Saturday 23 February 2013

‘Hadiah Bermakna Dari Kerajaan Buat Kami’



MACHANG – Dua beradik bekas tentera di sini, menyifatkan Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M) sebagai ‘hadiah’ bermakna buat mereka.

Ismail Abdul Rahman, 68, berkata, sumbangan itu sedikit sebanyak meringankan beban perbelanjaan yang terpaksa ditanggungnya selepas diserang lumpuh, lima tahun lalu.

Katanya, kesihatannya semakin baik selepas menggunakan kaedah rawatan tradisional, namun dia masih memerlukan rawatan berterusan.

“Pak cik mengamalkan berurut secara berterusan dan Alhamdulillah, kesihatan semakin baik dan dengan sumbangan ini, ia dapat meringankan beban perbelanjaan keluarga memandangkan pak cik tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya mengharapkan anak-anak,” katanya.

Menurutnya, bertugas sebagai askar peninjau selama 18 tahun, pelbagai pengalaman pahit manis terpaksa ditelan demi tanah air tercinta.

“Bukan kami meminta balasan, namun sumbangan ini amat bermakna buat kami dan berharap ia akan diteruskan pada masa akan datang bagi membantu golongan askar yang tidak berpencen ini,” katanya kepada Sinar Harian pada majlis penyampaian SVTB1M di sini, kelmarin.

Sementara itu, adiknya, Musa Abdul Rahman, 62, pula bercadang menggunakan wang tersebut bagi menampung pendidikan tiga anaknya yang masih belajar.

Katanya, keadaan kesihatannya sekarang tidak mengizinkannya bekerja seperti biasa dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan anak-anak.

“Terima kasih kepada perdana menteri yang prihatin dengan keperluan pelbagai golongan di negara ini. Saya berharap, ia akan diteruskan pada masa akan datang dan saya percaya, sumbangan ini besar maknanya kepada semua penerima,” katanya.

Dalam majlis sama, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Kelantan dan Terengganu, Mejar Abu Bakar Siddik Sulaiman berkata, mereka yang belum mengisi borang permohonan boleh berbuat demikian memandangkan masih tiada tarikh tutup yang ditetapkan.

“Mereka baru mendapat maklumat dan sebagainya, jangan khuatir. Mereka perlu isi borang dan pendaftaran akan berjalan sepanjang masa.

“Pelbagai bantuan disediakan kerajaan kepada bekas tentera dan SVTB1M adalah lanjutan kepada bantuan sedia ada. Veteran askar yang memerlukan bantuan diminta tampil dan memaklumkan kepada JHEV kerana pelbagai bantuan disediakan termasuk bantuan sara hidup, persekolahan, bantuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam dan bantuan peralatan pesakit,” katanya.

Pemberian RM1,000 SVTB1M diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2013 melibatkan peruntukan RM224 juta, 50 peratus daripadanya dibiayai oleh kerajaan dan 50 peratus lagi oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera. 

Sumber – Sinar Harian


No comments:

Post a Comment