Monday 21 March 2011

TANAH RIZAB MELAYU - KELANTAN SAMAN UTUSAN

(Laporan Utusan hari ini yang membawa tindakan saman ke atas akhbar itu)
KOTA BHARU, 21 Mac: Kerajaan negeri Kelantan mengambil keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Utusan Malaysia yang memfitnah mereka berkaitan isu tanah.

Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri Kelantan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini.

"Laporan itu kami sifatkan sebagai tidak berfakta, menghasut agar membenci kerajaan negeri dan fitnah," kata Dr Mohd Fadhli Hassan, Exco kerajaan negeri Kelantan.

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini menyiarkan laporan muka depan kononnya rakyat Kelantan dianiaya ekoran dakwaan tindakan kerajaan negeri memajak tanah kepada syarikat bukan bumiputra.

Laporan itu memetik kenyataan Datuk Mustapha Mohamad, Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan.

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghantar notis saman kepada Utusan ekoran laporan media itu yang mendakwa beliau seorang biseksual.

Anwar menuntut penarikan balik berita itu, permohonan maaf dan bayaran gantirugi RM100 juta.

Dr Fadzli, exco penerangan Kelantan dalam kenyataannya berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan tindakan itu dilaksanakan.

"Laporan itu berunsur fitnah dan ada niat politik untuk burukkan Kelantan," kata Dr Fadzli selepas menghadiri mesyuarat Exco pagi ini.

Beliau mempertikaikan, bagaimana akhbar itu boleh menyiarkan berita sebegitu sedangkan tanah rizab Melayu di negeri ini yang dikatakan dilelong dan sebagainya tidak berbangkit langsung kerana ia tidak dijual.

Tuesday 1 March 2011

NIK AZIZ TIDAK REDA KETENTUAN ALLAH - PERKASA

KOTA BHARU - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kelantan menyifatkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bersyukur dan tidak reda dengan ketentuan Allah apabila menyatakan beliau tidak meminta dilahirkan sebagai seorang Melayu.

Naib Yang Dipertuanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, Nik Abdul Aziz seolah-olah menyesal dilahirkan sebagai orang Melayu dan beliau juga tidak reda dengan takdir Allah yang menjadikannya sebagai orang Melayu.

Beliau berkata, sesiapa yang tidak reda dengan takdir Allah maka mereka adalah dari golongan orang yang kufur kepada nikmat Allah.

"Dia mungkin terlupa dengan firman Allah yang bermaksud 'sesungguhnya Aku telah jadikan kamu (manusia) berbangsa-bangsa dan bersuku-suku untuk kamu kenal mengenal antara satu dengan yang lain. Dan orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa di kalangan kamu'.

"Nik Abdul Aziz juga lupa Allah menjadikan manusia di muka bumi ini sebagai khalifah. Nabi Muhammad SAW seorang bangsa Arab yang diangkat sebagai nabi dan rasul untuk seluruh umat manusia tanpa baginda menyesal dilahirkan sebagai seorang berbangsa Arab malah Rasulullah bangga sebagai seorang Arab," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Nik Abdul Aziz berkata, beliau tidak kisah jika dilahirkan sebagai Orang Asli dan tidak meminta untuk dilahirkan sebagai orang Melayu.

Sehubungan itu, Menteri Besar Kelantan itu menegaskan, beliau tidak perlu bersyukur kerana dilahirkan sebagai seorang Melayu kerana ia adalah ketentuan Allah kepada setiap manusia di atas muka bumi.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Nik Abdul Aziz patut bersyukur dilahirkan sebagai orang Melayu yang tentunya beragama Islam.

Mustapa berkata, sesiapa yang tidak reda dengan takdir Allah maka mereka adalah dari golongan orang yang kufur kepada nikmat Allah.

"Perkasa Negeri Kelantan meminta supaya Nik Aziz bertaubat dan memohon keampunan Allah SWT dan janganlah terlalu angkuh dan sombong kepada nikmat Allah yang telah menciptanya sebagai manusia dan bukan sebagai haiwan," katanya.