Wednesday 29 August 2012

Bukit Aman Nafi Manipulasi Data Jenayah

Bukit Aman menafikan wujud unsur manipulasi terhadap data jenayah diumumkan sebelum ini semata-mata bagi menunjukkan penurunan indeks jenayah di seluruh negara.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam), Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf, berkata laporan itu telus, malah penyediaannya melalui proses rapi bagi memastikan ketepatan maklumat, terutama perangkaan dipaparkan.
“Kita tiada sebab mahu mengubah suai laporan itu, tiada apa-apa cuba disembunyikan daripada rakyat.

“Hasil siasatan juga tidak menemui sebarang bukti menunjukkan berlaku pengubahsuaian pada indeks jenayah itu,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Beliau mengulas dakwaan penulis surat layang yang menggunakan identiti samaran, Sumun Osram, 22 Ogos lalu, kononnya data jenayah dimanipulasi bagi menampakkan kadar jenayah di negara ini menurun.

Ramli berkata, pihaknya sentiasa berusaha menambah baik mutu perkhidmatan pasukan, termasuk melancarkan Sistem Pemantauan Laporan Atas Talian BETA (BETA - ORTS) menjelang akhir tahun ini.

“Ia akan memudahkan setiap laporan dibuat diklasifikasi mengikut kategori ditetapkan, termasuk jenis jenayah dan akta digunakan untuk siasatan, sekali gus meningkatkan lagi ketepatan proses perangkaan kes jenayah,” katanya.-Berita Harian

No comments:

Post a Comment