Wednesday 22 August 2012

Dr. M Tak Konsisten Dalam Isu Hudud - Nik Amar

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menempelak sikap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat tidak konsisten berhubung pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Mohd Amar berkata, ketika zaman pemerintahan Dr Mahathir, beliau yang bersungguh-sungguh menolak undang-undang Islam itu dilaksanakan.

“Semasa Dr Mahathir jadi Perdana Menteri beliau sendiri bagi amaran keras kepada Kelantan menerusi satu surat yang sehingga kini masih ada dalam simpanan Kerajaan Negeri .

“Menerusi surat itu, beliau (Dr Mahathir) ada kata kalau Kelantan tetap meneruskan hukum hudud, tindakan tegas akan dikenakan kepada Kerajaan Negeri. Tetapi sekarang ini beliau cakap lain pula,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sabtu lalu, Sinar Harian melaporkan Dr Mahathir menyarankan Pas menyertai Umno untuk bersama-sama membina negara dan perundangan Islam.

Dalam laporan tersebut, Dr Mahathir ada menyebut Umno akan mewujudkan sebuah negara Islam yang lengkap jika Pas berbesar hati menyertai Umno dan mengalu-alukan Pas ke dalam parti tersebut sekiranya ia berpisah daripada Pakatan Rakyat (PR).

Sehubungan itu, Mohd Amar menyifatkan kenyataan Dr Mahathir itu seperti orang ‘nyanyuk’ yang cakap tidak serupa bikin.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah berkata, Pas tidak perlu menyertai Umno untuk merealisasikan hudud kerana biarpun berada dalam PR, Pas tetap berpegang teguh memperjuangkan hudud termasuk syariat Islam.

“(Dr Mahathir) dulu cakap lain, sekarang cakap lain. Kita tidak perlu sertai Umno jika hendak laksanakan hudud sedangkan Umno sendiri pun tolak hudud,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar menganggap tindakan MCA Kedah menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan hudud hanya sekadar kenyataan politik untuk membersihkan imej MCA.

Beliau berkata, sebelum ini MCA menerusi Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang lantang bersuara menolak hudud dengan keras.

“Soi Lek sebelum ini jelas dengan pendiriannya tidak mahu hukum hudud menerusi kenyataannya dalam media dan pernah kata hudud ketinggalan zaman dan menakutkan pelabur yang sekali gus membuatkan pelabur akan lari,” katanya.

Mohd Amar berkata, kenyataan MCA Kedah itu bercanggah dengan Presiden sendiri dan menyifatkan berkemungkinan tidak sedar akan pendirian ketua mereka. - Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment