Tuesday 13 November 2012

Politik Ganas: Tindakan Pemimpin Jadi Pendorong Keberlakuannya

KOTA BHARU- Budaya politik ganas bukan fenomena baru dalam arena politik negara, sejak sekian lama ia wujud, namun semakin menular selepas dipercayai didorong beberapa faktor semasa yang berlaku tanpa kita sedari.

Ketua Exco Penerangan Pas Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Datuk Hassan, berkata, bentuk politik ini tidak boleh diterima walau dari pihak mana ia datang.

“Budaya politik ganas ini tidak seharusnya berlaku di negara ini jika semua pihak mengamalkan sistem demokrasi sewajarnya, yang menganjurkan setiap individu hormati hak individu lain,” katanya.

Mengakui politik ganas dimulakan pemimpin, Mohamed Fadzli berkata, walaupun pemimpin tidak arahkan pimpinan bawahan melakukan keganasan, namun tindakan seseorang pemimpin kadang kala mengundang budaya politik ini.

“Sebab itu, dalam situasi ini ada pepatah mengatakan, kalau bapa kencing berdiri, anak kencing berlari. Kalau pemimpin buat sekali, penyokong akan bertindak lebih daripada apa yang difikirkan pucuk pimpinan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PKR Kelantan, Abdul Aziz Abdul Kadir, berkata, cara berpolitik menggunakan keganasan tidak melambangkan identiti rakyat Malaysia selain bertentangan dengan budaya dan adat penduduk negara ini.

Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Ketereh, budaya politik itu seolah-olah cubaan menyekat saluran maklumat antara pemimpin dan pimpinan bawahan.

“Ia suatu bentuk politik tidak bertamadun yang sepatutnya tidak wujud dalam dunia moden kini,” katanya.

Kejadian seperti memusnahdan membakar poster serta baling batu ketika ceramah dijalankan boleh dikategorikan sebagai politik ganas yang sepatutnya tidak berlaku dalam dunia moden kini. -Sinar Harian

No comments:

Post a Comment