Saturday 13 April 2013

Akujanji BN Kelantan#Lebuh Raya Tanpa Tol Kota Bharu- Kuala Krai.#Pru13


BACHOK: Lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai yang bakal dibina oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sekiranya parti itu diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), tidak akan dikenakan sebarang tol.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, pembinaan lebuh raya itu kelak akan dibiayai sepenuhnya Kerajaan Pusat tanpa perlu meminta sumbangan daripada rakyat negeri ini.

Beliau berkata, pembinaan lebuh raya itu dan tidak dikenakan tol, juga bukti BN memenuhi janji yang dibuat kepada rakyat.

"Ini tanggungjawab sosial Kerajaan Persekutuan kepada rakyat Kelantan dalam usaha membangunkan taraf perhubungan yang lebih efektif dan selesa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Ara di sini hari ini.

Awang Adek diminta mengulas tanda tanya pelbagai pihak sama ada lebuh raya berkenaan akan dikenakan tol sebagaimana dilaksanakan di negeri-negeri lain, atau pun sebaliknya.

Pembinaan lebuh raya berkenaan adalah antara tujuh projek dijanjikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada rakyat Kelantan dan ia turut disenaraikan dalam manifesto tambahan atau aku janji BN Kelantan yang dilancarkan oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed di Kota Bharu, semalam.

No comments:

Post a Comment