Monday, 2 July 2012

TUKAR Buat Laporan Polis



Sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Gerakan Tukar Kerajaan Pas Kelantan (Tukar) membuat laporan polis berhubung isu NGO lain didakwa cuba melibatkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dalam satu perhimpunan baru-baru ini.

Ketua Gerakan Tukar, Kamarudin Mohd Kasim mendakwa, NGO yang terlibat, iaitu Gabungan Profesional Kelantan Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Kelantan (Royalti) tidak wajar menggunakan potret Sultan untuk tujuan itu.

“Tindakan Royalti yang membawa poster tertera gambar Sultan dan menjaja nama Baginda menuntut royalti dilihat seolah-olah menggambarkan institusi Kesultanan Kelantan tidak memahami langsung proses mahkamah.

“Kes ini kini dalam perbicaraan dan kami tidak bersetuju dengan cara ‘permainan’ politik yang cuba membawa Baginda ke jalanan, malah ia jelas membawa kepada perpecahan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di sini, semalam.

Laporan tersebut dibuat di Balai Polis Kota Bharu bersama tiga NGO, iaitu Majlis Intelektual Darul Naim (Minda), Angkatan Generasi Melayu Muda Kelantan (Agenda) dan Profesional Kelantan (Kelpro) kira-kira jam 12 tengah hari, di sini, semalam.

Kamarudin mendakwa, pihaknya percaya tindakan itu bertujuan mencipta persepsi yang tidak baik pada mata rakyat Kelantan demi melindungi kepentingan mereka.

Dakwanya, pihak juga turut membidas sikap Royalti mengadakan kempen memboikot Petronas dengan memaparkan potret Sultan seolah-olah menggambarkan Baginda turut bersetuju dengan tindakan tersebut.

“Tindakan tersebut tidak wajar, kerana Petronas banyak berjasa pada negara. Selain itu, sesiapa yang tidak mengikut Royalti dikira ingkar perintah Tuanku dan menderhaka kepada Sultan. Sedangkan, pada titah yang terdapat pada plak itu tidak menyebut soal Royalti, malahan ia satu pengharapan dan keprihatinan Tuanku terhadap keinginan melihat Kelantan maju, namun ia dimanipulasikan,” katanya. – Sinar Harian

No comments:

Post a Comment