Sunday, 30 December 2012

Penduduk Adakan Demonstrasi Bantah Kerajaan Pas Kelantan Ambil Tanah

GUA MUSANG – Lebih 100 penduduk Orang Asli di Pos Belatim dan Dakoh, dekat sini, akan mengadakan demonstrasi untuk membantah tindakan Kerajaan Pas Kelantan meluluskan tanah yang sudah diusahakan mereka kepada Perbadanan Ladang Rakyat. 

Tempat perhimpunan itu belum dapat dipastikan sama ada di pos berkenaan atau depan Kota Darulnaim pusat pentadbiran kerajaan Negeri sambil menyerahkan memorandum bantahan itu dan mendesak kerajaan negeri menghentikan berbuat demikian.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Kamal Alik, berkata, Orang Asli sekarang semakin tidak puas hati dengan corak pemerintahan kerajaan negeri itu khususnya mengenai pengambilan balik tanah yang sudah diusahakan.

Katanya, setakat ini seluas 4,000 hektar tanah sudah dimajukan sebagai ladang rakyat termasuk 1,600 hektar di Pos Belatin dan 2,400 hektar di Pos Dakoh hingga timbul banyak masalah kepada kaum itu untuk mencari punca pendapatan.

“Kita akan mengadakan demonstrasi itu dalam masa terdekat ini kerana kita rasa hidup terpinggir disebabkan masalah itu yang berterusan tanpa ada rundingan terlebih dahulu dengan
penduduk Orang Asli tempatan,” katanya sambil menunjukkan papan larangan memasuki kawasan Ladang Rakyat, di Pos Belatin, semalam.

Kamal berkata, berikutan pembukaan ladang rakyat secara meluas itu juga menyebabkan kebanyakan penduduk terpaksa mencari peluang pekerjaan di luar kampung mereka.

“Sebelum ini banyak tanaman yang diusahakan penduduk tempatan disodok syarikat terbabit dan kami tidak ada kuasa untuk menghalangnya berikutan tanah terbabit juga mempunyai hak milik kaum kami,” katanya.

Seorang penduduk Orang Asli, Alang Donggeng, 43, pula berkata, kerajaan Pas sewajarnya memberi perhatian terhadap nasib hidup kaum itu terutama memberi peluang dalam pembangunan
tanah sebagai sumber pendapatan.

Beliau berkata, kaum itu bukan mahu tanah yang luas seperti yang diusahakan syarikat pembangunan ladang terbabit, tetapi sekadar mampu diusahakan bagi tujuan itu. 

Saturday, 29 December 2012

Syed Ali: Pas Bertanggungjawab Pecah Belah Perpaduan Melayu

KUALA LUMPUR - Seorang pemimpin Umno hari ini menuduh Pas telah lari daripada perjuangan asalnya dan memecahbelahkan perpaduan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata peranan golongan ulama dalam parti itu juga sudah terhakis kerana tidak berupaya menghadapi tekanan daripada DAP.

"Pas terpaksa menggugurkan wadah perjuangan Islamnya kerana menyedari parti itu tidak boleh hidup tanpa sokongan daripada DAP dan PKR, katanya dalam entri terbaru blog http://umnobahagiancheras.blogspot.com

Syed Ali menegaskan bahawa golongan ulama Pas termasuk Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat sudah tidak lagi relevan dan, adanya mereka kini seperti "tunggul kayu buruk" yang tidak berupaya bertentang mata dengan DAP.

Beliau berkata tidak ada seorang pun pemimpin Pas termasuk Nik Aziz yang berani membantah apabila Pengerusi DAP, Karpal Singh bertegas menentang apa juga cadangan ke arah pembentukan sebuah negara Islam termasuk pelaksanaan hukum hudud.

"Ini menunjukkan pemimpin Pas terutama Nik Aziz cakap putar belit dengan memainkan sentimen agama yang dipolitikkan untuk meraih sokongan pengundi Melayu," katanya.

Syed Ali menjelaskan, Pas walaupun ditentang oleh DAP dari segi perjuangan Islamnya, tetapi tetap memperalatkan agama.

Oleh sebab itu, kata beliau, Nik Aziz tetap bertegas mahukan presidennya, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang supaya jangan menarik balik 'Amanat Haji Hadi' yang terbukti telah memecahbelah masyarakat dan menyesatkan pemikiran umat Islam.

"Ketika semua pihak termasuk bekas pejuang Pas mendesak Haji Hadi tarik balik amanat tersebut, Nik Aziz pula mahukan ia dikekalkan, ini menunjukkan Nik Aziz mempunyai agenda yang tersirat," katanya.

Justeru, katanya, orang Melayu terutama umat Islam harus sedar bahawa perjuangan Pas selama ini hanya untuk kepentingan politik pihak tertentu dan bukannya berasaskan kepada perjuangan Islam. - Bernama

Thursday, 27 December 2012

Nik Aziz Juga Perlu Tarik Fatwa Mengenai Umno Murtad Dan Mungkar - Ahmad Maslan

KOTA BHARU - Selain Amanat Hadi yang perlu ditarik balik Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana menyebabkan perpecahan dalam kalangan umat Islam negara ini, Mursyidul Am parti pembangkang itu juga perlu berbuat demikian kerana mengeluarkan beberapa fatwanya sendiri. 

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata ini kerana beberapa fatwa oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga Menteri Besar Kelantan terutamanya mengenai Umno murtad dan sesiapa yang menyokong Umno sebagai mungkar, turut memberi implikasi buruk terhadap bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini. 

"Nik Aziz perlu menarik balik fatwanya itu yang boleh menjadi perpecahan bangsa Melayu dan umat Islam. Bukan Abdul Hadi sahaja yang perlu berbuat demikian (menarik balik amanat)," katanya kepada pemberita selepas melawat 157 mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Mulong di sini, malam Rabu. 

Ahmad berkata ini sejajar dengan titah Sultan Kelantan Sultan Muhammad V semalam yang mahukan umat Islam supaya saling menghormati dan mengelak daripada sengketa berpanjangan. 

Ketika merasmikan Sambutan 100 Tahun Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), baginda berharap semua pihak menyedari betapa tingginya kerinduan umat Islam kepada kedamaian dan kerukunan serta betapa kecewanya apabila tenaga dan kekuatan umat habis tercurah dalam sengketa peperangan sesama sendiri. 

Ahmad berkata masyarakat sebenarnya keliru dengan fatwa politik yang dibawa PAS, yang boleh berubah-ubah mengikut keadaan. 

"Bukan orang Islam sahaja yang keliru malah orang bukan Islam juga keliru. Kita tidak boleh biarkan pihak lain menempelak orang Islam dalam hal-hal sebegini," katanya. 

Beliau berkata titah baginda itu tepat pada masanya dan tidak terlewat bagi umat Islam untuk mengubah nasib mereka sendiri. 

Sementara itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengumumkan beberapa bentuk bantuan kepada mangsa banjir ketika lawatannya ke beberapa tempat yang dilanda banjir esok. -Bernama

Tuesday, 25 December 2012

Isu Penggunaan Kalimah Allah, Pas Selar Lim Guan Eng

PAS dan ulama membidas tindakan Lim Guan Eng membangkitkan semula isu menuntut Kerajaan Pusat membenarkan kalimah Allah digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu. 

Tindakan itu kata mereka bukan saja akan mengelirukan umat Islam malah menunjukkan Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak menghormati keputusan yang sudah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong. 

Guan Eng dalam perutusan khas sempena Krismas di laman blognya, semalam menggesa Kerajaan Pusat diterajui Barisan Nasional (BN) membenarkan penganut Kristian di Semenanjung menggunakan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu. 

Ahli Majlis Syura Ulama PAS yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan, Datuk Mohamed Daud Iraqi, berkata tindakan Setiausaha Agung DAP itu mengelirukan umat Islam di negara ini. 

“PAS mengambil pendirian seperti diputuskan Majlis Syura parti sebelum ini, tidak bersetuju dengan desakan mana-mana pihak berhubung isu berkenaan. 

“Kita tidak boleh lawan Majlis Syura yang sudah putus perkara ini sebelum ini, kalau lawan…. jadi benda lain. Kita tidak akan ikut, pakai dia (Guan Eng), sebab dia keliru banyak, nak guna benda karut. 

“Tapi terpulang kepada kerajaan (Persekutuan), kalau nak buat. Bagi PAS, kita bantah, tidak boleh guna perkataan itu,” katanya kepada BH. 

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi mahu Guan Eng berhenti daripada membangkitkan isu itu kerana boleh mencetuskan kekeliruan umat Islam. 

“Tindakan Guan Eng itu boleh mencetuskan semula polemik yang sudah lama reda. Isu ini tidak perlu ditimbulkan lagi dan sepatutnya beliau merujuk kepada ulama sebelum mengeluarkan kenyataan seperti itu secara terbuka. 

“Isu kalimah Allah ini bukan boleh dijadikan polemik kerana ia sangat sensitif dan boleh menimbulkan ketegangan agama jika tidak ditangani dengan baik,” katanya. 

Nasrudin berkata, jika masyarakat agama lain masih tidak memahami isu itu sewajarnya ia dibincangkan secara tertutup bersama ulama bagi mengelakkan ketegangan agama. 

Ditanya sama ada PAS akan bertemu dengan Guan Eng berhubung isu terbabit, Nasrudin berkata, perkara itu diserahkan kepada pucuk pimpinan parti. 

Sebelum ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5-7 Mei 2008 sudah membincangkan Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah. 

Muzakarah memutuskan bahawa lafaz Allah adalah kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam serta tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama lain. 

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad berkata, negeri itu mewartakan kalimah Allah sebagai antara 40 perkataan yang tidak boleh digunakan bukan Islam. 

Beliau berkata peraturan itu dikuatkuasakan pada zaman pakatan pembangkang memerintah dan dipersetujui Guan Eng sebagai pemimpin tertinggi. 

“Jabatan Mufti Pulau Pinang sudah putuskan perkataan seperti Allah, haji, masjid contohnya hanya boleh digunakan mereka yang beragama Islam. 

“Dia (Guan Eng) pun tahu perkara ini, kita sudah maklum dan peraturan ini sudah diwartakan, pelik juga beliau cakap macam tu,” katanya. 

Mufti Kelantan, Datuk Mohd Shukri Muhamad berkata, keputusan tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible perlu dihormati semua kaum. - Berita Harian Online

Monday, 24 December 2012

Pas Khianat Dan Aibkan Rakyat Kelantan

KUALA LUMPUR – Kerajaan PAS Kelantan mengkhianati dan mengaibkan rakyatnya dengan memberi tanah balak lebih 4,000 hektar di Gua Musang kepada pemimpin DAP yang didakwa kerana kepentingan politik pembangkang. 

Persatuan Anak-Anak Kelantan Darul Naim Malaysia (PAKATAN) juga berpendapat tanah balak itu sepatutnya digunakan untuk manfaat lebih sejuta penduduk negeri berkenaan, terutama penduduk miskin. 

Presidennya, Datuk Dr Noordin Ab Razak, berkata anak Kelantan yang bekerja keras di perantauan memberi sumbangan besar kepada pembangunan negeri itu dengan membawa balik rezeki ke kampung halaman mereka. 

“Janganlah segala perkara dilakukan hanya berkaitan dengan kepentingan kepartian, sebaliknya nasib rakyatlah yang harus dibela dan diberi keutamaan,” katanya kepada BH sambil mengakui dakwaan itu mengejutkan banyak pihak, semalam. – BHarianOnline

Sunday, 23 December 2012

Rasuah Tanah Nik Aziz Kepada Pemimpin DAP, Umno Kelantan Mahu SPRM Siasat

JELI - Umno Kelantan mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat segera pendedahan sebuah laman blog yang mendakwa Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menawarkan tanah kepada pemimpin DAP Perak bagi membolehkan wakil Pas menjadi Menteri Besar Perak pada 2008. 

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini penting bagi membolehkan masyarakat terutama rakyat Kelantan mengetahui perkara yang sebenar. 

"Kita dimaklumkan beberapa laporan polis sudah dibuat berhubung dakwaan itu dan sudah menjadi 'public interest'. 

"Rakyat seluruh negara terutama Kelantan mahu mengetahui sama ada isu itu benar, fitnah atau dongeng dan perkara ini perlu kepada satu penjelasan yang tepat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Mahabbah Imam Muda di Pondok Moden di sini, hari ini. 

Isu itu timbul apabila sebuah blog, pisau.net mendakwa Nik Aziz menawarkan tanah seluas 4,259.9 hektar di Relai, Chiku, Gua Musang kepada Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan Setiausahanya Nga Kor Ming untuk menerima Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak pada 2008. - Bernama

Thursday, 20 December 2012

Nik Aziz: Bertanding Politik Tak Perlu Tubuh Sihat Tetapi Akal Yang Sihat

KOTA BAHRU - Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulangi pendiriannya untuk tetap bertanding pada pilihan raya umum walaupun keadaan kesihatannya dipersoalkan. 

Menurutnya untuk bertanding pada pilihan raya, ia sama sekali tidak memerlukan seseorang calon itu sihat tubuh badannya tetapi cukup mempunyai pemikiran yang baik. 

"Insya-Allah...apa sahaja yang Umno tidak suka, itulah yang saya akan buat (bertanding). Bertanding politik bukan perlu kepada tubuh yang sihat tetapi akal yang sihat. Bertanding bukan semestinya untuk bertumbuk. Kalau bertumbuk saya minta maaf," kata Nik Aziz, 82, sebelum ini pernah menerima rawatan jantung. 

Ketika ditanya tentang kenyataannya yang pernah membayangkan untuk bersara daripada politik, beliau menjelaskan ia hanya terpakai sekiranya Umno menerima dasar Islam sebagai perjuangannya. 

"Selagi Melayu sokong Umno, wajib bagi saya melawan," katanya kepada pemberita di kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10 di sini, hari ini.- Bernama

Wednesday, 19 December 2012

Hadi Perlu Tarik Balik aAmanat 1981

ALOR SETAR - Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan kepimpinan parti itu perlu menarik balik dengan segera amanat yang dikeluarkan presiden PAS itu pada 1981 bagi memastikan masyarakat Melayu kembali bersatu demi kebaikan semua pihak.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata amanat itu telah memecah belahkan orang Melayu dan kembali aktif sejak akhir-akhir ini sehingga ada anggota PAS berdoa untuk kehancuran Umno yang dianggotai Melayu Islam.

"Amanat itu perlu ditarik balik oleh beliau (Hadi) kerana amanat bersifat ekstrem itu masih dipegang oleh anggota dan penyokong PAS dari dahulu hingga kini. Hari ini wujud perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahmad Bashah yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Bata berkata PAS mengkafirkan Umno disebabkan ia berkawan dengan parti komponen kaum lain tetapi hari ini mereka boleh bekerjasama dengan DAP.

Mereka seolah-olah lupa apa yang mereka cakap sebelum ini dan\ seolah-olah memejamkan mata dengan apa yang mereka lakukan, katanya. - Bernama

Sunday, 16 December 2012

Calon PM- PAS, DAP Sekali Lagi Tak Sehaluan

GEORGE TOWN – Parti PAS sekali lagi dilihat tidak sehaluan dengan sekutu politiknya, DAP dalam soal calon yang layak dipilih sebagai perdana menteri sekiranya pakatan pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). 

Ia apabila Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dilaporkan tidak pasti sama ada sokongan Pengerusi DAP, Karpal Singh keatas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri merupakan pendirian parti atau peribadi. 

“PAS masih belum boleh memberi kata putus. Masa paling baik untuk mengumumkannya ialah selepas penamaan calon kerana orang yang mahu menjadi perdana menteri perlu dipilih. 

“Dia mesti jadi calon (dan menang baru boleh dipilih jadi perdana menteri,” katanya selepas menghadiri Kongres Kebangsaan DAP ke-16 di sini hari ini. 

Karpal hari ini mengulangi sokongannya supaya Anwar menjadi perdana menteri jika pembangkang menawan Putrajaya dalam PRU13. 

Pendirian itu bertentangan dengan resolusi PAS baru-baru ini yang memilih presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai perdana menteri. 

Friday, 14 December 2012

PAS Tunduk Pada DAP, Sanggup Kaji Semula Undang-Undang Yang Dilaksana

KOTA BHARU - Satu lagi bukti terserlah, bagaimana PAS akan berbuat apa sahaja untuk akur dengan rakan pakatannya DAP, apabila kerajaan negeri menangguhkan serta merta penguatkuasaan syarat pelesenan kedai gunting di sini. 

Setelah lebih 20 tahun melaksana dan mempertahan peraturan pengasingan jantina di kedai gunting rambut, kerajaan PAS Kelantan akhirnya mengalah terhadap desakan rakan pakatan pembangkang atas alasan mengambil kira pandangan semua pihak dan faktor pilihan raya umum yang semakin hampir. 

Pada Rabu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata keputusan dibuat untuk menangguhkan serta merta penguatkuasaan syarat pelesenan di bawah undang-undang kecil Majlis Perbandaran Kota Baharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) yang melibatkan kedai gunting rambut milik orang bukan Islam. 

Ia diputuskan dalam mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri dan penangguhan itu sehingga kajian mengenainya selesai dijalankan. 

Ini belum lagi pelaksanaan hukum hudud yang diperjuangkan PAS, dan secara terang-terangan ditentang DAP, pelaksanaan undang-undang kecil begini pun PAS tidak dapat bertahan. 

Dengan penangguhan itu bermakna semua kedai gunting rambut milik orang bukan Islam dibenarkan beroperasi seperti biasa dan tidak terikat dengan syarat di bawah undang-undang kecil pihak berkuasa kerajaan tempatan. 

Isu kedai gunting rambut ini menarik perhatian umum terutama masyarakat Cina apabila akhbar baru-baru ini melaporkan seorang pengurus kedai gunting rambut di sini, Ong Lee Ting, mendakwa beliau disaman 11 kali oleh pihak berkuasa tempatan kerana pekerja wanita bukan Islam di premisnya menggunting rambut pelanggan lelaki bukan Islam sejak 2010. 

