Thursday 14 March 2013

Sebuah Janji Ditepati:Esok Lawatan Kerja Sehari PM Di Kelantan


KOTA BHARU – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual akan merasmikan majlis pecah tanah Projek Perumahan Rakyat (PPR) sempena lawatan kerja seharinya ke negeri ini Jumaat ini.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, perasmian tersebut akan berlangsung di tapak projek tersebut di kampung Raja Udang, Wakaf Mek Zainab di sini pada pukul 5 petang.
Katanya, PPR adalah antara satu daripada tujuh janji yang diumumkan Perdana Menteri semasa sesi lawatannya ke negeri ini pada Januari lalu.
“Ini membuktikan Kerajaan Persekutuan tidak bercakap kosong, bila berjanji akan ditepati. Dan kita lihat ini berlaku hanya dalam masa dua bulan selepas ia diumumkan,” katanya.
Najib semasa melancarkan Program Jelajah Janji Ditepati peringkat Kelantan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bharu pada 20 Jan lalu, mengumumkan tujuh projek besar untuk memajukan Kelantan.
Antara janji itu adalah mewujudkan sistem pengangkutan Rapid Kota Baharu, membina masjid terbesar yang bakal menjadi ikon di negeri ini, stadium baharu, 3,000 unit perumahan rakyat dan pembinaan lebuh raya Kuala Krai-Kota Baharu.
Tambahnya, borang permohonan boleh didapati pada hari pecah tanah tersebut dan ia terbuka kepada mereka yang berpendapatan rendah tanpa mengira apa bangsa atau fahaman politik.
Mohamad Fatmi berkata, PPR sememangnya menjadi idaman hampir seluruh rakyat negeri ini terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Ini kerana katanya, kemudahan tersebut tidak pernah disediakan oleh kerajaan Pas Kelantan walaupun diberi peluang memerintah selama 22 tahun.
“Sepatutnya PPR ini dilaksanakan oleh kerajaan negeri tetapi ia tidak pernah berlaku sebaliknya kerajaan itu hanya pandai menjual tanah kepada pemaju untuk dibuat kondo yang sudah semestinya tidak mampu dimiliki oleh rakyat,” katanya. 
Dalam lawatan kerja sehari Perdana Menteri esok, beliau turut diiringi oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno kelatan Datuk Seri Mustapa Mohamed beserta beberapa pemimpin Barisan Nasional yang lain.-Sinar Harian

– Sinar Harian

No comments:

Post a Comment