Sunday 23 September 2012

'Jika Tidak Mahu Negara Seperti Di Timur Tengah, Ahli UMNO Perlu Rapatkan Barisan'

Kini bukan masa untuk ahli UMNO saling bertelagah dan bercakaran, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, waktu ini adalah masa untuk setiap ahli BN merapatkan lagi barisan antara mereka supaya negara tidak berhadapan dengan musibah.

“Jika tidak kita akan berhadapan dengan nasib seperti yang menimpa negara Timur Tengah yang bertelagah akibat daripada politik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Indera Mahkota di sini hari ini.

Sehubungan itu, Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri mahu segala perbalahan yang wujud di peringkat bahagian UMNO diselesaikan segera.

Kata beliau, kegagalan berbuat demikian boleh menghalang BN memperoleh kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Selain itu, Hishammuddin turut meminta ahli UMNO tidak berasa cemburu dengan calon parti itu yang dipilih bertanding pada PRU13.

Jelas beliau, setiap ahli UMNO perlu memberi sokongan penuh kepada calon tersebut demi masa depan parti dan negara.

Hishammuddin turut mengingatkan ahli UMNO supaya bersedia berdepan dengan serangan peribadi dan tohmahan yang dibangkitkan pembangkang.

Kata beliau, pembangkang juga gemar membangkitkan isu perkauman dan agama semata-mata untuk memenangi PRU13 demi kepentingan mereka.

Tambahnya. budaya politik kebencian dan pecah-belah yang sering disuntik parti pembangkang itu boleh menular sekiranya tidak dikawal.

“Budaya politik seperti ini kita mesti tolak kerana ia tidak membantu negara,” katanya lagi. – mynewshub.my

No comments:

Post a Comment