Friday 30 November 2012

'Pemimpin BN, PM Adalah Ulul Amri Yang Patut Ditaati'

Seorang perwakilan di Perhimpunan Agung Umno ke-66 hari ini menyifatkan perdana menteri dan parti BN sebagai golongan ulul amri yang patut ditaati anggota parti.Dalam ucapannya, wakil Jelebu Datuk Jalaluddin Alias berkata orang Islam yang sempurna iman mereka perlu taat kepada ulul amri (pemerintah) selain daripada beriman kepada Allah dan rasul.

Oleh yang demikian, golongan Muslim wajib taat kepada kepimpinan perdana menteri dan kerajaan BN yang merupakan pemerintah pada masa kini, katanya.

Beliau berkata demikian berdasarkan tafsirannya ke atas sepotong ayat dalam surah An-Nisa berhubung isu ketaatan kepada pemimpin.

"Siapa ulul amri kita? Ulul amri sekarang adalah kerajaan yang berkuasa.

"Ulul amri kita sekarang adalah BN dan perdana menteri kita," kata Jalaluddin.

Beliau mengulas ucapan Najib semalam yang menyentuh isu disiplin berjamaah dan mentaati kepimpinan parti, dengan memetik surah sama. Najib dalam ucapannya semalam membangkitkan perkara itu bagi menggesa anggota parti supaya menggunakan saluran parti bagi menyampaikan pendapat.


Najib juga berkata, anggota parti perlu menerima dengan hati terbuka keputusan muktamad yang dibuat pemimpin parti.

Isu berkenaan turut diulas seorang wakil Puteri Umno yang menggesa ahli Umno mengelak daripada berbalah sesama sendiri di media alternatif.

Wakil Puteri Umno Padang Besar, Asmaiza Ahmad berkata perbezaan pendapat itu perlu ditangani secara bijaksana dan diselesaikan secara berkesan.

"Perbezaan pendapat lumrah manusia, sedangkan lidah lagi tergigit. Yang penting elakkan perbalahan melalui media alternatif.

"Jangan gunakan media alternatif untuk selesaikan masalah," katanya yang membahaskan ucapan dasar presiden Umno.

Pasca-Mac 2008, BN giat membangunkan laman web dan bergiat di media sosial termasuk Umno yang menubuhkan Unit Media Baru bagi menghadapi pengaruh Pakatan Rakyat di media siber. -Malaysiakini

Wednesday 28 November 2012

Kerajaan Kelantan Temu 2 NGO Cina Esok Bincang Isu Salun

KOTA BHARU - Kerajaan Negeri akan mengadakan pertemuan dengan dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina di negeri itu bagi membincangkan isu kontroversi salun gunting rambut.

Exconya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perjumpaan pagi esok di Kompleks Kota Darul Naim itu bagi memberi ruang kepada NGO Gabungan Persatuan Cina Kelantan dan Dewan Perniagaan Cina Kelantan memberikan pandangan dan cadangan mereka berhubung isu berkenaan.

"Kami sedia terima penerangan dan pandangan daripada mereka. Perjumpaan ini juga lebih kepada memberi penjelasan berhubung perkara itu," katanya kepada media selepas Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Tuesday 27 November 2012

Khairy: Generasi Muda Tidak Mudah Terpengaruh Dengan Anasir Luar

KUALA LUMPUR - Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yakin generasi muda di negara ini tidak mudah terpengaruh dengan anasir luar terutama pihak yang mahu menggulingkan kerajaan.

Beliau berkata ini kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi ruang yang cukup kepada orang muda untuk menyampaikan pandangan termasuk menerusi anggota Parlimen.

"...zaman kerajaan tahu segalanya sudah kita tamatkan, kita 'engage' generasi muda selami jiwa mereka itu dan buat segalanya untuk mereka," katanya kepada Bernama, di sini.

Anggota Parlimen Rembau itu berkata hasil inisiatif kerajaan mendekati mereka, sokongan golongan muda kepada BN kini semakin kukuh.

Selain itu tegasnya proses demokrasi di negara ini juga lebih baik berbanding di beberapa negara yang menyaksikan rakyatnya bangkit menggulingkan kerajaan.

Beliau berkata usaha kerajaan memperkasa generasi muda dapat dilihat menerusi Belanjawan 2013 dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, antaranya menyediakan peruntukan khas bagi latihan kemahiran belia.

"Pindaan Akta Universiti Kolej (AUKU) yang membolehkan mahasiswa berpolitik juga merupakan antara usaha kita memperkasa generasi muda. Ada kata takut kampus kucar-kacir jika perkara ini dilaksana.

"Tetapi sudah lebih setahun pindaan ini terlaksana, tiada kucar-kacir yang berlaku malah suara mahasiswa semakin lantang berusaha memajukan negara. Percayalah kepada kami, kami orang muda, mahu dan akan menjadikan negara ini yang terbaik di dunia," katanya. - Bernama

Monday 26 November 2012

Saman MPKB, Itu Hak Karpal: Takiyuddin Hassan

KOTA BHARU - Kerajaan Pas Kelantan tetap bertegas melaksanakan perundangan Islam kepada orang bukan Islam meskipun mendapat tentangan daripada Pengerusi DAP Karpal Singh.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan negeri sedia menerima risiko untuk disaman oleh bukan Islam kerana setiap dasar yang dibuat kerajaan negeri selari dengan peruntukan Perlembagaan.

"Saya tak nak komen kenyataan Karpal. Pertamanya sebab saya tak dengar secara direct (langsung), keduanya, kalau Karpal tengok akta ini, dia akan setuju dengan sayalah. Dia pun peguam.

"Itu hak dia nak saman Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB), tapi baca undang-undang itu elok-elok sikit... nanti kita (Karpal) pula yang kena bayar kos. Kita bukan pandai-pandai begitu sahaja masa nak buat undang-undang atau akta," katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat MPKB di sini, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan Karpal Singh menggesa Kerajaan Pas Kelantan supaya menjelaskan perkara sebenar mengenai tindakan perundangan Islam yang dikenakan ke atas orang bukan Islam di negeri itu.

Karpal berkata, orang bukan Islam Kelantan yang dikenakan tindakan saman berdasarkan undang-undang Islam, boleh mencabar saman terbabit di mahkamah.

Pengerusi DAP itu berkata demikian sebagai mengulas mengenai keluhan seorang pengurus kedai gunting rambut di Kota Bharu, Ong Lee Ting, yang mendakwa beliau disaman 11 kali oleh pihak berkuasa tempatan kerana pekerja wanita bukan Islam di premisnya menggunting rambut pelanggan lelaki bukan Islam sejak 2010.

Akibatnya, dia didenda antara RM200 hingga RM350 dan mendakwa ramai lagi pemilik kedai gunting turut menghadapi perkara sama.

Takiyuddin bagaimanapun menjelaskan bahawa kerajaan negeri melaksanakan dasar itu sebagai langkah menjaga maruah wanita, sama ada Islam atau bukan Islam daripada mengalami gangguan seksual dan terjebak dalam kancah pelacuran.

"Kedai gunting rambut seringkali dilaporkan hanya menjadi topeng perniagaan sahaja di hadapan, tapi di belakang (ia) jalankan perniagaan yang bercanggah dengan undang-undang dan moral.

"Adakah seorang ayah rela anak perempuannya diganggu (ketika bekerja), apatah lagi suami yang rela isterinya diganggu oleh pelanggan-pelanggan lelaki misalnya?" tanya beliau. - Bernama

Friday 23 November 2012

Setiausaha Akhbar Nik Aziz Sedia Debat Dengan Minda Pondok Isu Umno Murtad

KOTA BHARU - Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Fadhli Shaari bersedia untuk berdebat dengan badan bukan kerajaan (NGO) Minda Pondok mengenai isu tuduhan Umno murtad.

Kesediaan itu dibuat oleh Ahmad Fadhli setelah Ahli Jawatankuasa Minda Pondok, Mohamad Zainal Abidin Awang mencabar berdebat dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi menjelaskan kepada masyarakat berhubung tindakan Pas membaca doa untuk menghancurkan Umno kerana didakwa tidak selari dengan Islam.

Menurut Ahmad Fadli, beliau mengalu-alukan ajakan debat oleh Minda Pondok kepada Menteri Besar, tetapi panel itu yang terlibat mesti sama kedudukan sama ada dalam parti mahu pun kerajaan.

“Cabaran debat ini agak kontra dengan keputusan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang enggan melayan cabaran debat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas alasan bahawa debat bukan budaya kita. Justeru, Minda Pondok barangkali boleh dianggap lebih berani daripada Perdana Menteri dalam hal ini.

“Selaku Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am Pas, adalah tidak munasabah untuk meletakkan Minda Pondok sepentas dengan Tuan Guru dalam apa jua tajuk sekalipun,” katanya.

Justeru itu Ahmad Fadhli berkata, beliau dengan rendah hati menawarkan diri untuk tampil menyahut cabaran Minda Pondok yang perlu untuk dilaksanakan bagi menjernihkan beberapa tuduhan yang dilemparkan kepada Nik Aziz khususnya dalam isu doa dan dakwaan memurtadkan Umno.