Akibatnya, dia didenda RM200 hingga RM350 dan mendakwa ramai lagi pemilik kedai gunting turut menghadapi perkara sama. 

Tindakan kerajaan negeri itu turut dikecam Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh yang dilaporkan berkata mereka yang bukan Islam boleh membawa perkara itu ke mahkamah. 

Walaupun Karpal Singh menyambut baik keputusan penangguhan selepas itu, , beliau sebenarnya mahu PAS meminda undang-undang kecil itu untuk menyediakan peruntukan yang tidak terpakai kepada orang bukan Islam. 

Penangguhan itu sebenarnya langkah sementara, dan tidak menghairankan nanti bahawa PAS berkemungkinan pula akan akur dengan cadangan pengerusi kebangsaan DAP itu untuk meminda undang-undang kecil berkenaan. 

Bekas Setiausaha Dewan Ulama PAS Kelantan Wan Ismail Wan Ahmad berkata akibat daripada 'berkawan' dengan DAP, PAS telah menyimpang daripada perjuangan asalnya demi menjaga hati rakan pakatan. 

PAS sebenarnya sama-sama ghairah dengan pakatan pembangkang untuk menawan Putrajaya dan pemimpin parti itu tidak bersungguh-sungguh untuk melaksanakan hukum Islam sebagaimana yang dicanang selama ini khususnya hudud, kata Wan Ismail. 

Beliau menganggap 'ulama politik' dalam PAS hanya melihat kepentingan politik lebih daripada kepentingan Islam. 

Bekas anggota Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat Prof Madya Mohd Noor Deris berkata keputusan terbaharu kerajaan PAS Kelantan itu menunjukkan mereka tidak berani untuk bertegas dalam melaksanakan sesuatu undang-undang. 

"Keputusan menangguh pelaksanaan dan mengkaji semula undang-undang sekecil ini, menjadi bukti kepada rakyat di dalam dan luar Kelantan bahawa apa yang dicanang oleh PAS untuk melaksanakan hukum Islam, hanya semangat politik sahaja. 

"Usahkan hukum hudud yang besar tidak dilaksanakan...undang-undang kecil boleh dimain-mainkan pemimpin PAS," katanya sambil menegaskan, rakyat boleh menilai keikhlasan perjuangan PAS pada masa kini. 

Mohd Noor berharap rakyat tidak terus terpengaruh dengan dakyah PAS yang kononnya berjuang untuk menegakkan Islam sedangkan ia boleh menukar pendirian jika apa yang diperjuang tidak menguntungkan parti. -Bernama

Thursday, 13 December 2012

Ku Li Serah Kepada Najib Layak Tanding Atau Sebaliknya

GUA MUSANG - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengambil pendirian menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti bagi menentukan sama ada beliau layak bertanding atau sebaliknya sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). 

Beliau berkata, pucuk pimpinan di Kuala Lumpur sahaja yang boleh membuat sebarang keputusan tetapi walau apapun keputusan, beliau tetap akan bekerja kuat sepanjang masa untuk menentukan kemenangan BN. 

"Saya tidak mempunyai kuasa bagi menentukan soal calon termasuk diri saya dan terserahlah kepada pucuk pimpinan atasan yang membuat keputusannya bagi menghadapi PRU-13 nanti," katanya ketika berucap pada majlis Mesra Bersama Pengundi Wanita di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Meranto, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada golongan wanita yang bekerja kuat untuk parti. Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Mat Yusoff Abdul Ghani dan ADUN Galas, Ab Aziz Yusof. 

Tengku Razaleigh, yang juga Ketua Umno Gua Musang, berkata, bekerja keras bagi kemenangan parti itu adalah tanggungjawab semua pemimpin dan anggota bagi memastikan BN akan terus kekal mendapat mandat daripada rakyat. 

Beliau berkata, pada Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur baru-baru ini, Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak memberi semangat baru kepada semua perwakilan untuk menggerakkan jenteranya di semua peringkat. 

"Oleh itu, kita di bahagian Gua Musang juga telah bersiap sedia untuk menghadapi PRU13 pada bila-bila masa termasuk menggerakkan jentera bagi memastikan kerusi BN Parlimen Gua Musang bersama tiga kerusi Dun kekal menang. 

"Tidak ada sebab bagi rakyat menolaknya jika kita bekerja kuat untuk memperjuangkan nasib mereka kerana kini terbukti kerajaan BN mampu melakukan segala perubahan bagi faedah semua rakyat di negara ini," katanya. 

Katanya, bagi kerusi Parlimen Gua Musang bersama DUN Nenggiri, Paloh dan Galas mungkin tidak menghadapi sebarang masalah untuk mengekalkan kemenangan.

Beliau berkata, ini kerana pemimpin dan anggota Umno peringkat bahagian itu sentiasa terbuka bagi bekerja dalam satu pasukan dan sejarah juga telah membuktikan BN di Gua Musang terus kekal mendapat mandat rakyat. - Bernama

Wednesday, 12 December 2012

Tun Abdullah: Ketua Cawangan Dan Bahagian Perlu Sokong Penuh Calon

KEPALA BATAS - Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata semua ketua cawangan dan ketua bahagian Umno di seluruh negara perlu memberi sokongan sepenuhnya kepada sesiapa sahaja calon yang dipilih parti untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Beliau berkata ini berikutan ketua cawangan dan ketua bahagian merupakan orang penting dalam parti untuk menjayakan matlamat Barisan Nasional (BN) untuk memperoleh kemenangan dua pertiga pada PRU-13.

Katanya beliau percaya calon yang akan dipilih oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi BN merupakan yang terbaik dan semua anggota Umno perlu bersatu menyokong agar calon berkenaan menang. 

"Ketua cawangan dan ketua bahagian perlu menyokong calon yang dipilih kerana mereka merupakan orang yang paling dekat dengan rakyat dan bila mereka memberi sokongan sudah pasti yang lain akan ikut," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan pakaian seragam sekolah oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 25 pelajar dari kawasan Kepala Batas menerima bantuan pakaian dan kelengkapan persekolahan bernilai RM120. Turut hadir Pengerusi Perda Datuk Azhar Ibrahim yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Penaga dan Pengurus Besar Perda Saringat Hassan.

Abdullah yang juga anggota Parlimen Kepala Batas berkata beliau sebagai Ketua Umno Bahagian Kepala Batas akan berusaha memastikan calon-calon yang bertanding di kawasan itu menang besar kelak.

Mengenai pengumuman Najib berhubung pembinaan 20,000 unit rumah mampu milik di Pulau Pinang pada Sabtu lepas, beliau berharap pembinaan rumah berkenaan dipercepatkan kerana projek itu penting untuk rakyat - Bernama

Monday, 10 December 2012

Kes Khalwat Bukan Islam Di Kelantan Bukan Isu Kecil

Kes empat orang bukan Islam ditangkap khalwat di Kota Bharu, Kelantan mungkin dilihat sebagai isu yang kecil namun banyak lagi isu yang perlu dikaji secara menyeluruh kata Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS, Hu Pang Chaw. 

"Mungkin terdapat kes-kes yang lebih banyak melibatkan pencabulan hak orang bukan Islam, namun ia tidak didedahkan. 

"Pasangan yang ditangkap bukan Islam. Namun pegawai penguatkuasa sangat subjektif dalam mengeluarkan saman mengikut undang-undang Islam. Ini tidak adil," katanya kepada China Press. 

Mengambil satu contoh penguatkuasaan melampau, Hu yang juga bekas ahli majlis berkata papan iklan bagi kedai perkakas elektrik telah diturunkan kerana didakwa mengandungi ‘imej-imej yang tidak senonoh’. 

"Ia hanyalah gambar seorang wanita menutup mata seorang lelaki daripada arah belakang. Tidak ada tindakan diambil ke atas kedai berkenaan, namun papan tanda iklan itu telah diturunkan," katanya. 

Sepanjang 22 tahun PAS memerintah Kelantan, Hu berkata polisi Islamik yang dilaksanakan oleh parti itu memberi kesan dan membuatkan masyarakat bukan Islam tidak selesa. 

Beliau mendakwa sokongan orang Cina terhadap PAS akan berkurangan sekiranya kerajaan negeri gagal menyelesaikan isu berkenaan. 

"Sebagai penyokong parti, kami hanya boleh memberi pandangan kerana kami tahu apa yang dimahukan oleh masyarakat bukan Islam," katanya. 

Ketika ditanya mengenai tindakan tegas sesetengah pemimpin PAS dalam melaksanakan dasar Islam di negeri itu, Hu berkata beliau agak kecewa dengan tindakan mereka. 

"Ada yang telah melampaui batas daripada apa yang dibenarkan dalam soal agama bagi mempertahankan perjuangan parti. Mereka tidak meneliti apa yang Islam mahukan," ujarnya. 

Sementara itu akhbar Sin Chew memetik seorang saudara mangsa yang ditangkap khalwat berkata terdapat beberapa kenderaan ditempat letak kereta di mana dua lelaki itu telah diberikan saman. 

Terdapat juga keluarga dan beberapa pasangan lain di sana. Menurutnya pasangan tersebut menafikan mereka membuat salah dan mereka tidak akan membayar sebarang denda. 

