Monday 4 February 2013

Antara 'Cerai' Nasha Dan 'Nusyuz' Karpal

MACAM-MACAM istilah, hukum, perumpamaan dan kiasan sering kali digunakan dalam dunia politik bagi menggambarkan keadaan dan situasi semasa. 

Paling menarik apabila hukum nikah dan perkahwinan begitu mudah dijadikan kiasan dalam politik. 

Paling klise kini ialah istilah cerai dan talak khusus bagi menggambarkan pengakhiran sebuah kemelut dalaman apabila menyaksikan hukuman pecat sebagai ahli atau pengguguran daripada sesuatu jawatan dan kedudukan dalam sesebuah organisasi terpaksa diambil. 

Tidak keterlaluan apabila hukum-hukum berkenaan dilihat begitu dekat dengan PAS tatkala parti yang menjadikan Islam sebagai teras perjuangan itu berhadapan dengan masalah. 

Terbaru Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat secara bersahaja menyifatkan pengguguran bekas Timbalan Presiden parti itu, Nasharudin Mat Isa sebagai ahli Majlis Syura Ulama tidak ubah seperti perihal penceraian antara pasangan suami isteri. 

Namun sedikit berbeza dalam kes Nasharudin, apabila lafaz cerai sudah dibuat namun hukum talak masih belum jatuh. 

Berkali-kali Nik Abdul Aziz menyatakan bahawa PAS sudah 'menceraikan' atau menggugurkan Nasharudin daripada Majlis Syura Ulama namun Ahli Parlimen Bachok itu masih kekal sebagai ahli PAS yang sah. 

"Ikut dia lah (Nasharudin), yang pasti dia sudah digugurkan, surat tak sampai tu masalah kedua. 

"Bila lafaz cerai dah dilafazkan, surat cerai tak mari (datang) pun tetap gugur," kata Nik Abdul Aziz baru-baru ini berhubung kenyataan Nasharudin yang mempersoalkan mengenai surat rasmi penggugurannya sebagai ahli badan tertinggi parti itu. 

Sehari selepas itu, Nik Aziz sekali lagi dengan tegas menyatakan beliau tidak kisah sekiranya Nasharudin meninggalkan parti itu dan menyertai mana-mana parti politik. 

Beliau menyifatkan isu Nasharudin seperti seorang lelaki menceraikan isterinya, selepas itu siapa sahaja bebas untuk mengambil wanita tersebut untuk menjadi isteri. 

"Macam orang cerai bini dia, selepas itu mana-mana lelaki lain nak buat bini ambillah," katanya. 

Itu perihal rumah tangga PAS membabitkan Nasharudin yang digugurkan daripada Majlis Syura Ulama dengan alasan pemecatan menyatakan bahawa beliau terpaksa digugurkan kerana kerap tidak hadir mesyuarat serta sering membuat kenyataan tidak selari dengan pendirian dan ketetapan majlis berkenaan. 

'Keistimewaan' Karpal 

Lain pula perihal membabitkan hubungan PAS dengan sekutu mereka dalam pakatan pembangkang khususnya DAP. 

Hubungan yang terjalin antara kedua-dua parti itu dilihat begitu 'kukuh' walaupun dasar kedua-dua parti ini bagaikan langit dengan bumi. 

Berdasarkan pengamatan biasa, layanan yang diberikan PAS kepada Nasharudin dan DAP khususnya pengerusi parti itu, Karpal Singh dilihat sangat berbeza. 

Mana tidaknya, PAS begitu mudah 'menceraikan' Nasharudin dengan alasan gagal memberikan komitmen dan kenyataan yang disifatkan membelakangkan parti. 

Tapi persoalannya apa kurangnya kenyataan Karpal yang begitu konsisten dan tegas menolak pendirian PAS berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam. 

Ahli akar umbi PAS di peringkat kawasan turut tertanya-tanya tentang 'layanan istimewa' kepimpinan mereka terhadap Karpal dalam isu yang cukup dekat dengan sensitiviti umat Islam ini. 

Kata mereka, kenapa tiada 'hukuman' dijatuhkan kepada Karpal kerana beliau secara terbuka dan lantang mempersoalkan pendirian dan keputusan PAS. 

"Kalau dalam nikah kahwin Karpal ni sudah dianggap nusyuz (keingkaran isteri mentaati perintah suami). 

"Jadi bila sudah sampai tahap nusyuz sesuatu perkahwinan itu boleh dibubarkan (cerai). Tapi sampai sekarang PAS dengan Karpal nampak bahagia saja," kata seorang ahli PAS dari Selangor. 

Sudah berkali-kali dilaporkan kenyataan terbuka Karpal yang mendesak agar PAS menghormati keputusan Mesyuarat Majlis Presiden gabungan pembangkang bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh orang bukan Islam kerana kepemimpinan tertinggi DAP tidak pernah bersetuju menerima keputusan Majlis Syura PAS. 

Malah sebelum kedua-dua parti itu menyunting antara satu sama lain untuk menjalinkan kerjasama politik selepas Pilihan Raya Umum 2008, Karpal turut pernah mengguris hati penyokong PAS dan umat Islam apabila beliau dilaporkan berkata agar langkah mayatnya dahulu jika mahu mendirikan negara Islam. 

Hukuman politik 

Jadi kebanyakan ahli PAS sendiri melihat semacam ada yang tidak kena dengan dasar dan sistem yang diamalkan kepimpinan tertinggi PAS. 

Bagi mereka, tahap hukuman yang dijatuhkan kepada Nasharudin dan layanan yang diberikan kepada Karpal sangat tidak setimpal. 

Sebagai ahli akar umbi, mereka sedia maklum mengenai matlamat untuk mengambil alih Putrajaya selepas pilihan raya akan datang namun pada masa yang sama tidak mahu maruah dan prinsip parti tergadai. 

"Maruah dan prinsip kita (PAS) lebih penting, jangan sampai dipijak-pijak. Mengapa kepimpinan masih lagi bekerjasama dengan parti yang tidak tahu cara nak hormati dasar rakan mereka?," soal seorang lagi pemuda PAS. 

Secara tafsiran mudah, PAS terpaksa menyekat kemaraan dan pengaruh Nasharudin dalam parti itu sendiri kerana tidak mahu corak pemikiran beliau yang dilihat lebih terbuka khususnya dalam pembangunan ummah tanpa dibatasi fahaman politik akan diterima oleh ahli PAS sendiri. 

Namun disebalik ketegasan itu, PAS juga terpaksa bertolak ansur dengan DAP kerana tidak mahu ditinggalkan dalam bahtera menuju ke Putrajaya.

No comments:

Post a Comment