“Saya kira sama ada Minda Pondok boleh merangka program ini ataupun diserahkan kepada pihak ketiga menjadi urus setia. Saya harap Minda Pondok boleh terima cadangan ini jika benar-benar ikhlas menjernihkan suasana,” katanya.

Thursday 22 November 2012

Pas Tolak Anwar Jadi PM Ketujuh

Pas nampaknya kian menjadi seperti tupai. Lompat sana lompat sini, ciluk sana ciluk sini tetapi akhirnya gagal dianggap umum sebagai gerakan Islam seperti Ikhwan di Mesir dan juga Nahdatul Ulama di Indonesia. 

Yang kelihatan penting bagi parti tersebut bukannya Islam tetapi Putrajaya. Dulu politik seperti ini orang sebut politik Machiavelli, hari ini sudah ramai yang menyebutnya sebagai ‘politik putar alam’ – siang cakap lain, malam pakai topeng dan cakap lain. 

Ini terbukti apabila mereka mengadakan solat hajat dan mendoakan agar Umno dan BN dibinasakan ALLAH seperti mana ALLAH membinasakan Firaun, Namrud dan sebagainya. Soalnya mengapa mendoakan Umno saja binasa, mengapa tidak mendoakan Israel, DAP serta PKR dibinasakan kerana kezaliman serta kemungkaran yang dibuat selama ini? 

Nampaknya sejak dulu, Pas terus memperalatkan ritual keagamaan seperti solat hajat dengan sewenang-wenangnya bagi tujuan politik. 

Namun di sebalik barisan saf-saf solat hajat tersebut, rupa-rupanya tidak ada satu kesatuan atau cohesiveness di kalangan ahli-ahli parti tersebut mengenai isu pokok.

Walaupun Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri pernah mempersetujui tanpa membuat sebarang referendum akan saranan agar Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri sekiranya Pakatan Rakyat memenangi PRU13 dan ia disahkan secara automatik oleh
Mursyidul Am yang sentiasa menganggap DAP dan PKR lebih Islamik, tetapi apa yang disaksikan dalam Muktamar ke-58 parti itu di Kota Bharu seminggu lalu adalah cukup berbeza. 

Tak siapa menduga di peringkat akar umbi, Anwar bukanlah pilihan utama berbanding keputusan satu dua orang di peringkat tertinggi. Muktamar Tahunan Pas ke-58 di Kota Bharu itu juga dilihat kemenangan bagi ahli-ahli biasa atau ahli-ahli di peringkat akar umbi. 

Mereka berjaya menggagalkan kehendak kumpulan “elit” atau profesional di dalam parti yang mahu menyerahkan negara dipimpin oleh pihak luar dari Pas. 

Sejak 50 tahun ditubuhkan, Pas yakin dan percaya jika mereka menang pilihan raya, presiden merekalah yang paling layak jadi PM, bukan orang luar. Tetapi apa yang akhir-akhir ini amat berlainan dari apa yang dihajati Pas selama ini. Bahkan di atas kertas, Pas bersetuju dengan turut mengusulkan Anwar yang berhadapan isu-isu moral diberi kepercayaan menjadi PM ke-7 jika mereka menang. 

Muktamar kali ini juga membuktikan Pas berjaya menepis dakwaan bahawa parti itu kini dalam genggaman Anwar ataupun sudah menjadi boneka Dap. 

Pas membuktikan parti itu tidak sama dengan apa yang dibaca baik dalam blog-blog pro pembangkang ataupun media rasmi parti itu. Pendek kata hakikat Anwar berjaya meresapi pengaruhnya ke dalam parti itu, ia satu sandiwara melucukan. 

Bagi mereka sama ada Anwar ataupun Dap, ia hanyalah sebuah sandiwara kerana akhirnya mereka yang berada di peringkat akar umbi yang menentukan dasar parti. 

Anwar mungkin berjaya “mengkaderkan” pemimpin muda profesional yang kini memegang pelbagai jawatan penting dalam parti, namun itu pun peratusnya sangat kecil. Kalau ibarat sekumpulan kambing berwarna hitam, peratus yang kecil pro Anwar yang berwarna kelabu itu tenggelam begitu saja. 

Presiden Pas menyedari kumpulan pro ulama dan mereka yang tidak senang dengan Anwar lebih dominan sehingga Tuan Guru kelihatan agak kecut untuk menyebelahi Anwar pada peringkat ini.

Hadi mungkin mengagumi Anwar daripada mempercayai keupayaan dirinya dan partinya terpaksa menerima hakikat ahli-ahli di peringkat akar umbi adalah kuasa penentu. 

Bagi mereka, perjuangan Pas bukan semata-mata merampas Putrajaya, tetapi mendaulatkan Islam. Mereka menerima hakikat bahawa dalam PRU13 kekalahan Umno sajalah peluang mereka untuk menawan Putrajaya jauh lebih cerah. 

Mereka bukanya menolak kemenangan dalam PRU13 tetapi jauh dari itu mereka menitikberatkan perjuangan akhirat seperti diperjuangkan sejak parti itu ditubuhkan 50 tahun silam. 

Dalam hal ini mereka sebulat suara menolak kehendak DAP dan PKR yang ingin menobatkan Anwar sebagai perdana menteri kerana sedar kedua-duanya tidak boleh diharapkan.

Namun, ia bukanlah berita yang keseluruhannya gembira untuk Hadi. Apakah beliau fikir DAP dan PKR akan memberikannya laluan mudah atau menyokong beliau?

Bukankan Hadi adalah antara pemimpin Pas yang cukup beria-ia memajukan idea hukum hudud dan negara Islam. Silap hari bulan, kedua-dua parti ini akan mengusahakan agar Hadi tewas di kerusi Parlimen yang beliau tandingi. Jika ini berlaku, maka selicik-licik Hadi, akhirnya beliau juga akan turut terjatuh. Hadi kena ingat bahawa: Every tupai has its day.

Wednesday 21 November 2012

Isu Murtad: Azhar Sulaiman Beri Penjelasan

SHAH ALAM - "Kenyataan saya keluarkan dalam laman sosial Facebook, adalah respons daripada tajuk utama yang dipaparkan dalam sebuah akhbar semalam (kelmarin) iaitu 'Nik Aziz dakwa Umno murtad'." 

Begitulah penjelasan yang diberikan oleh aktor terkenal, Azhar Sulaiman, berhubung kenyataan mengenai dirinya kerana menjadi ahli Umno.

Azhar berkata, beliau hanya mengutarakan persoalan kepada individu cerdik agama, iaitu adakah beliau juga dikategorikan sebagai murtad kerana menjadi ahli Umno.

"Jika orang baca betul-betul, mereka tahu saya mengutarakan pertanyaan. Ini kerana bila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengatakan Umno murtad, jadi bagaimana dengan saya?

"Itu hanya kenyataan dari saya, terpulanglah bagaimana interpretasi dan penilaian pihak lain mengenai kenyataan saya itu," katanya kepada Sinar Harian di pekarangan Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

Azhar berkata, dia bukan sengaja mahu menimbulkan kontroversi, apatah lagi cuba menjadi ahli politik. Sebaliknya, sebagai rakyat Malaysia, dia cuma mengambil tahu mengenai perkembangan semasa.

Mengenai laporan polis oleh beberapa individu di Perak, Azhar berkata, dia tiada masalah dalam perkara itu.

"Apa yang boleh saya kata, jika orang benar-benar faham dengan kenyataan saya, mereka akan faham apa yang cuba saya sampaikan," katanya.

Monday 19 November 2012

Intipati Doa Kuburkan Umno-BN Undang Kesan Buruk Kepada Masyarakat


SHAH ALAM – Intipati bacaan doa pada malam solat Hajat Pas baru-baru ini dilihat tidak wajar kerana ia  mengundang pelbagai implikasi buruk terhadap masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno, Fathul Bari Mat Jahaya berkata, perkara seumpama itu sudah menyisihkan pandangan ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Menurutnya, sudah menjadi tuntutan ulama mendoakan perkara kebaikan walaupun kepada musuh.

“Seorang Imam bernama Ahmad bin Hanbal telah ditangkap dan didera kerana enggan menukar pendiriannya, lalu ditanya apakah doanya terhadap orang menzalimi diri beliau dan dia menjawab, ‘jika ada doa paling mustajab, aku doakan kebaikan terhadap diri mereka.

“Perkara itu menjadi pegangan ulama sehingga ke hari ini. Mendoakan kebaikan kepada pemimpin memberi kebaikan kepada rakyat, mendoakan keburukan kepada pemimpin memberi keburukan dan kesan negatif terhadap rakyat,” katanya.

Katanya, sewajarnya parti politik seperti Pas menuntut perkara kebaikan dan bukannya yang boleh memberi pelbagai implikasi.

“Bukan tidak boleh berdoa. Doa boleh dibaca seperti ‘Ya ALLAH, jauhkan kami daripada korupsi, kezaliman, liberalisme, rasuah dan semua perkara tidak baik.’

