Saturday 30 March 2013

Mustapa: BN Kelantan Akan Tonjolkan Calon Mantap

KOTA BHARU - Barisan Nasional (BN) Kelantan akan menonjolkan barisan calon mantap dan diterima rakyat pada pilihan raya umum kali ini, kata Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata senarai calon yang kini di peringkat akhir saringan memuatkan muka baharu dan lama selain tokoh ulama yang mampu membawa kemenangan kepada BN Kelantan.

"Kita buat yang terbaik, apa juga barisan calon yang kita tonjolkan tentu ada pihak yang mempertikai. Namun bagi saya dan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak, kita akan memastikan inilah barisan terbaik dalam kalangan tokoh-tokoh yang ada di Kelantan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat Karnival Pengajian Tinggi Negara 2013 di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.

Mengulas pertemuan beliau dengan Najib yang juga Presiden Umno di Putrajaya semalam, Mustapa berkata pertemuan seperti itu sudah diadakan sejak enam bulan lepas bagi membincangkan perkara berkaitan parti terutama senarai calon BN Kelantan.

Ditanya kenapa perdana menteri belum membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, percaya Najib mahu hasil transformasi yang dilaksanakan termasuk dalam bidang politik, kerajaan dan ekonomi benar-benar dirasai rakyat.

"Tiada kaitan dengan apa-apa desakan pembangkang, ini strategi Datuk Seri Najib dalam memastikan rakyat melihat hasil kerja termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA)," katanya.

Dalam pada itu, Mustapa tidak menolak kemungkinan banyak lagi majlis peletakan batu asas bagi projek tertentu dilakukan kerajaan PAS Kelantan, dan menyifatkannya tidak lebih daripada gimik politik menjelang pilihan raya. - Bernama

No comments:

Post a Comment