Hanapi, 34, dan Abdul Razak Senik, 38, masing-masing bekerja sebagai buruh dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengikut tuduhan, mereka didakwa mengedar 310.10 gram heroin di stor belakang rumah tanpa nombor berkenaan, pada jam 2.15 pagi, 30 Januari lalu.

Berikutan itu, ketigatiganya boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Pada prosiding semalam, mereka mengaku tidak bersalah. Susulan pengakuan tersebut, Hakim Azman Abdullah menetapkan sebutan semua pada 16 Julai depan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Julia Ibrahim dan peguam bela Hasif Hasan yang mewakili Mohd Hafizul Aswan dan Roslan, sementara Abdul Razak tidak diwakili peguam.

Pada 1 Februari lalu, Sinar Harian melaporkan polis Kelantan menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah apabila merampas heroin bernilai RM1 juta yang disifatkan rampasan terbesar dalam tempoh 10 tahun.

Ketua Polis Negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, dalam serbuan tersebut, pihaknya turut merampas sepucuk pistol jenis ‘Smith & Wesson’, empat butir peluru hidup, satu kelongsong peluru dan wang tunai berjumlah RM9,900 termasuk mata wang Thailand bernilai RM1,700 dipercayai hasil jualan dadah.

No comments:

Post a Comment