Saturday 18 August 2012

200,000 Sampul Raya Royalti Di Edar di Sekitar Kelantan

KOTA BHARU - Sejumlah 200,000 sampul raya Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti) diagih kepada orang ramai sempena sambutan Aidilfitri ini, kelmarin.

Setiausahanya, Syam Ghaz berkata, sampul tersebut diagihkan di kawasan tumpuan orang ramai seperti pasar raya, kedai runcit, hospital, dan semua pintu masuk utama ke Kelantan.

“Sampul raya dwi muka itu dicipta bagi menyampaikan kempen kepada rakyat tentang tuntutan royalti 5% negeri Kelantan yang kini jumlahnya sudah tertunggak sebanyak RM7 bilion semenjak tahun 2005 lagi.

“Jadi usaha ini adalah untuk meminta Kerajaan Persekutuan supaya tidak lagi berdolak-dalik dalam isu pemberitaan royalti kepada Kelantan,” katanya.

Menurutnya, manakala lambang lebuh raya rakyat pula adalah bagi memberikan gambaran kepada anak perantau yang melalui jalan raya yang terburuk di negara ini untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Syam berkata, inisiatif pengedaran sampul raya lebuh raya dilakukan bagi menyokong pembinaan lebuh raya rakyat dan mendesak Kerajaan Pusat membina lebuh raya baru di Kelantan dari Gua Musang-KB, Jeli-KB dan Pasir Puteh-KB, bagi kemudahan rakyat.

“Rakyat Kelantan adalah rakyat yang berdaulat dan janganlah kami seperti Muslim Rohingya di Myanmar yang dizalimi dan dinafikan hak berada di negara sendiri.

“Berikan hak kami sepertimana negeri-negeri lain dan dengan semangat Aidilfitri, kami menyeru kepada semua pimpinan politik untuk hentikan dendam politik yang berlaku sekarang demi kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri serta menyeru kepada semua rakyat bangkit menuntut hak mereka sampai dapat.

No comments:

Post a Comment