Monday 19 November 2012

Intipati Doa Kuburkan Umno-BN Undang Kesan Buruk Kepada Masyarakat


SHAH ALAM – Intipati bacaan doa pada malam solat Hajat Pas baru-baru ini dilihat tidak wajar kerana ia  mengundang pelbagai implikasi buruk terhadap masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno, Fathul Bari Mat Jahaya berkata, perkara seumpama itu sudah menyisihkan pandangan ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Menurutnya, sudah menjadi tuntutan ulama mendoakan perkara kebaikan walaupun kepada musuh.

“Seorang Imam bernama Ahmad bin Hanbal telah ditangkap dan didera kerana enggan menukar pendiriannya, lalu ditanya apakah doanya terhadap orang menzalimi diri beliau dan dia menjawab, ‘jika ada doa paling mustajab, aku doakan kebaikan terhadap diri mereka.

“Perkara itu menjadi pegangan ulama sehingga ke hari ini. Mendoakan kebaikan kepada pemimpin memberi kebaikan kepada rakyat, mendoakan keburukan kepada pemimpin memberi keburukan dan kesan negatif terhadap rakyat,” katanya.

Katanya, sewajarnya parti politik seperti Pas menuntut perkara kebaikan dan bukannya yang boleh memberi pelbagai implikasi.

“Bukan tidak boleh berdoa. Doa boleh dibaca seperti ‘Ya ALLAH, jauhkan kami daripada korupsi, kezaliman, liberalisme, rasuah dan semua perkara tidak baik.’

“Itu lebih baik daripada menyebut nama organisasi seperti Umno dan Barisan Nasional. Bukan semua ahli dalam Umno bermasalah, tetapi apabila doa disebut begitu, ia memberi gambaran negatif dan pelbagai andaian boleh berlaku,” katanya.

Beliau juga menambah, terdapat empat kesan yang boleh terjadi berikutan isi kandungan doa itu iaitu mengelirukan rakyat, perpecahan, fitnah dan permusuhan.

“Empat perkara itu begitu jelas. Saya mohon mereka beristighfar dan kembali kepada landasan Islam sebenar.

“Jangan kerana itu, akan berlaku pelbagai insiden tidak diingini khususnya kepada masyarakat Islam sesama sendiri,” katanya.

Sementara itu, Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hasan Mohamed Ali melahirkan rasa kecewa apabila mendapati doa disampaikan boleh menimbulkan huru-hara di kalangan masyarakat Islam.

Menurutnya, bacaan doa perlulah dengan bahasa syahdu, tidak terjerit-jerit dan meminta perkara baik-baik sahaja.

“Saya juga pernah mengetuai bacaan doa. Tidak pernah ada ayat atau permintaan seperti ‘hapuskan’ atau perkataan tidak baik.

“Doa juga ada tertibnya. Saya sangat bimbang kerana Pas ada dua kumpulan iaitu ahli biasa dan ahli taksub.

Dengan bacaan doa begitu, dikhuatiri ia menjadi contoh tidak baik terhadap mereka,” katanya.

Katanya, bacaan doa seumpama itu juga memungkinkan Pas boleh kehilangan undi Umno.

“Kemenangan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) berjaya menarik ramai ahli Umno untuk mengundi Pas. 

“Tidak mustahil undi mereka berpindah kepada DAP atau PKR jika Pas tidak belajar daripada kesilapan ini,” katanya. -Sinar Harian

No comments:

Post a Comment