Sunday 3 March 2013

DUA FAKTOR KEMENANGAN BN DI KELANTAN

KOTA BHARU: Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamad yakin Menteri Besar, Nik Aziz Nik Mat, bukan lagi penyumbang kepada kemenangan PAS di negeri itu.

Sebaliknya beliau melihat, kepimpinan dan ketokohan Nik Aziz tidak lagi relevan kerana sudah ketandusan idea untuk mentadbir Kelantan.

Dalam temuramah eksklusif dengan Astro AWANI, Mustapa memaklumkan, pandangan umum bahawa PAS akan terus berkuasa di Kelantan, selagi ada Nik Aziz, tidak benar.

“Ini persepsi dan tanggapan, kita akui di peringkat awal 90 an, ramai yang akui ketokohan beliau, sebab itu kita kalah di Kelantan, kalau tiada beliau, kita (Barisan Nasional) dah lama menang,”

“Tetapi setelah begitu lama diberi peluang, rakyat dapat nilai, terlalu lama, sampai bila nak pimpin negeri ini, ketandusan idea, kita mahu yang cerdas, yang boleh berubah seiring dengan perubahan di seluruh negara,” ujar Mustapa.

Mustapa sementara itu berkongsi penilaian beliau mengenai peluang BN menguasai Kelantan, pada pilihan raya umum ke-13.

Menurut beliau, dua faktor memungkinkan kemenangan parti ialah keberkesanan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, yang dapat dinilai sendiri oleh rakyat. Ini melibatkan transformasi kerajaan, ekonomi dan politik, termasuk pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) serta keterbukaan kerajaan membenarkan demonstrasi dengan syarat-syarat tertentu.

Kelemahan PAS dalam beberapa isu, hujah Mustapa, turut memberikan kelebihan kepada BN.

“Banyak masalah timbul, isu kalimah Allah, pendirian PAS berubah-ubah, parti itu tolak mereka yang tegakkan Islam, seperti Datuk Hassan Ali, ini menyebabkan rakyat Kelantan tak puas hati,” kata Mustapa.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Mahmud Zuhdi Abd Majid menyifatkan ketaksuban penyokong terhadap Nik Aziz, hingga membenarkan keceluparan pemimpin ini, boleh membawa padah kepada PAS.

“Mereka anggap siapa yang tentang, akan dijatuhkan, bila dalam keadaan begitu, Nik Aziz tidak dapat nasihat menyeluruh sebab orang bawahan menganggap , siapa melanggar keputusan dia (Nik Aziz), ada kemungkinan akan jadi mangsa macam Nasarudin,”

“Keceluparan Tuan Guru ini kadang-kadang, boleh bangkitkan isu di kalangan pengundi atas pagar,” kata Profesor Datuk Dr Mahmud Zuhdi Abd Majid.

Dr Mahmud juga berhujah, pertarungan di Kelantan banyak ditentukan oleh BN, berdasarkan rekod hampir rampas Dewan Undangan Negeri (DUN), pada pilihan raya umum ke 11 (2004), di bawah kendalian Datuk Seri Mustapa Mohamad.

“Persoalannya BN jika betul-betuk nak menang di Kelantan, parti itu boleh susun strategi untuk menang, namun agak malang pasukannya tak teratur,” ujar beliau.


Sumber : Tukar-kelate.blogspot.com

No comments:

Post a Comment