Saturday, 17 November 2012

Hadi: Saya Rela Jadi Khadam Dari Jadi PM

PENGKALAN CHEPA - Datuk Seri Abdul Hadi Awang rela menjadi khadam demi rakyat daripada menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri yang disifatkannya sebagai "amanah berat" meskipun Dewan Ulama Pas menegaskan presidennya itu lebih layak.

"Apa yang penting kepada kami, kita ke Putrajaya. Siapa yang jadi Perdana Menteri, yang diterima oleh rakyat, yang dapat menyatukan rakyat, dapat menegakkan keadilan untuk rakyat.

"Kita terima. Saya terima. Macam saya sebutlah, saya sanggup jadi nelayan balik," kata Abdul Hadi pada sidang media di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK), hari ini. 

Dalam satu temu bual dengan Sinar Harian Januari lalu, Abdul Hadi berkata, beliau tidak kisah menjadi nelayan asalkan Perdana Menteri yang dipilih kelak mengamalkan dasar pemerintahan Islam dan mampu menyelamatkan negara. 

Pagi tadi, perwakilan Dewan Ulama menegaskan, jika ada individu yang paling layak menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat menang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) adalah Abdul Hadi sendiri.

"Bukan sebagai alasan untuk menaik-naikkan beliau, tetapi beliaulah orang yang lain layak untuk menjadi pemimpin, Perdana Menteri pada masa akan datang dan kita sebagai anak didik kepada Pas, tidak sepatutnya, kita pula yang berkempen agar orang lain menjadi pemimpin sedangkan negara yang ingin dibawa adalah negara yang berdasarkan syariat.

"Kita meletakkan satu keyakinan bahawa presiden kita orang yang berkaliber untuk memimpin sebuah negara...," katanya.

Menjawab pertanyaan media, Abdul Hadi menjelaskan, dalam Pas, pimpinannya tidak pernah diajar untuk meminta-minta jawatan dalam parti politik.

"Saya sebagai seorang pimpinan yang diajar dalam parti Islam, kita tak boleh minta untuk jadi pemimpin," namun katanya, jika diberikan tanggungjawab itu, "kita anggap ini sebagai satu amanah yang berat, amanah yang besar."

Malam tadi penasihat DAP, Lim Kit Siang membuat pengisytiharan bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya perikatan itu ke Putrajaya selepas PRU13.

Menurut Kit Siang, Anwar adalah pemimpin dari pembangkang yang paling layak untuk menjadi Perdana Menteri. -Sinar Harian

No comments:

Post a Comment