Friday 24 August 2012

Tengku Razaleigh Nafi Isu Royalti Jejaskan Perjuangan Umno & BN di Kelantan

GUA MUSANG -Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menafikan tanggapan bahawa tindakan beliau membantu berhubung tuntutan royalti minyak Kerajaan Pas Kelantan sebelum ini telah menjejaskan perjuangan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, kata beliau, semua kenyataan yang dikeluarkan itu bagi mengembalikan keyakinan rakyat khususnya pengundi Kelantan terhadap Umno dan BN terutama bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

"Lagi pun apa yang saya perkatakan dalam beberapa kenyataan sebelum ini membabitkan desakan ke atas Petronas sahaja dan tidak ada kena mengena dengan Kerajaan Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bahagian Gua Musang di Bukit Chekati di sini, Jumaat.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno bahagian Gua Musang berkata beliau bukan hendak membela kerajaan negeri pimpinan Pas itu, tetapi apa yang diperkatakan adalah bagi menjelaskan perkara sebenar yang terkandung dalam perjanjian antara Petronas dengan kerajaan negeri terbabit.

Katanya, beliau berhak menjelaskan perkara itu supaya rakyat lebih yakin dengan perjuangan Umno dan BN walaupun masalah itu menjadi tanggungjawab Petronas untuk menyelesaikannya.

"Sumber sebenar hasil itu (petroleum) diperoleh Petronas dan Petronaslah yang harus bertanggungjawab membayar semua tuntutan kerajaan negeri terbabit seperti yang terkandung dalam perjanjian yang saya lakukan kerana ketika itu saya menjadi Pengerusi Petronas.

"Memanglah ramai yang membuat tafsiran salah berhubung kenyataan saya itu hingga ada yang menuduh lebih memihak kepada pembangkang dan saya ingin jelaskan kenyataan itu adalah hakikat yang patut kita sama-sama selesaikan," katanya.

Beliau berkata segala perjanjian yang dibuat antara kerajaan negeri dengan Petronas ketika itu juga mendapat persetujuan Perdana Menteri ketika itu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan semuanya terkandung dengan jelas dalam akta petroleum berkenaan.

"Saya bukan nak berada di sebelah mana-mana pihak berhubung tuntutan berkenaan dan apa yang saya lakukan itu untuk memberi faedah bersama termasuk rakyat. Jika rakyat mendapat manfaat sudah tentu akan menyokong kita pada PRU-13 tidak lama lagi," katanya.

Mengenai persiapan menghadapi pilihan raya umum, Tengku Razaleigh berkata, persiapannya sudah diatur dengan baik khususnya di bahagian Gua Musang bagi mengekalkan kubu kuat Umno di Kelantan itu yang tidak pernah tewas kepada pembangkang.

"Saya mempunyai strategi sendiri bagi mengekalkan kemenangan itu, tetapi pada PRU-13 nanti terpulanglah kepada rakyat untuk membuat penilaian terbaik, tetapi saya harap sokongan mereka tidak berubah dan memberi kemenangan kepada BN," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment