Saturday 17 December 2011

SIAPA ADAM ADLI TURUNKAN BENDERA MUKA NAJIB RAZAK

Tindakan menurunkan gambar Perdana Menteri kelmarin, adalah simbolik penolakan mahasiswa kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Razak, kata Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Syukri Ab. Razak.

Antara lain katanya, Najib menipu mahasiswa dengan slogan transformasi untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

“Malangnya, pengumuman (pinda Auku) dibuat hanya selepas mahkamah rayuan putuskan seksyen 15 (akta) itu bercanggah dengan perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,”

“Tindakan menurunkan gambar Perdana Menteri merupakan simbolik kepada hilang kepercayaan anak muda kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Razak selaku ketua kerajaan,” katanya pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur

Semalam, kira-kira 300 mahasiswa berarak ke pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, sebelum menuju ke bangunan Umno – Putra World Trace Centre (PWTC) bagi menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Seorang mahasiswa, Adam Adli, 22, dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dilihat menurunkan bendera yang tertera wajah Najib sebagai protes.

Mengulas lanjut, Ahmad Syukri memberi tempoh kepada Najib untuk melaksana dua transformasi sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 atau bersedia mendapat tentangan hebat dari mahasiswa.

“Dua tuntutan itu ialah mansuh AUKU serta-merta dan beri autonomi penuh kepada universiti,” katanya.

Sementara itu, bekas Pengerusi SMM, Shazni Munir berkata, Universiti di Malaysia akan lebih baik jika autonomi bebas diberi sepenuhnya.

“Universiti Malaya (UM) contohnya mendapat dana antara RM700 hingga RM800 juta setahun dan dengan dana itu universiti mampu menguruskan pentadbiran dengan lebih baik tanpa campur tangan politik.

“Malah kami yakin inovasi, pembangunan dan penyelidikan universiti akan berkembang lebih baik sekaligus menaikan rangking kita,” kata bekas mahasiswa UM itu.

Sidang media itu turut dihadiri Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi), Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) dan sekumpulan aktivis mahasiswa.

Monday 21 November 2011

NIK AZIZ JAWAB UTUSAN- AIR KELANTAN BASUH NAJIS LEMBU

KUALA LUMPUR - Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata akhbar milik Umno, Mingguan Malaysia membuat satu lagi pembohongan - mengenai isu air semalam - untuk memburuk-burukkan kerajaan negeri Kelantan.

“Hakikatnya apa yang disebut oleh Utusan Malaysia (Mingguan Malaysia) ini hanyalah satu lagi pembohongan yang jelas untuk memburuk-burukkan kerajaan negeri Kelantan.

“Jelas sekali, laporan ini tidak lain hanyalah merupakan satu usaha untuk menggunakan air Kelantan membersihkan najis lembu yang bernilai RM250 juta,” kata beliau dalam komen yang disiarkan menerusi laman sosial Facebook sebentar tadi.

Sehubungan itu Nik Aziz (gambar) yang juga Mursyidul Am PAS berkata, “nasihat saya, bertaqwalah kepada Allah SWT kerana apa yang ditulis akan disoal oleh-Nya di akhirat kelak.”

“Janganlah sampai fitnah yang ditabur ini menggerakkan tangan orang-orang yang dizalimi untuk melafazkan doa ke atas penabur-penabur fitnah.

“Ini kerana, doa orang yang dizalimi tidak akan ditolak oleh Allah SWT,” kata beliau lagi mengulas laporan muka depan Mingguan Malaysia, akhbar edisi keluaran Kumpulan Utusan semalam.

Nik Aziz menulis, “saya telah ditanya pagi tadi selepas mesyuarat Koridor Ekonomi Wilayah Timur (ECER) pagi tadi berkenaan laporan muka hadapan Mingguan Malaysia pada 20 November 2011 (semalam) yang membawa tajuk ‘Air Kelantan Terkotor?’.

“Saya pada mulanya beranggapan tidak perlu untuk memberikan respons terhadap laporan akhbar Mingguan Malaysia yang sudah diketahui umum sebagai akhbar yang tidak bertanggungjawab terhadap fakta dan seringkali melanggar etika kewartawanan,” katanya.

Nik Aziz berkata beliau menganggap masih ramai yang belum lupa bagaimana Utusan Malaysia pernah memainkan isu ‘Kristian Agama Rasmi Negara’ satu ketika dahulu yang terbukti kemudiannya sebagai satu pembohongan semata-mata.

Namun, tegas Nik Aziz, dibimbangi isu yang dimainkan ini menimbulkan polemik yang berpanjangan, beliau telah mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar Negeri Kelantan Datuk Mejar (B) Md Anizam Abd Rahman untuk memberikan kenyataan menjelaskan perkara yang sebenar.

Sambil berkata akhbar tersebut telah menyorok beberapa fakta sebenar, Nik Aziz menambah,


“pertamanya, sukalah saya merujuk kepada surat yang dihantar oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kepada Pengurus Besar Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) yang bertarikh 30 Oktober 2011 yang memaklumkan prestasi kurang memuaskan beberapa buah negeri seperti yang termaktub di dalam Laporan Pencapaian Pematuhan Kualiti Air Terawat Bagi Parameter QAP Seluruh Negara bagi tempoh Januari hingga Julai dan Januari hingga Ogos 2011 yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya.”

“Negeri-negeri yang menunjukkan prestasi kurang memuaskan itu ialah Kelantan, Pahang, Wilayah Persekutuan Labuan, Perak dan Perlis.

“Berdasarkan lampiran yang diberikan, kandungan e-coli yang terdapat dalam air terawat yang dibekalkan oleh AKSB dinilai sebanyak 0.88 peratus. Ia lebih rendah jika dibandingkan dengan negeri Pahang (1.12 peratus), Perak (0.90 peratus), Perlis (1.21 peratus) dan Wilayah Persekutuan Labuan (1.01 peratus),” katanya lagi.

Selain itu kata Nik Aziz, beliau sedia maklum bahawa tahap yang dianggap tidak memuaskan ialah jika melebihi empat peratus, namun untuk dikatakan kandungan air terawat di Kelantan sebagai yang tertinggi e-coli ialah satu tuduhan rambang yang berniat jahat.

“Saya juga ingin melahirkan rasa hairan terhadap data yang dikemuakan oleh Utusan Malaysia yang dikatakan dirujuk kepada Panduan Industri Air Malaysia 2011 sedangkan data rasmi Panduan Industri Air Malaysia 2011 masih belum dikeluarkan dan hanya akan dikeluarkan kebiasaannya pada pertengahan tahun berikutnya iaitu sekitar bulan Jun 2011.

“Dari manakah Utusan Malaysia memperolehi maklumat yang masih belum dikeluarkan ini?” kata beliau lagi. 

Wednesday 2 November 2011

MUSTAPA MOHAMAD TEGASKAN KERAJAAN BELUM LULUS LESEN PRA OPERASI LYNAS

KUALA LUMPUR, 2 Nov - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed  menafikan dakwaan bahawa beliau ialah"jurucakap" syarikat pemprosesan logam nadir dari Australia, Lynas Corporation Ltd (Lynas). 

Malah, beliau menyifatkan dakwaan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) itu satu tuduhan berat dan tidak wajar. Mustapa berkata kerajaan mengutamakan kepentingan rakyat dan telah menjalankan sesi penerangan kepada banyak pihak termasuk orang ramai berhubung isu tersebut.

 "Daripada maklum balas yang diterima, ramai yang mula menerima dan memahami dasar kerajaan menerusi projek ini dan kerajaan akan mempergiatkan lagi proses penerangan ini," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 pada sidang Dewan Rakyat semalam, bagi menjawab pertanyaan Fuziah yang telah mencelah perbahasannya.

Fuziah juga menyalahkan kerajaan kononnya tidak mengambil kira aspek keselamatan rakyat dalam projek itu.

Sementara itu, Mustapa berkata kerajaan tidak pernah meluluskan lesen kepada Lynas untuk memulakan operasinya di Gebeng dekat Kuantan, sehingga projek itu menepati syarat yang dikeluarkan oleh panel pakar antarabangsa yang dilantik kerajaan.

Menurutnya, Menteri Petroleum dan Perlombongan Australia Barat Norman Moore juga memberi jaminan bahawa tahap radioaktif yang dihasilkan projek itu adalah sangat rendah.

"Malah, saya juga mahu merujuk kepada apa yang telah disebut oleh ahli parlimen PAS sendiri iaitu Hulu Langat (Dr Che Rosli) yang merupakan pakar dalam bidang sains nuklear, bahawa projek ini lebih rendah radiasinya," kata beliau.

Sunday 4 September 2011

LEBUHRAYA - AWANG ADEK BERTEMBUNG MUSTAPA

Dewan Pemuda PAS Kelantan menyifatkan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin bahawa kerajaan Kelantan berkemungkinan besar tidak akan mampu menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya selama-lamanya sebagai satu kenyataan yang berninat jahat dan dangkal serta bernada sumbang.

Ketuanya, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, kenyatan itu juga membayangkan seolah-olah beliau begitu jahil dengan tanggungjawab kerajaan Pusat dalam menyediakan kemudahan lebuh raya di negeri-negeri di seluruh Malaysia.

“Saya juga ingin melahirkan rasa kesal di atas kenyataan tersebut yang disiarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia, 3 September 2011 yang antara lain turut menyatakan bahawa kerajaan PAS Kelantan telah diberi peluang selama 21 tahun untuk menyelesaikan masalah kesesakan namun gagal untuk mencari jalan penyelesaian.