Sementara itu, Presiden Persatuan Dewan Himpunan Cina Kelantan, Oie Poh Choon menggesa Majlis Perbandaraan Kota Bharu (MPKB) mengemukakan bukti bahawa dua lelaki yang ditangkap dalam kereta berhampiran lapangan terbang itu melakukan perbuatan tidak senonoh. 

"Jika mereka melakukannya sekalipun, nasihat sahaja sudah mencukupi. 

"Sekiranya MPKB mahu mendenda mereka, adalah lebih baik jika mereka mengemukakan bukti terlebih dahulu," kata Oie. 

Beliau turut menggesa MPKB memantau kerja pegawai penguatkuasa yang ‘bermasalah’ kerana ia menyusahkan orang lain. 

Naib Ketua Pemuda Parti Gerakan Kelatan, Ong Khang Woon bersetuju bahawa pihak yang mendakwa perlu mengemukakan bukti terlebih dahulu dan individu yang didakwa boleh mengabaikan denda tersebut jika tidak bersalah. 

"Undang-undang perlu ada rekod hitam putih, masalah akan timbul dengan pegawai penguatkuasa yang tidak bertindak mengikut lunas undang-undang," katanya

Sunday, 9 December 2012

Ibrahim Ali Sedia Sertai Umno Tapi Tak Akan Mohon

KUALA LUMPUR - Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau tidak akan memohon masuk Umno, sebaliknya sedia kembali ke pangkuan parti itu jika dipelawa.

Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas ini berkata, bagi beliau untuk menawarkan diri masuk Umno mungkin tidak akan berlaku kerana beliau pernah dipecat, melainkan menerima tawaran menyertai semula parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.

"Saya pernah menjadi ketua bahagian selama 11 tahun dan anggota Majlis Teringgi Umno selama enam tahun, saya akui jiwa dan hati masih pada Umno tetapi nisbah nak masuk balik itu bergantung kepada pucuk pimpinan tertinggi.

"Saya tidak akan mohon kerana pernah dipecat, tetapi jika ditawarkan oleh Umno, saya akan menerimanya secara terbuka. Saya tak mahu dikatakan hidung tak mancung pipi tersorong-sorong," katanya ketika diminta mengulas tindakan Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim yang menyertai semula Umno bersama 347 yang lain semalam.

Walaupun Ibrahim seorang Ahli Parlimen Bebas, tetapi beliau dilihat sebagai wakil rakyat mesra BN.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, beliau bertanding di Pasir Mas atas tiket Pas, tetapi mengisytiharkan dirinya wakil rakyat Bebas.

Dalam pada itu, Naib Presiden Perkasa, Datuk Zulkifli Noordin pula berkata, langkah Zahrain itu adalah keputusan beliau sendiri.

"Itu adalah keputusan beliau sendiri dan bukannya keputusan Konsensus Bebas.

"Bagi saya, jika hendak membantu Umno, tidak semestinya kita perlu ada dalam Umno, di luar pun boleh," katanya.

Kedua-dua, bekas wakil rakyat PKR dan keluar parti pada awal 2010, merupakan anggota Konsensus Bebas.

Beliau menambah, selalunya bantuan dari luar mempunyai peranan yang cukup besar diibaratkan seperti "penyerang import."

Saturday, 8 December 2012

Kelantan Dibidas Isu Khalwat Bukan Islam

PETALING JAYA - Pihak berkuasa tempatan di Kelantan dikritik kerana mengambil tindakan terhadap empat orang, bagi apa yang dilihat sebagai kes khalwat yang melibatkan orang bukan Islam. 

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata jika PAS boleh melaksanakan undang-undang tersebut kepada orang bukan Islam di Kelantan, mereka juga boleh berbuat demikian di seluruh negara jika Pakatan Rakyat berkuasa. 

"Ini perlu menjadi satu kesedaran kepada orang Cina kerana ia menunjukkan DAP tidak mempunyai kuasa politik, kerana ia adalah harimau tak bertaring sebelum PAS," katanya. 

Dr Chua berkata demikian sebagai tindak balas kepada rasa tidak puas hati yang disuarakan oleh Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS Hu Pang Chaw terhadap pihak berkuasa tempatan yang mengeluarkan saman bagi tingkah laku tidak senonoh dua lelaki bukan Islam yang telah ditangkap di dalam kereta yang diletakkan di tepi jalan berhampiran Lapangan Terbang Kota Baru. 

Kes lain melibatkan seorang remaja lelaki bukan Islam dan teman wanita bukan Islam yang didapati bersama-sama di dalam kereta yang diletakkan di Taman Tengku Anis baru-baru ini. 

Keempat-empatnya menafikan sebarang salah laku. 

Dr Chua berkata ini menunjukkan PAS secara perlahan-lahan melaksanakan undang-undang Syariah dan akhirnya melaksanakan hudud. 

"PAS begitu pasti dengan kuasa yang mereka ada sehingga mengabaikan hak asasi bukan Islam yang termaktub dalam Perlembagaan," katanya. 

Dr Chua menegaskan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat secara jelas telah menyatakan tentang agenda Islam yang menjadi satu kewajipan agama. 

"DAP sanggup bersama-sama mereka kerana yakin untuk mendapatkan undi kaum Cina. Mari kita berharap kaum Cina bangkit sebelum terlewat. 

"Sebagai sebuah negara membangun, kita tidak perlu bertengkar tentang apa yang ditulis dengan jelas dalam Perlembagaan," katanya.

Friday, 7 December 2012

Rakyat Kelantan Semakin Jelas Konsep Perjuangan Umno, BN

GUA MUSANG - Pemimpin dan perwakilan Umno diibaratkan membawa balik ubat panadol yang mujarab untuk menghilangkan rasa pening rakyat selepas Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Adun Paloh, Datuk Nozula Mat Diah berkata, panadol itu akan memperjelaskan kepada rakyat perjuangan sebenar Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk semua kaum di negara ini.

Beliau berkata, ia sekali gus dapat menghilang rasa keraguan rakyat berhubung kedudukan pemerintahan kerajaan BN sekarang yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Kita sebagai pemimpin akan memperjelaskan secara ikhlas perjuangan Umno, BN itu dan rakyat tidak usah percaya lagi dengan hasutan pembangkang yang perjuangan mereka sia-sia sahaja.” katanya pada majlis Sembang Malam bersama Belia Tanah Rancangan Felda Chiku 1, dekat sini, kelmarin.

Hadir sama pada majlis, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Kelantan, Md Sulji Zakaria dan Pengerusi Majlis Belia Felda Kelantan, Mohd Norfazly Mohd Daud.

Nozula juga selaku Naib Ketua Umno bahagian berkata, rakyat di Kelantan khususnya perlu melakukan perubahan fikiran mereka supaya tidak lagi tersalah pilih kerajaan yang tidak membawa sebarang kemajuan.

Beliau berkata, penjelasan pemimpin tertinggi Umno, Perdana Menteri menyentuh pelbagai aspek dan berjanji akan memberi pembelaan terbaik kepada seluruh rakyat, termasuk Kelantan jika dimenangi BN pada Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) nanti.

“Sudah sampai masanya untuk kita bersatu semula, bagi menentukan hala tuju terbaik pemerintahan Kelantan kerana jelas sejak bawah pemerintahan kerajaan Pas lebih 20 tahun lalu tidak membawa kemajuan kepada Orang Melayu.

“Sebaliknya, apa yang kita lihat kemajuan dan kekayaan, dimonopoli kaum lain termasuk dalam pembangunan tanah di Hulu Kelantan hingga semua tanah diusahakan rakyat berpindah milik kepada syarikat luar,” katanya.

Katanya, PRU13 nanti adalah yang terpenting dalam sejarah negara ini, berikutan banyak kekeliruan yang dibangkitkan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan BN yang sekian lama berjasa.

Wednesday, 5 December 2012

Umno Pengkalan Chepa Mahu Lakukan Perubahan Demi Kepentingan Rakyat

KOTA BHARU - Umno Pengkalan Chepa berhasrat untuk menukar wajah kawasan perindustrian di sini jika diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). 

Ketua Umnonya, Datuk Dali Husin berkata, kawasan tersebut sudah sinonim dengan gelaran kawasan perindustrian tetapi jika dilihat akhir-akhir ini ramai pelabur sudah meninggalkan Kelantan dan membiarkan ia sepi tanpa sebarang aktiviti ekonomi.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah memberi kebenaran kepada kami untuk menambah perancangan tersebut di dalam manifesto dan ia bukan sekadar untuk menambat hati rakyat semata-mata hendak menang pilihan raya.

“Tetapi kami akan melakukannya mengikut keupayaan dan yang paling utama adalah demi kepentingan rakyat,” katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini. 

Sebelum itu, beliau menyampaikan Bantuan Wang Ehsan Kepada Pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi Kawasan Parlimen Pengkalan Chepa iaitu seramai 600 orang melibatkan jumlah bantuan bernilai RM368,900. 

Menurutnya, jarang kedengaran orang datang ke negeri ini untuk mencari pekerjaan tetapi orang di sini berhijrah ke negeri lain untuk mencari rezeki sudah menjadi kebiasaan.

