Monday 15 October 2012

PAS, DAP Nafi Ahli Keluar Parti Dan Sertai Umno

Pas dan DAP mengesahkan tiada seorang pun ahli mereka yang keluar parti dan menyertai Umno seperti yang didakwa salah seorang penyokong tegar DAP, Ismail Yusof semasa menyerahkan borang keahlian Umno kepada Menteri Besar, Jumaat lalu.

Pengerusi DAP Negeri, Leong Ngah Ngah berkata, dakwaan itu adalah tidak benar dan sekiranya ada yang menyertai Umno itu mungkin hanya penyokong biasa DAP dan Pas sahaja.

Menurutnya, semasa penyerahan borang itu juga, hanya Ismail sahaja yang tampil sedangkan lebih 80 ahli yang lain tidak kelihatan.

“Dia (Ismail) adalah sahabat baik saya. Saya tidak tahu kenapa dia menyertai Umno tetapi saya menghormati keputusannya.

“Lagipun, seseorang itu bebas untuk menyokong mana-mana parti dan saya tidak boleh menghalang keputusan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, beliau berharap tindakan lebih 80 penyokong DAP dan Pas yang berpaling tadah itu tidak menjejaskan undian terhadap calon DAP pada pilihan raya umum akan datang di kerusi DUN Triang itu.

Sementara itu, Yang Dipertua Pas, Sulaiman Mohamad berkata, setakat ini, jumlah keahlian Pas di Felda Bukit Mendi dan Bukit Puchong masih kekal.

Katanya, mereka yang menyertai Umno itu mungkin hanya didakwa penyokong tegar kedua-dua parti ini namun perkara itu juga tidak boleh disahkan benar.

“Berdasarkan gambar yang kita perolehi, tiada seorang pun yang dikenali sebagai ahli pas. Malah dengan hanya seorang sahaja yang tampil mengesahkan dia menyertai parti Umno, itu bukan membukti ada penyokong tegar lain turut sama menjadi ahli parti terbabit.

“Mungkin yang mendaftar sebagai ahli itu hanya penyokong atas pagar atau pun mungkin ada yang berlakon sebagai ahli Umno yang baru. Itu kita tidak tahu,” kata beliau.

Beliau berkata, sekiranya benar lebih 80 orang menyertai Umno, keadaan itu tidak menjejaskan sokongan terhadap kedua-dua parti itu di kedua-dua kawasan tersebut. -Sinar Harian

No comments:

Post a Comment