“Adakah Awang Adek baru tersedar dari tidur atau sengaja mencari pertembungan dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan dalam isu ini, wallahualam,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Beliau juga bertanya sedarkah Awang Adek bahawa pada 1 September 2011, Utusan Malaysia selaku lidah rasmi Umno sendiri di halaman 6 menyiarkan kenyataan Datuk Seri Mustapa Mohamed, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan yang tegas menyatakan bahawa kerajaan Kelantan tidak akan mampu membina lebuhraya kerana pembinaan lebuhraya ialah tanggungjawab kerajaan Pusat.

Katanya, jika Awang Adek terlupa untuk membelek akhbar pada hari tersebut, boleh perturunkan kembali kata-kata Mustapha yang antara lain menyebut, “Ini (membina jalan utama) tanggungjawab kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Pas Kelantan tidak mampu untuk membina kecuali dengan bantuan pihak swasta. Jumlah RM2 bilion sangat besar, tidak mampu jika dibandingkan dengan pendapatan kerajaan negeri…”

Soal beliau, bukankah kenyataan itu jelas menunjukkan pengakuan Mustapha sendiri bahawa pembinaan lebuhraya ini bukan merupakan tanggungjawab kerajaan negeri.

Katanya, cuma kerajaan negeri terpaksa mengambil alih apabila pihak yang sepatutnya bertanggungjawab iaitu kerajaan Pusat nampaknya tidak berminat untuk membela nasib rakyat Kelantan yang majoritinya ialah orang Melayu.

Dalam hal itu, beliau mencabar Awang Adek untuk menyebut mana satukah negeri di Malaysia yang membina lebuhraya tanpa apa-apa bantuan dari kerajaan Pusat.

Beliau yang juga Adun Mengkebang sepenuhnya yakin jika Umno yang berkuasa di negeri Kelantan, bukan setakat membina lebuhraya, untuk menyelaras projek kecil-kecilan di peringkat kampung pun akan berlaku pertembungan kepentingan pelbagai pihak demi mengaut keuntungan mudah.

Justeru, beliau berharap Awang Adek lebih berhati-hati untuk mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana kedangkalan seseorang itu bukanlah diukur melalui tinggi rendahnya pangkat tetapi pada betul tidaknya fakta yang diberikan.

“Jangan Awang Adek sangka keterlanjurannya dalam isu judi bola sepak pada tahun lepas sudah dilupakan oleh rakyat Kelantan. Ditambah pula dengan kenyataan dangkal seperti ini, semakin kuranglah markah untuk menjadi ‘bakal Menteri Besar Kelantan’ sekali lagi,” ujarnya lagi. -Harakah Daily.

Saturday 23 July 2011

KU LI TUBUHKAN ANGKATAN AMANAH MERDEKA


KUALA LUMPUR, 20 Julai — Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang akan diketuai oleh veteran negara Tengku Razaleigh Hamzah, yang akan bergerak bagi mengembalikan semangat jati perjuangan kemerdekaan dengan enam objektif, akan dilancarkan Jumaat ini.

Surat jemputan pelancaran yang diterima media menyebut Amanah diwujudkan dengan matlamat mahu menghidupkan legasi “Amanat Merdeka Bapa Malaysia” selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Tengku Razaleigh (gambar) yang mesra dikenali sebagai “Ku Li” akan mengetuai Amanah sebagai presiden.

Difahamkan akan ada lapan ahli jawatankuasa mewakili pelbagai kaum dan agama dari seluruh negara.

Tengku Razaleigh yang merupakan bekas menteri kewangan dan naib presiden Umno seringkali menimbulkan perkara-perkara yang menjadi teras objektif Amanah dalam ucapan dan kenyataan media beliau sejak kebelakangan ini.

Beliau kini merupakan ahli Parlimen dan Ketua Umno Gua Musang.

“Amanat Merdeka Bapa Merdeka menyebut bahawa jika kita mahu bersatu sebagai sebuah keluarga di bawah satu bumbung bernama Malaysia, kita mesti jujur antara satu sama lain — Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan, Siam dan lain-lain — Muslim, Buddha, Hindu, Kristian dan sebagainya,” kata surat jemputan media.

Ahli jawatankuasa pusat Amanah Wan Saiful Wan Jan ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata, “idea ini diketengahkan oleh Tengku Razaleigh sendiri pada satu mesyuarat baru-baru ini dengan memfokus pada mesej kemerdekaan yang disampaikan oleh (Bapa Kemerdekaan dan Perdana Menteri pertama Almarhum) Tunku Abdul Rahman.”

“Pertubuhan ini mahu menekankan soal perpaduan di kalangan rakyat, agar isu perpecahan antara lain tidak menjadi semakin serius,” kata beliau.

