Saturday 25 August 2012

Isu Royalti : Jawatankuasa Khas Petroleum Berkuasa Sepenuhnya

Umno Kelantan akan mempergiatkan penerangan mengenai jawatankuasa khas bagi mengkaji secara adil dan telus isu bayaran tunai hasil petroleum kepada negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Pengerusinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ini kerana terdapat pihak tertentu yang memberi gambaran salah dengan tujuan mengelirukan masyarakat Kelantan berhubung penubuhan jawatankuasa khas tersebut.

"Kita serah kepada jawatankuasa khas ini untuk membuat kajian dan memberi syor kepada kerajaan persekutuan mengenai isu bayaran tunai ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama pemandu kereta sewa/teksi di sini, Sabtu.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata jawatankuasa khas itu akan mengenal pasti negeri yang layak menerima bayaran tunai itu, menentukan kaedah serta jumlah bayaran tunai tersebut kepada negeri berkenaan.

Pada 4 Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas itu yang akan dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai oleh pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.

Sementara itu, Mustapa berkata walaupun Kelantan kini di bawah pentadbiran kerajaan Pas, kerajaan persekutuan tetap membantu memberi pelbagai kemudahan kepada pemandu kereta sewa dan teksi supaya mereka dapat mencari pendapatan dengan selesa dan menawarkan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Katanya, beliau menerima banyak rungutan daripada pemandu kereta sewa dan teksi mengenai kegagalan kerajaan negeri menyediakan kemudahan terbaik kepada mereka termasuk untuk memperbesarkan stesen kereta sewa dan teksi.

Beliau turut meminta mereka membantu memberi penjelasan kepada penumpang mengenai perubahan yang perlu dilakukan di negeri ini supaya pertumbuhan pembangunan yang lembab dapat diatasi. - Bernama

No comments:

Post a Comment