“Jangan jadikan saya seolah-olah anti-Islam." Demikian penjelasan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berhubung kenyataannya di Twitter yang dikatakan tidak sensitif terhadap perasaan umat Islam.
Koo Ham ketika dihubungi Sinar Harian berkata, kenyataan yang turut dipaparkan di Facebook itu tidak menjurus kepada penghinaan terhadap perjuangan umat Islam di negara ini yang menentang penyebaran filem Innocence of Muslims.
Sebaliknya menurut beliau, ia hanya sebuah mesej yang mahu orang ramai berfikir sama ada masa dan tenaga yang digunakan untuk bantahan berkenaan memadai atau tidak.
“Secara jujurnya saya sendiri mengecam keras penyebaran video ini, cuma apa yang saya mahu nyatakan, adakah reaksi dan bantahan yang ditunjukkan di seluruh dunia suatu reaksi yang seimbang bagi menentang seorang lelaki.
“Ia hanya suatu pertanyaan kerana bagi saya, masa dan tenaga yang ‘terhimpun’ seluruh dunia ini sebenarnya boleh digunakan untuk perkara lain yang bermanfaat,” katanya yang merujuk kepada kesan kecaman termasuk kes pembunuhan Duta Amerika Syarikat (AS) ke Libya, Christopher Stevens yang terbunuh di Benghazi akibat ditembak, baru-baru ini.
Mengulas mengenai cadangan penyertaan Pas bersama Umno dalam bantahan aman di Kedutaan AS di Malaysia, Jumaat ini, Koo Ham berkata, pihaknya menghormati tindakan berkenaan.
“Jika mereka merasakan ia satu keperluan, kita hormati tindakan itu, saya tidak mempunyai sebarang bantahan sekiranya mereka berhasrat untuk bergabung demi Islam,” kata Ahli Parlimen Beruas ini.
Menteri Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam reaksinya kenyataan itu sebagai satu provokasi yang tidak sensitif terhadap perasaan umat Islam yang marah dan terhina dengan filem yang mempersendakan Nabi Muhammad SAW.
“Sepatutnya dia (Koo Ham) berkongsi bersama apa yang ditanggung, bukan mengeluarkan kenyataan sedemikian. Dia mungkin akan kata dia hanya bertanya, tetapi soalan dia amat provokatif sekali,” katanya.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sitiawan itu tidak sepatutnya mempersoalkan tindakan orang Islam kerana apa yang dilakukan adalah tindak balas semula jadi.
“Dia seharusnya berhati-hati jika hendak buat kenyataan, jangan sampai menyinggung perasaan umat Islam,” katanya.
No comments:
Post a Comment