“Itu lebih baik daripada menyebut nama organisasi seperti Umno dan Barisan Nasional. Bukan semua ahli dalam Umno bermasalah, tetapi apabila doa disebut begitu, ia memberi gambaran negatif dan pelbagai andaian boleh berlaku,” katanya.

Beliau juga menambah, terdapat empat kesan yang boleh terjadi berikutan isi kandungan doa itu iaitu mengelirukan rakyat, perpecahan, fitnah dan permusuhan.

“Empat perkara itu begitu jelas. Saya mohon mereka beristighfar dan kembali kepada landasan Islam sebenar.

“Jangan kerana itu, akan berlaku pelbagai insiden tidak diingini khususnya kepada masyarakat Islam sesama sendiri,” katanya.

Sementara itu, Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hasan Mohamed Ali melahirkan rasa kecewa apabila mendapati doa disampaikan boleh menimbulkan huru-hara di kalangan masyarakat Islam.

Menurutnya, bacaan doa perlulah dengan bahasa syahdu, tidak terjerit-jerit dan meminta perkara baik-baik sahaja.

“Saya juga pernah mengetuai bacaan doa. Tidak pernah ada ayat atau permintaan seperti ‘hapuskan’ atau perkataan tidak baik.

“Doa juga ada tertibnya. Saya sangat bimbang kerana Pas ada dua kumpulan iaitu ahli biasa dan ahli taksub.

Dengan bacaan doa begitu, dikhuatiri ia menjadi contoh tidak baik terhadap mereka,” katanya.

Katanya, bacaan doa seumpama itu juga memungkinkan Pas boleh kehilangan undi Umno.

“Kemenangan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) berjaya menarik ramai ahli Umno untuk mengundi Pas. 

“Tidak mustahil undi mereka berpindah kepada DAP atau PKR jika Pas tidak belajar daripada kesilapan ini,” katanya. -Sinar Harian

Sunday 18 November 2012

Isu Jawatan PM: Kita Boleh Bincang, Anwar Beritahu Pas


SHAH ALAM - Gesaan wakil Dewan Ulama Pas Pusat yang mahu Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggalas jawatan Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pentadbiran Putrajaya bukan "satu masalah", kata Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

"Tiada masalah, tak ada apa, kita boleh bincang dengan baik," kata Ketua Umum PR itu secara ringkas ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Halatuju Pendidikan Negara di Universiti Selangor (Unisel), di sini pagi tadi.

Pemilihan calon Perdana Menteri jika PR memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) antara persoalan yang dibangkitkan perwakilan Pas pada Muktamar Tahunan Pas ke-58.

Wakil Dewan Ulama Pas Pusat, Hairun Nizam Mat Hussain semalam mengulangi pendiriannya bahawa beliau yakin sebahagian besar ahli parti itu mahu Abdul Hadi menjadi Perdana Menteri.

"Saya kira kalau rata-rata ahli Pas mahukan presiden (Abdul Hadi) sendiri jadi Perdana Menteri, tetapi tuan guru dia mempunyai sikap yang baik iaitu dalam masalah memimpin masyarakat itu yang terbaik adalah pelaksanaan amanah, siapa yang hendak menjadi yang paling tinggi, ia terserah kepada rakyat," katanya kepada Sinar Harian Online lewat semalam.

Tidak kurang pula sokongan dan gesaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mahukan Anwar menggalas tugas penting itu kerana beliau adalah calon paling layak.

Gesaan Lim Kit Siang itu dibuat ketika Himpunan Kebangkitan Rakyat yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke-IV malam kelmarin.

Pendapat sama sebelum itu disuarakan oleh anaknya, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng awal tahun ini.

Sebaliknya, Hadi rela menjadi khadam demi rakyat daripada menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri yang disifatkannya sebagai "amanah berat" meskipun Dewan Ulama Pas menegaskan presidennya itu lebih layak.

Saturday 17 November 2012

Hadi: Saya Rela Jadi Khadam Dari Jadi PM

PENGKALAN CHEPA - Datuk Seri Abdul Hadi Awang rela menjadi khadam demi rakyat daripada menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri yang disifatkannya sebagai "amanah berat" meskipun Dewan Ulama Pas menegaskan presidennya itu lebih layak.

"Apa yang penting kepada kami, kita ke Putrajaya. Siapa yang jadi Perdana Menteri, yang diterima oleh rakyat, yang dapat menyatukan rakyat, dapat menegakkan keadilan untuk rakyat.

"Kita terima. Saya terima. Macam saya sebutlah, saya sanggup jadi nelayan balik," kata Abdul Hadi pada sidang media di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK), hari ini. 

Dalam satu temu bual dengan Sinar Harian Januari lalu, Abdul Hadi berkata, beliau tidak kisah menjadi nelayan asalkan Perdana Menteri yang dipilih kelak mengamalkan dasar pemerintahan Islam dan mampu menyelamatkan negara. 

Pagi tadi, perwakilan Dewan Ulama menegaskan, jika ada individu yang paling layak menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat menang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) adalah Abdul Hadi sendiri.

"Bukan sebagai alasan untuk menaik-naikkan beliau, tetapi beliaulah orang yang lain layak untuk menjadi pemimpin, Perdana Menteri pada masa akan datang dan kita sebagai anak didik kepada Pas, tidak sepatutnya, kita pula yang berkempen agar orang lain menjadi pemimpin sedangkan negara yang ingin dibawa adalah negara yang berdasarkan syariat.

"Kita meletakkan satu keyakinan bahawa presiden kita orang yang berkaliber untuk memimpin sebuah negara...," katanya.

Menjawab pertanyaan media, Abdul Hadi menjelaskan, dalam Pas, pimpinannya tidak pernah diajar untuk meminta-minta jawatan dalam parti politik.

"Saya sebagai seorang pimpinan yang diajar dalam parti Islam, kita tak boleh minta untuk jadi pemimpin," namun katanya, jika diberikan tanggungjawab itu, "kita anggap ini sebagai satu amanah yang berat, amanah yang besar."

Malam tadi penasihat DAP, Lim Kit Siang membuat pengisytiharan bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya perikatan itu ke Putrajaya selepas PRU13.

Menurut Kit Siang, Anwar adalah pemimpin dari pembangkang yang paling layak untuk menjadi Perdana Menteri. -Sinar Harian

Friday 16 November 2012

Harussani Jawab Harun Taib, Saya Sentiasa Bertaubat

SHAH ALAM – “Saya sentiasa bertaubat selepas menunaikan solat, sebanyak 10 kali atas apa jua kesilapan yang dilakukan saya.” Demikian menurut Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria menjawab kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib semalam, yang turut meminta beliau bertaubat. 

Menurutnya, setiap manusia sentiasa melakukan kesalahan dan dengan bertaubat, umat Islam tidak akan terus berada dalam dosa di atas kesilapan yang dilakukan. 

Harussani, antara pemimpin agama yang mendapat perhatian dalam arena politik tempatan khususnya berkaitan idea kerjasama politik Pas-Umno menambah, “jadi, saya hanya meminta (Naib Presiden PKR) Nurul Izzah bertaubat apabila melakukan kesalahan.” 

Katanya, orang Islam pada masa ini hanya berjuang atas kepentingan politik dan saling menabur fitnah sehingga mewujudkan perpecahan di kalangan umat Islam. 

“Perjuangan orang Islam terutamanya pemimpin sekarang lebih kepada kepentingan politik sendiri. 

“Mereka jauh terpesong, mereka tidak mengikut ajaran Islam dan tidak mengikut sunnah Rasulullah,” kata beliau kepada Sinar Harian Online. 

Pagi semalam, Harun meminta Harussani turut bertaubat kerana didakwa tidak menyokong perjuangan Islam. 

Kenyataan Harun itu dibuat ketika mengulas komen Harussani yang meminta Nurul Izzah bertaubat kerana mengeluarkan kenyataan tidak selari mengenai kebebasan agama. 

“Bertaubat kalau dia (Nurul Izzah) buat salah besar… Tan Sri Harussani harus bertaubat juga kerana tidak menyokong perjuangan Islam. Dia juga harus bertaubat,” katanya selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat di Kota Bharu semalam. 

Harussani juga berkata, semua parti politik yang menggunakan Islam tidak akan disokongnya kerana perjuangan mereka tidak sejajar dengan konsep Islam. 

Harussani menambah, teguran sering dibuat kepada semua orang Islam sejak beliau menjadi kadi lagi untuk mengembalikan mereka ke jalan yang benar. 

“Dulu apabila saya menjadi kadi, saya sering menegur orang Islam yang melakukan kesilapan dan kembali ke jalan yang benar. 

“Sejak lebih kurang 50 tahun lebih negara merdeka, setiap parti yang dikatakan membawakan ajaran Islam hanya tahu berkempen untuk parti. 

“Melalui kempen mereka sering membuat fitnah, memaki hamun dan di rumah ibadat juga telah wujud perpecahan, adakah dengan cara ini kita nak tonjolkan Islam kepada masyarakat?” katanya. -Mynewshub

Wednesday 14 November 2012

Mufti Perak: Nurul Izzah Perlu Bertaubat Dan Minta Maaf Pada Semua

IPOH - Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menasihatkan supaya anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar bertaubat serta memohon keampunan daripada Allah SWT serta menarik kembali kenyataannya berhubung kebebasan beragama pada sebuah forum di Subang Jaya baru-baru ini.

