Monday 6 August 2012

Masalah Air Selesai Jika BN Berjaya Tawan Kelantan - Najib


KOTA BHARU - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan Barisan Nasional (BN) akan menyelesaikan masalah air yang kritikal di Kelantan jika ia menawan kembali negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku di Kelantan hingga membebankan rakyat yang selama ini memberi mandat kepada Pas untuk memerintah sejak 1990.

"Tidak usah bercakap soal lain, kalau masalah air pun tidak boleh diselesaikan. Saya beri jaminan dalam tempoh terdekat ini boleh diselesaikan oleh kerajaan BN.

"Semasa di lapangan terbang, saya telah menerima memorandum minta diselesaikan masalah air ini. Susah kalau tidak ada air, terutama pada waktu tertentu," katanya ketika berucap pada Solat Tarawih Perdana dan Amanat Perdana Menteri di Yayasan Kemiskinan Kelantan malam tadi.

Lebih 10,000 penduduk pelbagai kaum hadir pada majlis itu.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin dan penyelaras Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa.

Najib juga berkata, kerajaan ingin melihat Kelantan maju dalam pelaksanaan transformasi negara, yang hasilnya dapat dinikmati rakyat.

"Di Kelantan, ramai umat Islam dan ramai bangsa Melayu yang perlu menjadi platform utama dalam usaha kita melakukan transformasi itu," katanya.

Sebelum ini, beliau berkata, kerajaan tidak pernah memilih bulu dalam membantu rakyat dan buktinya, ramai penyokong pembangkang turut menikmati pemberian itu.

"Kita komited bantu rakyat. Ini semua hasil kemakmuran negara, dan kita mahu dikenali sebagai negara Islam yang berjaya," katanya.

Najib berkata, apa yang kerajaan pusat lakukan semuanya berlandaskan syariat Islam dan sunnah.

"Kita mahu kemajuan, dan mahu Islam itu menjadi contoh, dan mahu tunjukkan kepada dunia," katanya.

Najib kemudian menyertai rakyat pada majlis makan colek sebelum berlepas pulang ke ibu negara. - Bernama

No comments:

Post a Comment