Katanya, senarai ahli jawatankuasa kepimpinan Amanah akan diumumkan pada hari pelancaran Jumaat ini.

“Mereka terdiri daripada pemimpin-pemimpin yang disegani dalam masyarakat kita... mereka terdiri daripada ahli-ahli politik, sosial dan usahawan, ia barisan kepimpinan campuran mewakili semua lapisan masyarakat,” kata Wan Saiful.

Difahamkan pihak penganjur melancarkannya menjelang ulang tahun hari kemerdekaan yang jatuh pada 31 Ogos. Negara menyambut ulang tahun ke-54 akhir bulan depan.

Keseluruhannya, Amanah dilancarkan dengan enam tujuan utama iaitu mengembalikan legasi, janji-janji dan ideal Bapa Malaysia dan pengasas-pengasas negara ini agar kesemua rakyat Malaysia dapat hidup bersama sebagai satu komuniti yang adil, progresif, bersatu dan gembira.

Selain itu Amanah juga bertujuan memperakui, menegakkan semula dan menghormati kedaulatan negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia, memastikan institusi-institusi kebangsaan menghormati dan mempertahakan undang-undang, prinsip demokrasi, hak dan nilai-nilai universal.

Ia juga bersandarkan tujuan menyokong kerajaan dan pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab, berdaya saing dan berkesan, bebas rasuah dan kronisme, bersih dan jujur, adil dan amanah yang boleh menjalankan tugas dan tanggungjawabnya.

The Malaysian Insider) - Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Tengku Razaleigh Hamzah berkata sudah tiba masanya untuk rakyat negara ini bangkit menentang segala penyelewengan yang berlaku termasuk rasuah, kronisme, sikap pelampau dan pembaziran. Tegas beliau, rakyat jangan membiarkan perbuatan memanipulasikan politik digunakan untuk memecahkan perpaduan rakyat melalui dasar dan keputusan yang memihak kepada pihak yang berkepentingan.

“Kita jangan membiarkan perbuatan manipulasi politik apa pun dan dari mana-mana pihak pun untuk memecahkan rakyat majoriti melalui dasar dan keputusan yang secara sengaja dibuat untuk kepentingan golongan-golongan minoriti yang berkepentingan.

“Saya memerhatikan dengan hati yang gusar melihat keadaan yang amat merunsingkan iaitu keadaan perhubungan antara kaum dan antara agama yang kian memburuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan jika keadaan ini saya tambahkan lagi dengan perbuatan sesetengah pihak dan orang perseorangan yang secara terang-terangan sengaja merosakkan institusi-institusi perpaduan negara untuk kepentingan mereka,” katanya pada perasmian Amanah di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra di sini.

Tegas Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai “Ku Li”, masa untuk melihat segala penyelewengan yang berlaku sudah tamat dan sekarang untuk bangkit menyatakan pendirian masing-masing.

“Inilah masanya golongan majoriti yang menyepi selama ini mendengarkan suara mereka, inilah masanya ayah yang selama ini senyap untuk bersuara bersama alunan dan jeritan suara yang lain dan bertanya ‘kami mahukan kebenaran, tidak paparan palsu dan penipuan’.

“Inilah masanya suri rumah tangga yang selama ini berdiam diri dan tidak bersuara berkata ‘saya mahukan masa depan anak-anak saya yang bebas daripada segala macam masalah yang dicetuskan oleh pelbagai pihak dan individu politik, ekonomi dan kumpulan sosial yang berkepentingan sendiri’.

“Ini masanya untuk orang muda dan dewasa yang bekerja berkata ‘kami mahu tahu ke manakah arah tuju negara kita dan kami mahu tahu bahawa keputusan dan pilihan yang dibuat adalah yang terbaik dan benar’,” katanya.

Ahli Parlimen dan Ketua Umno Gua Musang ini berkata, Amanah yang dianggotai beberapa tokoh pemimpin bukan untuk menentang kerajaan tapi adalah untuk hak rakyat.

“Suara ini adalah suara perpaduan, suara solidariti, suara kebenaran dan kita akan berdiri teguh menentang wabak rasuah, kronisme, perkauman, sikap pelampau dan pembaziran.

“Kita akan berkata dahulukan kepentingan kebangsaan yakni kepentingan negara dan kepentingan rakyat, ini matlamat kita,” katanya.

