Monday 6 August 2012

Kempen 'Sehari 10 Minit' Oleh Jabatan Kesihatan Kelantan

KOTA BHARU- Jabatan Kesihatan Kelantan akan melancarkan kempen 'Sehari 10 Minit' dalam usaha memerangi nyamuk Aedes berikutan peningkatan kes demam denggi di negeri itu.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata antara lain, kempen itu bertujuan menyedarkan orang ramai akan kepentingan menjaga persekitaran dan mengubah sikap mereka agar lebih bertanggungjawab.

"Pendekatan dalam kempen ini menggalakkan orang ramai mengambil masa 10 minit sehari dalam memastikan persekitaran mereka terjaga, kerana wabak demam denggi kian meningkat setiap tahun," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sejak Januari hingga 28 Julai lepas, sebanyak 682 kes dilaporkan di seluruh Kelantan, berbanding 404 kes bagi tempoh sama tahun lepas, iaitu meningkat 68 peratus.

Jajahan Kota Baharu mencatat bilangan kes tertinggi iaitu dengan 358 kes (52.6 peratus), dikuti Tanah Merah 52 kes (7.6 peratus) dan Kuala Krai 51 kes (7.5 peratus), katanya.

Beliau berkata sehingga Julai lepas, pihaknya membuat pemeriksaan ke atas 358,652 premis dan didapati 3,523 adalah positif, dan sebanyak 334,781 premis telah disembur kabus bagi membunuh nyamuk Aedes dewasa.

Jabatan Kesihatan negeri juga mengeluarkan 375 kompaun dengan jumlah bayaran diterima sebanyak RM51,885, sementara 10 kes telah dirujuk ke mahkamah, katanya. -Bernama

No comments:

Post a Comment