Wednesday 17 October 2012

Tiada Permohonan Dari Kelantan Untuk Bina Lebuh Raya Rakyat - Shaziman

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor hari ini menjelaskan kementeriannya tidak pernah menerima sebarang permohonan rasmi daripada kerajaan negeri Kelantan berhubung pembinaan Lebuh Raya Rakyat dari Kota Bharu ke Kuala Krai. 

Shaziman ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 bagi kementeriannya bagaimanapun berkata hanya menerima panggilan telefon daripada salah seorang exco negeri pimpinan PAS itu mengenai pelancaran majlis pecah tanah projek berkenaan. 

"Kerajaan tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripada kerajaan negeri Kelantan untuk pembinaan lebuh raya tersebut, sebaliknya saya hanya menerima panggilan telefon daripada exco memberitahu mengenai pelancaran majlis pecah tanah. 

"Saya bersetuju sekiranya kerajaan Kelantan ingin berbincang dan meminta bantuan teknikal daripada kerajaan Pusat," katanya merujuk kepada inisiatif Kelantan mengutip derma bagi pembinaan lebuh raya tersebut yang dianggarkan bernilai RM1.8 bilion. 

"Saya tidak yakin dapat kutip derma untuk RM1.8 bilion," katanya lagi. 

Ahli Parlimen Tampin itu turut menegaskan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak prnah menghentikan pembinaan lebuh raya tersebut, sebaliknya ia hanya ditangguhkan atas kos yang terlalu tinggi dan memerlukan kajian reka bentuk semula. 

"Kerajaan tidak pernah batalkan projek naik taraf lebuh raya persekutuan Kota Bharu -Kuala Krai, projek itu hanya ditangguhkan sementara untuk kerajaan menilai semula dan mencari alternatif lebih baik berbanding skop asal. 

"Malah, ia akan diberi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke -11(RMKe-11)," tambahnya. 

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat sebelum ini telah merasmikan majlis pecah tanah untuk projek lebuh raya dua lorong tanpa tol itu. 

Malah, kerajaan negeri telah melancarkan kutipan derma bagi merealisasikan pembinaan projek pembangunan infrastruktur tersebut yang menelan belanja RM1.8 bilion.

No comments:

Post a Comment