Tujuan Angkatan Amanah Merdeka, atau AMANAH "Untuk mengukuhkan lagi, bagi menanam dan menyalakan semula semangat perpaduan dan semangat keluarga, benar yang berlaku di kalangan semua rakyat Malaysia pada masa perjuangan kita bersama untuk mencapai kemerdekaan negara . "
Kami percaya bahawa ia adalah penting untuk menghidupkan semula warisan "Amanat MERDEKA Bapa Malaysia" mengikut surat dan semangat Perlembagaan Malaysia.
Tunku Abdul Rahman "Amanat Merdeka Bapa Malaysia" berbunyi:

"Jika kita benar-benar mahu untuk bersatu sebagai sebuah keluarga dan hidup di bawah satu bumbung yang dipanggil Malaysia, kita mesti ikhlas antara satu sama lain - Melayu, Chiense, India, Dayak, Kadazan, Siam dan lain-lain Islam, Budhists, Hindu, Kristian, dan lain-lain "

"Jika kita ikhlas maka kita tidak boleh berkata apa-apa yang akan menyakiti antara satu sama lain. Kita juga tidak boleh berbuat apa-apa yang akan menyakiti antara satu sama lain. "

"Sebagai ahli ikhlas satu keluarga kita perlu sentiasa berada di sana untuk membantu satu sama lain. Orang kaya mesti membantu golongan miskin dan yang berjaya mesti membantu yang kurang bernasib baik. Barulah kita boleh menjadi satu bangsa dan sebuah negara yang bersatu padu dan kuat. Semua orang akan gembira. Hanya selepas itu Malaysia akan dihormati oleh dunia "

Misi Amanah:

1. Untuk menghidupkan semula warisan, janji dan cita-cita Bapa Malaysia dan Bapa Pengasas supaya semua rakyat Malaysia boleh hidup bersama sebagai ahli-ahli yang benar-benar adil, adil, progresif, bersatu dan masyarakat negara gembira
2. Untuk bersungguh-sungguh mengakui, mengesahkan dan menghormati kedaulatan negara-negara anggota Persekutuan Malaysia, selaras dengan prinsip-prinsip federalisme, selaras dengan prinsip-prinsip demokrasi dan dalam semangat Perlembagaan sebenar.
3. Untuk memastikan bahawa institusi-institusi negara kita menghormati dan mendukung kedaulatan undang-undang, prinsip-prinsip demokrasi, hak dan nilai-nilai universal.
4. Bagi menyokong kerajaan dan pentadbiran iaitu: - Telus dan bertanggungjawab, - Benar-benar berwibawa dan cekap, - Bebas rasuah dan kronisme, - Bersih dan jujur, - Yang adil dan amanah, yang akan mampu untuk berkhidmat fungsi dan memenuhi tanggungjawabnya, bebas dan adil. Suatu pentadbiran yang akan sentiasa mengambil berat tentang hak-hak dan kepentingan rakyat di atas nama yang menyebabkan ia dilantik untuk berkhidmat.
5. Untuk menggalakkan sosioekonomi kesejahteraan rakyat, supaya semua rakyat Malaysia boleh menikmati kemajuan yang sebenar, progresif, kehidupan yang adil dan saksama - individu menegakkan ketaatan kepada ibu bapa dan lain-lain nilai-nilai murni dan kolektif menyertai bersama dalam persaudaraan keluarga ikhlas sebagai ahli masyarakat negara kita dan sebagai pihak-pihak yang berkepentingan dalam nasib yang sama negara kita.
6. Untuk menyokong dasar ekonomi yang akan membantu mencapai dan mengekalkan standard kehidupan yang tinggi untuk rakyat, berdasarkan prinsip keadilan, kesaksamaan dan keseimbangan, selaras dengan perlembagaan dan di bawah keadaan kewangan yang stabil.

Tuesday 14 June 2011

NIK AZIZ TARIK BALIK SAMAN, SELESAI LUAR MAHKAMAH

KUALA LUMPUR, 14 Jun - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menarik balik saman terhadap Utusan Malaysia berdasarkan tawaran penyelesaian di luar mahkamah.

Setiausaha akhbarnya, Ahmad Fadhli Shaari menjelaskan, ia berdasarkan tawaran penyelesaian di luar mahkamah oleh pihak defendan berdasarkan sejumlah bayaran yang tertentu.

Beliau menyatakan demikian dalam satu kenyataan sebagai merujuk kepada laporan akhbar Utusan Malaysia dan Sinar Harian hari ini.

Berikut penjelasan beliau.

Saya merujuk kepada laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini 14 Jun 2011 di halaman 20 di bawah tajuk 'Kes Nik Aziz Saman Utusan RM20j Selesai Luar Mahkamah'.

Laporan yang sama juga disiarkan oleh Sinar Harian hari ini di halaman N4.

Sukalah saya mengesahkan laporan tersebut dengan sedikit penambahan berdasarkan kronologi berikut:

Pada 12 Jun 2009, Utusan Malaysia telah menyiarkan satu artikel dengan petikannya di muka hadapan di bawah tajuk “Nasihat Saya Mesti Didengar” dengan beberapa isi kandungan yang memfitnah YAB Tuan Guru Dato Menteri Besar Kelantan.

