Thursday 4 April 2013

Bubar Dun: Nik Aziz Hadap Tuanku Hari Ini

KOTA BHARU- Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menghadap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V hari ini bagi mendapatkan perkenan Tuanku untuk pembubaran Dun. 

Nik Abdul Aziz berkata, perjumpaan tersebut akan diadakan malam ini di Istana Telipot selepas beliau menghadiri majlis penutup Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Kelantan.

Menurutnya, tarikh pembubaran tersebut akan diumumkan selepas mendapat perkenan Tuanku.

“Sebelum itu saya akan menghadiri mesyuarat bersama menteri-menteri besar di bawah Pakatan Rakyat di Damansara, Kuala Lumpur pada jam 2.30 petang esok (hari ini).

“Selepas itu saya akan menghadap Tuanku dan terserahlah kepada baginda untuk menentukan bila-bila (tarikh) pembubaran Dun Kelantan,” katanya kepada media di sini petang semalam.

Terdahulu beliau menghadiri Mesyuarat Lajnah Politik di kediaman rasminya di JKR 10 di sini.

Dalam masa yang sama, Nik Abdul Aziz turut berdoa supaya Kelantan selamat dan tetap berada di bawah pentadbiran Islam selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Terdahulu selepas mesyuarat mingguan beliau yang juga Mursyidul Am Pas mengulangi pendiriannya Kelantan akan membubar Dun secara serentak dengan Kerajaan Pusat.

“Kelantan boleh tangguh seminggu dua lagi, kerja provokasi ini saya tidak mahu. Saya akan buat sebagaimana saya kata dahulu iaitu bubar serentak,” katanya.

No comments:

Post a Comment