Tuesday 28 August 2012

Cari Jalan Laksana Hudud Jika PR Menang PRU 13 - Mat Sabu

PAS akan mencadangkan agar Perlembagaan Persekutuan digubal bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan selepas pembangkang berjaya membentuk kerajaan, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Katanya itu adalah pendirian PAS dan Ahli Parlimen daripada DAP atau parti lain serta Ahli Parlimen bukan Islam boleh mengemukakan bantahan mereka menerusi perbahasan Dewan Rakyat.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu ketika diwawancara akhbar Sin Chew Daily bagaimanapun berkata parti itu tidak mengadakan perbincangan terpeinci mengenainya kerana tindakan lanjut hanya akan dibuat selepas pembangkang mentadbir Kerajaan Pusat.

Kenyataan itu dipetik menerusi laporan muka depan akhbar berkenaan bagi edisi petang Isnin.

Mat Sabu berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung PAS akan mencari jalan menerusi kaedah demokrasi bagi melaksanakan hudud.

Tegasnya hudud hanya boleh dilaksanakan sekiranya mendapat sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat.

“Jika Ahli Parlimen DAP atau yang bukan Islam tidak bersetuju dengan hudud, ia adalah hak mereka untuk berbuat demikian,” katanya.

Menurutnya berdasarkan prinsip Islam jelas menyatakan bahawa tidak boleh memaksa orang bukan Islam untuk mempercayai amalan dan hukum yang terkandung di dalamnya.

Katanya lagi PAS perlu menghormati pandangan sekiranya majoriti Ahli Parlimen tidak bersetuju dengan pindaan itu.

Bagaimanapun ketika dihubungi, Mat Sabu kemudiannya menafikan beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian. –Mstar.

No comments:

Post a Comment