Antaranya menyebut, “Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa nasihatnya itu mesti didengar kerana mempunyai hujah jelas untuk menangkis cadangan yang dianggapnya sebelum ini sebagai ‘ilham’ UMNO.”

Artikel tersebut mengundang kepada beberapa pandangan balas yang mengecam YAB Tuan Guru, antaranya ialah seperti yang tersiar di dalam akhbar yang sama di muka surat 12 bertarikh 16 Jun 2009. Artikel yang ditulis oleh Ramli Abdul Halim itu mengecam YAB Tuan Guru dengan mendakwa tindakan tersebut bercanggah dengan Islam.

YAB Tuan Guru telah menafikan kenyataan yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 12 Jun 2009 dan penafian ini disiarkan oleh akhbar yang sama di muka surat dua pada 18 Jun 2009.

Setelah melalui proses rundingan di antara kedua-dua pihak bersama dengan peguam yang dilantik, Utusan Malaysia telah memohon maaf kepada pihak YAB Tuan Guru di atas laporan yang salah tersebut dan permohonan maaf ini disiarkan di muka hadapan Utusan Malaysia 29 Julai 2009.

Memandangkan laporan tersebut yang dianggap begitu tersasar dan mendatangkan kesan khususnya kepada keputusan pilihanraya kecil Dun Manek Urai, pihak YAB Tuan Guru tetap meneruskan usaha untuk memfailkan saman sebanyak RM20 juta ke atas Utusan Malaysia.

Kes ini dijadualkan mula dibicara pada 12 Jun 2011 di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Pada 10 Jun 2011, pihak Utusan Malaysia melalui peguam yang dilantik telah menghantar notis tawaran penyelesaian di luar mahkamah dengan sejumlah bayaran ganti rugi kepada pihak YAB Tuan Guru.

Justeru pada prosiding mahkamah yang bermula pada 13 Jun 2011, berasaskan kepada notis yang dihantar tersebut, YAB Tuan Guru telah berbesar hati untuk menarik balik saman dengan sejumlah bayaran yang ditawarkan oleh pihak defendan.

Justeru, sukalah saya mengulangi sekali lagi bahawa apa yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada hari ini 14 Jun 2011 iaitu YAB Tuan Guru telah menarik balik saman RM20j adalah benar namun perlu disebut bahawa ia dilakukan berdasarkan tawaran penyelesaian di luar mahkamah oleh pihak defendan berdasarkan sejumlah bayaran yang tertentu.

Monday 30 May 2011

IBRAHIM ALI AHLI POLITIK MALAYSIA PALING BURUK, KATA ANWAR


PETALING JAYA, 29 Mei — Datuk Ibrahim Ali, yang mengetuai pertubuhan bukan kerajaan Perkasa sejak tiga tahun lalu, merupakan seorang ahli politik Malaysia yang paling buruk, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) itu mendakwa presiden Perkasa itu cuba melaga-lagakan umat Islam dan Kristian antara satu sama lain dengan mengisytiharkan sanggup mengadakan perang jihad terhadap komuniti Kristian.

Tindakan-tindakan Ibrahim, menurut Anwar, dilakukan atas restu Umno.

“Masalahnya ialah sistem yang kita ada bertolak ansur dan menggunakan mereka seperti Ibrahim Ali,” kata Anwar ketika sesi ramah mesra dengan golongan profesional di sini petang ini.



“Ketepikan pelawak-pelawak ini,” kata Anwar.

Dalam ceramahnya tiga minggu lalu, Ibrahim memberi amaran kepada komuniti Kristian bahawa beliau akan melancarkan perang jihad jika mereka meneruskan agenda mahu merampas kedudukan Islam negara ini.

Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas itu berkata, beliau bersedia untuk jatuh atas kenyataannya itu demi mempertahankan maruah Islam.

Bagaimanapun beberapa pemimpin dari BN dan PR membantah tegas kenyataan tersebut dan meminta agar tindakan dikenakan terhadap Ibrahim.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein pernah berkata, apa yang dikatakan Ibrahim itu tidak mewakili keseluruhan masyarakat Melayu.

Pertikaian antara agama Islam dan Kristian timbul apabila Utusan Malaysia menyiarkan laporan bertajuk “Kristian agama rasmi?” pada 7 Mei lalu, mendakwa wujudnya perbincangan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, sekali gus melantik perdana menteri dari kalangan penganut itu.

Akhbar milik Umno itu juga mendakwa ada konspirasi mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi, usaha didakwa disokong oleh pemimpin DAP.

Bagaimanapun pemimpin DAP dan pemimpin Kristian telah menafikannya.

Dalam kenyataan terbaru hari ini, Ibrahim yang bertanding dalam pilihan raya umum 2008 atas tiket PAS di Kelantan berkata, pada pemilihan parti itu minggu depan berhadapan dengan nasib “menang sorak kampung tergadai” di arena politik tempatan.

