Thursday 5 July 2012

Artis Beribadat Melalui Karier

KOTA BHARU – Pas kini dilihat menjadi pilihan artis di negara ini kerana disifatkan sebagai sebuah parti yang berjuang atas landasan Islam sebenar.

Naib Presidennya, Datuk Husam Musa berkata, situasi tersebut menunjukkan Pas sebuah parti yang diyakini dan bersifat terbuka.

Beliau berkata, penyertaan artis ke dalam Pas juga dapat menghakis pemikiran ortodoks yang menganggap Islam menghalang kerjaya artis.

“Keadaan ini menjadikan selama ini konsep bahawa Islam dianggap menghalang kegiatan artis adalah salah dan pada masa sama mereka bo-leh beribadat melalui karier, asalkan mereka mengikut jalur-jalur yang diizinkan dalam Islam.

“Perkara yang boleh membawa manusia kepada kebaikan adalah ibadah termasuk kerjaya artis menerusi perfileman, drama dan nyanyian yang dapat memberikan kesedaran,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Husam berkata, trend tersebut akan meluaskan peranan industri hiburan menerusi karya artis ke arah kebaikan kerana berupaya memberikan pendidikan moral kepada generasi muda pada masa hadapan.

“Industri hiburan pada masa akan datang boleh berganding sekali dengan pendidikan moral untuk generasi muda iaitu bukan hanya bertindak sebagai industri liar semata-mata, tetapi hiburan yang terarah dan pengabdian diri kepada ALLAH SWT,” katanya.

Baru-baru ini pelakon popular, Hairie Othman mengambil keputusan menyertai Pas kerana melihat parti itu berjuang berlandaskan syariat Islam.

No comments:

Post a Comment