Beliau juga mengulangi nasihat itu untuk seluruh pengikut pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) terbabit yang menyokong serta bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan itu kerana ia adalah berdosa besar.

"Dia (Nurul Izzah) terlampau mudah buat kenyataan seperti itu. Dia perlu bertaubat, bertaubatlah dan tarik balik kenyataan dalam ucapannya itu. Minta maaflah kepada semua. Manusia ini tidak lari daripada melakukan kesilapan, kita mudah melakukan kesilapan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya pengikut pemimpin pembangkang itu juga bersubahat dalam tindakan atau perbuatan yang tidak dibenarkan oleh agama Islam dan berdosa besar.

"Orang ini (pengikut) ini bersubahat dan berdosa besar, mereka wajib bertaubat...perlu menggunakan akal yang waras. Jangan permain-mainkan agama," katanya.

Katanya kenyataan seperti yang diungkapkan oleh Nurul Izzah itu akan memudahkan perbuatan atau tindakan yang dilarang oleh agama Islam.

Beliau berkata sekiranya Nurul Izzah tahu, sedar dan faham yang diucapkannya maka akidah pemimpin parti pembangkang itu telah rosak dan telah keluar daripada pegangan akidah sebagai seorang Islam.

"Islam terima kewarasan akal, jika dia tahu, sedar, faham serta ada pengetahuan dan keyakinan (tentang apa yang diucapkannya) maka dia wajib bertaubat," katanya.

Laporan portal berita propembangkang pada 3 Nov lepas memetik Nurul Izzah sebagai berkata: "Rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara ini juga patut terpakai kepada orang Melayu.

"Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama...bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata," kata Nurul Izzah.

Beliau berkata demikian pada forum bertajuk "Negara Islam: Versi Mana; Tanggungjawab Siapa?" di Subang Jaya, Selangor pada 3 Nov. - Bernama

Mustapa: PKR Perlu Nyatakan Pendirian Tentang Isu Izzah

KOTA BHARU - PKR perlu menyatakan pendirian mereka terhadap kenyataan Naib Presiden parti itu, Nurul Izzah Anwar yang didakwa mengeluarkan kenyataan sensitif terhadap bangsa Melayu dan Islam baru-baru.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang juga Pengerusi Umno Kelantan berkata, Nurul Izzah juga perlu tampil menyelesaikan kontroversi itu.

"PKR perlu nyatakan pendirian mereka. Jangan lagi dolak-dalik dan jika benar ia berlaku, parti itu perlu memohon maaf.

"Isu kontroversi ini perlu ada penamatnya, Nurul Izzah juga perlu tampil ke hadapan untuk menyelesaikannya. Semuanya terletak pada bahu dia dan rakyat mahu tahu perkara sebenar," katanya selepas mengadakan kunjungan sempena sambutan Deepavali ke rumah keluarga Dhana Letchumy Arumugam, 56, di Kampung Sireh di sini, semalam.

Laporan portal berita propembangkang pada 3 Nov lepas memetik Nurul Izzah sebagai berkata: "Rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara ini juga patut terpakai kepada orang Melayu.

"Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama... bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata," kata Nurul Izzah.

Beliau berkata demikian pada forum bertajuk "Negara Islam: Versi Mana; Tanggungjawab Siapa?" di Subang Jaya, Selangor pada 3 November.

Sementara itu, Mustapa berkata, semua kaum minoriti di negara ini bertuah dapat hidup dalam suasana penuh harmoni yang kerajaan sama sekali tidak meminggirkan nasib mereka.

"Kita rasa bangga di Malaysia semua rakyat minoriti tetap diberi perhatian oleh kerajaan melalui kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk kaum India.

Kita harus bersyukur tinggal di Malaysia," katanya. - Bernama

Tuesday 13 November 2012

Politik Ganas: Tindakan Pemimpin Jadi Pendorong Keberlakuannya

KOTA BHARU- Budaya politik ganas bukan fenomena baru dalam arena politik negara, sejak sekian lama ia wujud, namun semakin menular selepas dipercayai didorong beberapa faktor semasa yang berlaku tanpa kita sedari.

Ketua Exco Penerangan Pas Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Datuk Hassan, berkata, bentuk politik ini tidak boleh diterima walau dari pihak mana ia datang.

“Budaya politik ganas ini tidak seharusnya berlaku di negara ini jika semua pihak mengamalkan sistem demokrasi sewajarnya, yang menganjurkan setiap individu hormati hak individu lain,” katanya.

Mengakui politik ganas dimulakan pemimpin, Mohamed Fadzli berkata, walaupun pemimpin tidak arahkan pimpinan bawahan melakukan keganasan, namun tindakan seseorang pemimpin kadang kala mengundang budaya politik ini.

“Sebab itu, dalam situasi ini ada pepatah mengatakan, kalau bapa kencing berdiri, anak kencing berlari. Kalau pemimpin buat sekali, penyokong akan bertindak lebih daripada apa yang difikirkan pucuk pimpinan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PKR Kelantan, Abdul Aziz Abdul Kadir, berkata, cara berpolitik menggunakan keganasan tidak melambangkan identiti rakyat Malaysia selain bertentangan dengan budaya dan adat penduduk negara ini.

Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Ketereh, budaya politik itu seolah-olah cubaan menyekat saluran maklumat antara pemimpin dan pimpinan bawahan.

“Ia suatu bentuk politik tidak bertamadun yang sepatutnya tidak wujud dalam dunia moden kini,” katanya.

Kejadian seperti memusnahdan membakar poster serta baling batu ketika ceramah dijalankan boleh dikategorikan sebagai politik ganas yang sepatutnya tidak berlaku dalam dunia moden kini. -Sinar Harian

Monday 12 November 2012

Polis Hanya Boleh Bantu Jais Siasat Nurul Izzah - KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar (tengah) bertanya khabar anggotanya, L/Kpl Mohd Samsul Anuar Mohd Adnan, 27, dari Balai Polis Paloh, Gua Musang yang parah selepas ditembak penjenayah dalam sekatan jalan raya, baru-baru ini, yang kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II. Turut hadir Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.
KOTA BHARU - Polis bersedia untuk membantu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menjalankan siasatan terhadap Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, yang didakwa memberi kenyataan dianggap menyokong kebebasan beragama bagi umat Islam di negara ini. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, bagaimanapun, berkata polis hanya boleh memainkan peranan yang kecil kerana ia adalah di bawah bidang kuasa jabatan agama. 

"Pihak polis hanya boleh memberikan bantuan kepada Jais. 

"Siasatan terperinci akan dijalankan oleh jabatan tersebut," katanya, Ahad selepas melawat dua anggota polis yang dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini selepas ditembak oleh dua penjenayah dikehendaki, bulan lepas.

Ismail mengulas mengenai laporan polis yang dibuat terhadap Nurul Izzah, menuntut tindakan diambil terhadap beliau. 

Ahli Parlimen Lembah Pantai yang menafikan bahawa dia menyokong murtad, bertemu dengan pegawai Jais pada Jumaat lalu untuk mengemukakan aduan dan memberikan penjelasan berhubung perkara itu. 

Nurul Izzah dikatakan telah memberi ucapan pada forum awam minggu lepas bahawa tiada siapa yang perlu dipaksa untuk menerima mana-mana agama dan ini juga digunapakai kepada orang Melayu. 

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata polis akan mempertingkatkan kaedah latihan mereka untuk menangkis cabaran yang mengancam nyawa anggota polis yang dihadapi semasa menjalankan tugas mereka. 

Beliau menambah pihak polis perlu dilengkapi dengan pengetahuan lanjut mengenai bagaimana untuk menangani penjenayah bersenjata dan berbahaya. -Mstar

Sunday 11 November 2012

Nurul Izzah Salah Tafsir Ayat Quran, Perlu Tarik Balik Kenyataan - Nasharudin


PETALING JAYA - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) disaran bertaubat dan menarik balik kenyataannya berhubung kebebasan beragama bagi orang Melayu di negara ini.

Saranan dibuat bekas Timbalan Presiden Pas Nasharudin Mat Isa yang menyifatkan kenyataan tersebut sebagai kenyataan besar dan memberi implikasi serius jika digunapakai oleh orang Melayu.

"Dalam hal ini saya saya menyarankan supaya Nurul Izzah menarik balik kenyataan itu. Dalam Islam apabila kita melakukan kesalahan, dan apabila kita sedar kita tersilap, kita boleh membetulkannya, bertaubat di atas kesalahan kita dan Allah SWT pasti menerima pengampunan kita kerana Allah SWT itu Maha pengampun Lagi Mengasihani," katanya dalam satu wawancara yang disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia, pada Ahad.

Katanya, isu ini dianggap serius kerana melibatkan perkara asas Islam dan Nurul Izzah harus bertanggungjawab.

