Monday 10 September 2012

Ditubuhkan Semenjak 26 Tahun Giatmara Berjaya Lahirkan 300 000 Pelatih

KOTA BHARU - Pusat Giatmara berjaya melahirkan seramai 300,000 pelatih semenjak ia ditubuhkan pada 26 tahun lalu dan kesemua mereka berjaya mendapat peluang pekerjaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Meriyam Abd Majid berkata, kejayaan tersebut membuktikan kursus ditawarkan Giatmara menepati pasaran pekerjaan.

“Antara kursus yang mendapat permintaan tinggi dikalangan majikan ialah melibatkan sulaman, jahitan dan hiasan dalaman selain daripada automotif, pendawaian elektrik dan kimpalan,” katanya kepada pemberita di Majlis Pelancaran Kursus Giatmara Ketereh di sini semalam.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pertanian Kemubu (Kada) Tan Sri Annuar Musa yang merasmikan majlis tersebut dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad.

Menurutnya, pihak Giatmara sentiasa membuat pemantauan dalam menentukan bentuk kursus yang ditawarkan kepada pelatih berdasarkan keperluan yang diinginkan majikan.

Beliau berkata, pelatih juga tidak ketinggalan diberi pendedahan dengan suasana pekerjaan sebenar bagi memastikan mereka tidak kekok memasuki alam pekerjaan.

Meriyam berkata, untuk memenuhi permintaan tinggi dalam kalangan belia negara ini, pihaknya rancang membuka sebuah lagi pusat latihan dalam masa terdekat iaitu di Kalabakan, Sabah.

“Ia bertujuan memastikan belia masa depan mempunyai minima satu kemahiran bermula seawal umur 15 tahun,” katanya.

No comments:

Post a Comment