Saturday 18 August 2012

Pas Kelantan Tolak Nasharudin Dalam PRU-13

PAS Kelantan tidak lagi memerlukan Ahli Parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa dan tidak akan mencalonkan beliau pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Timbalan Pesuruhjaya Pas III Negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata pengundi PAS di Bachok juga menolak Nasharudin dan mahu beliau digantikan dengan calon lain pada PRU akan datang.

Ganti calon lain

Katanya, kemunculan bekas Timbalan Presiden PAS bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Makkah, Rabu lalu, langsung tidak memberi kesan kepada parti itu kerana pengundi PAS di Bachok sudah menolaknya.

“Pada pandangan kita (PAS Kelantan), kemunculan beliau (Nasharudin) bersama Najib sempena mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tidak memberi kesan kepada parti walaupun akan menghadapi pilihan raya umum (PRU) tidak lama lagi.

“Nama Nasharudin tidak termasuk dalam senarai (calon) yang diangkat baru-baru ini dan kita dimaklumkan bahawa pengundi di kawasan itu sudah mencadangkan beliau digantikan dan desakan ini dibuat sebelum Nasharudin bersama Najib di Makkah.

“PAS Kelantan sudah ada beberapa calon yang dilihat sesuai menggantikan Nasharudin, namun keputusan muktamad di tangan Pesuruhjaya PAS negeri yang juga Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,” katanya kepada BH selepas menyampaikan kuliah di Dataran Ilmu di sini, semalam.
Beliau mengulas kemunculan Nasharudin bersama Najib di Makkah, sehingga menimbulkan spekulasi, termasuk pucuk pimpinan PAS, bahawa tokoh berkenaan akan meninggalkan parti itu.

Kelmarin, Nik Aziz ketika mengulas mengenainya berkata tidak hairan jika Nasharudin keluar PAS selepas dilihat bersama Najib di Makkah.

“Pelik apa, kalau (Datuk Mohd) Asri (Muda) yang berpuluh tahun menjadi Presiden PAS boleh masuk UMNO, jadi Nasharudin juga akan turut berbuat demikian,” katanya.

Mohd Amar yang juga EXCO kanan kerajaan negeri berkata, kemunculan Nasharudin bersama Najib sudah tentu akan menjatuhkan kedudukannya pada mata ahli PAS.

Ditanya sama ada PAS rela melepaskan Nasharudin, beliau berkata:

“Kalau beliau rasa sudah tidak selesa dalam PAS, kita tidak boleh buat apa-apa… kita terima.
“Namun kita percaya PAS tetap kukuh dan kekal dengan perjuangannya.

Nasharudin bagaimanapun kelmarin menafikan beliau berhasrat meninggalkan PAS atau menyertai UMNO dan mencabar sesiapa yang membuat dakwaan itu mengemukakan bukti.

Katanya, beliau mengaturkan pertemuan Najib dengan ulama di Makkah bersempena dengan mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di sebuah villa bersebelahan Masjidil Haram. – Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment