Tuesday 14 August 2012

Maut Dibelasah Kerana Meja Usang

SERDANG: Hanya kerana meja usang, seorang peniaga minuman mati dibelasah sekumpulan lelaki dalam kejadian di sebuah tapak perniagaan di Seri Kembangan, di sini, awal pagi semalam.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas mangsa, Azhari Sidek, 44, mengambil sebuah meja usang ditinggalkan di kaki lima tempat kejadian sebelum diletakkan berhampiran gerai miliknya.

Bagaimanapun, tindakan mangsa itu tidak disenangi seorang lelaki yang mendakwa meja berkenaan miliknya hingga berlaku pergaduhan kira-kira jam 2 pagi.

Lelaki terbabit dikatakan menjalankan perniagaan di kawasan sama.

Adik angkat mangsa yang enggan dikenali ketika ditemui Harian Metro di pekarangan Bilik Mayat Hospital Serdang, di sini, berkata akibat rasa tidak puas hati itu, lelaki terbabit memanggil beberapa rakannya untuk membelasah abangnya.

“Abang saya dibelasah lebih 12 lelaki. Ketika itu, ramai peniaga dan pengunjung menyaksikan kejadian itu namun tiada sesiapa yang berani membantu.

“Melihat keadaan abang yang sudah longlai dan tidak sedarkan diri, semua mereka melarikan diri. Orang ramai kemudian menghubungi ambulans sebelum abang dihantar ke Hospital Serdang,” katanya.

Bagaimanapun, abangnya meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Adik mangsa, Hamizi Sidek, 40, berkata dia menerima panggilan daripada pihak hospital memaklumkan abangnya sudah meninggal dunia dan memintanya datang ke hospital.

“Saya tidak tahu apa berlaku tetapi mengikut laporan polis abang saya dipukul sekumpulan lelaki. Abang saya sudah menjalankan perniagaan di tapak perniagaan itu sejak lima tahun lalu.

“Hasil bedah siasat, abang saya dimaklum meninggal kerana serangan jantung akibat dipukul dengan teruk. Saya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan dan menahan mereka yang bertanggungjawab,” katanya.

Bekas isteri mangsa dan tiga anak lelakinya masing-masing berusia 15 tahun dan kembar mereka berusia 12 tahun kelihatan tiba di bilik mayat hospital itu kira-kira jam 5 petang selepas dimaklumkan kematian mangsa.

Tiga anak lelaki arwah hanya mampu menitiskan air mata sebaik menatap wajah bapa mereka buat kali terakhir sebelum dikafankan dan dibawa menaiki van jenazah.

Difahamkan, jenazah akan dibawa pulang ke kampung halaman di Mengkarak, dekat Temerloh, Pahang dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam kampung berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan malah pihaknya sedang berusaha mengesan suspek. -HMetro.

No comments:

Post a Comment