Sunday 30 September 2012

Shila Amzah : Penglibatan 12 Tahun Dalam Industri Hiburan Berbaloi



UMUM mengetahui kemenangan anak gadis ND Lala, di Shanghai, China, merupakan detik bersejarah buat pelantun lagu Patah Seribu ini.  

Shila Amzah berjaya menewaskan dua pesaing rapat dari tuan rumah, kemenangan itu langsung tidak diduga oleh kedua orang tuanya, ND Lala dan Fauziah Sarman.

Malah, menurut ibunya yang lebih mesra disapa Kak Zie ini, tidak tidak meletakkan harapan tinggi pada anak gadisnya, cukup sekadar dapat mewakili negara dalam pertandingan berprestij itu.

“Syukur Alhamdulillah, Shila berjaya menempatkan dirinya sebagai juara. Saya sangat terkejut dan pada masa sama, rasa gembira kerana dia berjaya membuktikan kehebatannya di negara orang.

“Bukan senang nak kalahkan dua pesaing terdekat itu kerana vokal mereka sangat mantap. Berkali-kali saya dan suami ingatkan pada Shila, jangan fikir ia sebagai pertandingan, anggap sahaja seperti persembahan supaya dia tidak terlalu gementar.

“Saya berbangga dengan Shila kerana dia berjaya menggapai satu daripada impiannya untuk berjaya di luar negara. Penglibatannya dalam industri seni selama 12 tahun akhirnya membuahkan hasil,” katanya yang turut bertindak sebagai pengurus peribadi Shila.

Tambah ibunya lagi, pada hari pertandingan itu, Shila juga dilihat sangat tenang dan tidak berada di dalam tekanan.

“Dia melakukan persembahan itu dengan begitu tenang sekali. Jika sebelum ini dia nampak lebih gementar, tetapi di peringkat akhir itu, dia berjaya mengawal rasa gementarnya.

“Shila bekerja keras untuk menang. Dia turut menyertai kelas untuk memperbetulkan bahasa Mandarin dalam membawakan lagu Forever Love itu.

“Sebelum ini, memang Shila pernah bersekolah di sekolah Cina sehingga lapan tahun, namun tidak kesemua ungkapan dan perkataan Mandarin yang diingati,” katanya yang turut mengakui Shila seorang penghafal yang baik.

Buat majlis kesyukuran

Tidak melupakan peminat dan masyarakat yang sentiasa menyokong perjalanan seni Shila, ibunya turut merancang mengadakan majlis kesyukuran di atas kejayaan itu.

Katanya, sokongan daripada peminat adalah pembakar semangat untuk Shila terus mendaki kejayaan demi kejayaan.

“Insya-Allah, kami ada merancang untuk mengadakan majlis kesyukuran. Namun, dalam masa terdekat ini, Shila agak sibuk dan ayahnya pula berada di Sabah,” katanya yang mengakui jadual Shila padat sehingga Januari depan.

Kembang karier di China

Menggondol anugerah juara Asian Waves, Shila atau nama sebenarnya, Nur Shahila Amir Hamzah, 22, turut ditawarkan kontrak dan dana pembangunan kerjaya di China sebanyak RM5 juta oleh syarikat media terbesar di China, Shanghai Media Group (SMG).

Kontrak dan dana itu turut dikongsi bersama dua pemenang tuan rumah, Chang Shilei dan Huo Jun.

Walaupun ia bukanlah berbentuk wang tunai, namun hadiah kemenangan itu sangat bermakna buatnya.

“Selepas kontrak itu ditandatangani, Shila akan berulang alik ke China untuk meluaskan kariernya. Antara perancangan pihak SMG termasuk penerbitan album, konsert jelajah dan sesi promosi ke seluruh China.

“Alhamdulillah, memang tawaran yang diterima sangat banyak, namun saya harus memilih yang terbaik. Walaupun selepas ini jadual saya semakin sibuk, namun negara sendiri tidak akan dilupakan.

“Saya akan merakam album Melayu di Malaysia kerana pasaran China hanya menerbitkan album bahasa Mandarin dan Inggeris sahaja,” katanya yang turut diundang sebagai penyanyi jemputan untuk konsert jelajah penyanyi, Eric Moo di Beijing pada 17 November ini.

Walaupun membuat keputusan untuk berhijab sejak awal Ramadan lalu, namun ia langsung tidak menjejaskan periuk nasi gadis manis ini.

Malah, kejayaannya di Shanghai dianggap sebagai hikmah dirinya yang kini berhijrah. Tidak dinafikan, pada awalnya, Shila melahirkan rasa takut sekiranya masyarakat di China tidak dapat menerima imej Muslimahnya.

“Syukur Alhamdulillah, saya langsung tidak menyangka, masyarakat di sana sangat terbuka. Malah, mereka bertanya kepada saya kenapa saya bertudung sedangkan sebelum ini tidak. Saya menerangkan kepada mereka mengenai perkara itu dan menerima kehadiran saya di sana,” katanya. -Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment