Wednesday 20 February 2013

Dakwaan Negara Bankrap Tidak Berasas.





BACHOK - Tuduhan pembangkang kononnya negara akan bankrap kerana kerajaan memperuntukkan sejumlah besar perbelanjaan untuk subsidi kepada rakyat setiap tahun, membayangkan mereka akan memotong kemudahan itu jika berjaya membentuk kerajaan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU 13).


Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata pembangkang tidak sedar pemotongan subsidi akan memberi impak besar terhadap golongan miskin di negara ini.


Kerajaan pada hari ini mempunyai kemampuan untuk mengeluarkan subsidi demi membantu rakyat berdasarkan pendapatan negara daripada pelbagai sumber yang cukup memberangsangkan, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan ihsan kerosakan tanaman padi kepada petani jajahan Bachok di sini, hari ini.


Sebanyak 268 petani yang kerugian disebabkan banjir pada akhir tahun lepas menerima bantuan berjumlah hampir RM500,000 bagi meringankan beban mereka untuk mengerjakan tanaman padi musim ini.


Mengulas lanjut, Awang Adek berkata antara sumber hasil kerajaan itu ialah kutipan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah RM120 bilion tahun lepas, tidak termasuk sumber hasil daripada Petronas.


Dengan pendapatan itu kerajaan dapat berbelanja antaranya RM30 bilion untuk perbelanjaan pelbagai bentuk subsidi seperti petrol, diesel, gas, minyak masak, subsidi baja padi, beras, gula dan tepung, katanya.


Beliau yakin ekonomi negara pada tahun-tahun akan datang akan terus berkembang berikutan kemasukan pelabur asing dan yang terbaharu pelabur dari China melibatkan nilai pelaburan RM10.5 bilion di Pahang.


"Ini untuk membolehkan kerajaan dapat meneruskan pelbagai bentuk subsidi berkenaan pada tahun-tahun akan datang jika kerajaan Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat pada PRU 13 kelak," katanya.


Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan turut membidas pembangkang yang sebelum ini mahu mengurangkan penjawat awam atas alasan terlalu ramai dan bagi menjimatkan perbelanjaan.


Beliau berkata tindakan pembangkang itu tidak akan memberi peluang kepada lepasan universiti untuk bekerja dengan kerajaan selain akan meningkatkan jumlah pengangguran dalam kalangan rakyat.              SUMBER - BERNAMA /KOTABHARUNEWS.COM


















No comments:

Post a Comment