Ibrahim juga mendakwa yang akan untung ialah DAP dan Anwar.

PR dianggotai DAP, PAS dan PKR.

Monday 21 March 2011

TANAH RIZAB MELAYU - KELANTAN SAMAN UTUSAN

(Laporan Utusan hari ini yang membawa tindakan saman ke atas akhbar itu)
KOTA BHARU, 21 Mac: Kerajaan negeri Kelantan mengambil keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Utusan Malaysia yang memfitnah mereka berkaitan isu tanah.

Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri Kelantan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini.

"Laporan itu kami sifatkan sebagai tidak berfakta, menghasut agar membenci kerajaan negeri dan fitnah," kata Dr Mohd Fadhli Hassan, Exco kerajaan negeri Kelantan.

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini menyiarkan laporan muka depan kononnya rakyat Kelantan dianiaya ekoran dakwaan tindakan kerajaan negeri memajak tanah kepada syarikat bukan bumiputra.

Laporan itu memetik kenyataan Datuk Mustapha Mohamad, Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan.

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghantar notis saman kepada Utusan ekoran laporan media itu yang mendakwa beliau seorang biseksual.

Anwar menuntut penarikan balik berita itu, permohonan maaf dan bayaran gantirugi RM100 juta.

Dr Fadzli, exco penerangan Kelantan dalam kenyataannya berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan tindakan itu dilaksanakan.

"Laporan itu berunsur fitnah dan ada niat politik untuk burukkan Kelantan," kata Dr Fadzli selepas menghadiri mesyuarat Exco pagi ini.

Beliau mempertikaikan, bagaimana akhbar itu boleh menyiarkan berita sebegitu sedangkan tanah rizab Melayu di negeri ini yang dikatakan dilelong dan sebagainya tidak berbangkit langsung kerana ia tidak dijual.

Tuesday 1 March 2011

NIK AZIZ TIDAK REDA KETENTUAN ALLAH - PERKASA

KOTA BHARU - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kelantan menyifatkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bersyukur dan tidak reda dengan ketentuan Allah apabila menyatakan beliau tidak meminta dilahirkan sebagai seorang Melayu.

Naib Yang Dipertuanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, Nik Abdul Aziz seolah-olah menyesal dilahirkan sebagai orang Melayu dan beliau juga tidak reda dengan takdir Allah yang menjadikannya sebagai orang Melayu.

Beliau berkata, sesiapa yang tidak reda dengan takdir Allah maka mereka adalah dari golongan orang yang kufur kepada nikmat Allah.

"Dia mungkin terlupa dengan firman Allah yang bermaksud 'sesungguhnya Aku telah jadikan kamu (manusia) berbangsa-bangsa dan bersuku-suku untuk kamu kenal mengenal antara satu dengan yang lain. Dan orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa di kalangan kamu'.

"Nik Abdul Aziz juga lupa Allah menjadikan manusia di muka bumi ini sebagai khalifah. Nabi Muhammad SAW seorang bangsa Arab yang diangkat sebagai nabi dan rasul untuk seluruh umat manusia tanpa baginda menyesal dilahirkan sebagai seorang berbangsa Arab malah Rasulullah bangga sebagai seorang Arab," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Nik Abdul Aziz berkata, beliau tidak kisah jika dilahirkan sebagai Orang Asli dan tidak meminta untuk dilahirkan sebagai orang Melayu.

Sehubungan itu, Menteri Besar Kelantan itu menegaskan, beliau tidak perlu bersyukur kerana dilahirkan sebagai seorang Melayu kerana ia adalah ketentuan Allah kepada setiap manusia di atas muka bumi.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Nik Abdul Aziz patut bersyukur dilahirkan sebagai orang Melayu yang tentunya beragama Islam.

Mustapa berkata, sesiapa yang tidak reda dengan takdir Allah maka mereka adalah dari golongan orang yang kufur kepada nikmat Allah.

"Perkasa Negeri Kelantan meminta supaya Nik Aziz bertaubat dan memohon keampunan Allah SWT dan janganlah terlalu angkuh dan sombong kepada nikmat Allah yang telah menciptanya sebagai manusia dan bukan sebagai haiwan," katanya.

Sunday 13 February 2011

KERAJAAN PAS KELANTAN TIDAK BERSIH - MUSTAPA

KOTA BHARU 13 Feb. - Kerajaan Pas Kelantan tidak bersih!

Itulah reaksi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika mengulas pendedahan Utusan Malaysia mengenai loteri big sweep dan juga aktiviti pelacuran di Kampung Limau Manis di sini yang didedahkan oleh laman blog Kickdefella.

Beliau berkata, cakap-cakap mengenai kedua-dua aktiviti maksiat itu di bandar ini telah lama wujud dan kini ia telah disahkan dengan laporan surat khabar dan media online.