Beliau berkata, melihat kepada masalah tersebut pihaknya berazam untuk membaik pulih ekonomi setempat dengan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan terutama kepada golongan muda dengan memperkasakan kembali kawasan perindustrian Pengkalan Chepa.

Dali berkata, pihaknya juga akan manaiktarafkan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra yang terletak berhampiran dengan kawasan perindustrian sebagai lapangan terbang bertaraf antarabangsa. 

“Selepas ini rakyat Kelantan tidak perlu lagi ke Kuala Lumpur mahupun Terengganu untuk menunaikan fardu haji di Mekah tetapi boleh terus ke sana melalui negeri ini.

“Semua itu tidak mustahil jika rakyat memberi kepercayaan kepada kami sekali lagi untuk mencorakkan kembali negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang terletak di kerusi Dewan Undangan Negeri Kijang juga turut tersenarai dalam pertimbangan mereka.

Katanya, kompleks tersebut sepatutnya mampu menampung hasil tangkapan nelayan tempatan dan meningkatkan ekonomi rakyat di sekitarnya.

Dali berkata, bagaimanapun akibat kegagalan pihak berkenaan kini hampir 500 nelayan yang masih aktif di sini tidak dapat menggunakan kemudahan yang ada, malahan mereka terpaksa bekerja mengikut musim. 

“Jika muara cetek nelayan tidak dapat turun ke laut dan ia sudah lama berlarutan sehingga menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Monday, 3 December 2012

Kayveas: Pembangkang Terlalu Lemah, Gagal Menangi Hati Rakyat

KUALA LUMPUR - Komponen pakatan pembangkang terlalu rapuh hingga menjadikan Pakatan Rakyat lemah dan tidak berdaya memenangi hati rakyat sebagaimana Barisan Nasional (BN), kata Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP)Datuk M.Kayveas. 

"Mereka (pembangkang) berjalan di atas titi yang rapuh. DAP adalah musuh ketat PAS pada satu masa dahulu kini sanggup tidur atas bantal yang sama. 

"Walhal yang satu memperjuangkan negara sekular dan satu lagi mencanangkan negara Islam dan hukum hudud. "Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjadi orang tengah bagi memastikan DAP dan PAS tidak bercerai talak tiga. Ikatan yang cukup lemah ini dijalin hanya semata-mata utuk merampas Putrajaya," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap di Perhimpunan Agung Tahunan PPP ke-59 yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Antarabangsa (PWTC) di sini, Ahad. 

Kayveas berkata rakyat telah bosan dan muak dengan politik yang menjurus kepada fitnah peribadi sebaliknya rakyat sudah sedar akan kepincangan dan pendustaan pembangkang yang hanya suka menabur janji. 

Pembangkang sebenarnya tidak boleh menandingi kekuatan BN kerana mereka sangat lemah, tiada kesepakatan dan tidak ada toleransi, katanya. 

Menurutnya, menjelang pilihan raya, parti komponen dalam BN perlu memenangi hati dan keyakinan rakyat dan sentiasa memastikan rakyat Malaysia berada di padang yang sama rata. 

"PPP sebagai saudara kepada Umno telah lama bersiap-sedia, menyiap dan memperkemas jentera parti dan juga diri sendiri dalam menyertai bala tentera B Nmenghadapi pilihan raya," katanya. 

Terdahulu di majlis itu, Najib mengumumkan beliau akan membayar premium RM15 kepada 4,047 perwakilan PPP melalui satu skim insurans khas untuk perlindungan maksimum hingga RM20,000. 

Insurans Kelompok PPP itu terbuka kepada semua ahli PPP dan mereka yang berminat hanya perlu memberi nama, nombor kad pengenalan dan nombor ahli sahaja untuk layak dalam skim itu. -Bernama

Sunday, 2 December 2012

Sehingga Jumpa Lagi Sebagai Parti Pilihan Tiga Tahun Lagi :AGM Umno

ANALISIS - Tatkala para perwakilan Umno beredar meninggalkan Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra sebaik sebelum azan Maghrib berkemundang, tersemat keyakinan dan harapan masing-masing untuk kembali melangkah ke dewan itu lagi tahun depan...dengan lebih gah, sebagai parti pilihan.

Pada bahu mereka tergalas tugas besar membawa mesej presiden parti ke seluruh pelosok tanah air bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) adalah pilihan terbaik untuk mengangkat kepentingan semua kaum.

Umno dan BN jugalah parti yang mampu berlaku adil, bukan sahaja untuk orang Melayu, malah bukan Melayu serta sesiapa sahaja meskipun yang menyokong pembangkang.

Amanat Datuk Seri Najib Tun Razak cukup jelas iaitu Umno mampu terus menjadi pilihan rakyat. Tetapi sekurang-kurangnya dua cabaran besar harus ditangani iaitu disiplin dan fitnah melampau yang bertubi-tubi oleh pembangkang.

Kerana fitnah, Najib serta timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin serta naib presiden menyebut "Salam 1Malaysia, Tolak Fitnah" dalam mukadimah ucapan masing-masing.

Harapan Najib ialah semoga anggota perwakilan menjunjung semangat itu apabila pulang ke kawasan masing-masing. Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan bahayanya perbuatan sabotaj atau sikap tidak mahu bekerja kuat jika tidak dipilih menjadi calon hingga menyumbang kepada prestasi buruk BN pada pilihan raya umum 2008.

Tidak dinafikan Najib telah melaksanakan tugasnya selaku ketua dengan cemerlang, menyusun agenda transformasi nasional berlandaskan Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Dasar itu, yang melahirkan pelbagai inisiatif dan program berinovasi, bertambah diyakini dari hari ke hari manakala populariti Najib sendiri meningkat sebagai tokoh yang mempunyai ciri kepimpinan berkualiti.

Di samping itu, Muhyiddin pula dilihat sebagai timbalan yang boleh diharap dan banyak membantu ketuanya. Gandingan Najib-Muhyiddin serta rakan-rakan 'panglima' daripada parti-parti komponen BN lain memperlihat kepimpinan mantap yang mampu mengurus negara dengan lebih baik dalam era global yang mencabar.

Keputusan PRU12 mungkin ada hikmahnya. Hujah-hujah perwakilan dan kepimpinan parti jelas menunjukkan keinsafan untuk bangkit daripada kesilapan lalu. Terbukti kerana Najib sendiri sedia memohon maaf atas kesilapan dahulu.

Ucapan dasar Najib pada perasmian perhimpunan agung Khamis lepas juga menunjukkan bahawa ketika ia mahu bangkit semula, Umno menyedari hakikat demografi masa kini mengubah landskap politik negara terutama aspirasi dan jangkaan generasi baru pasca Merdeka yang berbeza.

Maklumat tidak terbatas penduduk bandar kerana teknologi, membolehkan mesej dibawa terus kepada setiap individu walau di mana mereka berada, lantas perhitungan masing-masing adalah pelbagai dalam menentukan perlakuan ketika mengundi.

Isu pilihan raya tidak lagi terbatas kepada soal agama dan bangsa semata-mata, tetapi meliputi perhitungan merit, peluang pekerjaan, taraf kesihatan dan perumahan mampu beli.

Pola pengundian 2008 harus dikaji, terutama yang melibatkan undi protes, dan kemunculan generasi pengundi yang matang dengan perkembangan semasa.

Namun nada ucapan penggulungan Najib memaparkan keyakinan bahawa Umno kembali pulih. Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin juga merasakan perubahan itu semasa pilihan raya kecil di Kerdau dan Merlimau.

Persengketaan dalaman parti adalah suatu yang masih ditangani. Pada peringkat tertinggi, kesatuan yang kukuh kelihatan, lebih-lebih lagi dengan kehadiran dua bekas presiden -- Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Begitu juga veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Ketiga-tiga sayap - Wanita, Pemuda dan Puteri - telah berikrar untuk taat setia dan patuh kepada apa jua keputusan pucuk pimpinan berhubung pemilihan calon yang akan bertanding.

Najib sering kali berkata bahawa tidak ada gunanya calon sendiri menang sekiranya parti akan kalah.

Sebaliknya, bak kata Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, jika parti menang, yang tidak jadi calon pun turut mendapat nikmat.

Dalam senyap, menurut Najib, Dr Mahathir turut membantu menemui pemimpin peringkat pertengahan untuk memujuk supaya mereka jangan merajuk mahupun mengugut jika tidak dipilih.

"Contohilah Cikgu Seman Deros dari Jasin. Cikgu Seman tidak pernah menjadi wakil rakyat tetapi Cikgu Seman cinta, komited dan setia kepada parti," kata Najib.

Cikgu Seman,70, ialah anggota perwakilan Bahagian Jasin yang dikenali Najib sejak lebih 20 tahun lalu ketika perdana menteri menjadi menteri pendidikan dan Seman pula pegawai pelajaran daerah Jasin. Cikgu Seman dilihat menangis (dan dirakam jurufoto akhbar), ketika Najib memohon maaf atas apa jua kesilapan parti, dalam ucapan dasarnya pada Khamis.

Penting bagi Umno dan BN memenangi hati setiap pengundi.

Seperti kata Muhyiddin, Umno kini merasai denyut nadi petani, nelayan dan pekebun kecil di desa, pemandu teksi dan peniaga di kota, golongan pekerja, profesional dan penjawat awam, kesatuan sekerja dan pertubuhan bukan kerajaan, remaja, belia dan mahasiswa, malahan golongan gelandangan dan kurang bernasib baik. - Bernama

Friday, 30 November 2012

'Pemimpin BN, PM Adalah Ulul Amri Yang Patut Ditaati'

Seorang perwakilan di Perhimpunan Agung Umno ke-66 hari ini menyifatkan perdana menteri dan parti BN sebagai golongan ulul amri yang patut ditaati anggota parti.Dalam ucapannya, wakil Jelebu Datuk Jalaluddin Alias berkata orang Islam yang sempurna iman mereka perlu taat kepada ulul amri (pemerintah) selain daripada beriman kepada Allah dan rasul.

Oleh yang demikian, golongan Muslim wajib taat kepada kepimpinan perdana menteri dan kerajaan BN yang merupakan pemerintah pada masa kini, katanya.

Beliau berkata demikian berdasarkan tafsirannya ke atas sepotong ayat dalam surah An-Nisa berhubung isu ketaatan kepada pemimpin.

"Siapa ulul amri kita? Ulul amri sekarang adalah kerajaan yang berkuasa.

"Ulul amri kita sekarang adalah BN dan perdana menteri kita," kata Jalaluddin.

Beliau mengulas ucapan Najib semalam yang menyentuh isu disiplin berjamaah dan mentaati kepimpinan parti, dengan memetik surah sama. Najib dalam ucapannya semalam membangkitkan perkara itu bagi menggesa anggota parti supaya menggunakan saluran parti bagi menyampaikan pendapat.


Najib juga berkata, anggota parti perlu menerima dengan hati terbuka keputusan muktamad yang dibuat pemimpin parti.

Isu berkenaan turut diulas seorang wakil Puteri Umno yang menggesa ahli Umno mengelak daripada berbalah sesama sendiri di media alternatif.

Wakil Puteri Umno Padang Besar, Asmaiza Ahmad berkata perbezaan pendapat itu perlu ditangani secara bijaksana dan diselesaikan secara berkesan.

"Perbezaan pendapat lumrah manusia, sedangkan lidah lagi tergigit. Yang penting elakkan perbalahan melalui media alternatif.

"Jangan gunakan media alternatif untuk selesaikan masalah," katanya yang membahaskan ucapan dasar presiden Umno.

Pasca-Mac 2008, BN giat membangunkan laman web dan bergiat di media sosial termasuk Umno yang menubuhkan Unit Media Baru bagi menghadapi pengaruh Pakatan Rakyat di media siber. -Malaysiakini

Wednesday, 28 November 2012

Kerajaan Kelantan Temu 2 NGO Cina Esok Bincang Isu Salun

KOTA BHARU - Kerajaan Negeri akan mengadakan pertemuan dengan dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina di negeri itu bagi membincangkan isu kontroversi salun gunting rambut.

Exconya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perjumpaan pagi esok di Kompleks Kota Darul Naim itu bagi memberi ruang kepada NGO Gabungan Persatuan Cina Kelantan dan Dewan Perniagaan Cina Kelantan memberikan pandangan dan cadangan mereka berhubung isu berkenaan.

"Kami sedia terima penerangan dan pandangan daripada mereka. Perjumpaan ini juga lebih kepada memberi penjelasan berhubung perkara itu," katanya kepada media selepas Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Tuesday, 27 November 2012

Khairy: Generasi Muda Tidak Mudah Terpengaruh Dengan Anasir Luar

KUALA LUMPUR - Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yakin generasi muda di negara ini tidak mudah terpengaruh dengan anasir luar terutama pihak yang mahu menggulingkan kerajaan.

Beliau berkata ini kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi ruang yang cukup kepada orang muda untuk menyampaikan pandangan termasuk menerusi anggota Parlimen.

"...zaman kerajaan tahu segalanya sudah kita tamatkan, kita 'engage' generasi muda selami jiwa mereka itu dan buat segalanya untuk mereka," katanya kepada Bernama, di sini.

Anggota Parlimen Rembau itu berkata hasil inisiatif kerajaan mendekati mereka, sokongan golongan muda kepada BN kini semakin kukuh.

Selain itu tegasnya proses demokrasi di negara ini juga lebih baik berbanding di beberapa negara yang menyaksikan rakyatnya bangkit menggulingkan kerajaan.

Beliau berkata usaha kerajaan memperkasa generasi muda dapat dilihat menerusi Belanjawan 2013 dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, antaranya menyediakan peruntukan khas bagi latihan kemahiran belia.

"Pindaan Akta Universiti Kolej (AUKU) yang membolehkan mahasiswa berpolitik juga merupakan antara usaha kita memperkasa generasi muda. Ada kata takut kampus kucar-kacir jika perkara ini dilaksana.

"Tetapi sudah lebih setahun pindaan ini terlaksana, tiada kucar-kacir yang berlaku malah suara mahasiswa semakin lantang berusaha memajukan negara. Percayalah kepada kami, kami orang muda, mahu dan akan menjadikan negara ini yang terbaik di dunia," katanya. - Bernama

Monday, 26 November 2012

Saman MPKB, Itu Hak Karpal: Takiyuddin Hassan

KOTA BHARU - Kerajaan Pas Kelantan tetap bertegas melaksanakan perundangan Islam kepada orang bukan Islam meskipun mendapat tentangan daripada Pengerusi DAP Karpal Singh.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan negeri sedia menerima risiko untuk disaman oleh bukan Islam kerana setiap dasar yang dibuat kerajaan negeri selari dengan peruntukan Perlembagaan.

"Saya tak nak komen kenyataan Karpal. Pertamanya sebab saya tak dengar secara direct (langsung), keduanya, kalau Karpal tengok akta ini, dia akan setuju dengan sayalah. Dia pun peguam.

"Itu hak dia nak saman Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB), tapi baca undang-undang itu elok-elok sikit... nanti kita (Karpal) pula yang kena bayar kos. Kita bukan pandai-pandai begitu sahaja masa nak buat undang-undang atau akta," katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat MPKB di sini, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan Karpal Singh menggesa Kerajaan Pas Kelantan supaya menjelaskan perkara sebenar mengenai tindakan perundangan Islam yang dikenakan ke atas orang bukan Islam di negeri itu.

Karpal berkata, orang bukan Islam Kelantan yang dikenakan tindakan saman berdasarkan undang-undang Islam, boleh mencabar saman terbabit di mahkamah.

Pengerusi DAP itu berkata demikian sebagai mengulas mengenai keluhan seorang pengurus kedai gunting rambut di Kota Bharu, Ong Lee Ting, yang mendakwa beliau disaman 11 kali oleh pihak berkuasa tempatan kerana pekerja wanita bukan Islam di premisnya menggunting rambut pelanggan lelaki bukan Islam sejak 2010.

Akibatnya, dia didenda antara RM200 hingga RM350 dan mendakwa ramai lagi pemilik kedai gunting turut menghadapi perkara sama.

Takiyuddin bagaimanapun menjelaskan bahawa kerajaan negeri melaksanakan dasar itu sebagai langkah menjaga maruah wanita, sama ada Islam atau bukan Islam daripada mengalami gangguan seksual dan terjebak dalam kancah pelacuran.

"Kedai gunting rambut seringkali dilaporkan hanya menjadi topeng perniagaan sahaja di hadapan, tapi di belakang (ia) jalankan perniagaan yang bercanggah dengan undang-undang dan moral.

"Adakah seorang ayah rela anak perempuannya diganggu (ketika bekerja), apatah lagi suami yang rela isterinya diganggu oleh pelanggan-pelanggan lelaki misalnya?" tanya beliau. - Bernama

Friday, 23 November 2012

Setiausaha Akhbar Nik Aziz Sedia Debat Dengan Minda Pondok Isu Umno Murtad

KOTA BHARU - Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Fadhli Shaari bersedia untuk berdebat dengan badan bukan kerajaan (NGO) Minda Pondok mengenai isu tuduhan Umno murtad.

Kesediaan itu dibuat oleh Ahmad Fadhli setelah Ahli Jawatankuasa Minda Pondok, Mohamad Zainal Abidin Awang mencabar berdebat dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi menjelaskan kepada masyarakat berhubung tindakan Pas membaca doa untuk menghancurkan Umno kerana didakwa tidak selari dengan Islam.

Menurut Ahmad Fadli, beliau mengalu-alukan ajakan debat oleh Minda Pondok kepada Menteri Besar, tetapi panel itu yang terlibat mesti sama kedudukan sama ada dalam parti mahu pun kerajaan.

“Cabaran debat ini agak kontra dengan keputusan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang enggan melayan cabaran debat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas alasan bahawa debat bukan budaya kita. Justeru, Minda Pondok barangkali boleh dianggap lebih berani daripada Perdana Menteri dalam hal ini.

“Selaku Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am Pas, adalah tidak munasabah untuk meletakkan Minda Pondok sepentas dengan Tuan Guru dalam apa jua tajuk sekalipun,” katanya.