Sambil menyifatkan kenyataan Nurul Izzah sebagai bercanggah dalam Islam dan Perlembagaan, beliau berkata ia juga boleh menimbulkan kekeliruan besar dalam masyarakat.
"Pertama, ia bercanggah dengan prinsip asas 'Akidah dan Syariah Islam'.

"Kedua, ia tafsiran peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Nasharudin berkata dalam kes ini Nurul Izzah telah mentafsirkan ayat tidak kena pada tempatnya dan telah membuat tafsiran yang salah.

Tambahnya, Nurul Izzah mentafsirkan ayat ke- 256 surah al-Baqarah yang bermaksud 'Tiada paksaan dalam agama' untuk ke arah sebagaimana yang telah beliau ucapkan.

Menurut Nasharudin, ayat 'Tiada Paksaan dalam agama' itu hanya terpakai kepada orang bukan Islam yang disepakati seluruh Ahli Tafsir Islam tanpa khilaf.

"Tafsiran bermaksud selagi mana seseorang itu bukan Islam, kita sebagai Muslim tidak ada hak sedikit pun untuk memaksa dia memeluk Islam.

"Namun, apabila orang Islam itu sudah menjadi seorang Muslim maka ayat ke-36 surah al-Ahzah terpakai ke atasnya sebagai Muslim," katanya.

Ayat ke-36 surah tersebut bermaksud "Tidak boleh bagi orang yang beriman lelaki dan perempuan apabila telah ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya tentang satu urusan mereka tidak ada hak untuk memilih..."

Mengulas mengenai cubaan menjawab balik Ahli Parlimen Lembah Pantai berkenaan dengan menyalahkan pihak tertentu, kononnya kenyataan disalahpetik dan disalahtafsir, Nasharudin mengaitkannya dengan kaedah penting yang oleh pakar-pakar dan sarjana Islam iaitu meletakkan hukum dengan perkara yang zahir.

"Dalam konteks kenyataan Nurul Izzah secara zahirnya dan berdasarkan pengamatan yang kita semua dapat lihat dan dengar, beliau menyebut dengan jelas dan bermaksud untuk memberikan kebebasan kepada orang Melayu memilih agama atas prinsip kebebasan manusia untuk membuat pilihan," katanya.

Dalam pada itu Nasharudin turut menunggu 'keberanian' kepimpinan tertinggi Pas memberikan kenyataan dan pandangan terhadap kenyataan Nurul Izzah.

"Saya amat yakin Pas berani untuk menyatakan pendiriannya sebab aliran pluralisme agama, aliran liberalisme merupakan dua aliran yang ditentang hebat oleh Pas.

"Dalam konteks ini saya pasti mungkin dalam tempoh terdekat ini ada pimpinan terkanan Pas akan membuat kenyataan dan saya juga dapat merasakan ini akan menjadi topik yang akan diketengahkan oleh para perwakilan dalam Muktamar Tahunan Pas Ke-58 minggu depan," katanya. -Mstar

Saturday 10 November 2012

Faktor Calon Jadi Penentu Kemenangan BN Di Kelantan - Hussein Ahmad

PASIR MAS - Veteran Umno Kelantan, Tan Sri Hussein Ahmad membayangkan faktor pemilihan calon bakal menjadi penentu kemenangan Barisan Nasional (BN) di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). 

Bekas timbalan menteri besar Kelantan itu berkata pucuk pimpinan parti harus membuat pilihan bijak dan tepat dalam menentukan calon yang layak untuk bertanding pada pilihan raya umum itu. 

Katanya ini memandangkan rakyat Kelantan telah mula menunjukkan perubahan mahukan BN dan Umno kembali memerintah Kelantan selepas 22 tahun berada di bawah pemerintahan kerajaan negeri pimpinan PAS. 

"Keunikan politik rakyat Kelantan telah lama diketahui di mana mereka boleh mengubah kerajaan dalam tempoh terdekat," katanya kepada Bernama di sini hari ini . 

Hussein, 78, yang juga bekas ketua penerangan Umno Malaysia selama 14 tahun, berkata Umno tidak ketandusan pemimpin muda untuk ditonjolkan sebagai calon dalam pilihan raya. 

"Jadi, tidak ada sebab Umno tidak boleh memilih muka-muka baharu yang merupakan 'winnable candidate'. Muka baharu tidak bererti tertakluk kepada generasi muda, orang lama pun boleh menjadi calon jika mempunyai kelayakan," katanya. 

Hussein berkata trend pemilihan rakyat Kelantan sekarang bukan semata-mata menyokong parti, tetapi mereka juga memilih kelayakan seseorang calon.- Bernama

Friday 9 November 2012

Isu Izzah: Polis Ambil Keterangan Staf Malaysiakini

KUALA LUMPUR – Polis mengambil keterangan tiga pegawai portal berita pro-pembangkang Malaysiakini berhubung laporan berita berkaitan kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar tentang kebebasan beragama. 

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli berkata ia dilakukan atas perintah Majistret Petaling Jaya dan keterangan diperlukan untuk mengenal pasti penulis artikel itu. 

“Setakat ini identiti penulis artikel belum diperolehi,” katanya ketika dihubungi Bernama.Keterangan petugas Malaysiakini itu diambil di pejabat portal berita berkenaan di Bangsar di sini antara 5.15 petang dan 6.55 petang Khamis. 

Ia melibatkan sekumpulan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya diketuai Pegawai Penyiasat ASP Nadzri Harun serta unit forensik IPD Cheras. 

Menurut Yahaya, tiada sebarang rampasan dilakukan. 

Laporan portal berita pro-pembangkang pada Nov 3 itu memetik Nurul Izzah sebagai berkata, “Rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara ini juga patut terpakai kepada orang Melayu.” 

“Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama…bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata.” 

Nurul Izzah dipetik berkata demikian pada forum bertajuk ‘Negara Islam: Versi Mana; Tanggungjawab Siapa?’ di Subang Jaya. 

Pada sidang media di lobi Parlimen hari ini, Nurul Izzah memberitahu beliau akan memberi keterangan kepada Jabatan Agama Islam Selangor di Shah Alam pagi Jumaat. – Bernama

Thursday 8 November 2012

Nurul Izzah Buat Aduan Di Jais Esok Berhubung Laporan Menfitnah

KUALA LUMPUR - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar akan bertemu dengan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Marzuki Hussin esok bagi membuat aduan terhadap sebuah akhbar yang didakwa memfitnahnya.

"Saya akan berjumpa dengan Pengarah Jais esok, jam 11 pagi untuk kemuka aduan terhadap laporan menyerang dan memfitnah saya.

"Ini kerana dakwaan yang disebut berasaskan laporan Utusan Malaysia," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Sebelum ini, Marzuki menjelaskan bahawa Jais akan memanggil Ahli Parlimen Lembah Pantai itu bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya bahawa rakyat tidak harus dipaksa mengamalkan ajaran tertentu termasuk kepada orang Melayu.

Sabtu lalu, pada forum 'Negara Islam: Versi Mana, Siapa Bertanggungjawab', Nurul Izzah dilaporkan menegaskan bahawa setiap rakyat di dalam negara ini tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama-agama tertentu.

Kenyataannya itu dilaporkan portal berita berbahasa Inggeris yang menyatakan bahawa rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan ia juga terpakai secara sama rata kepada orang Melayu.

Wan Azizah Kesiankan Nurul Izzah Jadi Bahan Kontroversi

PETALING JAYA – “Kasihan Izzah. Sabarlah ye nak…” Dia mengusap-usap gambar Nurul Izzah yang tersiar di muka hadapan Sinar Harian. 

Walau tersenyum nipis, tetap ada raut sayu hiba hati ibu. Itulah aksi spontan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail apabila menatap wajah anaknya, Nurul Izzah Anwar di muka depan akhbar Sinar Harian semalam. 

“Saya memang sedih apabila kontroversi ini timbul. Naluri keibuan saya terasa dijerut. “Anak saya dituduh menggalakkan murtad! Satu tuduhan berat!” 

Itu yang diluahkan Dr Wan Azizah apabila ditanya tentang kontroversi yang mendakwa anaknya itu menggalakkan kebebasan memilih agama pada forum Islamic State: Which Version Whose Responsibility? baru-baru ini. 

Katanya, walaupun beliau dan keluarga sudah lali dengan serangan politik dan peribadi sejak suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari Kabinet 14 tahun lalu, namun serangan yang mengaitkan sentimen agama amat keterlaluan. 

“Dulu suami saya dikaitkan dengan kes sodomi, tetapi tidak berjaya, timbul pula sodomi II juga tidak berjaya. Lepas itu dikaitkan pula dengan Kristian dan pluralisme. Sekarang tiba giliran anak saya pula. 

“Kepada anak-anak saya pesan, hadapilah segala ujian yang mendatang dengan tabah untuk dapatkan keredaan ALLAH. 

“Jangan putus memohon dan berdoa kepada-NYA moga perjuangan kita diterima.” 

