Friday 23 November 2012

Setiausaha Akhbar Nik Aziz Sedia Debat Dengan Minda Pondok Isu Umno Murtad

KOTA BHARU - Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Fadhli Shaari bersedia untuk berdebat dengan badan bukan kerajaan (NGO) Minda Pondok mengenai isu tuduhan Umno murtad.

Kesediaan itu dibuat oleh Ahmad Fadhli setelah Ahli Jawatankuasa Minda Pondok, Mohamad Zainal Abidin Awang mencabar berdebat dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi menjelaskan kepada masyarakat berhubung tindakan Pas membaca doa untuk menghancurkan Umno kerana didakwa tidak selari dengan Islam.

Menurut Ahmad Fadli, beliau mengalu-alukan ajakan debat oleh Minda Pondok kepada Menteri Besar, tetapi panel itu yang terlibat mesti sama kedudukan sama ada dalam parti mahu pun kerajaan.

“Cabaran debat ini agak kontra dengan keputusan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang enggan melayan cabaran debat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas alasan bahawa debat bukan budaya kita. Justeru, Minda Pondok barangkali boleh dianggap lebih berani daripada Perdana Menteri dalam hal ini.

“Selaku Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am Pas, adalah tidak munasabah untuk meletakkan Minda Pondok sepentas dengan Tuan Guru dalam apa jua tajuk sekalipun,” katanya.

Justeru itu Ahmad Fadhli berkata, beliau dengan rendah hati menawarkan diri untuk tampil menyahut cabaran Minda Pondok yang perlu untuk dilaksanakan bagi menjernihkan beberapa tuduhan yang dilemparkan kepada Nik Aziz khususnya dalam isu doa dan dakwaan memurtadkan Umno.

“Saya kira sama ada Minda Pondok boleh merangka program ini ataupun diserahkan kepada pihak ketiga menjadi urus setia. Saya harap Minda Pondok boleh terima cadangan ini jika benar-benar ikhlas menjernihkan suasana,” katanya.

No comments:

Post a Comment