Friday 12 October 2012

Pas Perlu Bertegas Dengan Nasha Yang Jelas Cemarkan Islam

KENYATAAN dan pendirian bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa jelas mencemar nama Islam dan memberi persepektif yang buruk kepada kepimpinan Islam.

Pertamanya, pendirian beliau bahawa 'kemenangan Islam tak pernah dibantu orang kafir' jelasnya menunjukkan kejahilannya menguasai dinamika ilmu Islam serta gagal memahami keperluan dan realiti semasa. Ini berkaitan dengan kerjasama politik (tahaaluf siyasi) serta perkongsian kuasa.

Apakah beliau benar-benar tidak menyoroti sirah Rasulullah SAW serta peranan dan keperluan tahaaluf siyasi atau buat-buat jahil? Konsep Himayah, peristiwa Hilful Fudhul, pembukaan Kota Madinah yang dibantu oleh kaum Aus dan Khazraj (kerjasama berlaku sebelum mereka memeluk Islam) serta banyak lagi contoh kerjasama dengan golongan bukan Islam untuk membina kemenangan Islam.

Bahkan persepakatan untuk Pas bersama Pakatan Rakyat telah berlaku ketika beliau menjadi kepimpinan tertinggi parti. Nyata hal ini memberi tanggapan kurang baik terhadap kumpulan Islamis apatah lagi memberi kefahaman tentang Islam kepada masyarakat.

Apa yang lebih naif pandangan beliau seolah-olah langsung tidak mengambil pengajaran apa yang berlaku kepada gerakan Islam di Maghribi, Tunisia dan Mesir. Gerakan Islam di negara tersebut menggunakan teori perkongsian kuasa untuk menumbangkan rejim dan mengambil alih tampuk kepimpinan negara.

Bahkan dalam hal ini Al-Ghannoushi telah menyatakan pendiriannya seawal tahun 2005 bahawa gerakan Islam perlu keluar dari kepompong eksklusif dan reaktif semata-mata.

Realitinya Pas perlu konsisten dengan kerjasama tahaaluf siyasi bersama PKR dan DAP untuk memastikan misi ke Putrajaya bukan sekadar polemik politik. Tidak cukup dengan penganjuran jelajah dan himpunan, namun apa yang lebih penting ialah memastikan tiada dalam kalangan kepimpinan Pas yang masih berfikiran seperti Nasharudin.

Kedua, berkenaan tuduhan beliau terhadap DAP yang mengadakan doa supaya Malaysia menjadi negara Kristian. Ini dikira sebagai tuduhan dan fitnah yang melampau selagi beliau tidak mendatangkan bukti yang kukuh. Ia mencemar imej Islam apabila bekas kepimpinan tertinggi dan Majlis Syura gerakan Islam utama di Malaysia yang berkelakuan sedemikian. Apakah fitnah dan pecah belah itu akhlak seorang pemimpin Islam?

Tegasnya saya mendesak agar Majlis Syura Pas membawa Nasharudin ke tribunal hisbah di atas kesalahan yang dilakukan serta memberi hukuman sekurang-kurangnya digantung keahlian Pas Ini adalah demi menjaga keharmonian dan imej Islam. -Sinar Harian

No comments:

Post a Comment