Justeru itu Ahmad Fadhli berkata, beliau dengan rendah hati menawarkan diri untuk tampil menyahut cabaran Minda Pondok yang perlu untuk dilaksanakan bagi menjernihkan beberapa tuduhan yang dilemparkan kepada Nik Aziz khususnya dalam isu doa dan dakwaan memurtadkan Umno.

“Saya kira sama ada Minda Pondok boleh merangka program ini ataupun diserahkan kepada pihak ketiga menjadi urus setia. Saya harap Minda Pondok boleh terima cadangan ini jika benar-benar ikhlas menjernihkan suasana,” katanya.

Thursday, 22 November 2012

Pas Tolak Anwar Jadi PM Ketujuh

Pas nampaknya kian menjadi seperti tupai. Lompat sana lompat sini, ciluk sana ciluk sini tetapi akhirnya gagal dianggap umum sebagai gerakan Islam seperti Ikhwan di Mesir dan juga Nahdatul Ulama di Indonesia. 

Yang kelihatan penting bagi parti tersebut bukannya Islam tetapi Putrajaya. Dulu politik seperti ini orang sebut politik Machiavelli, hari ini sudah ramai yang menyebutnya sebagai ‘politik putar alam’ – siang cakap lain, malam pakai topeng dan cakap lain. 

Ini terbukti apabila mereka mengadakan solat hajat dan mendoakan agar Umno dan BN dibinasakan ALLAH seperti mana ALLAH membinasakan Firaun, Namrud dan sebagainya. Soalnya mengapa mendoakan Umno saja binasa, mengapa tidak mendoakan Israel, DAP serta PKR dibinasakan kerana kezaliman serta kemungkaran yang dibuat selama ini? 

Nampaknya sejak dulu, Pas terus memperalatkan ritual keagamaan seperti solat hajat dengan sewenang-wenangnya bagi tujuan politik. 

Namun di sebalik barisan saf-saf solat hajat tersebut, rupa-rupanya tidak ada satu kesatuan atau cohesiveness di kalangan ahli-ahli parti tersebut mengenai isu pokok.

Walaupun Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri pernah mempersetujui tanpa membuat sebarang referendum akan saranan agar Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri sekiranya Pakatan Rakyat memenangi PRU13 dan ia disahkan secara automatik oleh
Mursyidul Am yang sentiasa menganggap DAP dan PKR lebih Islamik, tetapi apa yang disaksikan dalam Muktamar ke-58 parti itu di Kota Bharu seminggu lalu adalah cukup berbeza. 

Tak siapa menduga di peringkat akar umbi, Anwar bukanlah pilihan utama berbanding keputusan satu dua orang di peringkat tertinggi. Muktamar Tahunan Pas ke-58 di Kota Bharu itu juga dilihat kemenangan bagi ahli-ahli biasa atau ahli-ahli di peringkat akar umbi. 

Mereka berjaya menggagalkan kehendak kumpulan “elit” atau profesional di dalam parti yang mahu menyerahkan negara dipimpin oleh pihak luar dari Pas. 

Sejak 50 tahun ditubuhkan, Pas yakin dan percaya jika mereka menang pilihan raya, presiden merekalah yang paling layak jadi PM, bukan orang luar. Tetapi apa yang akhir-akhir ini amat berlainan dari apa yang dihajati Pas selama ini. Bahkan di atas kertas, Pas bersetuju dengan turut mengusulkan Anwar yang berhadapan isu-isu moral diberi kepercayaan menjadi PM ke-7 jika mereka menang. 

Muktamar kali ini juga membuktikan Pas berjaya menepis dakwaan bahawa parti itu kini dalam genggaman Anwar ataupun sudah menjadi boneka Dap. 

Pas membuktikan parti itu tidak sama dengan apa yang dibaca baik dalam blog-blog pro pembangkang ataupun media rasmi parti itu. Pendek kata hakikat Anwar berjaya meresapi pengaruhnya ke dalam parti itu, ia satu sandiwara melucukan. 

Bagi mereka sama ada Anwar ataupun Dap, ia hanyalah sebuah sandiwara kerana akhirnya mereka yang berada di peringkat akar umbi yang menentukan dasar parti. 

Anwar mungkin berjaya “mengkaderkan” pemimpin muda profesional yang kini memegang pelbagai jawatan penting dalam parti, namun itu pun peratusnya sangat kecil. Kalau ibarat sekumpulan kambing berwarna hitam, peratus yang kecil pro Anwar yang berwarna kelabu itu tenggelam begitu saja. 

Presiden Pas menyedari kumpulan pro ulama dan mereka yang tidak senang dengan Anwar lebih dominan sehingga Tuan Guru kelihatan agak kecut untuk menyebelahi Anwar pada peringkat ini.

Hadi mungkin mengagumi Anwar daripada mempercayai keupayaan dirinya dan partinya terpaksa menerima hakikat ahli-ahli di peringkat akar umbi adalah kuasa penentu. 

Bagi mereka, perjuangan Pas bukan semata-mata merampas Putrajaya, tetapi mendaulatkan Islam. Mereka menerima hakikat bahawa dalam PRU13 kekalahan Umno sajalah peluang mereka untuk menawan Putrajaya jauh lebih cerah. 

Mereka bukanya menolak kemenangan dalam PRU13 tetapi jauh dari itu mereka menitikberatkan perjuangan akhirat seperti diperjuangkan sejak parti itu ditubuhkan 50 tahun silam. 

Dalam hal ini mereka sebulat suara menolak kehendak DAP dan PKR yang ingin menobatkan Anwar sebagai perdana menteri kerana sedar kedua-duanya tidak boleh diharapkan.

Namun, ia bukanlah berita yang keseluruhannya gembira untuk Hadi. Apakah beliau fikir DAP dan PKR akan memberikannya laluan mudah atau menyokong beliau?

Bukankan Hadi adalah antara pemimpin Pas yang cukup beria-ia memajukan idea hukum hudud dan negara Islam. Silap hari bulan, kedua-dua parti ini akan mengusahakan agar Hadi tewas di kerusi Parlimen yang beliau tandingi. Jika ini berlaku, maka selicik-licik Hadi, akhirnya beliau juga akan turut terjatuh. Hadi kena ingat bahawa: Every tupai has its day.

Wednesday, 21 November 2012

Isu Murtad: Azhar Sulaiman Beri Penjelasan

SHAH ALAM - "Kenyataan saya keluarkan dalam laman sosial Facebook, adalah respons daripada tajuk utama yang dipaparkan dalam sebuah akhbar semalam (kelmarin) iaitu 'Nik Aziz dakwa Umno murtad'." 

Begitulah penjelasan yang diberikan oleh aktor terkenal, Azhar Sulaiman, berhubung kenyataan mengenai dirinya kerana menjadi ahli Umno.

Azhar berkata, beliau hanya mengutarakan persoalan kepada individu cerdik agama, iaitu adakah beliau juga dikategorikan sebagai murtad kerana menjadi ahli Umno.

"Jika orang baca betul-betul, mereka tahu saya mengutarakan pertanyaan. Ini kerana bila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengatakan Umno murtad, jadi bagaimana dengan saya?

"Itu hanya kenyataan dari saya, terpulanglah bagaimana interpretasi dan penilaian pihak lain mengenai kenyataan saya itu," katanya kepada Sinar Harian di pekarangan Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

Azhar berkata, dia bukan sengaja mahu menimbulkan kontroversi, apatah lagi cuba menjadi ahli politik. Sebaliknya, sebagai rakyat Malaysia, dia cuma mengambil tahu mengenai perkembangan semasa.

Mengenai laporan polis oleh beberapa individu di Perak, Azhar berkata, dia tiada masalah dalam perkara itu.

"Apa yang boleh saya kata, jika orang benar-benar faham dengan kenyataan saya, mereka akan faham apa yang cuba saya sampaikan," katanya.

Monday, 19 November 2012

Intipati Doa Kuburkan Umno-BN Undang Kesan Buruk Kepada Masyarakat


SHAH ALAM – Intipati bacaan doa pada malam solat Hajat Pas baru-baru ini dilihat tidak wajar kerana ia  mengundang pelbagai implikasi buruk terhadap masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno, Fathul Bari Mat Jahaya berkata, perkara seumpama itu sudah menyisihkan pandangan ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Menurutnya, sudah menjadi tuntutan ulama mendoakan perkara kebaikan walaupun kepada musuh.

“Seorang Imam bernama Ahmad bin Hanbal telah ditangkap dan didera kerana enggan menukar pendiriannya, lalu ditanya apakah doanya terhadap orang menzalimi diri beliau dan dia menjawab, ‘jika ada doa paling mustajab, aku doakan kebaikan terhadap diri mereka.

“Perkara itu menjadi pegangan ulama sehingga ke hari ini. Mendoakan kebaikan kepada pemimpin memberi kebaikan kepada rakyat, mendoakan keburukan kepada pemimpin memberi keburukan dan kesan negatif terhadap rakyat,” katanya.

Katanya, sewajarnya parti politik seperti Pas menuntut perkara kebaikan dan bukannya yang boleh memberi pelbagai implikasi.

