Monday 27 August 2012

Nasha Tidak Akan Dipecat Dari Pas - Dr. Samsul Adabi

Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa tidak akan dipecat daripada Pas kerana tindakan itu sudah pasti akan mencalarkan imej parti itu terutama ketika menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Samsul Adabi Mamat berkata, Ahli Parlimen Bachok itu masih mempunyai ramai pengikut terutama daripada kelompok golongan sederhana.

“Nasharudin tidak akan dipecat oleh parti. Malah beliau sendiri tidak akan keluar Pas walaupun sehaluan dengan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali,” kata pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang menyerahkan sepenuhnya kepada Majlis Syura bagi menentukan kedudukan Nasharudin dalamparti itu pada 9 September nanti.

Nasharudin sebelum ini menimbulkan kontroversi apabila mencadangkan supaya parti itu keluar daripada pakatan pembangkang jika DAP terus menentang hukum hudud.

Awal minggu lalu, media memaparkan gambar Nasharudin bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada dalam pertemuan dengan tokoh-tokoh ulama di Makkah.

Nasharudin juga sebelum ini pernah dikaitkan dengan usaha ke arah mewujudkan kerajaan perpaduan Umno-Pas.

Mengulas lanjut, Samsul Adabi berkata, Nasharudin hanya akan keluar daripada Pas bergantung kepada tawaran Barisan Nasional (BN) kepadanya.

No comments:

Post a Comment