Sunday 17 February 2013

Rakyat Tuntut Penjelasan Kelantan Berkaitan Isu Tanah

KOTA BHARU - Beberapa isu yang didedahkan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk penerokaan tanah dan Ladang Rakyat, membangkitkan keinginan rakyat untuk mendapatkan penjelasan daripada kerajaan negeri pimpinan Pas.

Pengerusi Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, isu terbabit yang didakwa berlaku di Hulu Kelantan dilihat sebagai penganiayaan kepada rakyat dan mencemarkan alam sekitar.

"Kita menuntut ketelusan. Sebuah kerajaan yang diberi amanah oleh rakyat hendaklah telus menjelaskan apa yang berlaku di Hulu Kelantan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program himpunan Gerakan Tukar Kerajaan Pas Kelantan (Tukar), sebuah NGO, di perarangan Bangunan Umno Negeri Kelantan di sini, semalam.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, walaupun isu berkenaan dianggap pimpinan Pas Kelantan sebagai isu 'sampah dan kitar semula', tetapi penduduk terlibat tetap menuntut penjelasan kerajaan negeri.

Baru-baru ini, sebuah NGO yang dikenali sebagai Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (Ombak) mendedahkan mengenai kejadian tanah di Kelantan digondolkan melalui pembalakan sehingga mengakibatkan kemusnahan khazanah hutan negara.

Presiden Ombak, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad dilaporkan berkata antara kawasan paling teruk terjejas sehingga menyebabkan hakisan dan sungai tercemar ialah Lojing, Gua Musang dan Dabong, Kuala Krai.

Mustapa berkata, Umno Kelantan akan menjelajah ke seluruh negeri ini bagi memberi penerangan mengenai isu-isu tersebut dan kenapa rakyat perlu membuat perubahan dalam memilih kerajaan negeri pada pilihan raya umum akan datang. - Bernama

No comments:

Post a Comment