Katanya lagi, beliau dan suami sering menasihatkan anak-anak agar jangan berputus asa dan sentiasa meminta petunjuk ALLAH jika berhadapan dengan situasi sukar

Wednesday 7 November 2012

PAS Tawar Diri Menghadap Sultan Selangor Berhubung Kes Nurul Izzah

KUALA LUMPUR - PAS tampil memainkan peranan menawarkan diri untuk menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memberi penjelasan berhubung kenyataan kontroversi Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar mengenai hak kebebasan beragama termasuk kepada orang Melayu.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, inisiatif berkenaan diambil kerana parti sekutu pakatan pembangkang itu yakin Sultan Selangor tidak mendapat maklumat yang tepat mengenai kenyataan Nurul Izzah.

"Maklumat yang sebenar mungkin tidak dijelaskan oleh Mais (Majlis Agama Islam Selangor) kepada Sultan Selangor.

"Saya cukup baik dengan Sultan. Saya sendiri boleh bawa kenyataan sebenar Nurul Izzah kepada Sultan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Rabu.

Media pada Rabu melaporkan bahawa Sultan Selangor terkejut dengan kenyataan Nurul Izzah yang dikeluarkan dalam satu forum "Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab" di Subang Jaya, Sabtu lepas, bahawa orang Melayu Islam bebas memilih agama di bawah faktor kebebasan beragama.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa dilaporkan berkata, Sultan Selangor menolak sama sekali sebarang pandangan daripada mana-mana pihak bahawa orang Melayu beragama Islam mempunyai kebebasan untuk memilih agama lain dan keluar daripada Islam. -Mstar

Isu Izzah: Rumusan Tiidak bertanggungjawab Kata Dr Mujahid


SHAH ALAM - Tindakan mengaitkan kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berhubung “tiada paksaan dalam agama” seolah-olah menggalakkan gejala murtad adalah satu rumusan tidak bertanggungjawab.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, kenyataan  “tiada paksaan dalam agama” adalah prinsip kemuliaan Islam tetapi ini bukan bermakna ia menggalakkan kemurtadan.

"Mengaitkan prinsip ini dengan rela murtad menunjukkan kecelaruan pemikiran golongan sempit agama termasuklah sesiapa yang mengulangnya tanpa fahaman. Saya ada dalam majlis itu sebagai pembicara.

"Kenyataan ahli Parlimen Lembah Pantai itu dianggap seolah-olah menggalakkan kemurtadan adalah satu rumusan yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dr Mujahid merupakan antara panel yang hadir bersama-sama Nurul Izzah dalam forum Islamic State: Which version? Whose responsibility? di Subang Jaya Sabtu lalu.

Ahli Parlimen Parit Buntar ini berkata, Nurul Izzah dalam forum tersebut juga menyebut tentang perlunya pendidikan dan dakwah supaya agama Islam dipelihara.

"Tiada paksaan bukan bermakna orang Melayu sewenangnya memilih agama lain kerana Islam itu penghayatan. Itulah semangat ucapan Izzah apabila menjawab soalan dari peserta tentang 'no compulsion'," katanya.

Menurutnya, tindakan sesetengah pihak yang mengaitkan prinsip mulia 'tiada paksaan' sebagai promurtad telah mencemarkan nama baik Islam.

"Itu bukan apa yang diperkatakan oleh ahli Parlimen Lembah Pantai," katanya. -Sinar Harian

Tuesday 6 November 2012

RM4 Juta Untuk Rakyat Miskin Kelantan Bukti Kerajaan Bukan Omong Kosong

KOTA BHARU - Sejumlah RM4.01 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Pusat kepada rakyat miskin di Parlimen Pengkalan Chepa sepanjang tahun ini. 

Ketua Umno Bahagian, Datuk Dali Hussain berkata, peruntukan tersebut meliputi sumbangan wang ihsan kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). 

“Ia juga diagihkan melalui bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar (KWAP), One-off dan Bantuan Awal Persekolahan,” katanya, semalam selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Wang Ehsan kepada Pelajar Sekolah Rendah Kawasan Parlimen Pengkalan Chepa di Sekolah Kebangsaan Datuk Hashim 2, Pengkalan Chepa. 

Menurutnya, sumbangan tersebut menunjukkan kecaknaan Kerajaan Pusat dalam membela nasib pelajar yang kurang berkemampuan di negeri ini selain menghargai kejayaan para pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. 

Beliau berkata, dengan bantuan yang diterima diharap rakyat di negeri ini dapat menghargai sumbangan yang diberikan oleh pihak kerajaan tersebut. 

Dali berkata, ia bertepatan dengan slogan yang dilaungkan oleh pihak kerajaan iaitu janji ditepati. 

“Slogan itu bukan omong kosong pihak kerajaan dan ia dapat dinilai sendiri oleh rakyat menerusi pendekatan yang diperkenalkan bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan,” katanya. 

Monday 5 November 2012

Kenapa Abdul Hadi Menggalakkan Dan Restui Orang Melayu Sertai DAP?

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan rasa hairan dengan kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menggalakkan dan merestui orang Melayu menyertai DAP.

Beliau berkata hubungan politik antara PAS dan DAP merupakan hubungan yang aneh dan pelik kerana ideologi kedua-dua parti pembangkang itu bertentangan antara satu sama lain.

“Oleh itu, adalah agak aneh untuk Abdul Hadi membuat kenyataan itu kerana kita semua tahu bahawa hubungan DAP-PAS bermasalah dan tidak kukuh,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Forum Inovasi Dunia Kuala Lumpur 2012 (WIF-KL2012) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Abdul Hadi yang merestui orang Melayu menyertai DAP memandangkan sebelum ini Pengerusi DAP Karpal Singh menyatakan tentangannya terhadap pelaksanaan hukum Hudud dan negara Islam yang diperjuangkan PAS.

Muhyiddin juga berkata: "Kalau semua orang masuk DAP, PAS tidak ada orang. Itu membingungkan saya kalau betul kenyataan dari Presiden PAS itu. Semua orang tahu khususnya orang Melayu bahawa DAP tidak pernah menjadi parti yang berjuang untuk semua kaum,” katanya.

Beliau berkata DAP merupakan parti yang mementingkan satu kaum sahaja dan tidak demokratik.

Malah DAP tidak pernah bertanding di kawasan Melayu dan hanya memilih kawasan bukan Melayu, terutama kawasan-kawasan bandar, katanya.

Menyentuh tindakan DAP menghalang akhbar Utusan Malaysia daripada membuat liputan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, beliau berkata bahawa parti itu "memang cakap tak serupa bikin."

"Kita mendengar tentang prinsip perjuangan, menjunjung ketelusan dan sebagainya yang dijadikan asas perjuangan parti itu, tetapi dari segi amalan sebenar, ia tidak begitu," katanya.

Ditanya pandangan timbalan perdana menteri mengenai bekas presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Datuk Zaid Ibrahim yang ingin bertanding di Pekan, beliau berkata:

“Itu saya tidak tahu. Kita tengok betul atau tidak," katanya. - Bernama

Sunday 4 November 2012

Pemindahan Milik Tanah Di Lembah Sireh, Penyelewengan Atau Kecuaian ?

Isu Lembah Sireh, Kerajaan PAS Kelantan diminta supaya tidak banyak cakap, sila jawab apa yang ditimbulkan, jangan bagi jawapan yang melencong daripada isu sebenar yang dibangkitkan, rakyat Kelantan nak tahu sejauhmana ketelusan kerajaan PAS Kelantan yang dikatakan 'Membangun Bersama Islam'. Benarkah mengikut Islam yang sebenar ataupun Islam hanya digunakan untuk mengaburi mata rakyat ?.
Apa yang ditegur oleh Ketua Audit negara berkaitan projek Lembah Sireh antaranya adalah seperti berikut:
1.) Pindah milik tanah dibuat kepada Syarikat dan sebahagian tanah dicagarkan kepada bank.