“Bukan tidak boleh berdoa. Doa boleh dibaca seperti ‘Ya ALLAH, jauhkan kami daripada korupsi, kezaliman, liberalisme, rasuah dan semua perkara tidak baik.’

“Itu lebih baik daripada menyebut nama organisasi seperti Umno dan Barisan Nasional. Bukan semua ahli dalam Umno bermasalah, tetapi apabila doa disebut begitu, ia memberi gambaran negatif dan pelbagai andaian boleh berlaku,” katanya.

Beliau juga menambah, terdapat empat kesan yang boleh terjadi berikutan isi kandungan doa itu iaitu mengelirukan rakyat, perpecahan, fitnah dan permusuhan.

“Empat perkara itu begitu jelas. Saya mohon mereka beristighfar dan kembali kepada landasan Islam sebenar.

“Jangan kerana itu, akan berlaku pelbagai insiden tidak diingini khususnya kepada masyarakat Islam sesama sendiri,” katanya.

Sementara itu, Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hasan Mohamed Ali melahirkan rasa kecewa apabila mendapati doa disampaikan boleh menimbulkan huru-hara di kalangan masyarakat Islam.

Menurutnya, bacaan doa perlulah dengan bahasa syahdu, tidak terjerit-jerit dan meminta perkara baik-baik sahaja.

“Saya juga pernah mengetuai bacaan doa. Tidak pernah ada ayat atau permintaan seperti ‘hapuskan’ atau perkataan tidak baik.

“Doa juga ada tertibnya. Saya sangat bimbang kerana Pas ada dua kumpulan iaitu ahli biasa dan ahli taksub.

Dengan bacaan doa begitu, dikhuatiri ia menjadi contoh tidak baik terhadap mereka,” katanya.

Katanya, bacaan doa seumpama itu juga memungkinkan Pas boleh kehilangan undi Umno.

“Kemenangan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) berjaya menarik ramai ahli Umno untuk mengundi Pas. 

“Tidak mustahil undi mereka berpindah kepada DAP atau PKR jika Pas tidak belajar daripada kesilapan ini,” katanya. -Sinar Harian

Sunday, 18 November 2012

Isu Jawatan PM: Kita Boleh Bincang, Anwar Beritahu Pas


SHAH ALAM - Gesaan wakil Dewan Ulama Pas Pusat yang mahu Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggalas jawatan Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pentadbiran Putrajaya bukan "satu masalah", kata Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

"Tiada masalah, tak ada apa, kita boleh bincang dengan baik," kata Ketua Umum PR itu secara ringkas ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Halatuju Pendidikan Negara di Universiti Selangor (Unisel), di sini pagi tadi.

Pemilihan calon Perdana Menteri jika PR memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) antara persoalan yang dibangkitkan perwakilan Pas pada Muktamar Tahunan Pas ke-58.

Wakil Dewan Ulama Pas Pusat, Hairun Nizam Mat Hussain semalam mengulangi pendiriannya bahawa beliau yakin sebahagian besar ahli parti itu mahu Abdul Hadi menjadi Perdana Menteri.

"Saya kira kalau rata-rata ahli Pas mahukan presiden (Abdul Hadi) sendiri jadi Perdana Menteri, tetapi tuan guru dia mempunyai sikap yang baik iaitu dalam masalah memimpin masyarakat itu yang terbaik adalah pelaksanaan amanah, siapa yang hendak menjadi yang paling tinggi, ia terserah kepada rakyat," katanya kepada Sinar Harian Online lewat semalam.

Tidak kurang pula sokongan dan gesaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mahukan Anwar menggalas tugas penting itu kerana beliau adalah calon paling layak.

Gesaan Lim Kit Siang itu dibuat ketika Himpunan Kebangkitan Rakyat yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke-IV malam kelmarin.

Pendapat sama sebelum itu disuarakan oleh anaknya, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng awal tahun ini.

Sebaliknya, Hadi rela menjadi khadam demi rakyat daripada menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri yang disifatkannya sebagai "amanah berat" meskipun Dewan Ulama Pas menegaskan presidennya itu lebih layak.

Saturday, 17 November 2012

Hadi: Saya Rela Jadi Khadam Dari Jadi PM

PENGKALAN CHEPA - Datuk Seri Abdul Hadi Awang rela menjadi khadam demi rakyat daripada menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri yang disifatkannya sebagai "amanah berat" meskipun Dewan Ulama Pas menegaskan presidennya itu lebih layak.

"Apa yang penting kepada kami, kita ke Putrajaya. Siapa yang jadi Perdana Menteri, yang diterima oleh rakyat, yang dapat menyatukan rakyat, dapat menegakkan keadilan untuk rakyat.

"Kita terima. Saya terima. Macam saya sebutlah, saya sanggup jadi nelayan balik," kata Abdul Hadi pada sidang media di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK), hari ini. 

Dalam satu temu bual dengan Sinar Harian Januari lalu, Abdul Hadi berkata, beliau tidak kisah menjadi nelayan asalkan Perdana Menteri yang dipilih kelak mengamalkan dasar pemerintahan Islam dan mampu menyelamatkan negara. 

Pagi tadi, perwakilan Dewan Ulama menegaskan, jika ada individu yang paling layak menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat menang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) adalah Abdul Hadi sendiri.

"Bukan sebagai alasan untuk menaik-naikkan beliau, tetapi beliaulah orang yang lain layak untuk menjadi pemimpin, Perdana Menteri pada masa akan datang dan kita sebagai anak didik kepada Pas, tidak sepatutnya, kita pula yang berkempen agar orang lain menjadi pemimpin sedangkan negara yang ingin dibawa adalah negara yang berdasarkan syariat.

"Kita meletakkan satu keyakinan bahawa presiden kita orang yang berkaliber untuk memimpin sebuah negara...," katanya.

Menjawab pertanyaan media, Abdul Hadi menjelaskan, dalam Pas, pimpinannya tidak pernah diajar untuk meminta-minta jawatan dalam parti politik.

"Saya sebagai seorang pimpinan yang diajar dalam parti Islam, kita tak boleh minta untuk jadi pemimpin," namun katanya, jika diberikan tanggungjawab itu, "kita anggap ini sebagai satu amanah yang berat, amanah yang besar."

Malam tadi penasihat DAP, Lim Kit Siang membuat pengisytiharan bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya perikatan itu ke Putrajaya selepas PRU13.

Menurut Kit Siang, Anwar adalah pemimpin dari pembangkang yang paling layak untuk menjadi Perdana Menteri. -Sinar Harian

Friday, 16 November 2012

Harussani Jawab Harun Taib, Saya Sentiasa Bertaubat

SHAH ALAM – “Saya sentiasa bertaubat selepas menunaikan solat, sebanyak 10 kali atas apa jua kesilapan yang dilakukan saya.” Demikian menurut Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria menjawab kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib semalam, yang turut meminta beliau bertaubat. 

Menurutnya, setiap manusia sentiasa melakukan kesalahan dan dengan bertaubat, umat Islam tidak akan terus berada dalam dosa di atas kesilapan yang dilakukan. 

Harussani, antara pemimpin agama yang mendapat perhatian dalam arena politik tempatan khususnya berkaitan idea kerjasama politik Pas-Umno menambah, “jadi, saya hanya meminta (Naib Presiden PKR) Nurul Izzah bertaubat apabila melakukan kesalahan.” 

Katanya, orang Islam pada masa ini hanya berjuang atas kepentingan politik dan saling menabur fitnah sehingga mewujudkan perpecahan di kalangan umat Islam. 

“Perjuangan orang Islam terutamanya pemimpin sekarang lebih kepada kepentingan politik sendiri. 

“Mereka jauh terpesong, mereka tidak mengikut ajaran Islam dan tidak mengikut sunnah Rasulullah,” kata beliau kepada Sinar Harian Online. 

Pagi semalam, Harun meminta Harussani turut bertaubat kerana didakwa tidak menyokong perjuangan Islam. 

Kenyataan Harun itu dibuat ketika mengulas komen Harussani yang meminta Nurul Izzah bertaubat kerana mengeluarkan kenyataan tidak selari mengenai kebebasan agama. 

“Bertaubat kalau dia (Nurul Izzah) buat salah besar… Tan Sri Harussani harus bertaubat juga kerana tidak menyokong perjuangan Islam. Dia juga harus bertaubat,” katanya selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat di Kota Bharu semalam. 

Harussani juga berkata, semua parti politik yang menggunakan Islam tidak akan disokongnya kerana perjuangan mereka tidak sejajar dengan konsep Islam. 

Harussani menambah, teguran sering dibuat kepada semua orang Islam sejak beliau menjadi kadi lagi untuk mengembalikan mereka ke jalan yang benar. 

“Dulu apabila saya menjadi kadi, saya sering menegur orang Islam yang melakukan kesilapan dan kembali ke jalan yang benar. 

“Sejak lebih kurang 50 tahun lebih negara merdeka, setiap parti yang dikatakan membawakan ajaran Islam hanya tahu berkempen untuk parti. 

“Melalui kempen mereka sering membuat fitnah, memaki hamun dan di rumah ibadat juga telah wujud perpecahan, adakah dengan cara ini kita nak tonjolkan Islam kepada masyarakat?” katanya. -Mynewshub