Saturday 7 July 2012

22 Mesin Judi Dirampas Di Kota Bharu

KOTA BHARU - Sebanyak 22 mesin judi berjaya di rampas sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, dalam serbuan yang dilakukan, di dua premis berasingan di Jalan Kebun Sultan dan Pasar Borong Wakaf Che Yeh di sini, semalam.

Operasi diketuai Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman dan 10 anggota itu, bermula kira-kira jam 3 hingga 5 petang itu dilakukan hasil risikan dan maklumat awam.

Azham berkata, kesemua mesin yang dirampas bernilai hampir RM100,000.

“Kita masuk ke kawasan berkenaan secara paksa dan mendapati terdapat 11 mesin di sebuah premis di Jalan Kebun Sultan dan 11 lagi di Wakaf Che Yeh dan dipercayai menggunakan komputer yang beroperasi sebagai mesin slot judi.

“Semasa serbuan dibuat, tiada tangkapan dilakukan kerana kedua-dua premis terbabit masih belum beroperasi sepenuhnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kawasan terbabit semalam.

Azham berkata, kesemua mesin ini ditahan dan disiasat di bawah seksyen 4 (B) (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Beliau berkata, dipercayai kesemua mesin terbabit sudah lama di bawa masuk di kedua-dua premis itu, namun masih belum beroperasi ekoran terdapat beberapa masalah teknikal.

“Kita akan mengesan dan menjalankan siasatan terhadap pemilik kedua-dua premis terbabit yang dipercayai menggunakan premis tersebut sebagai lokasi utama untuk menarik pelanggan terutamanya dari peniaga-peniaga di kawasan itu melibatkan diri dalam aktiviti perjudian,” katanya.

No comments:

Post a Comment