2.) Bon jaminan pelaksanaan tidak diserahkan oleh Syarikat.
3.) Syarikat gagal memberikan sumbangan kepada Kerajaan seperti mana dalam perjanjian.
4.) Kemajuan projek tidak mengikut Jadual Pelaksanaan.
5.) Perancangan yang bergantung sepenuhnya kepada Syarikat serta tiada kajian terperinci dan penilaian projek
Bagaimanapun daripada lima perkara tersebut, rakyat nak tahu dua perkara saja dulu yaitu perkara 1 dan 2, kerana ianya sangat penting bagi menjamin kedaulatan negeri Kelantan Darul Naim. Jawapan yang diberikan oleh PAS Kelantan beberapa hari yang lalu adalah jawapan yang melencong dari perkara pokok.
Namun, mungkinlah Kerajaan PAS Kelantan tak faham soalan, jika begitu hendak dijelaskan sekali lagi yaitu:
Kenapa tanah-tanah tersebut sudah dipindah milik kepada nama syarikat berkenaan sedangkan projek belum lagi siap, kenapa tidak dipindah milik setelah projek berkenaan sudah siap ?.
Pemindahan milik tanah kepada syarikat berkenaan juga tidak ada sekatan dimana syarikat itu telahpun mengGADAIkan tanah tersebut seluas 13.52 ekar untuk mendapatkan pinjaman sebanyak RM75 juta.
Kerana menurut laporan audit, cagaran tanah untuk tujuan pinjaman mendatangkan risiko kepada Kerajaan sekiranya pinjaman tidak dapat dijelaskan. Penukaran hak milik tanah kepada Syarikat dan tanah dicagarkan kepada bank serta bon jaminan pelaksanaan tidak diserahkan sepatutnya tidak berlaku kerana boleh mengundang risiko yang tinggi kepada Kerajaan.
Bon jaminan pelaksanaan pula sebanyak 5% atau RM15.91 juta daripada nilai tanah RM318.29 juta, akan tetapi pada sidang media beberapa hari lalu Kerajaan PAS Kelantan mendakwa bon bernilai RM 150 ribu akan diserahkan kepada kerajaan negeri, persoalannya RM 150 ribu tu bon ke 'bokbong' ?
Bagi perkara lain pula mengenai kewujudan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Negeri Kelantan. Apakah SPRM wujud dinegeri ini ? Jika wujud adakah ia berfungsi ? Atau makan 'gaji buta' seperti kerajaan negeri juga.
Statistik tangkapan oleh SPRM bagi seluruh Malaysia
Bangunan baru SPRM yang gah berdiri itu nampaknya tidak balik modal pun lagi, dalam setahun berapa kes yang disiasat dan didakwa di Kelantan ? SPRM Kelantan tolong buat keluar statistik tangkapan dan dakwaan, biar semua rakyat dapat nilai berbaloi ke tidak SPRM buat kerja, kalau tak nak kerja sila letak jawatan, jangan main-main dan bazirkan wang rakyat untuk bayar gaji kakitangan SPRM.
Takkan tiada kes, ini sangat mustahil, kalau ikut formula yang digunapakai oleh Anwar Ibrahim ialah kemunduran sesebuah negeri dan negara  adalah disebabkan berlakunya rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan. Adakah Kelantan maju kerana itu tidak berlaku penyelewengan ? Rasanya penyelewengan ada berlaku, tetapi kelemahan pihak SPRM serta takut, malas untuk bertindak secara agresif menyebabkan pemimpin PAS Kelantan terus bermaharajalela rakyat Kelantan pula terus teraniaya. -Gelombangkick

Saturday 3 November 2012

Khalid Ibrahim MB Terbaik Pakatan – Lawak Terhebat Untuk Tahun Ini

KUALA LUMPUR – Entah apa yang tidak kena dengan Menteri Besar Selangor, tiba-tiba Anwar Ibrahim mengumumkan Khalid Ibrahim sebagai MB terbaik pakatan. Pengumuman ini boleh ditafsirkan sebagai talian hayat untuk Khalid tatkala prestasi MB dilanyak teruk oleh Azmin Ali dan kumpulannya dengan menjadikan Faekah Hussin, Setiausaha Politik MB sebagai kambing hitam. 

Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, pengkurniaan ini juga bertentangan dengan pandangan umum betapa teruk sebenarnya pentadbiran Selangor di bawah regim Pakatan PKR, DAP dan Pas selama hampir 5 tahun ini. 

“Selain itu, pengumuman Anwar ini juga mengecilkan hati pemimpin Pas kerana sumbangan Nik Aziz selama 22 tahun sebagai Menteri Besar langsung tidak dihargai atau diiktiraf oleh Anwar. Nampaknya sangat Pas sekadar menjadi alat dan kuda tunggangan Anwar, PKR dan DAP. 

“Terdapat lebih dari 10 isu utama kegagalan regim pakatan di Selangor. Penyelewengan yang paling besar adalah skandal Talamgate yang melibatkan transaksi hampir RM 1 Billion. Penduduk Selangor juga berhadapan dengan krisis air yang semakin hampir, terbaru Empangan Air Sungai Selangor semakin kering dan sekarang hanya mencatat jumlah simpanan air sebanyak 52 peratus, merosot sebanyak 48 peratus. 

“Skandal pasir Selangor, Skandal PKNS, Yayasan Selangor, UNISEL jelas menampakkan rasuah sebenarkan bermaharajalela di Selangor. Kegagalan pengurusan sampah di Selangor juga semakin ketara apabila ada kontraktor sampah yang enggan menyewa lori kompak sampah milik GLC Selangor kerana harga sewaaan yang mahal,” ujarnya mengulas pengiktirafan Menteri Besar Pakatan Terbaik oleh Anwar Ibrahim baru-baru ini. 

Tambahnya, pertambahan rumah-rumah urut juga sangat menjolok mata di Selangor sekarang. 

“Tahniah kepada Anwar, Khalid dan Ronnie kerana disebut oleh rakyat sebagai pelopor industri seks dan rumah urut di Selangor. Geran Selangorku RM300 juta yang dipegang erat oleh MB juga semakin ketara dipertikaikan oleh rakyat. Laporan Ketua Audit Negara sendiri menyatakan bagaimana TAWAS yang dibiayai oleh MBI Incorporated itu telah gagal kerana tidak diurus dengan sempurna. 

“Yang paling tidak cerdik adalah apabila MB sebut yang janji-janji dalam manifesto pakatan Selangor 2008 bukan lah satu perjanjian, yang demikian ianya tidak perlu ditepati!”, katanya. 

Muktakhir ini tegas beliau lagi skandal bas mewah Khalid Ibrahim, siapa yang sebenarnya membiayai pembelian bas mewah bernilai RM900 ribu masih lagi menjadi misteri namun GAPS penuh yakin jawapannya sudah ada di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya. 

“Pengumuman Anwar ini tidak lebih dari lawak jenaka terhebat untuk tahun ini,” ujarnya yang juga mantan Ketua AMK Negeri Selangor. -MediaUMNO

Thursday 1 November 2012

Kelantan Akui Projek Lembah Sireh Kurang Berjaya Sebagaimana Dirancang

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan hari ini mengaku projek pembangunan dan pengindahan tebing Sungai Kelantan atau lebih dikenali projek Lembah Sireh, tidak menepati masa pelaksanaan dan tidak memberi pulangan sebagaimana yang dirancang.

Walau bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata setakat ini boleh dikatakan projek itu kurang berjaya sepenuhnya tetapi tidak ada unsur penyelewengan.

Kerajaan negeri akan mempertahankan setiap projek di kawasan tebing Sungai Kelantan itu dan mengalu-alukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysian (SPRM) untuk membuat siasatan berhubung perkara itu, katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan semua Exco kerajaan negeri.

Takiyuddin berkata kerajaan negeri bersedia menemui Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang bagi memperjelaskan isu Lembah Sireh itu berikutan perkara itu dibangkitkan dalam Laporan Audit Negara 2011 yang dibentangkan di Parlimen pada 15 Oktober lepas.

Projek Lembah Sireh melibatkan pembangunan dan pengindahan tebing Sungai Kelantan itu mula menjadi persoalan selepas didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 baru-baru ini.

Laporan itu antara lain menyebut bahawa pihak syarikat yang memajukan projek bernilai RM2 bilion itu belum melaksanakan komponen fizikal seperti yang dijanjikan.

Kawasan seluas 400 hektar dilaksanakan secara pajakan selama 99 tahun, dengan kerajaan Kelantan bakal mendapat imbuhan daripada pemaju termasuk projek perumahan, taman rekreasi, pusat peranginan, hotel, kemudahan marina, taman awam dan jambatan merentangi Sungai Kelantan di Kampung Cina.

Isu projek tersebut mendapat perhatian pembangkang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini dengan kerajaan negeri membuat penjelasan pihaknya akan berbincang dengan syarikat swasta pelaksana projek berhubung teguran dalam laporan itu.

Takiyuddin berkata pembangunan di kawasan itu sedang giat dijalankan di bawah perjanjian dengan pihak pemaju, dan dijangka siap menjelang 2019.

"Setakat ini hanya lima peratus sahaja pembangunan sudah dilaksanakan di kawasan itu sejak dimulakan pada 2007 yang lalu. Kita ada tempoh sehingga 2019 dan pihak kerajaan yakin seluruh kawasan itu akan dapat dibangunkan nanti," katanya.

Dua hari lepas, Pemuda Umno Kelantan dan pertubuhan bukan kerajaan, Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (Ombak) telah membuat laporan ke SPRM berhubung projek Lembah Sireh dan mahukan SPRM menjalankan siasatan secara menyeluruh.

Presiden Ombak, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad berkata beliau menyokong cadangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mahukan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan menyiasat projek Lembah Sireh. - Bernama.

Sejarah! Punca Parti Pas Diceraikan Pada Tahun 1977

DALAM apa-apa pertikaian pun, akhirnya kita akan merujuk kembali kepada sejarah. Tidak kiralah apa isu pun, yang penting faktanya. 

Menyelusuri fakta-fakta sejarah itulah, satu rumusan perlu difikirkan apakah benar kerajaan Barisan Nasional (BN) telah ?menganaktirikan? Pas suatu ketika dulu. Atau adakah Pas sebenarnya yang ?angkat kaki? dari kerajaan BN pada 1977 ekoran ?sifat tikam belakang?nya terhadap BN. 

