Sunday 13 February 2011

KERAJAAN PAS KELANTAN TIDAK BERSIH - MUSTAPA

KOTA BHARU 13 Feb. - Kerajaan Pas Kelantan tidak bersih!

Itulah reaksi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika mengulas pendedahan Utusan Malaysia mengenai loteri big sweep dan juga aktiviti pelacuran di Kampung Limau Manis di sini yang didedahkan oleh laman blog Kickdefella.

Beliau berkata, cakap-cakap mengenai kedua-dua aktiviti maksiat itu di bandar ini telah lama wujud dan kini ia telah disahkan dengan laporan surat khabar dan media online.

"Kita sudah dengar berita ini (sebelum ini) tetapi sekarang sudah keluar dalam surat khabar dan media online. Maka rakyat nak tahu ada atau tidak pelacuran dan perjudian, kita nak kerajaan negeri bertindak dengan segera.

"Kerajaan Pas Kelantan jangan dabik dada kata kita bersih segala-galanya. Kata ini negeri Serambi Mekah, walhal benda macam ini pun ada di Kelantan.

"Cakap tak serupa bikin. Cakap seolah-olah bersih belaka tetapi ada kemungkaran dan maksiat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Gelombang Merah peringkat Parlimen Kubang Kerian di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Mohd. Fauzi Ismail dan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian yang juga Ketua Pemuda UMNO Kubang Kerian.

Beliau mengulas penjualan loteri big sweep dan empat nombor ekor secara berleluasa di negeri ini biarpun Kerajaan Pas Kelantan mengharamkan sebarang aktiviti berkaitan judi sejak parti itu memerintah negeri ini.

Pada masa sama, laman blog Kickdefella mendedahkan aktiviti pelacuran di Kampung Limau Manis, kira-kira 500 meter dari kompleks pentadbiran kerajaan, Kota Darulnaim.

Kickdefella mendakwa, adalah mustahil sekiranya Kerajaan Pas Kelantan tidak mengetahui aktiviti itu kerana lokasinya yang begitu hampir dengan kompleks pentadbiran yang turut menempatkan pejabat Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan barisan Exconya.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, sewajarnya Kerajaan Pas Kelantan memberi maklum balas secepat mungkin sebaik sahaja berita tersebut disiarkan kerana rakyat mahu mengetahui kebenarannya.

"Patutnya apabila keluar berita macam itu, ada respons serta-merta tetapi sehingga sekarang saya belum dengar apa-apa padahal setiap apa yang dilaporkan oleh media perlu dijawab serta-merta,'' katanya.

Tuesday 1 February 2011

CARI JALAN 'TUTUP MULUT' NIK AZIZ

KUALA LUMPUR 1 Feb. – Pas harus mencari jalan untuk ‘menutup mulut’ Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sering kali mengeluarkan fatwa politik kerana ia mampu merosakkan akidah umat Islam di negara ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ‘fatwa’ yang keluar dari mulut Nik Aziz juga sering kali bertentangan dengan pendapat Dewan Ulama Pas dan parti itu.

‘‘Pas hendaklah mencari jalan menutup mulut beliau (Nik Abdul Aziz) yang merosakkan akidah umat Islam di negara ini.

‘‘Lagipun, pendapat beliau bukan pendapat Dewan Ulama Pas, jauh sekali pendapat daripada badan induk Pas,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan-kenyataan Nik Aziz yang sejak kebelakangan ini sering kali mengundang kontroversi.

Terbaru, Menteri Besar Kelantan itu melabelkan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang yang tidak menyokong calonnya sebagai orang jahiliah.

Nik Aziz berkata demikian pada sidang akhbar di Kampung Radong selepas membantu calon parti itu, Normala Sudirman berkempen untuk Pilihan Raya Kecil DUN Tenang beberapa hari yang lalu.

Pendapat beliau berhubung serangan Lee Kuan Yew terhadap Islam juga dilihat seakan-akan mempertahankan serta merelakan perbuatan Menteri Mentor Singapura itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, fatwa Nik Aziz berkaitan politik juga sering berubah-ubah dan tidak berlandaskan nas serta ijmak ulama.

Sementara itu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, Mursyidul Am Pas itu sanggup melakukan apa sahaja asalkan cita-cita pembangkang tercapai dan dendam mereka terbalas walaupun agama dijadikan galang gantinya.

‘‘Apa saja yang menguntungkan politik Pas akan dibiarkan berlaku walaupun ia diketahui akan menjejaskan kedudukan agama Islam,’’ ujar beliau.

Timbalan Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Omar Saleh pula berpendapat, Nik Aziz terlalu banyak menggunakan agama untuk kepentingan politik beliau.

‘‘Saya ingin bertanya kepada beliau, apakah status nenek moyang saya dan mereka yang tidak mengundi Pas sebelum Pas diwujudkan. Adakah mereka ini kafir seperti ‘fatwa’ yang dikeluarkan Pas?

‘‘Jika Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) disifatkan sebagai pelacur politik, saya ingin bertanya, apakah Nik Aziz ini pelacur agama kerana sikap beliau yang memperdagangkan agama demi memuaskan nafsu untuk berkuasa.

‘‘Anwar dan Nik Aziz ialah gambaran manusia ‘putar alam’ yang sanggup menjadi pak turut kepada DAP. Nik Aziz sendiri telah memperdagangkan Islam demi kepentingan politik DAP,’’ tambahnya.