Saturday 2 February 2013

Tuntutan Royalti Perlu Ada Asas Yang Kukuh

KOTA BHARU – Pihak yang mempersoalkan bayaran tuntutan royalti minyak dan gas di Kelantan perlu mengemukakan asas yang kukuh untuk memastikan tuntutan mereka dipenuhi.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, terdapat banyak perkara yang perlu difahami khususnya hal yang berkaitan sempadan dan undang-undang.

“Dalam soal tuntutan royalti ini, saya tidak pasti asas utama mereka, sama ada mahukan royalti dari Thailand, Vietnam ataupun Terengganu,” katanya selepas Majlis Kasih Disemai Sayang Dibelai 2013 di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Kelantan, semalam.

Seramai hampir 2,000 pendidik diraikan sempena perayaan Tahun Baru Cina yang turut disertai 1,006 pendidik bukan Islam yang mengajar subjek bahasa Thailand, Inggeris, India, Mandarin dan sebagainya.

Mustapa berkata, perkara utama yang perlu ditekankan dalam tuntutan royalti ini adalah asas dan yang keduanya pula ialah undang-undang.

Beliau berkata, sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak telah memberi penerangan tentang penyerahan royalti tersebut.

“Royalti itu ialah wang ihsan. Wang ihsan kami telah berikan, sebagaimana yang perdana menteri kita beritahu sebelum ini, kita ada empat ‘cawangan’ minyak iaitu bersama dengan dua buah negara luar, Terengganu dan juga Kelantan," katanya.

Mustapa yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan itu juga turut menjelaskan segala keputusan akan diumumkan jawatankuasa khas untuk isu tersebut.

“Kita tunggu mesyuarat Jawatankuasa khas yang telah dilantik, berapa jumlah sebenar dan kawasan mana yang dituntut, tidak perlu berdolak-dalik dalam hal ini kerana perdana menteri sendiri telah menyebut, tidak ada satu pun hak rakyat Kelantan yang tidak terbela,” katanya.

Sementara itu, dalam majlis yang sama, beliau turut mengumumkan tentang cadangan pemberian wang ihsan kepada waris individu telah meninggal dunia di negeri ini.

No comments:

Post a Comment