"Kita sudah dengar berita ini (sebelum ini) tetapi sekarang sudah keluar dalam surat khabar dan media online. Maka rakyat nak tahu ada atau tidak pelacuran dan perjudian, kita nak kerajaan negeri bertindak dengan segera.

"Kerajaan Pas Kelantan jangan dabik dada kata kita bersih segala-galanya. Kata ini negeri Serambi Mekah, walhal benda macam ini pun ada di Kelantan.

"Cakap tak serupa bikin. Cakap seolah-olah bersih belaka tetapi ada kemungkaran dan maksiat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Gelombang Merah peringkat Parlimen Kubang Kerian di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Mohd. Fauzi Ismail dan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian yang juga Ketua Pemuda UMNO Kubang Kerian.

Beliau mengulas penjualan loteri big sweep dan empat nombor ekor secara berleluasa di negeri ini biarpun Kerajaan Pas Kelantan mengharamkan sebarang aktiviti berkaitan judi sejak parti itu memerintah negeri ini.

Pada masa sama, laman blog Kickdefella mendedahkan aktiviti pelacuran di Kampung Limau Manis, kira-kira 500 meter dari kompleks pentadbiran kerajaan, Kota Darulnaim.

Kickdefella mendakwa, adalah mustahil sekiranya Kerajaan Pas Kelantan tidak mengetahui aktiviti itu kerana lokasinya yang begitu hampir dengan kompleks pentadbiran yang turut menempatkan pejabat Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan barisan Exconya.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, sewajarnya Kerajaan Pas Kelantan memberi maklum balas secepat mungkin sebaik sahaja berita tersebut disiarkan kerana rakyat mahu mengetahui kebenarannya.

"Patutnya apabila keluar berita macam itu, ada respons serta-merta tetapi sehingga sekarang saya belum dengar apa-apa padahal setiap apa yang dilaporkan oleh media perlu dijawab serta-merta,'' katanya.

Tuesday 1 February 2011

CARI JALAN 'TUTUP MULUT' NIK AZIZ

KUALA LUMPUR 1 Feb. – Pas harus mencari jalan untuk ‘menutup mulut’ Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sering kali mengeluarkan fatwa politik kerana ia mampu merosakkan akidah umat Islam di negara ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ‘fatwa’ yang keluar dari mulut Nik Aziz juga sering kali bertentangan dengan pendapat Dewan Ulama Pas dan parti itu.

‘‘Pas hendaklah mencari jalan menutup mulut beliau (Nik Abdul Aziz) yang merosakkan akidah umat Islam di negara ini.

‘‘Lagipun, pendapat beliau bukan pendapat Dewan Ulama Pas, jauh sekali pendapat daripada badan induk Pas,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan-kenyataan Nik Aziz yang sejak kebelakangan ini sering kali mengundang kontroversi.

Terbaru, Menteri Besar Kelantan itu melabelkan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang yang tidak menyokong calonnya sebagai orang jahiliah.

Nik Aziz berkata demikian pada sidang akhbar di Kampung Radong selepas membantu calon parti itu, Normala Sudirman berkempen untuk Pilihan Raya Kecil DUN Tenang beberapa hari yang lalu.

Pendapat beliau berhubung serangan Lee Kuan Yew terhadap Islam juga dilihat seakan-akan mempertahankan serta merelakan perbuatan Menteri Mentor Singapura itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, fatwa Nik Aziz berkaitan politik juga sering berubah-ubah dan tidak berlandaskan nas serta ijmak ulama.

Sementara itu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, Mursyidul Am Pas itu sanggup melakukan apa sahaja asalkan cita-cita pembangkang tercapai dan dendam mereka terbalas walaupun agama dijadikan galang gantinya.

‘‘Apa saja yang menguntungkan politik Pas akan dibiarkan berlaku walaupun ia diketahui akan menjejaskan kedudukan agama Islam,’’ ujar beliau.

Timbalan Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Omar Saleh pula berpendapat, Nik Aziz terlalu banyak menggunakan agama untuk kepentingan politik beliau.

‘‘Saya ingin bertanya kepada beliau, apakah status nenek moyang saya dan mereka yang tidak mengundi Pas sebelum Pas diwujudkan. Adakah mereka ini kafir seperti ‘fatwa’ yang dikeluarkan Pas?

‘‘Jika Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) disifatkan sebagai pelacur politik, saya ingin bertanya, apakah Nik Aziz ini pelacur agama kerana sikap beliau yang memperdagangkan agama demi memuaskan nafsu untuk berkuasa.

‘‘Anwar dan Nik Aziz ialah gambaran manusia ‘putar alam’ yang sanggup menjadi pak turut kepada DAP. Nik Aziz sendiri telah memperdagangkan Islam demi kepentingan politik DAP,’’ tambahnya.