Tuesday 12 March 2013

Cubaan Rompak Bersenjata Bawa Padah

KOTA BHARU – Tindakan seorang pemilik kedai iklan yang menggemparkan penduduk sekitar dengan percubaan rompakan bersenjata terhadap sebuah salon di Kuala Krai, tahun lalu berakhir dengan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Lebih perit apabila, Wee Pin Pin, 27, turut dikenakan tiga kali sebatan dan denda RM2,000 selepas mengaku bersalah pada lima pertuduhan yang dihadapi.

Dia didakwa pada pertuduhan pertama, menggunakan sepucuk pistol tiruan untuk melakukan samun di sebuah salon, tingkat 1, Jalan Besar Guchil, Kuala Krai, 27 November 2012.

Dalam kejadian antara jam 2 dan 5.30 pagi itu, tertuduh juga didakwa memiliki sebilah pisau pemotong daging dan dituduh memiliki pistol tiruan berwarna hitam bertulisan Glock Austria 9X19 pada tuduhan ketiga.

Sementara itu pada dua tuduhan berasingan, Pin Pin dituduh cuba merompak salon berkenaan dan didakwa mengurung tiga pekerja serta seorang pelanggan salon itu ketika itu.

Bagi semua tuduhan itu, Hakim Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman penjara lima tahun, tiga sebat bagi tuduhan pertama, penjara enam bulan (kedua), penjara enam bulan dan denda RM2,000 atau dua bulan penjara (ketiga), penjara tiga tahun enam bulan (keempat) dan penjara enam bulan (kelima).

Kesemua hukuman berkuat kuasa daripada tarikh tertuduh ditahan hari kejadian menjadikan keseluruhannya penjara lima tahun, tiga sebatan dan denda RM2,000.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira trauma dialami semua mangsa yang diacukan pistol dalam cubaan jenayah rompak itu.
“Walaupun pistol itu tiruan tetapi kesalahan tetap berat. Semua mangsa hadir pada hari ini (semalam) tetapi tidak mahu memberi keterangan sebagai saksi kejadian kerana masih trauma,” katanya.

No comments:

Post a Comment