Di sini saya utarakan dahulu sedutan Perdana Menteri, Tun Hussein Onn pada 9 Disember 1977 sempena Perjumpaan Ketua-ketua UMNO Bahagian di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. 

?Dalam pilihan raya tahun 1974, UMNO sebenarnya menghadapi kesulitan kerana terpaksa bertolak ansur dengan memberikan beberapa kerusi baru dan kerusi-kerusi tambahan kepada Pas. UMNO terpaksa berbuat demikian semata-mata dengan tujuan hendak mewujud dan mengekalkan semangat kerjasama UMNO dengan Pas demi kepentingan dan faedah rakyat. 

Pucuk pimpinan Pas juga memberi amaran bahawa kononnya lima buah negeri di Semenanjung Malaysia akan menerima nasib seperti di Pulau Pinang. 

Agaknya mereka merujuk kepada peristiwa pilihan raya tahun 1969 dahulu jika sekiranya Pas meninggalkan atau dikeluarkan daripada BN. Ugutan dan ancaman seperti ini merupakan satu provokasi yang merbahaya. UMNO mempunyai maruahnya sendiri. Kita sering kali juga mendengar desakan supaya pucuk pimpinan Pas mengkaji semula kedudukan Pas dalam BN. 

Perkara ini dibangkitkan dalam tiap-tiap Perhimpunan Agung Pas selama tiga tahun berturut-turut setelah Pas menyertai gabungan besar ini. 

Penubuhan ranting-ranting Pas dalam kawasan-kawasan UMNO juga menimbulkan kecurigaan dan boleh membangkitkan salah faham di kalangan rakyat. Banyak lagi perbuatan dan tindakan pucuk pimpinan Pas yang meragukan. 

Kita sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh memelihara perpaduan BN. Tetapi bagaimanakah perpaduan dapat dikekalkan jika ada pihak yang tidak mahu mengikuti peraturan dan tidak mahu mematuhi keputusan yang dipersetujui oleh ramai. Perpaduan yang hanya ada pada nama sahaja tidak membawa erti apa-apa tidak berfaedah. 

Ada dalam kalangan rakyat yang menginsafi fakta sebenar Pas dikeluarkan dari BN. Fakta ini merupakan kebenaran yang tidak seharusnya disenyapkan demi merungkai rasa benci dan menyampah pengikut dan penyokong Pas yang melulu terhadap BN khususnya UMNO. 

Antara punca sebenar krisis Kelantan pada 1977 adalah daripada Pas sendiri. Malah di dalam portal Pas Pusat itu menyatakan ia bermula apabila timbulnya rasa tidak puas hati Pas terhadap Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Muhammad Nasir. Rakyat waktu itu tertanya-tanya mengapa pada tahun itu, pimpinan Pas melucutkan jawatan Muhammad sebagai Menteri Besar tanpa merujuk kepada Kerajaan Pusat terlebih dahulu. 

Yang diselindungkan Pas ketika itu ialah: 

* Ada di antara pemimpin Pas Kelantan memfitnah dan menuduh Muhammad Nasir terlalu mengikut telunjuk UMNO-BN. Hakikatnya pada ketika itu UMNO-BN tidak pernah campurtangan dalam mencorak pemerintahan Pas (ketika itu). Malah, sedangkan ketika itu keputusan pemerintahan Pas Kelantan masih di tangan kuasa majoriti Dewan Undangan Negeri. 

* Malah pada ketika itu juga terdapat usaha dalam Pas untuk menjatuhkan Presiden Pas (ketika itu), Datuk Dr. Mohd Asri Muda. Ia dilakukan hanya kerana beliau adalah tokoh Pas yang bertanggungjawab membawa Pas menyertai BN pada 1973. 

* Asas yang digunakan oleh sebahagian pemimpin Pas Kelantan (ketika itu) untuk menolak Mohd Asri dan Muhammad hanya kerana selepas PRU 1973, Pas mempunyai kuasa majoriti dengan 22 kerusi dan UMNO hanya 13 kerusi, dan tidak memerlukan sebarang usaha bergabung antara Pas dan UMNO. 

* Dalam tempoh 1973-1978, Mohd. Asri selaku Presiden Pas dan Muhammad dikaitkan dengan pelbagai spekulasi dan masalah khususnya melibatkan Pas di Kelantan. Hakikatnya spekulasi dan tuduhan tersebut adalah hasil putar belit fakta sebahagian pemimpin dan ahli-ahli Pas yang tidak berpuashati dengan perpaduan Pas-UMNO. 

* Krisis Kepimpinan Pas Kelantan 1977 dikatakan timbul hasil ketidakpuasan hati terhadap Menteri Besar negeri itu, Muhammad Nasir. Beliau dipecat sebagai MB Kelantan oleh pucuk pemimpin Pas Kelantan itu sendiri. 

* Mohd. Asri pula mula ditendang keluar oleh Pucuk Pemimpin Pas Kelantan selepas PRU 1978, dengan desakan-desakan supaya beliau meletakkan jawatan selaku Yang Dipertua Agung Pas, desakan yang datang dari beberapa pimpinan PAS antaranya Pesuruhjaya Pas Kelantan dan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau akhirnya mengumumkan peletakan jawatan sebagai Yang Dipertua Agung Pas pada 23 Oktober 1982. 

* Krisis Kepimpinan Pas Kelantan pada 1977 itu membawa kepada undi tidak percaya kepada MB Kelantan pada 15 Oktober 1978. 

Apapun Kerajaan Pusat ketika itu menghormati keputusan yang dibuat oleh Pas Kelantan, atas dasar persefahaman dan tidak masuk campur dengan alasan yang diberi oleh Pas Kelantan itu dengan mendakwa perkara itu merupakan soal rumah-tangga Pas. 

* Tumbangnya Muhammad Nasir akibat perebutan kuasa dalam Pas menyebabkan berlakunya rusuhan yang dimulakan oleh penyokong Nasir di Kota Bharu. Rusuhan itu mengakibatkan kerosakkan harta benda, mengancam nyawa dan keselamatan rakyat dan juga mengancam keselamatan negeri Kelantan. 

* Seperti yang dinyatakan oleh Tun Hussein dalam ucapan beliau pada 9 Disember 1977, selaku Perdana Menteri ketika itu, belau harus bertanggungjawab di atas keselamatan negara dan kebajikan rakyat, yang dikhuatiri rusuhan di Kelantan mungkin akan merebak ke negeri-negeri lain dan mengekang rusuhan seperti peristiwa 13 Mei berulang. 

* Pada November 1977, Parlimen Persekutuan meluluskan rang undang-undang darurat Kelantan yang meletakkan Kelantan ditadbir secara terus oleh Kerajaan Pusat. 

* Rang undang-undang Darurat Kelantan dirangka bersama menteri-menteri Pas yang ketika itu masih lagi bersama-sama UMNO dalam jemaah Menteri. Dan ia diluluskan oleh Parlimen setelah mendapat persetujuan majoriti termasuk dari kalangan menteri Pas sendiri. 

* Setelah Kelantan di bawah Darurat, Mohd. Asri menerima tekanan dari beberapa pimpinan Pas terutamanya Nik Aziz selaku Pesuruhjaya Pas Kelantan dan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat yang dari awal begitu lantang menentang gabungan Pas-BN. 

* Hasil dari desakan itu, Hassan Adli Arshad selaku Timbalan Yang DiPertua Agung Pas dijadikan ?kambing hitam Pas? apabila beliau dipecat oleh Mohd Asri yang kononnya beliau menjadi ketua menteri-menteri Pas yang menyokong rang undang-undang Darurat. 

* Malah beberapa pimpinan Pas yang menentang gabungan Pas-UMNO ketika itu terutamanya Nik Aziz mula menunjukkan sikap memberontak dalam perikatan gabungan Pas-UMNO, menentang setiap arahan dan pelaksanaan kemajuan yang dilakukan BN di Kelantan. 

* Pemberontakan dalaman ini memungkin barah berlaku dalam BN, hasil ketiadaan disiplin pemimpin Pas ini, menyebabkan UMNO terpaksa membuka tali yang mengabungkan Pas-UMNO. 

* Rentetan dari itu juga menyebabkan ?Krisis dalaman Pas? kepada perpecahan Pas pada beberapa parti serpihan seperti Berjasa dan Hamim. 

* Keluarnya Pas dari gabungan BN-UMNO, menyaksikan satu Pilihan Raya Kecil diadakan di Kelantan diadakan pada Mac 1978. 

* Pada PRK Mac 1978, rakyat menjadi gempar setelah pekung yang selama ini disimpan oleh beberapa pimpinan Pas di antaranya Nik Aziz ketika itu terbongkar, apabila isu pemberian kontrak balak diberikan sewenang-wenangnya membuktikan Pas cuba menggadaikan Kelantan. 

Itulah antara puncanya Tun Hussein pada 1977 mengungkapkan luahan hatinya yang berkait secara langsung dengan tindakan biadab Pas tersebut. Pas ?diceraikan? selepas tidak lagi memegang aspirasi kerjasama apabila berada dalam kerajaan BN. – Utusan Online