Monday 27 August 2012

Memang Saya Ada Melawat Tun Ghafar Ketika Sakit - Mat Sabu

SHAH ALAM – Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mempertahankan kenyataannya bahawa beliau pernah menziarahi bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba ketika diserang strok.

“Saya menziarah Allahyarham (Tun Ghafar) di rumahnya di Damansara berhampiran dengan bangunan Parlimen beberapa tahun lalu dan ditemani oleh sahabat saya, bekas ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Ahmad Subky Abdul Latif.

“Ketika itu, tidak ada sesiapa di rumah kecuali isteri kedua Allahyarham, Toh Puan Dayang Heryati Abdul Rahim,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyangkal kenyataan anak Tun Ghafar, Datin Zainon Ghafar yang menafikan dakwaan Mohamad ada melakukan lawatan ke rumah bapanya ketika pemimpin itu sedang sakit teruk.

Tambah Mohamad, lawatan tersebut sekadar lawatan biasa kerana Allahyarham Tun Ghafar merupakan seorang negarawan dan pernah bersama-bersama beliau di Parlimen.

“Walaupun kami berbeza parti tetapi kami mempunyai hubungan yang baik,” jelas beliau yang juga bekas Ahli Parlimen.

Ketika diminta mengulas desakan ahli keluarga Allahyarham Tun Ghafar yang mahu beliau menarik balik kenyataannya yang mengatakan bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan menyertai Pas sekiranya masih hidup, sama seperti anaknya Tamrin.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut.

“Kali ini saya perlu berhati-hati sebelum mengulas apa-apa dan saya perlu meneliti kembali rakaman ucapan saya.

“Saya kena tengok dulu macam mana saya kata dan perkataan yang saya gunakan, mungkin ada perkataan ‘dan’ ke, ataupun ‘koma’, itu perlu diteliti,” tegas beliau, yang dipercayai merujuk kepada kontroversi berkenaan kenyataan menyentuh peristiwa Bukit Kepong.

Kes berkaitan sedang didengar di Butterworth.

Kenyataan terbaru didakwa dikeluarkan ketika menyampaikan satu ceramah di Bukit Katil, Melaka pada 12 Ogos lalu, dan kandungan ceramah itu turut disiar di laman blog bertajuk, 'Jika Tun Ghafar umur panjang, dia pun masuk Pas'.

Semalam, menantu Allahyarham Tun Ghafar yang juga Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah berkata, beliau dan keluarga cukup sedih dengan kenyataan itu dan menganggapnya sebagai tidak bertanggungjawab.

No comments:

Post a Comment